TEKS VERBATIM: PENERANGAN SITUASI KESELAMATAN DI IRAN DAN RANTAU TIMUR TENGAH OLEH YAB PERDANA MENTERI
TEKS VERBATIM
PENERANGAN
SITUASI KESELAMATAN DI IRAN DAN RANTAU TIMUR TENGAH
OLEH:
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
2 MAC 2026 (ISNIN)
11.30 PAGI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
MUKADIMAH
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Izinkan saya terlebih dahulu merakamkan takziah kepada Republik Islam Iran, terutama atas pemergian syahid Ayatollah Ali Khamenei, seluruh keluarga mangsa, para pemimpin serta komuniti pendidikan yang terbunuh akibat serangan bom oleh rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat. Ini termasuk Brigadier Jeneral Aziz Nasirzadeh – Menteri Pertahanan dan Mahmoud Ahmadinejad – Bekas Presiden Iran serta pimpinan angkatan bersenjata. Maka kepada mereka, termasuk rakyat serta 180 kanak-kanak di Minab yang terkorban, saya mohon Dewan menghadiahkan Al-Fathihah dan kepada rakan-rakan yang lain untuk bertafakur sejenak.
PENDIRIAN MALAYSIA
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Tidak boleh dipertikai kenyataan bahawa tindakan ganas ini menyerang negara berdaulat dan merdeka adalah tindakan biadap, melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan melanggar semua peraturan, ketetapan, dalam tantanan hukum undang-undang dunia.
- Oleh itu, Malaysia dengan ini mengutuk keras serangan rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
- Dan kita berpandangan bahawa tindakan ketenteraan yang berterusan ke atas negara bebas dan merdeka Iran, betapa pun perbezaan dasar dan sikap terhadap negara tersebut bertentangan dengan prinsip yang disepakati oleh dunia. Dan tindakan ketenteraan berterusan itu tentunya berisiko malah telah bermula menyebabkan ketegangan, eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau terutama negara-negara Teluk yang semuanya atau kebanyakkannya diheret dalam kancah peperangan akibat dari serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat.
- Tentunya sebagai negara bebas dan merdeka, Malaysia hanya mampu menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta merta dan kalau pun ada asas pertikaian, ia harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif.
- Tantanan dunia termasuk PBB dengan kenyataan Setiausaha Agung Guterres baru-baru ini jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa. Namun Israel adalah salah satu-satunya negara yang terus menerus melanggar ketetapan antarabangsa. Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelumnya Iraq, Syria dan pembantaian terhadap umat dan rakyat Palestine dan Gaza berterusan hingga kini.
- Sebab itu, kita tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas dan jelas, bahawa tindakan ini adalah tindakan yang bertentangan dengan peraturan tantanan dunia dan harus dibantah dengan keras. Pilihan lain tentunya selain daripada perdamaian ialah untuk mendapatkan kerjasama negara-negara Teluk supaya kembali bersatu, mengadakan rundingan, pertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau.
- Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke negara yang lain akan terus berlaku sepertimana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel, dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel.
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Selain dari ketetapan tersebut, tentunya sebagai Kerajaan kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatannya.
- Ramai yang terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan dan sebahagiannya memang sudah menetap dan bekerja di sana. Sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah.
- Jumlah yang besar adalah yang berdaftar, bertugas di rantau Timur Tengah yang mencecah lebih 29,112 orang di kalangan yang berdaftar dan tidak berdaftar. Paling ramai dari Qatar dan UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi dan Jordan.
- Kita terutamanya Wisma Putra, sedang memantau dari dekat. Sebahagiannya dibantu oleh Kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan. Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi, tapi negara-negara lain masih lagi belum mendapat kepastian.
- Selain itu, saya ingin menggunakan kesempatan ini, Tan Sri Yang di-Pertua, untuk juga mengumumkan, bahawa dalam kesibukan ini, jangan kita lupakan nasib rakyat Palestine, khususnya di Gaza. Kerana sebaik sahaja perperangan meletus atau serangan daripada Israel itu dimulakan maka pintu masuk Rafah, Gaza juga ditutup di bulan Ramadan ini dan menyebabkan bantuan makanan, perubatan kepada rakyat terbantut dan keadaan mereka tentu jauh lebih gawat.
- Pada 1 Mac 2026 semalam, telah melancarkan misi bantuan kemanusiaan Sumud Darat 30 kontena Malaysia ke Gaza yang akan membawa sebanyak 30 kontena bersaiz besar dengan muatan sebanyak 374 tan bahan makanan dan kit kebersihan ke Gaza sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia.
- Sumud Darat menandakan komitmen kita kerana kita dan saya bangga anak-anak kita yang tidak lentur semangat mereka untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestine.
- Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan bahawa solidariti rakyat melangkaui kaum agama dan latar belakang politik dan kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestine dan dalam keadaan sekarang membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel.
- Kementerian luar tentunya akan terus mengaktifkan bilik gerakkan, memantau dari dekat dan kita jamin kita akan lakukan apa yang munasabah dan mampu untuk membantu termasuk melalui bantuan konsular, nasihat perjalanan bagi rakyat Malaysia, sama ada yang terkandas untuk memilih untuk pulang ke negara mereka.
- Akhirul kalam, Tan Sri Yang di-Pertua, saya ingin menjelaskan bahawa untuk Malaysia sebagai negara berkembang kecil, tidak mudah memberikan ketetapan begini kerana bila berhadapan Israel apalagi Amerika Syarikat tidak banyak negara yang tegas menyatakan pendirian mereka.
- Tapi, saya berunding dengan rakan-rakan saya, kita mengambil keputusan dan ketetapan untuk menyatakannya hak dan yang konsisten dengan dasar kita selama ini, menghormati kebebasan dan menentang segala bentuk pencerobohan oleh mana-mana negara terhadap negara lain.
- Dalam kes ini, tidak boleh kita pertikai bahawa apa yang dilakukan oleh Israel dengan dukungan Amerika Syarikat, itu sudah nyata pelanggaran prinsip tantanan dunia.
- Oleh itu, Malaysia mengulangi pendirian kita mengutuk serangan dan menuntut supaya dihentikan perbalahan dan mencari kedamaian di rantau Teluk dan juga Iran.
Terima kasih.
PENGGULUNGAN
- Saya tentunya amat menghargai pandangan rakan-rakan yang memberikan ulasan dan juga beberapa cadangan. Tetapi ternyata ada kesepakatan dan sebagai seorang rakyat biasa saya agak terharu, kerana dalam menghadapi kemelut begini yang menjejaskan kehidupan, keselamatan negara seperti Iran dan juga keselamatan wilayah Teluk, ada kesepakatan yang saya ingat satu petanda yang baik bagi negara kita.
- Maknanya, kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal, tapi dalam soal maruah, soal dignity negara, soal kemerdekaan dan kemaslahatan bersama tidak ada perbezaan.
- Jadi bagi pihak Kerajaan, saya ingin ucap terima kasih dan penghargaan kepada Ketua dan juga rakan-rakan di sebelah sini juga, sebelah Pembangkang yang telah menyuarakan pandangan mereka.
- Memang ia menyentuh perasaan saya, dan bila saya dengar hujah-hujah ini. Kita bayangkan di dunia ini, walaupun dilakarkan sejarah Pinochet (Augusto Pinochet) dan kekejaman beliau, dan kemudian dari zaman Patrice Lumumba, Ngo Dinh Diem dan tapi tidak terjangkau pada hemat saya dalam dunia sekarang boleh berlaku lagi kekejaman seperti ini. Bayangkan seorang kepala negara boleh secara paksa dipindahkan, dan dalam kes terkini dibunuh dengan kejam. Ini bukan lagi dunia yang ada tamadun.
- Kita boleh berbeza pendapat tentunya, kita boleh menyerang dari sudut idea dan ideologi sepertimana ketika hangat perang dingin dahulu, tapi tidak terfikir boleh kita guna kekuatan ketenteraan, dengan targeted precision killing, terutama tokoh-tokoh negara dan juga anak-anak kecil, sekolah tanpa menimbulkan keresahan dikalangan sebahagian masyarakat mereka.
- Sebab itu dalam beberapa pertemuan saya dengan pimpinan Amerika dan juga di Eropah, saya kurang senang mereka beri kuliah tentang hak asasi dan demokrasi, kerana tidak boleh kita upaya menelan lagi hujah-hujah begitu. Dan terkini sepertimana kita sebut apa yang berlaku di Iran.
- Apa yang dibangkitkan juga oleh beberapa rakan-rakan kita, termasuk Pulai dan Indera Mahkota, Sekijang sebentar tadi, Ipoh Timur, tentang forced regime change. Ini juga dari segi keangkuhan kuasa, merasakan satu negara boleh menetapkan siapa yang harus dipilih, siapa yang harus ditolak.
- Kita yang mengikuti perkembangan sejarah tahu kisah Mossaddeqh, seorang pejuang kebangsaan yang sangat dihormati itu dijatuhkan untuk mengangkat rejim Shah yang kemudian ternyata di antara yang paling korup dalam sejarah Iran. Tetapi kita masih anggap ini satu perkembangan sejarah, tak mungkin berulang. Bukan sekadar berulang, Tan Sri Yang di-Pertua, dia berulang dengan tahap yang lebih ganas, kejam lagi.
- Dan sebab itu, sekali lagi saya hargai suara rakan-rakan yang tentunya berani. Kerana kalau kita lihat perkembangan beberapa hari ini, dalam peta politik dunia, tidak banyak parlimen, tidak banyak pimpinan, tidak banyak ahli-ahli parlimen, baik Kerajaan atau pembangkang yang sanggup menyuarakan pandangan tegas sebegini dan tahu risiko yang mungkin berlaku.
SOALAN AHLI PARLIMEN KAPAR (YB DR. HAJAH HALIMAH ALI)
Yang Amat Berhormat Tambun, boleh saya celah sikit?
Kita lihat sekarang ini, di antara perkara yang dasar, yang telah menggoncangkan dunia ialah tindakan Zionis Israel dengan Amerika Syarikat menyerang Iran. Dan kita diberitahu baru-baru ini, baru dikeluarkan proof daripada pelbagai pihak bahawa WTC itu bukan diserang oleh yang dikatakan terrorist Islam, tapi sebenarnya adalah perancangan WTC itu bukan diserang oleh orang luar, oleh Islamic Terrorist yang dikatakan itu, tetapi adalah perancangan sendiri. Perancangan sendiri oleh pihak Zionis.
Apa komen daripada Yang Amat Berhormat kerana itu adalah penipuan berdekad-dekad sehingga semua orang seolah-olah menerima penipuan itu, dan mungkin ini akan dijadikan cover up kepada alasan menyerang Iran.
- Terima kasih. Tentunya ia harus buka ruang untuk kita terus teliti walaupun sehingga kini belum ada suatu bukti yang jelas untuk mempertahankan mana-mana hujah. Jadi, saya ingat ulas setakat itu cukup.
- Tapi yang saya nak bangkitkan tadi ialah tentang apa yang disuarakan oleh beberapa rakan supaya kita faham apa yang kita suarakan hari ini bukan suara biasa. Kita suarakan pandangan yang berbeda daripada suara pimpinan negara-negara di dunia, dan kita sedar bahawa bila kita memberanikan diri, menyatakan hak pertahankan kebenaran dan keadilan, kita juga mungkin mengundang sedikit sebanyak masalah, selain daripada masalah ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan juga peredaran dan pengangkutan minyak dan sebagainya.
- Sebab itu, saya terkesan dan hargai kerana kalau suara itu hanya suara terpencil, ia tentunya lebih mempersulitkan. Tetapi nampaknya suara ini sudah merupakan suara rakyat Malaysia. Dan apapun kita hadapi bersama.
- Ada yang kaitkan umpamanya dengan kenyataan bahawa siapa sahaja yang dianggap ancaman akan menerima dan sudah terbukti. Bukan puluhan, bahkan lebih daripada puluhan negara yang disebut juga oleh YB Indera Mahkota. Tapi diulas lebih teliti oleh YB Kota Bharu sebentar tadi.
- Saya tentunya meneliti dan bila dikaitkan dengan ancaman-ancaman terbaru yang masih dalam siasatan, tetapi kita berbeza pendapat di sini, bertempur, berperang dalam pilihan raya, di sidang, tetapi tidak harus mengizinkan umpamanya untuk digunakan umpamanya negara asing atau syarikat asing untuk sabotaj. Dan ini sebab itu, saya hargai pendirian rakan-rakan. Tapi jangan kita mengenafikan kemungkinan ini berlaku atau terus berlaku.
- Saudara Yang Berhormat Kota Bharu bangkitkan dan saya hanya beri jaminan, kita akan tentu waspada. Kewaspadaan itu perlu. Kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar dalam pemikiran kita. Jadi sebab itu, soal kedaulatan negara, maruah rakyat itu bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya.
- Maka saya ingin bagi jaminan kepada rakan-rakan termasuk Kota Bharu, dalam kes yang dikaitkan itu, tentu ia memerlukan siasatan yang sangat rapi kerana angka-angka, data-data menunjukkan ke arah itu dan sangat membimbangkan. Dalam negara kita, pada peringkat awal Merdeka memang ada ancaman Komunis oleh Parti Komunis Malaya yang juga menerima bantuan sisipan daripada luar yang dibantah oleh rakyat sehingga menewaskan mereka. Oleh jangan ada kemungkinan-kemungkinan begitu berlaku yang akan mengancam keselamatan negara kita.
SOALAN AHLI PARLIMEN SIK (YB TUAN AHMAD TARMIZI BIN SULAIMAN)
YAB Perdana Menteri, saya tertarik berkaitan dengan bagaimana kita nak mengukuhkan hubungan baik dengan Iran yang sekarang ini menjadi mangsa hagemony ini. Pada 10 Februari lalu, beberapa ahli dewan kita di sini dijemput oleh Kedutaan Iran di Kuala Lumpur menyambut 47 tahun revolusi Islam Iran termasuk Yang Berhormat Kota Raja, Yang Berhormat Kuala Selangor, saya juga hadir dalam dalam majlis ini. Jadi adakah yang memaksudkan bahawa kita nak zahirkan lagi sokongan kita selain membuat kesenjataan media dan sebagainya, kita berkunjung, bertemu dengan Kedutaan Iran di Kuala Lumpur memberikan sokongan, solidariti kepada mereka bahawa kita bersama dengan rakyat mereka di sana. Terima kasih.
SOALAN AHLI PARLIMEN KUBANG KERIAN (YB DATO’ SRI TUAN IBHARIM BIN TUAN MAN)
Sebentar. Saya nak dapat penjelasan. Pada Mac 2024, negara kita dikejutkan dengan insiden tangkapan ejen Mossad yang bertugas di Malaysia dan sehubungan dengan itu, beberapa tangkapan telahpun dia buat, saya ingin dapat penjelasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sejauh mana ancaman ejen asing ni yang berkeliaran dalam negara kita, sebagaimana beberapa buah negara kita tahu, banyak agen-agen asing, khususnya agen bagi pihak Israel dalam negara kita. Terima kasih.
- Hubungan dengan Iran itu kita masih ada hubungannya, baik.
Dua kali saya hubungi Presiden Republik Islam Iran.
Sekali pertemuan dengan dia tatkala kita berjumpa di Beijing dan kita bagi pengakuan untuk terus ada hubungan walaupun terbatas kadang-kadang sukar kerana peraturan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga Tetapi kita malah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan termasuk kemudahan-kemudahan pendidikan dan juga perniagaan dan perdagangan.
- Jadi tentang memberikan mesej kepada Duta Iran memang ada wakil yang sudah sampaikan. Tetapi saya ingat kenyataan Parlimen ini yang mewakili semua pihak itu tentunya lebih kukuh, lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan, dan tentunya ini juga akan mendapat liputan menyeluruh di negara Iran kerana ini satu-satu negara yang memulakan pendirian yang tegas dan berani.
- Mengenai soalan Kubang Kerian tentang Ejen Mossad memang disahkan ada yang sudah ditangkap dan ada yang sudah didakwa. Dan ada juga dikaitkan dengan beberapa orang lain termasuk pasangan lelaki dan wanita Islam yang menjadi tali barut kepada Ejen Mossad ini. Dan maknanya, cukup bukti bahawa kita harus pantau dari dekat, terutama bila suara rakyat dan kita jauh lebih lantang menentang keganasan rejim Israel. Mulanya kita bicara banyak terkait Gaza dan Palestin dan sekarang ke Iran. Tapi juga saya panjangkan isu ini kerana isu ini berlarutan kerana ada bukti yang terkini yang menunjukkan bahawa ada usaha dari luar yang bekerjasama dengan kelompok di dalam untuk menggunakan dana dan pengaruh untuk menjejaskan kepentingan Kerajaan dan juga negara Malaysia.
SOALAN AHLI PARLIMEN BELURAN (YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE)
Prabowo telah keluarkan statement untuk menawarkan diri menjadi orang tengah dalam peperangan yang sedang berlaku ini. Adakah Kerajaan Malaysia akan membuat tawaran menjadi orang tengah untuk menyelesaikan, at least to escalate apa yang sedang berlaku di Iran sekarang ini.
Keduanya Tan Sri Speaker, apa pun kehendak kita untuk melihat peperangan ini akan diberhentikan secepatnya, tetapi jika keadaan itu tidak tercapai ia akan memberi impak kepada seluruh dunia termasuk Malaysia. Apa langkah-langkah awalan yang sekarang ni diambil oleh Malaysia melihat tentang implikasi ekonomi, implikasi rantaian makanan dan sebagainya yang boleh difikir sekarang ini, supaya kesannya terhadap negara ini dapat diminimakan. Apa perancangan Kerajaan jika perang ini berlaku berterusan dalam tempoh yang agak lama. Terima kasih.
SOALAN AHLI PARLIMEN SEMPORNA (YB DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE BIN APDAL)
Terima kasih Tan Sri Speaker, dengan izin Yang Amat Berhormat. Terima kasih banyak atas pandangan dan ketegasan, pendirian kita terhadap perkara ini. Apa yang penting bagi pandangan saya ialah mengatasi masalah ini kerana kita sedar dan tahu banyak suara-suara negara-negara yang ada, tetapi negara-negara ini mengiktiraf seakan-akan negara kecil yang ada. Tapi saya tidak nampak peranan yang dimainkan oleh negara-negara besar, khususnya untuk mengatasi masalah ini. Dengan tujuan bukan kita nak escalate supaya they will be a Third War, tetapi saya mendapati bahawa contohnya Russia, contohnya China sebagai sebuah negara yang security council dan United Nations kalau atas rundingan Yang Amat Berhormat boleh bawa untuk mengatasi masalah ini, suara mereka ini kerana ini Tan Sri Speaker its about hegemony, siapa yang superpower di peringkat dunia ini. Ada hadis yang menyatakan tanda-tanda kiamat bila mana manusia bergaduh berperang oleh kerana kekayaan di bawah bumi bukan hanya emas bukan hanya minyak akan berlaku, sungainya kering akan berlaku tapi bukan kita nak sebut tentang kiamat, tidak. Bagaimana atasi masalah ini tidak ada pembabitan negara-negara yang besar, rundingan di antara China, Russia dan negara-negara lain. Mungkin kalau kita dapat gabungkan suara yang kecil bagi kita, mungkin boleh dilihat oleh Amerika Syarikat tidak begitu berkesan. Saya bimbang contohnya kerana mereka juga terbabit yang saya sebutkan tadi antara China dan Taiwan itu akan berlaku kalau tidak urus dengan baik, tapi bagaimana negara-negara ini perlu memainkan peranan tidak akan berlarutan, pembinasaan manusia yang tidak berdosa ini, kalau China ataupun Russia yang boleh bercakap tapi kalau ada gabungan di antara perkara-perkara ini negara-negara yang ada kuasa besar ini saya yakin sedikit sebanyak meredakan atau menghentikan gejala ini berleluasa di masa akan datang.
SOALAN AHLI PARLIMEN TUMPAT (YB DATO’ HAJAH MUMTAZ BINTI MD NAWI)
Dalam hal ini kita melihat kepada isu keselamatan rakyat kita berada di negara-negara yang mengalami krisis ini. Bilakah ataupun adakah Kerajaan akan mengadakan evakuasi segera kepada mereka untuk dibawa balik ke Malaysia? Kerana kita kira dalam setengah negara itu, 100 kali serang sehari, walaupun sekarang ini tumpu kepada pengkalan tentera. Tapi kita bimbang soal keselamatan rakyat kita, itu yang pertama.
Yang kedua, adakah Malaysia akan menjadi peneraju untuk memulakan tindakan secara kualisi susun di peringkat ASEAN dan juga OIC dalam isu membabitkan Iran ini India di peringkat antarabangsa? Terima kasih.
- Terima Kasih, beberapa ahli yang berhormat, sebelum ini pun menanyakan tentang peranan kita untuk bantu dalam bentuk rudingan. Itu tentunya saya kena runding dengan Menteri Luar, dengan kekuatan Kementerian Luar, tapi kita tahu keterbatasan kita kuat. Terutama bila melibatkan Israel dengan Amerika Syarikat. Yang dibangkitkan juga tadi Beluran, tentang inisiatif atau ikhtiar rakan kita Presiden Indonesia, itu tentu kita serahkan. Tetapi Malaysia sikap kita agak lebih tegas kita tidak iktiraf Israel dan Israel tidak menunjukkan sedikit pun tanda kesopanan, hormat, kemanusiaan dan tatasusila.
- Oleh itu, pendirian kita dan saya hargai dari dulu pemimpin kita, sejak zaman pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Hajj, tidak mengiktiraf Israel dan mungkin ada yang mengatakan kalau ada perubahan tapi bukan ada perubahan, perubahan ke arah lebih buruk itu ada.
- Oleh demikian, sukar kita mainkan peranan selain daripada menjaga keharmonian, hubungan baik kita dengan negara-negara Arab, Iran dan negara-negara Islam selain ASEAN. Jadi rundingan itu terbatas yang Semporna menyatakan, tentunya kita akan hubungi terus Rusia, China kerana hubungan diplomatik kita baik dengan dua-dua negara itu. Dan Menteri Luar tentu akan boleh terus menghubungi rakan-rakan sejawat mereka meminta supaya mereka terus memberikan dukungan menghentikan serangan ganas dan zalim ke atas Iran.
- Setakat ini kenyataan-kenyataan telah dikeluarkan oleh kedua-dua negara, Rusia dan negara China. Kita akan membantu walaupun saya dengan tawaduk menyatakan ada keterbatasan kita. Pertama kerana kita tidak mahu ada hubungan apapun dengan Israel. Keduanya kita tahu keupayaan kita mungkin tidak terjangkau ke peringkat itu. Tetapi apa juga cara lain, sama ada melalui esok ASEAN ataupun negara-negara Islam, OIC dan juga hubungan baik kita dengan negara-negara Arab, apa sahaja yang perlu kita lakukan kita sentiasa akan berikan kerjasama.
- Tumpat menanyakan tentang keselamatan rakyat sepertimana yang saya sebut tadi memang di pantau ahli-ahli kedutaan kita bertugas sepenuhmasa dan mencari jalan bagi menyelamatkan mereka. Pertama yang mahu pulang itu akan urusan penerbangan walaupun masih belum dapat laluan lagi kerana kawasan itu tidak dianggap kawasan selamat. Ini zon perang. Yang boleh beberapa penerbangan dari Arab Saudi itu pun melalui Turkiye dan melalui Asia dan kembali ke sini dengan kos yang jauh lebih tinggi, tetapi keputusan kita ialah mencari jalan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang walaupun penerbangan di Teluk itu masih terhalang. Dan saya tidak boleh beri jawapan lebih pada itu sehingga keadaan lebih reda.
- Tapi mereka dipantau, sebahagiannya itu semua menyerbu duduk di kedutaan agak terbatas, ada beberapa kedutaan itu agak sesak kerana mereka menerima anak-anak Malaysia yang merasakan perlu perlindungan di kedutaan.
- Sekali lagi, Tumpat terima kasih. Tapi untuk ASEAN dan sebenarnya saya lihat ada beberapa negara yang buat mengeluarkan kenyataan yang agak positif, maknanya minta dihentikan serangan, tetapi Malaysia berpendirian agak lebih tegas dalam hal ini.
