TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI PARLIME KELIMA BELAS SOALAN DUA

30 June 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DARIPADA

:

DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM

[ARAU]

 

TARIKH

:

30 JUN 2026 (SELASA)

 

SOALAN

Arau minta PERDANA MENTERI menyatakan sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek Kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang PRN Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

 

JAWAPAN

Terima kasih Arau.

  1. Keputusan kita tetap, iaitu sebaik tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan, tapi tidak boleh ada penggunaan ataupun pengumuman jaminan projek baru ataupun dasar baru bagi negeri tersebut. Dan ini adalah peraturan yang saya semak dengan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan disahkan oleh SPR.
  2. Jadi kalau ini terpakai bagi projek-projek baru. Ada masalah-masalah dibangkitkan kerana projek diteruskan. Itu kalau ikut peraturan memang dibolehkan penerusan projek yang sedia ada. Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baru untuk masa kempen, sama ada di peringkat Bandaraya atau Kerajaan Negeri atau juga Kerajaan Persekutuan.

 

[SOALAN 2 TAMBAHAN 1]

Terima kasih di atas ketegasan yang luar biasa. Cuma tadi, soalan tadi itu saya nak tanya kenapa peruntukan ahli parlimen pembangkang tak dibagi, sebab berdasarkan keadilan, itu je.

Okey. Ada dua soalan Yang Berhormat,  benda ini kenyataan, ya. Yang pertama, apakah wajar dari segi etika, esok pilihan raya, esok penamaan calon, hari ini dari segi etika, bukan kesalahan lagi. Contohnya ialah Yang Amat Berhormat sendiri telah mengumumkan peruntukan pada 24hb Jun di Johor. Kita penamaan calon 27hb Jun. Dari segi etika ya kalau Yang amat Berhormat kata dari segi etika tak apa, okeylah. Jadi nak tanya dari segi etika, wajarkah dekat-dekat itu? Macam dekat-dekat benda itu, tiba-tiba kita pergi umum. Jadi makna kata memang tak masuk eddah penambahan calon.

Yang keduanya, yang ini kesalahan, iaitu pada 27hb Jun, Menteri KPKT umum RM2.5 juta baik pulih bumbung flat Tun Aminah, Skudai. 27hb Jun adalah hari penamaan calon. Ini Menteri KPKT yang seringkali mengumumkan projek sebelum penamaan calon.

Dan akhir sekali Yang Amat Berhormat, ini apa yang berlaku di Negeri Sembilan. Ini kepada Menteri Besar MADANI ini, 4hb Jun dia isytiharkan peruntukan. 5hb Jun dibubar. 4hb Jun dia isytiharkan peruntukan RM3.06 juta, seperti yang telah didedahkan oleh Ketua Pemuda Negeri Sembilan, iaitu RM180,000 bagi 17 DUN PH. 14 DUN BN, UMNO tak dapat peruntukan.

Jadi, saya nak tanya dari segi kewajaran berbuat demikian. Esok dia nak bubar, hari ini dia isytihar peruntukan. Dia sempat isytihar. Dari segi kesalahan, saya ingat kita tak payah kira kesalahan, nak report kat SPRM pun tak payah. Kita serah kepada rakyat untuk pangkah apakah benda ini wajar dibuat. Jadi kita nak cari keadilan, maka kita pangkah kepada yang boleh menegakkan keadilan. Bukan Parti KEADILAN. Yang boleh menegakkan keadilan, contohnya macam kamilah.

Minta Yang Amat Berhormat bagi pandangan sebab Yang Berhormat sentiasa tegas. Kita akan umumkan perkara ini untuk diambil tindakan. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Terima kasih Arau. Arau, nada ini sangat tenang. Terima kasih.

  1. Yang bangkitkan secara spesifik kesalahan pilihan raya, saya dah jelaskan. Tidak boleh dan kita juga bentangkan dan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengingatkan kalau-kalau kebimbangan, keterlanjuran dan juga pada Timbalan-timbalan Menteri dan ini juga terpakai, saya dah sebut tadi, Menteri-menteri Besar dan dalam masa kempen.
  2. Soal ini dibangkitkan, soal etika. Etika ini ikut tafsiran siapa? Saya, kalau umum sebelum penamaan calon, itu peraturan mengizinkan. Jadi, tidak melanggar etika. Yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, hina, mencerca, menipu itu etika lebih besar. Itu yang kita kena elak. Jadi kalau berbicara etika, saya sangat setuju dengan Arau. Kalau kita bangkitkan balik soal akhlak, soal etika dalam kempen ini sangat baik. Ini maknanya jangan terlanjur daripada itu, itu peringatan kepada semua.
  3. Soalan umpamanya yang dikhususkan kepada KPKT. Saya semak, dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut dari segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan. Tidak boleh projek baru. Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan dari peraturan pilihan raya. Saya semak dari segi undang-undang dan juga pada SPR tentang Akta Kesalahan Pilihan Raya. Jadi yang dilakukan itu.
  4. Walaupun saya setuju dia jaga supaya jangan ada salah tafsiran kerana perlu kita patuhi. Undang-undang ini kita lulus di sini, jadi kita cuba patuhi. Jadi yang itu saya setuju. Cuma untuk melihat sama ada, ada kesalahan dari segi undang-undang, itu kalau tidak ada dalam peruntukan sama ada dalam belanjawan yang diluluskan ataupun yang telah dalam kerangka Kementerian masing-masing, itu memang kesalahan.
  5. Tapi kalau sekadar mengumumkan berikutnya, adalah bukan kesalahan. Walaupun saya tidak lakukan itu, perkara bukan dari saya, cuma nak elak dari supaya Arau jangan bangkitkan. Jadi saya, dari segi saya, saya cuba elak kerana menimbulkan salah faham. Tapi kalau mengatakan kita telah luluskan, itu boleh.
  6. Sepertimana dibangkitkan soal diesel, mengapa diumumkan sekarang? Kalau saudara baca, diesel kita umumkan akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. Patutnya sebulan sebelum ini, tapi kita buat dua, tiga kali malam, praktikal di stesen-stesen minyak, takut ada pelanggaran. Jadi kita itu memang diumumkan bahawa penyasaran subsidi mula dengan RON95 diikuti dengan diesel. Itu bagi saya tidak ada percanggahan yang diumumkan untuk seluruh negara. Terima kasih Arau.

 

[SOALAN 2 TAMBAHAN 2]

TAMPIN (YB DATO’ MOHD ISAM BIN MOHD ISA)

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Sebelum saya pergi ke soalan, saya mengalu-alukan kehadiran penggerak dan kerabat MADANI Parlimen Jeli seramai 45 orang. NGO ini di bawah seliaan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli. Selamat datang ke Dewan Rakyat.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selain pengumuman projek, rakyat turut memberi perhatian terhadap penggunaan aset dan kemudahan Kerajaan semasa tempoh berkempen bagi memastikan padang permainan yang sama rata, sama adil kepada semua pihak.

Soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, adakah Kerajaan bercadang untuk mengukukuhkan garis panduan mengenai penggunaan aset Kerajaan seperti kenderaan, dewan, kemudahan awam serta kakitangan Kerajaan sepanjang tempoh Pilihan Raya yang berlangsung? Dan agensi manakah yang diberikan mandat untuk memantau pematuhan garis panduan larangan tersebut serta apakah tindakan yang dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran oleh mana-mana kementerian, agensi Kerajaan ataupun pemimpin Kerajaan?

Berbalik kepada Arau tadi, peruntukan kepada ADUN-ADUN PH 4 Jun, manakala Adun BN tidak disalurkan. Kami nak berkata di sini, bahawa kita masih dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini. Jadi, apakah tindakan tersebut mencerminkan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti serta dibolehkan?

Insya-Allah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan, Kerajaan Perpaduan di bawah Yang Amat Berhormat Tambun akan kekal sehingga tamat tempoh Pilihan Raya pada akan datang untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih.

 

 

JAWAPAN

Terima kasih Tampin.

  1. Soal panduan ini memang terpakai ikut seperti yang saya sebut tadi Akta Kesalahan Pilihan Raya, ini terpakai. Penggunaan aset Kerajaan itu kita dah putuskan di sini. Umpamanya Perdana Menteri kalau pergi ke kawasan masa pilihan raya. Apakah dia pakai kenderaan sendiri atau kenderaan rasmi? Apakah digunakan pasukan keselamatan pengawal Kerajaan atau tidak itu telah diputuskan dalam mesyuarat oleh Kerajaan sebelum ini kerana tidak difikirkan wajar untuk seorang Perdana Menteri, setiap kira siapa pun untuk pergi tanpa kawalan ataupun kenderaan rasmi untuk keselamatan.
  2. Ini diputuskan sebelum saya lagi, daripada awal dan disahkan lagi pada tahun sementara ada rundingan semasa Bera menjadi Perdana Menteri. Jadi saya ingat perkara itu jelas. Sama juga Menteri Besar, tetapi dia mesti ingat dia itu adalah interim. Dia bukan, maknanya Dan caretaker itu tidak boleh buat pengumuman dasar, tidak boleh buat keputusan-keputusan dasar, terutama yang ada implikasi kewangan.
  3. Kalau ada pelanggaran saya dah dengar sendiri daripada SPR tindakan tetap diambil. Jadi peringatan itu terpakai.
  4. Soal Persekutuan, Peringkat Persekutuan, selagi dia seorang Ahli Parlimen itu mendukung hasrat Kerajaan Perpaduan, maka garis panduannya sama kalau dia memilih untuk tidak, itu soal lain.
  5. Soal keputusan Kerajaan Negeri itu terpakai di peringkat negeri masing-masing sepertimana Kerajaan Johor tidak meluluskan perutukan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan, Kerajaan Negeri Sembilan mengambil sikap yang sama, itu keputusan Kerajaan Negeri. Saya tidak bantah pun keputusan Kerajaan negeri Johor walaupun cara rasminya parti induk mereka masih dalam Kerajaan Perpaduan dan terima kasih kerana Kerajaan Perpaduan diminta kekal sehingga akhir penggal.

 

[SOALAN 2 TAMBAHAN 3]

LARUT (YB DATO’ SERI HAMZAH BIN ZAINUDIN)

 

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.

Saya meneliti atas jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, terutamanya tentang pemberian atau majlis-majlis yang akan dilakukan dalam musim pilihan raya. Soalan saya adalah kerana Felda sebagai contoh, adalah merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diuruskan oleh Yang Amat Berhormat Tambun sendiri.

Peneroka Felda menunggu-nunggu akan sambutan Hari Felda di Kluang, sebagai contoh, Peneroka Felda di Johor. Kemudian, tiba-tiba, dalam 2-3 hari sebelum majlis dianjurkan, mendapat surat mengatakan harus dibatalkan. Pada saya, peneroka ini, mereka menunggu untuk mendapat sesuatu yang berharga. Contohnya, geran tanah. Apalah sebab benda-benda yang politik, isu politik itu, menyebabkan terbatalnya majlis itu? Ini soalan saya. Apakah benar? Kerana ini telah pun dimainkan dalam social media. Menunjukkan bahawa Jabatan Perdana Menteri ini ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Kedua-duanya sepatutnya boleh duduk sepakat dan benarkan Felda Kluang meneruskan sambutan peneroka Felda di Kluang.

 

Ini soalan saya, minta Yang Amat Berhormat Tambun jelaskan apa isu yang sebenarnya. Terima kasih.

 

JAWAPAN

  1. Terima kasih. Dia sekurang-kurangnya berakhir dengan Larut dengan soalan. Bukan dengan tuduhan. Awal-awal kata dibatalkan. Yang batalkan siapa? Di mana dibatalkan? Ini bukan semasa Larut dulu, dia kalau masa pilihan kempen pilihan raya ganas sekali. Saya tidak memberikan arahan. Arahannya, tidak boleh ada acara menggunakan jentera Kerajaan untuk semasa kempen pilihan raya. Itu ajaran bagi kita semua.

 

  1. Jadi, dalam soal hari peneroka, tidak dilarang. Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah itu hak dia. Walaupun dia tahu tentang peraturan pilihan raya. Bukan larangan. Tapi untuk gunakan jentera Felda untuk berkempen, tidak boleh. Itu dia. Jadi, tidak ada tohmahan itu. Yang berlaku dan tidak dibangkitkan oleh TPM kepada saya, yang bangkitnya Larut bagi pihak siapa saya tidak tahu.

 

  1. Jadi yang itu yang dikaitkan di Kluang ya. Peneroka Felda ada hubungan, saya tidak, dia tahu tidak ada, malah semasa saya kita beri bayar ganti RM1 bilion satu bulan kepada peneroka Felda untuk menyelamatkan mereka, kerenah yang dibuat sebelum ini. Felda yang untungnya besar, semasa Raja Alias memegang, dimusnahkan kerana pengurusan yang merosakkan, dan sekarang kita pulihkan, kita yang menampung.

 

  1. Dan saya beri perhatian, banyak hal-hal yang baru kita beri, umpamanya kawasan Felda, Dialysis Center setiap kawasan, semua jentera Kerajaan federal masuk kawasan Felda untuk bantu sekolah dan sebagainya, yang sebelumnya tidak lakukan kerana kawasan Felda itu tertutup, terkepung dari projek-projek pembangunan desa keseluruhannya.

 

  1. Jadi saya dengan TPM I mengambil keputusan untuk memberikan kemudahan yang jauh lebih baik dibandingkan dengan sebelumnya. Jadi itu yang saya jelaskan supaya tidak ada kekeliruan dalam hal itu.

 

  1. Ada yang mengatakan bahawa program itu dibatalkan. Itu program keputusan negeri. Cuma saya tegaskan di sini, untuk guna semasa kempen, menggunakan jentera persekutuan kempen untuk negeri, sewajarnya tidak diizinkan. Tetapi, tidak ada halangan sama sekali untuk seorang Menteri Besar masuk ke kawasan Felda, buat program dia sendiri. Dia tak ada. Terima kasih.

 

 

 

 

 

 

 

Share: