VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN NOVEMBER 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN NOVEMBER TAHUN 2025
12 NOVEMBER 2025 (RABU) | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SRI ENDON, PUSPANITAPURI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Rakan-rakan Menteri;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, kita dapat bersama sekali lagi dan semalam, seperti saudara tahu, saya telah menyenaraikan beberapa kejayaan kita dalam rangka Ekonomi MADANI di Parlimen:
- Ringgit dengan prestasi terbaik di Asia;
- Pengangguran, kadar pengangguran terendah dalam 10 tahun;
- Pelaburan tertinggi dalam sejarah negara Malaysia Merdeka; dan
- Rating dan sebagainya yang saya percaya saudara-saudara ikuti.
- Tapi ini semua kerana berkat kerjasama semua. Pertama, dengan izin Allah Subhanahu Wa’taala. Kedua, dengan pasukan kita, rakan-rakan Jemaah Menteri, penjawat awam dan seluruh sektor awam dan swasta.
- Tetapi selalu saya merenung semalam setelah Jemaah Menteri ada Mesyuarat Khas mempertimbangkan keputusan penghakiman Kota Kinabalu dan keputusan kita setelah berunding berjam-jam, mendengar pandangan dan usul dari setiap ahli Jemaah Menteri, di antara yang paling ‘deras’ itu Azalina lah, maka kita memutuskan secara konsensus, muafakat tentang apa yang kita putuskan dan soal 40% yang kata ikut Peruntukan Perkara 112C dan 112D dan juga pertimbangan tentang keputusan kita juga, yang itu tidak kita rayu. Tetapi keputusan penghakiman yang kita rayu dan akan saya jelaskan di Parlimen esok secara lebih terperinci.
- Tapi yang saya nak jelaskan begini, jangan kita terlalu selesa dengan kejayaan ini. Kita bersyukur, tapi bersyukur itu harus ada kewaspadaan. Lihat saja perkembangan negara-negara ASEAN, rantau ini dan dunia. Negara yang relatif kecil seperti Malaysia, bila dia meningkat maju tentu menjadi perhatian. Positifnya dia jadi perhatian untuk pelancongan dan pelaburan. Kewaspadaannya kerana apakah kita dapat bertahan dan apakah mungkin bukan dia bertahan dari segi ketahanan nasional domestik tetapi tentang iri hati dan juga permusuhan luar.
- Ikut putaran sejarah, kalau kita dapat menyingkap lembaran sejarah atau menghimbau lebih luas. Tidak ada negara yang dapat bertahan bila mula dirasuk bibit-bibit kealpaan, kecuaian, kehampaan. Itu kita kena ingat. Dan tanggungjawab saya dengan rakan-rakan itu mengingatkan kita semua. Istilah kalau dalam semangat Al-Quran, ayat-ayat awal itu satu peringatan yang sangat relevan, yang pernah saya ungkapkan, sama ada di sini, atau di Perbendaharaan, seperti di dalam “Muzammil” dan “Mudaffir”. Bahawa manusia ini selalunya kalau tidak diasak dengan peringatan, dia akan alpa. Sebab itu disebut, “Qum fa’andhir, wa rabbaka fakabbir, wa thiyaabaka fathahhir.” (Surah Al-Muddaththir, 24). Maknanya bangunlah daripada kealpaan, daripada tidur, daripada kecuaian, daripada kelemahan.
- Qum fa’andhir, dan bangun itu untuk mengingatkan. Yang pertama, wa rabbaka fakabbir, bahawa kita ini makhluk, insan kerdil, ‘ibaadur Rahman, hamba Tuhan. Jangan kita lupa, jabatan itu hanya pinjam sebagai amanah sementara, laksanakan dengan sebaik mungkin. Ketua Unit, Ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Negara, Perdana Menteri semua itu sementara.
- Dalam sejarah kita, lebih-lebih lagi ada Perdana Menteri tidak cukup setahun, ada dua tahun, ada tiga tahun, ada Perdana Menteri, dua puluh dua tahun. Tetapi semua itu peringatan kepada kita bahawa tiada yang kekal. Sebab itu, wa rabbaka fakabbir, ingat dan insaf.
- Tapi susulan ayat itu, wa thiyaabaka fathahhir peringatan yang sangat jelas, membersihkan diri, jiwa dan suasana kita. Jadi, dalam negara pun saya ingat dalam kupasan-kupasan ulama muktabar zaman semasa, iaitu kita tidak kekal sehingga kita betul-betul ada kecerdasan, pencerahan, keinginan untuk membawa perubahan berikutnya dan tidak terperangkap dengan ruang selesa.
- Kalau kupasan baru, kalau saudara teliti diantara karya Carl Breit kalau tak silap saya, dia bicara “Culture of Contentment”, budaya selesa. Ya, apalagi negara kecil kita mencatat rekod Sejarah, tetapi apakah kita ada keupayaan untuk perbaiki atau tidak? Jawabnya Ada. Jawabnya it’qan fil’amal yang disebut culture of excellence. Striving for excellence itu teori baru. Tapi kalau dalam rumusan hadith Muhammad SAW itu, it’qan fil’amal, maknanya striving kecemerlangan dalam tiap amal.
Jadi saudari-saudari,
- Yang saya nak tekankan di sini ialah keperluan kita untuk sentiasa waspada dan bekerja. Dari sudut kerja, ya kita jayakan ASEAN dan seperti mana saya sebut, itu diterima di kalangan negara-negara ASEAN dan juga di rantau dan di dunia. Bagaimana negara yang relatif kecil dapat mengendali satu sidang yang besar, cara sangat cekap dan efisien dan keselamatannya, kerangkanya bukan puluhan, ratusan mesyuarat yang dikendali di semua peringkat.
- Jadi boleh kita syukur Alhamdulillah, tetapi yang saya nak tekankan ialah peringatan kepada kita bahawa ia kerana pertama sekali, negara ini aman. Dalam keadaan, bayangkan ini. Bayangkan mana-mana negara lain di mana komposisi kaum, agama dan wilayah berbeza seperti Malaysia. Kita ini, we take things for granted, cuba kita renung. Negara mana? Di Asia. Satu, dua, tiga, empat. Di Afrika yang suku kaumnya. Semuanya kalau pun nampak relatif aman tetapi volatile dia tidak mantap.
- Bagi kita setakat ini, Alhamdulillah. Jadi sebab itu saya kata, jangan buat andaian mudah. Jaga keharmonian ini. Sekali lagi saya tegaskan cuba kita renung, tengok negara Asia yang ada percaturan, pergaduhan antara mazhab, antara kaum, antara suku kaum, antara ideologi yang panas dan menyebabkan gambaran negara itu sebagai dalam keadaan yang tidak stabil. Jadi kita aman, aman tentunya pasukan keselamatan tetapi yang pentingnya itu kesedaran rakyat.
- Yang keduanya, politiknya stabil. Kita alami umpamanya politik stabil, kemudian politik yang tidak menentu dan mengesan kepada rakyat. Bila percaturan pimpinan politik itu berterusan dan tidak ada ketentuan. Tetapi dalam kehangatan, suhu hangat, itu orang tak fikir itu. Dia fikir nak bertempur. Dia tak fikir kesannya kepada negara. Jadi negara harus aman, politik harus stabil dan kestabilan dan kekuasaan itu bukan untuk pimpinan untuk merompak kekayaan sebab itu bagi saya tatakelola sangat penting.
- Kita bicara soal 40 peratus ke pembangunan ke yang pentingnya itu tatakelola. Dapatlah buang banyak mana pun kalau tak diurus dengan baik tak selesai masalah. Dan kita popularkan apa yang Mohandas K. Gandhi yang dikenali sebagai gelaran Mahatma Gandhi pernah ungkapkan itu ya – “The world is enough for every man’s need, but will never be enough for every man’s greed”.
- Bayangkan kalau kita urus dengan baik, saya percaya manfaat kepada rakyat itu akan jauh lebih baik. Tapi kalau orang politik, itu dia bicara soal kaum dia, negeri dia, parti dia, kepentingan kelompoknya. Padahal, kalau diurus dengan baik, kita jaga kepentingan rakyat semua dan pengagihan itulah jauh lebih adil baru yang disebut Al-‘Adl Al-Ihsan. Tiap hari Jumaat, dengar khutbah itu. Tentang adil dan ihsan itu, menjamin kesejagatan. Jadi faedahnya melimpah.
- Sebab itu, bila negara aman, politik stabil, pengurusannya itu harus telus. Tatakelolanya harus baik. Dan mesti melihat ke depan. Saya, umur saya ini kalau nak fikir soal transformasi digital, energy transition, AI, itu bukan dalam kerangka yang saya baca dulu. Tetapi kenyataannya itu ialah bahawa, dia kata “Zeitgeist”, istilah Jerman, The Dictate of the Times. The “Zeitgeist” sekarang ini menuntut kita mengekalkan yang saya sebut yang lama, akar berakar kepada yang lama bahasa kita, agama kita, budaya kita, perpaduan rakyat kita tetapi menggapai yang baru, teknologi baharu yang saya kata menggapai di langit.
- Sebab itu di sekolah-sekolah pondok umpamanya, sementara kita ambil keputusan, terima kasih Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga, untuk bantu mereka. Kita tidak mahu ganggu kurikulum mereka. Kitab-kitab yang dia baca. Kitab IhyaʾʿUlum ad-Din , atau Kimiyā’ al-Sa‘ādah Imam al-Ghazali atau Munyatul Musalli yang popular sekarang. Soal Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, atau lain-lain lah. Tetapi kita minta supaya dia juga terima cabaran baru ini, tentang TVET, tentang AI dan tanggungjawab kita itu mengisi supaya dapat dia bersaing. Ini beberapa perubahan tentang tatakelola yang baik, yang cekap, dan kesediaan kita membawa agenda baharu.
- Sebab itu National Semiconductor Strategy (NSS), saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan yang menyediakannya. Saya kagum ke Jepun, ke Korea, ke Amerika Syarikat, di Eropah, rupanya pelabur-pelabur dalam bidang data center dan AI itu membaca National Semiconductor Strategy (NSS).
- Mereka tanya saya, kalau we are serious in our desire to implement this strategy, this particular strategy (NSS) they will certainly come in. Ini termasuk NVIDIA baru-baru ini. Dan semua sepatutnya tahu, manusia individu terkaya di dunia dengan USD5 trilion sekarang, dia jumpa saya di Korea. Ya, bukan sebab saya Anwar. Tapi ada orang kata, “Oh, sebab Anwar PMX.” Saya pun ada “perasan sikit” (nada seloroh), tapi saya fikir, eh bukan juga. Sebab negara ini, sebab the team, sebab dasar kita, sebab insentif, sebab kecekapan kita.
- Then you realize bahawa sebenarnya dia datang itu kerana minatnya, dan dia lihat pelaburan awal di Johor. Tapi dia sebut kepada saya, “Not many countries he has seen. Malaysia is an exception,” kata dia. “Because you have that semiconductor strategy. You have that clear focus on the need to utilize AI — both in government, in education, and in the private sector.”
- Jadi sebab itu saya kata, semua ini bermula daripada negara yang aman, politik yang stabil, tatakelola yang ke arah yang lebih baik, dan dasar-dasar yang masih mengekalkan identiti, jati diri, akidah, akhlak, sahsiah, budaya, dan bahasa kita. Tetapi menggapai teknologi baharu dengan berani dan bersungguh-sungguh.
- Semoga Allah merestui usaha kita bersama. Dan saya mengajak saudara-saudara, dalam keadaan kita selesa bagaimanapun, jangan lupa hal ini. Saudara tidak ada negara yang bertahan dan kekal dalam tahap yang sama ada pasang surutnya. Kita agak belum cukup pasang; baru naik nak pasang, tapi jangan bagi surut awal.
- Untuk pertahankan ini, dan ini bukan perkara baharu. Peringkat awal saya jadi Perdana Menteri, saya selalu gunakan The Khaldunian Theory — Ibn Khaldun (Abd al-Rahman Ibn Khaldun) yang mengkaji negara-negara Afrika Utara pada masa itu. Apa yang menyebabkan esprit de corps — ‘asabiyyah — itu naik? Mengapa dalam generasi kedua dia mendatar, dan di generasi ketiga dia merosot? Kerana idealisme dan nilai itu sudah hilang. Sebab itu dalam MADANI ini, kita cuba pupuk semula soal nilai, soal akhlak sebagai yang sebati dengan kita.
- Terima kasih. “Arigato gozaimasu” Terima kasih, dan mudah-mudahan kita bekerja dengan semangat ini.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
