TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA SHEIKH TAHIR JALALUDDIN DAN PELUNCURAN MAJLIS NUQABA’ PERINGKAT KEBANGSAAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA SHEIKH TAHIR JALALUDDIN DAN PELUNCURAN MAJLIS NUQABA’ PERINGKAT KEBANGSAAN
25 JULAI 2026 | SABTU | 11.15 PAGI
SMKA SHEIKH TAHIR JALALUDDIN
SEBERANG PRAI TENGAH
PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdu lillahil-ladhi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba wa lam yaj’al lahu ‘iwaja,
Wa usolli wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan;
Timbalan Ketua Menteri;
Rakan-rakan yang saya muliakan;
Tuan pengetua, guru-guru dan anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Kita menempa sejarah hari ini dalam dua (2) aspek. Pertama kita meraikan tokoh pembaharu, gerakan pembaharuan, yang disebut reformasi Islah, Syeikh Tahir Jalaluddin yang masyhur sebagai penggerak idea, kefahaman Islam yang meneroka zaman.
- Bukan membawa ajaran Islam yang baru, tetapi membawa ajaran Islam menempuh zaman dan cabaran baru. Dan dia oleh kerana tokoh falak, dia al-falaki, dan dulu al-Azhar, al-azhari.
- Jadi, kita tentunya menyingkap lembaran sejarah. Dan saya ucap terima kasih juga atas kehadiran keluarga beliau bersama-sama meraikan majlis ini.
- Saudara, kata seorang pemikir Perancis, seorang tokoh asalnya katolik, kemudian komunis, dan akhirnya menerima Islam dan menjadi tokoh pemikir Islam Perancis, Roger Garaudy. Katanya yang memang mengesankan, saya sempat berjumpa dia tatkala saya masih di UNESCO, sekarang ini Fadhlina jadi Ahli Lembaga Pengarah UNESCO di Paris.
- Jumpa dia, dia mengingatkan kita bahawa menyingkap lembaran sejarah dari sudut pemikiran dan pengalaman tokoh-tokoh silam itu penting. Tapi kata dia dalam ungkapan yang sangat menarik. Katanya, “bukan sekadar mengingatkan dan mengenang, bukan untuk membenamkan sejarah itu, tetapi untuk menyemarakkan cahaya, api, ilmu, pengalaman dan pengajarannya.” Dalam ungkapan Inggeris dia kata, “…not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame.” – bukan untuk membenamkan abu yang sudah meninggalkan kita, tetapi untuk menyemarakkan, memberi pencerahan”.
- Dan ini kalau kita kenang dan berlaku adil kepada tokoh besar zaman silam, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki al-Azhari, anak-anak harus ingat bahawa kita harus jujur kepada sejarah. Sejarah ini juga melahirkan pejuang, pemikir, penggerak dan pembaharu.
- Bekerja dalam suasana yang sukar. Sebab itu, adakalanya tatkala di Singapura, karyanya diharamkan oleh penjajah Inggeris kerana idea itu dianggap mencabar kekuatan dan pengaruh penjajah. Jadi, kita sedar perjuangan dalam keadaan yang sangat sukar, pahit getirnya, yang tidak terfikir, terjangkau kita dalam pengalaman kita, kerana kita tidak menyaksikan kesukaran itu.
- Jadi, bayangkan seorang dalam suasana kefahaman agama yang sangat tipis. Bukan tidak ada ulama, tapi kefahaman sangat tipis, yang terus-menerus. Saya masih ingat, semasa saya di Universiti Malaya, masa itu baru berkembang kesedaran Islam dan kebangkitan Islam. Dalam ucapan-ucapan saya mula “Assalamualaikum Warahmatullah”, itu dianggap sedikit janggal, orang tidak mulakan sangat, terutama di kalangan pendidikan barat di universiti, dia tak mahu salam ini aneh sikit. Apatah lagi kalau tambah lagi, “Alhamdulillahi rabbil-‘alamin”, dia orang kata “Aamiin”. Jadi, dia jadi satu perkara yang aneh. Tidak ada yang menentang, tetapi sistem pendidikan itu tidak memberi kefahaman dan kecintaan kepada ilmu. Kerana pada zaman Sheikh Tahir Jalaluddin al-Falaki al-Azhari itu, menghadapi satu suasana penjajahan yang menakluki negara atau negeri, pemikiran (fikrahnya), seluruh peribadiannya (sahsiahnya), sehingga dia menjadi terjajah.
- Syeikh Muhammad al-Ghazali, ustaz-ustaz lebih arif daripada saya, seorang pemikir yang juga al-Azhar, mahaguru besar, guru kepada Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, dia kata ini zaman bukan sahaja zaman penjajahan, tapi zaman pasca penjajahan, tapi masih lagi “Isti’mal ruhi wal-fikri.” Maknanya “imperialism of the soul and the mind.” Penjajahan yang menelan, menakluki pemikiran dan jiwa.
- Sebab itu bila kesedaran Islam itu berkembang, kata Dr. Syed Muhammad Naqib al-Attas, dia itu harus mampu merubah rupa, maknanya bentuk, pakaian, harapan, luaran, tapi lebih penting dan jiwa. Jiwa yang merdeka, jiwa yang segar, jiwa yang yakin dengan sahsiah kita, keperibadian kita, sejarah kita dan kekuatan kita, kerana jiwa itu sudah tergadai. Ini lingkungan zaman tokoh ulung kita, yang kita bahaskan, Sheikh Tahir Jalaluddin. Bukan mudah. Mudah dibicara dan dikaji, sukar untuk di telaah, dihadam sebagai suatu roh perjuangan.
- Ingat? Kerana masa penjajahan itu bukan penjajahan fizikal, bukan negeri, “Isti’mal ruhi wal-fikri.” Jadi kalau nak merdeka, mesti merdeka pemikiran dan jiwa, baru benar erti kemerdekaan. Itu yang pertama. Yang dimaksudkan oleh Sheikh Tahir Jalaluddin ialah dia bawa arus Islam, orang sudah Islam, tapi bagi dia belum cukup kerana roh dan pemikiran itu masih terjajah, dia terpukau dengan barat. Bukan nak salahkan ibu bapa dan nenek moyang kita, kerana itu saja yang dia tahu.
- Bila Perjanjian Pangkor? Anak-anak ingat Perjanjian Pangkor tahun berapa? Hah? 2020? Ya, 1874. Fadhlina pun… haa dia tahu. Baik. Okey, penjajahan itu maknanya kuasa diserahkan kepada Inggeris. Ya. Melainkan yang disebut adat Melayu dan agama Islam. Tapi, agama dalam erti kata terpencil, terpisah. Tapi apa yang berlaku ialah dengan penjajahan itu, seluruh sistem dikuasai sistem politik, sistem petadbiran, pegawai-pegawai, guru, didik dan faham bahawa yang hebat itu bahasa Inggeris sahaja, bahasa Melayu itu dah keterbelakang tidak mampu ikut arus perubahan. Islam itu hanya dalam lingkungan terbatas; di rumah, di masjid. Sistem ekonomi tidak ada dia kata dalam Islam, dalam tradisi Melayu, yang ada hanya Barat. Itu kita dididik.
- Sebab itu, dalam keadaan begini, muncul tokoh-tokoh pembaharu yang yakin dengan Islah. Sepertimana doa Nabi Allah Syuib A.S, “In uridu illal islah mastata’atu.” -sedaya upaya aku bawa perubahan, Islah. Sebab itu, banyak perubahan-perubahan disebut “Jama’at al-Islah”, dalam gerakan-gerakan Islam, dia banyak disebut begitu kerana pembaharuan. Jadi, ini suasana dan lingkungan persekitaran pada ketika itu.
- Jadi, bila kita kenang jangan kita ingat, oh, dia menulis, dia buat falak sikit, dia buat sekolah, atau dia fikir, dia tulis rencana dalam Al-Iman atau Al-Ikhwan, di Singapura dan di Pulau Pinang. Ya, benar itu. Tapi bukan. Tidak jujur kepada sejarah kalau kita bataskan fahaman sekadar itu. Dan dia penggerak dan perubahan masyarakat. Dan yang kuatnya hujah beliau itu kerana dasarnya ilmu, kerana pada masa itu kedangkalan yang belajar agama itu membatasi pemahamannya kerana sistem itu mengongkong, kalau kamu lebih sikit, ditangkap dan ditahan oleh Inggeris.
- Jadi dia apa yang disebut penggagas, penggerak, pembaharu, menekankan kaitan dan relevance Islam. Dan tentunya kalau baca karya sahabat saya, almarhum Prof. Dr. Siddiq Fadzil, dia ada karya menunjukkan bagaimana muncul tokoh-tokoh seperti ini dengan pengaruh Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Muhammad Syaltut di Mesir yang memberi api pembaharuan, yang bermula berpangkal kepada ilmu. Di sini relevannya perbicaraan di sekolah menengah ini, iaitu pangkalnya ilmu.
- Orang bercakap pembaharuan, bercakap perjuangan, nak cakap sistem, tapi dasar ilmu tidak ada. Jadi kau dengar kadang-kadang bercakap soal Islam, tapi akhlak ke mana? Maksudnya Islam dikaitkan sama dengan makhi hamun dan mencerca. Jadi, prinsip akhlaknya tidak ada. Tengok Sheikh Tahir Jalaluddin, prinsip akhlak, bukan dengan cacian, tapi dengan ilmu. Kerana, tanpa ilmu, dengan semangat sahaja, kita lihat dia ada pembenturan. Pembenturan maknanya percanggahan. Di antara apa yang diungkapkan dengan amalnya. Mana mungkin perubahan Islam itu tanpa nilai dan akhlak. Apa dia kestimewaan Islam yang kita bicarakan? Apa dia kestimewaan Negara MADANI yang kita bicarakan?
- Di Kementerian Perdidikan, Fadhlina tahu, KSU, KPP, kita tekankan pembaharuan, betul. Kalau kita tidak ambil STEM sekarang, sudah buat, AI, teknologi maklumat, digital, kita akan ketinggalan. Jadi. Ini sudah jadi penting, dan saya ucap terima kasih sekali lagi, saya hargai dan agak mendengar dengan lega, anak-anak sudah bersikap terbuka, sudah ada di Malaysia. Jadi penguasaan bahasa Urdu tak penting sangat. Walaupun untuk dengar lagu Hindustan, okey. “Mohabbat”, “Zindagi” ha. Itu okey. Tapi untuk di Malaysia, bahasa Melayu nombor satu utama, bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil, kerana kita berdepan, terutama di Pulau Pinang, dengan masyarakat berbagai kaum, berbagai agama. Jadi saya ucap penghargaan, jazakumullahu khairan, kepada semua pendidik yang bawa arus ini.
- Kerana ini yang disebut “Zhuruf Waqi’iyyah”– kenyataan yang kita harus hadapi. Jadi ini pandangan saya katakan Sheikh Tahir Jalaluddin ini relevan, kerana dia bawa dasar ilmu. Nak bawa perubahan mesti dasar ilmu. Mesti ada kefahaman. Nak dakwah, “bil-hikmah wal-ma’izzatil-hasanah wajadilhum billati hiya ahsan.” (Surah An-Nahl). Itu dasar ilmu. Kalau tidak ilmu, mana ada hikmah. Tidak ada ilmu, macam mana nak mujadalah dengan ihsan, dengan hasanah. Ini kita agak janggal. Jadi, bagi guru-guru di sini, ibu bapa, anak-anak, harus ingat ni. Kalau nak buat perubahan, mesti kekuatan ilmu. Dan kekuatan ilmu ini, balik kepada pangkalnya, mesti juga ilmu teknologi baharu. Kalau tidak, kita ketinggalan.
- Saya semasa di Kolej Melayu Kuala Kangsar, masa saya tingkatan enam rendah, saya mudah berdamping baik dengan kawan-kawan di Sekolah Agama Idrisiah kerana saya masa itu mula minat belajar bahasa Arab. Dan dia nak, ada beberapa orang yang nak belajar bahasa Inggeris. Jadi seminggu sekali, dua jam, saya ke sana untuk mengajar bahasa Inggeris dan di samping itu saya belajar bahasa Arab. Bukanlah bahasa Arab pandai, tidak sampai macam tahap saudara-saudara, tapi ya lah, nak makan, minum boleh. Saya ingat masa itu, walaupun bahasa Arab, masa itu bila kita baca, nak tulis, kena guna sabburah. Apa ni? Papan hitam. Daripada tabasyir, itu kapur. Sekarang mana orang belajar tabasyir Mana guna papan hitam. Dia tak guna lagi. Dulu sabburah, tabasyir. Saya selalu gurau bila saya bercakap, saya selalu keliru di antara fatur dan mattar. Fatur, breakfast. Mattar, airport. Jadi saya kata, jom ni time kita ke fatur pukul berapa? Maksud saya ke airport. Jadi, saya perlu bunyi dekat sama. Fatur, mattar. Fatur, mattar. Kita tanya, mana satu mattar dan mana satu fatur? Dapat cerita.\
- Jadi, pada masa itu, kita lihat, nampak mana yang penting, penguasaan ilmu dan juga penguasaan bahasa. Tetapi sekarang lain. Dalam Negara MADANI ini, kita berikan kesempatan ini, ruang ini, sebaik dan sebanyak mungkin. Paling tinggi peruntukan dalam negara kita. Kalau negara-negara lain yang mungkin kerana perang, nombor satu memang pertahanan. Di Malaysia, peruntukan belanjawan negara Kerajaan MADANI yang tertinggi adalah bidang Pendidikan, nombor satu.
- Dalam kegiatan dan memartabatkan Islam, walaupun pelbagai cercaan, saya tidak hirau. Kerana di bawah Kerajaan MADANI, kita tingkatkan peruntukan untuk kegiatan Islam, pendidikan Islam, dakwah, penerbitan dan semua usaha, RM1.1 bilion untuk JAKIM misalnya. Jadi, kerana apa? Tumpuan yang saya beritahu kepada Menteri Agama, dan juga YB Fadhlina, Menteri Pendidikan, dan Ketua Pengarah Pendidikan (KPP), Ketua Setiausaha (KSU) semua, tumpuannya mesti penguasaan ilmu.
- Jadi kalau kita mahu berjaya, ingat ya. Tapi dalam bidang Kementerian Pendidikan, saya selalu sebut maknanya seolah-olah kita “menggapai di langit”: ilmu baharu, teknologi baharu, digitalisation, artificial intelligence, quantum computing. Ini tak termasuk dalam kitab kita dulu. Saya masa belajar sampai universiti, baca dalam usrah baca kitab-kitab bacalah daripada Qaradhawi ke, Kimia Sa’adah Al-Ghazali ke, ataupun karya-karya lain lah. Tidak ada langsung ini, hal ini. Tetapi sekarang, tuntutan lain. Jadi, sebab itu kita kata “menggapai yang di langit” seolah-olah kita menggapai ini di langit imu-ilmu baharu, teknologi baharu yang mencabar. Tetapi, apa silapnya? Banyak negara membangun yang merdeka negara Islam, dia menggapai di langit dia asyik mesti IT mesti AI, mesti quantum computing, tapi asasnya dilupakan.
- Jadi sementara kita “menggapai di langit”, kita tidak “mengakar ke bumi”. Nah, ini yang dalam Negara MADANI, bagaimana harus kita tekankan ilmu supaya kita “menggapai di langit”, tapi kekal mantap, kuat, “mengakar ke bumi.” Faham masyarakat kita, faham asas al-Quran nul Karim dan sunah, akhlak, nilai dan masyarakat setempat. Bicara soal kemajuan dan tidak faham langsung persekitaran tidak faham kemanusiaan, karamah insaniah bicara Islam sedikit, mesti benci kepada orang lain. kerana warna kulit, kerana kaum, kerana agama di mana yang dituntut dalam Islam?
- Jadi, tidak pernah kita berhasil dalam dakwah, kerana yang dibawa itu hanya kebencian kepada yang lain. Takut, sebab itu saya katakan, “menggapai di langit, mengakar ke bumi.” Know your culture your history, your religion and most critically your values, ethics and akhlaq. Ini maknanya gabungan dua-dua prinsip ini yang terangkum dalam sistem pendidikan negara yang kita cuba terokai dan perbaiki. Walaupun dia tidak dirungkai, dicerakin begitu rupa oleh Sheikh Tahir Jalaluddin, tetapi prinsip asas perubahan dia begitu. Idea ini, dia ghairah dan sangat khusyuk untuk bicara soal kefahaman, ilmu, kesedaran, pembacaan, pada tahun-tahun itu, 40-an, 50-an yang sangat mencabar ketika itu.
- Aspek kedua yang kita belajar pada hari ini adalah menterjemahkannya dalam sebuah sekolah yang mengenang nama besar tokoh pembaharu negara Sheikh Tahir Jalaluddin. Biar anak-anak mewarisi ini, melengkapi, memperbaiki dan ini dalam bentuk dunia ilmu dan pendidikan. Keadaan berubah, kita sudah merdeka, tetapi proses Islam itu tetap selalunya mengikut kupasan seorang ulama Sudan yang terkenal, Sheikh Ja’far Sheikh Idris, katanya proses Islam Islamisasi itu adalah tuntutan untuk bawa perubahan dan pembaharuan terus menerus dan diguna rangka Al-Quran Al-Kareem “wa nafsin wa mā sawwāhā fa alhamahā fujūrahā wa taqwāhā qad aflaḥa man zakkāhā wa qad khāba man dassāhā.”
- Itu nanti ustaz-ustaz tolong kupas, saya tidak berani nak pergi kupasannya mendalam, tapi itulah dia kata, dari ayat ini, tentang perubahan ke arah kebaikan, peningkatan, ilmu, pencerahan dan kesedaran, ke tahap ketakwaan, kerana pilihannya adalah kecelakaan dan kerosakan.
- Jadi, anak-anak yang di kasihi sekalian, mari kita manfaatkan majlis ini, majlis ilmu ini bukan sekadar merasmikan satu sekolah baru, dengan yang lebih canggih dan indah, tapi biarlah hasilnya itu juga canggih dan indah. Yang penting bukan Gedung, bukan keindahan luaran, yang penting itu nilai dan akhlak dalaman, termasuk ilmu yang dikuasai. Kerana kadang-kadang orang terpukau, nak masjid yang paling indah, yang cantik. Nak sekolah yang gagah, indah tetapi kadang-kadang kurang penekanannya tentang pengisian ilmu, akhlak anak-anak. Dan sebab itu, moto sekolah bagi saya sangat menarik dan mudah-mudahan kita manfaatkan waktu di sekolah ini dengan disiplin, dengan adab.
- Tidak mudah, kerana kita tahu di Madrasah ke, di Sekolah Agama pun, di Maahad Tahfiz pun, kadang-kadang ada kecelaruan dari keruntuhan akhlak, buli dan sebagainya. Jadi anak-anak bertanggungjawab, bukan sahaja guru, tetapi anak-anak bertanggungjawab. Kita ini harus beri contoh yang terbaik, kerana perubahan itu berdasarkan peribadi dan akhlak terbaik. Bukan dia bicaranya, oh, sekolahnya sekolah agama atau pakaiannya sebagai ustaz atau bicara tentang Islam, kerana ujannya itu adalah wa’amal as-salihan – amal soleh kegiatan dan peribadi kita.
- Sebab itu saya sangat tidak senang, tanya Fadhlina. Kalau dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya dengar ada satu kes buli di sekolah saya sangat tidak senang. Kadang-kadang kita bercakap soal perubahan, pendidikan, akhlak, dan di kalangan anak-anak masih berlaku begitu. Mungkin betul, tidak ramai, Fadhlina diantara orang yang sangat pertahan Kementerian Pendidikan. Oh, dia defend betul-betul. Betul, tetapi kena elak. Dan saya harap guru-guru jangan pandang ringan hal ini, kerana masalah ini berlaku di semua sekolah tanpa kecuali. Dan kalau tidak dihebahkan banyak, kerana Pengetua atau guru-guru cuba melindungi, tidak mahu berita negative. Tetapi, bukankah satu kezaliman kerana yang didera itu tidak terbela.
- Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Saya tidak bermaksud untuk umum akan apa-apa, kerana Fadhlina kata setakat ini cukup. Tapi kalau ada katanya dewan ini panas. Sengaja, tadi sebenarnya tidak begitu panas, tapi sengaja. Pengetua mana Pengetua? Pengetua sekolah? Dia sahaja, dia kata bila PMX masuk panaskan dewan ini, supaya dia tahu masalahnya betul? Dia kata, jadi bila saya masuk mesti ada berpeluh, maknanya fahamlah tidak payah ada permintaan. Nanti saya insya-Allah saya ikhtiar, kita carilah kemudahan. Saya ingat anak-anak didera, PMX pun didera (nada seloroh). Jadi, tidak payah minta, dia kata, kita panaskan kalau mana pintu-pintu kita tutup supaya jangan ada masuk angin. Hei, luar biasa. Hei, kita tutup-tutup supaya jangan ada angin di tempat-tempat dekat pentas, tutup supaya PMX rasa kepanasan itu, dan dia akan bagi jawapan. Okey lah saya terasa dan jawapan akan diberikan insya-Allah.
- Terima kasih sekali lagi Pengetua, guru-guru, Kementerian Pendidikan dan oh, ada di sini, rupanya di sini… kita kaitkan dengan Majlis Nuqaba Kebangsaan dan insya-Allah kita tingkatkan penyediaan modul dalam bidang Nuqaba, supaya melatih anak-anak terutama di SMKA di seluruh negara.
- Jadi dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Tahir Jalaluddin dan meluncurkan Majlis Nuqaba peringkat kebangsaan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
