TEKS VERBATIM YAB PM : SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA & 70 TAHUN FELDA

7 July 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 SEMPENA

SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA & 70 TAHUN FELDA

7 JULAI 2026 | SELASA | 2.00 PETANG

STADIUM TUN ABDUL RAZAK

JENGKA, PAHANG

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. .

Alhamdulillah al-lazi anzal ala abdihil kitab

Wa lam yaj’al lahu iwaja.

Wa usollimu ala rasulihil kareem

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.



Saudara Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;

 

Saudara Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail;

 

Keluarga FELDA, tamu-tamu yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita mulakan dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana Allah SWT kerana dapat berkumpul di sini melakar beberapa sejarah. Pertama, anak bangsa yang peka tentang sejarah akan kenang budi pemimpin-pemimpin ulung yang berjasa dan berkhidmat. Dan saya syukur alhamdulillah, kerana bersama-sama di Jengka, Dewan Tun Abdul Razak, pengasas, pejuang bangsa dan negara yang gagah, bukan sahaja mengasaskan FELDA, tapi mengangkat martabat rakyat terutamanya Melayu bumiputera.

 

  1. Saya percaya sambutan ini sama hebatnya. Saya mengarahkan FELDA supaya tidak meneruskan sambutan besar-besaran di Kuala Lumpur seperti biasa, harus pindah ke lapangan. Ada Dewan FELDA sekarang sudah punyai kawasan yang cukup baik, infrastruktur cukup baik, dan oleh itu, mulai tahun ini kita adakan di Pahang, kerana sesuai sebagai tuan rumah, kawasan yang telah paling berjasa untuk memberikan ruang, bukan saya kepada anak-anak Pahang, tapi saya ingat, saya beritahu tadi Dato’ Seri Zahid termasuk saudara mara saya, termasuk dari kampung Cherok Tok Kun pun diberi peluang dalam keadaan negara kita baru merangkak mencapai kemerdekaan dan memberi ruang kepada anak-anak bangsa yang kelaparan tanah untuk dibangunkan.

 

  1. Jadi saya juga terima kasih kepada Menteri Besar kerana kerjasama yang diberikan. Nak pilih Menteri Besar macam inilah. Dia senang. Kita Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini kena hubungan yang baik. Jadi senang, dia minta apa-apa, saya boleh pertimbang. Ini contoh Pahang ini patut negeri-negeri lain belajar. Yang faham, faham yang tidak faham sudah. Hormat, kerjasama, baik. Ada yang setuju, ada yang tidak setuju, sentiasa berunding.

 

  1. Baik, tapi bukan sahaja itu dalam banyak hal daripada awal, soal penerokaan tanah, dan rundingan di pejabat, di kalangan pegawai dan saya percaya Dr. Suzana akan setuju dengan saya kalau saya katakan beberapa rundingan itu telah membantu memperingankan, kerana kita kena dengar.

 

  1. Jadi saya kata, sambutan ini boleh dibuat di luar, meriah begini, dan orang kenal tempat kita dan keluarga kita rakan-rakan boleh berniaga, manfaatkan kehadiran kita, dan ada rakan-rakan dari Kuala Lumpur yang tak pernah menjelajah ke kawasan FELDA akan dapat bersama, dan kosnya jauh lebih rendah. Saya minta disenaraikan beza kos adakan Hari Peneroka di sini dengan di Ibu Kota, jauh lebih murah. Kita dapat menyelamatkan dana. Dan dana itu akan dipulangkan kepada peneroka. Itu pendirian kita.

 

  1. Jadi kalau setuju, kita sambut di luar. Tahun depan kita boleh tukar. Johor ke, Negeri Sembilan ke, Perak ke. Boleh?
    Saya dalam mukadimah ini nak sebut sedikit saja. Saya dah beritahu Dato’ Seri Zahid tadi, ini kena runding ni, saya dengan TPM 1 ini kena runding banyak, kalau tak runding banyak orang bawah kacau. Jadi saya berunding, saya kata FELDA ini di asas baik, pemimpinnya seperti Tun Abdul
    Razak, kemudian kita ada seperti Raja Alias, Taib Andak, tokoh-tokoh bangsa yang tumpuannya itu semata-mata cari kaedah dan ikhtiar mengangkat martabat bangsa. Tidak salah gunakan kuasa, tidak mengambil tindakan gopoh dan memilih untuk meluluskan apa-apa bantuan berdasarkan kepentingan diri mereka atau keluarga mereka. Kita harus belajar dari pengalaman ini, saya singgung perkara ini berulang kali dan saya ucap terima kasih kepada pasukan Suzana dan rakan-rakannya telah menunjukkan prestasi yang lebih serius, yang lebih baik yang kita harapkan.

 

  1. Saya dapat laporan, saudara-saudra tahu saya sebut setiap tahun untuk 10 tahun ini kita kena belanja, kerajaan terpaksa keluarkan hampir 1 bilion ringgit satu tahun. 980 juta ringgit. Untuk apa? Bayar hutang. Hutang siapa? Hutang Felda. Apakah salah peneroka? Tidak. Salah pengurusan dan orang-orang yang diberi amanah, salah guna.

 

  1. Betul, ini yang sebabnya harus kita ingat, jangan ulang kesilapan itu, yang kerana bila akhirnya yang terbeban yang terpaksa bayar, kita. Sebab itu, pertama saya sebut tiap tahun RM980 juta yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu peneroka. Dan bila kita teliti, tidak langsung guna kaedah yang teratur. Sebab itu, dalam lembaga sekarang kena teratur betul. Ada lembaga, ada jawatankuasa pelaburan yang berasingan supaya dapat mengambil keputusan yang lebih telus, memberi manfaat kepada FELDA dan FELDA maknanya peneroka.

 

  1. Kalau tidak, orang beli hotel 100 juta, kita beli 180 juta. Hotel rugi, kita kena bayar. Bila kena bayar, sampai terkesan kepada peneroka. Saya terpaksa sebut hal ini kerana saudara-saudara harus tahu mengapa dalam kerajaan sekarang kita tekankan soal tatakelola, pengurusan, jangan tolak ansur tentang kaedah pengurusan yang tidak cekap dan melawan amalan boros dan rasuah ini.

 

  1. Bincang dengan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri, Dato’ Seri Zahid, rakan-rakan lain dan juga Menteri Besar. Kita dengar keluhan rakan-rakan dari FELDA. Saya pergi mana-mana kalau sampai ke kawasan FELDA, ada rintihan. Jadi, hari ini saya tak mahu bercakap tentang harapan-harapan. Saya nak gunakan sambutan ini untuk umumkan keputusan Kerajaan MADANI yang akan memberi manfaat kepada peneroka secara langsung.

 

 

 

  1. Pertama, saya kata memang betul kita kena bayar 990 juta hutang. Tak adil kalau nak salahkan peneroka. Jadi sebab itu, kita kena cari jalan dan Lembaga Pengurusan FELDA diminta dengan dana tambahan sedikit, perbaiki tatakelola. Itu satu.

 

  1. Yang kedua, perumahan generasi baharu. Di mana-mana kita dengar, cadangan pertama untuk membina dua rumah di atas satu lot. Jadi, kita telah tubuhkan jawatankuasa menyelesaikan isu legasi dan terima kasih Dato’ Wan Rosdy, ini negeri Pahang di antara yang paling cepat yang menyambut seruan ini.

 

  1. Jadi, lima (5) inisiatif strategik. Pertama, kita kena pinda Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 yang membenarkan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman, dan saya telah mengarahkan FELDA menyiapkan deraf itu dalam tempoh 2 bulan, bentang kepada Jemaah Menteri dan kita akan bentangkan tahun ini juga. Boleh ya?

 

  1. Yang kedua, sekarang ini lebih kurang 8,000 unit rumah yang telah siap dibina, yang di atas satu lot ini, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025. Berapa? 8,000 unit. Tapi kebenaran hakiki belum diperolehi. Jadi, dengan ini, saya akan umumkan, sementara lulus akta dan sebagainya, kita luluskan supaya kebenaran diluluskan serta-merta, supaya utiliti air dan elektrik disambung segera. Bekalan air, urusan negeri. Dato’ Sri Wan Rosdy, jaminan untuk Pahang. Negeri lain, saya kena hubungi sekali lagi. Tapi, Lembaga Elektrik Negara telah diarah untuk menyegerakan pemasangan paip elektrik untuk semua 8,000 rumah yang dimasukkan tadi.

 

  1. Yang ketiga, projek Perumahan Generasi Baru FELDA (PGBF). Dia bermula sejak tahun 2013, melibatkan 43 tapak, 8,024 unit. Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak. Daripada jumlah tersebut, 12 tapak (2,458 unit) atau 29.8% telah siap dengan sijil penyiapan dan pematuhan CCC. Yang masih dalam pembinaan melibatkan 13 tapak (2,546 unit), 30.9%. Daripada jumlah itu, 12 tapak dilaksanakan, disasarkan, akan siap secara berfasa.

 

  1. Untuk tahun 2026, tahun ini, projek PGBF Besout, Perak (102 unit), Sungai Koyan, Pahang (68 unit), Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit). Sebaik selesai, bersambung projek di PGBF Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), PGBF Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit), Papan Timur, Johor (539 unit). Kita bersambung tahun berikutnya, Kerteh 5, Terengganu (110 unit) dan disambung dengan Palong 8 Tapak A & B, Negeri Sembilan (300 unit), barulah kita sambung dengan Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan (300 unit).

 

  1. Banyak hal yang berlaku kelewatan kerana perancangan tidak teratur, pemantauan tidak berkesan dan saya dah minta pengurusan teliti tiap projek ini dan bagi laporan dalam tempoh 2 bulan. Jadi, kerajaan negeri dan syarikat-syarikat utiliti harus membantu FELDA menyegerakan dan kita tak boleh umum dan nak tunggu tahun depan. Sebab, itu saya dah bagitahu, dia dalam tiap 2 minggu ada laporan kemajuannya, dan pada utiliti yang lain, harus lapor dalam masa yang ditetapkan.

 

  1. 13 tapak (2,350 unit), telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang (1,840 unit) yang diberi kepada Pahang, Negeri Sembilan (510 unit). Begitu juga, 5 tapak yang terbengkalai di Bukit Aping Timur, Johor. Dato’ Seri Zahid. PBGF Pasak, Johor (200 unit), PGBF (Perumahan Generasi Baharu Felda) Kertih 5 Terengganu 154 unit ini apa? Terbengkalai, ini kita kena siapkan 554 unit ini untuk siapa? Untuk generasi FELDA, generasi baru FELDA.

 

  1. Maka dengan ini, untuk menyiapkan 554 unit di Johor, paling banyak Bukit Aping Timur 200 unit, Pasak Johor 700 unit, Kertih 154 unit, untuk generasi baru FELDA saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta ringgit. Sebab itu saya kata, hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya umum projek, jalan balik dengan tenang bahawa ini kerajaan-kerajaan ini yang melaksanakan janji.

 

 

  1. Keempat, projek Sentuhan Kasih Felda (SKF) dua tapak Laka Selatan, Kedah 86 unit, SKF Palong, Negeri Sembilan, Palong 16, Negeri Sembilan 100 unit, kemajuan projek di antara 60% hingga 70% fulus mafi (wang tidak cukup). Oleh itu, dengan ini untuk kebajikan dan kesejahteraan generasi baru FELDA, saya luluskan tambahan RM20 juta untuk menyelesaikan projek ini.

 

  1. Kelima, Lot Generasi FELDA (LGF), haa Dato’ Wan Rosdy sendiri tengok, ada pernah dengar ke pengumuman macam-macam ini? Belum lagi. Panggil PM selalu datang, tapi kalau lebih baik PM dengan TPM sekali. Inisiatif kelima, Lot Generasi Felda 31,954 lot generasi yang telah dikenal pasti paling tinggi yang memerlukan tindakan segera, 15,438 lot di negeri Johor. Dato’ Seri Zahid, haa. Nasib baik saya sebut di Pahang, kalau di Johor, dia kata apasal kempen. Tapi ini kenyataan. 244 di Kelantan, 137 lot di Terengganu, 139 dan 16,000 lot di Pahang yang telah diselenggarakan oleh Menteri Besar. Ini jumlah keseluruhan lot yang telah menerima hak milik.

 

  1. Manakala 21,932 lot masih belum menerima hak milik. Jadi kita harus bantu. Kita akan bincang kerajaan-kerajaan negeri, kerana janji dulu kos infrastruktur tanggungjawab negeri, tetapi saya juga tahu perlu ada perbincangan, rundingan sepertimana yang berlaku di antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan. Bagaimana boleh kita kurangkan tekanan kepada negeri dan dapat sebahagiannya yang ditampung oleh Kerajaan Persekutuan. Maka, bulan Ogos TPM tahu kita akan adakan mesyuarat Perdana Menteri dengan Premier dan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

 

  1. Kita akan siapkan kertas khas yang melibatkan juga Akta Tanah yang disebut tadi dan juga isu-isu yang terkait dengan pembinaan rumah generasi kedua dan berikutnya, supaya dapat dibincang terus. Jadi, kita bentang dan saya percaya TPM Zahid akan hadir bersama dengan rakan-rakan menteri untuk menggesa kerajaan negeri bekerjasama penuh supaya dapat kita laksanakan dengan dana tambahan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

  1. Baik, bagaimana tentang ini… isu ketiga, manfaat untuk warga peneroka melalui KPF. Sejak penyenaraian FGV dulu, perubahan model penjualan minyak sawit mentah telah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28% ekuiti milik Koperasi Permodalan FELDA. Bagi menoktahkan kegelisahan ini, dengan ini kita buat keputusan untuk kembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah kepada sistem asal sebelum penyenaraian FGV. Dengan ini akan menjamin harga dan keuntungan yang lebih baik. Ini akan memberi manfaat tambahan pendapatan keuntungan kepada seluruh warga FELDA sebanyak RM42 juta. Eh, dapat RM42 juta pun tidak tepuk?

 

  1. Baik keempat, bagaimana tentang petugas FELDA? Ramai yang menyatakan betul peneroka penting, petugas pun penting. Oleh itu, selain daripada menzahirkan penghargaan kepada semua petugas FELDA yang telah bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab mereka, dan menjamin kebajikan mereka terbela dan moral dan semangat disiplin kerja mereka itu bertambah baik, dengan ini saya umumkan peruntukan besar berjumlah RM450 juta ringgit untuk membiaya baik pulih dan bina baru rumah petugas FELDA di tanah rancangan.

 

  1. Dah umum ini semua karang balik tak ada durian, ikan patin tak patutlah (nada seloroh). Kelima, Dato’ Seri Zahid setujulah. Ini Kerajaan MADANI ini kita serius. Betul orang marah. Dia kata tahun pertama belum dapat umum apa-apa. Tahun kedua, kerana kita selesaikan hutang lama, urus dengan baik dan saya ambil masa 3 tahun, tetapi buat keputusan yang melibatkan banyak hal yang mengganggu ketenteraman kita. Jadi yang kelima apa? Untuk anak-anak muda dan menjamin masa depan, kan kita ada program AI dan digital. Betul, ladang kelapa sawit penting, perniagaan dan pekebun secara tradisional penting, tetapi kita tahu untuk masa depan sekolah-sekolah kita, sekolah asrama kita sekolah-sekolah menengah di kawasan FELDA, kita mahu mereka bersama dalam usaha infrastruktur dan generasi AI, digital sekarang ini. Maka dengan ini saya bersetuju meluluskan infrastruktur untuk FELDA melalui sinergi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, menambah kemudahan yang disokong oleh JENDELA, iaitu Jalinan Digital Negara dan mereka boleh masuk dalam pelbagai rangkaian digital. Dan mereka telah mohon bantuan dan peruntukan tambahan. Maka dengan ini, saya umumkan peruntukan untuk digital dan AI dan kemudahan asas tambahan yang bernilai RM15.85 juta yang akan melibatkan 317 buah rancangan FELDA yang akan menerima bantuan asas RM50,000 berjumlah RM15.85 juta.

 

 

  1. Keenam, jangan bimbang ada 15 semua. Keenam, apa manfaat pendidikan? Ini saya tumpu anak muda. Pertama, digital. Kita mahu anak-anak muda ini seiring, boleh bersaing menjadi bangsa yang hebat. Boleh ke depan. Tidak ketinggalan dalam arus pembangunan perdana. Maka selain daripada digital tadi, untuk pelajar FELDA dan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan segera. Sejak dua (2) tahun yang lalu, Menteri Pendidikan dan Kementerian telah menyelesaikan sebagian besar tandas dan sekolah-sekolah daif. Dari laporan FELDA, Suzana kemukakan masih ada yang ketinggalan. Maka dengan itu, saya setuju meluluskan peruntukkan khas RM10 juta untuk baik pulih sekolah-sekolah di kawasan FELDA. Ini melibatkan 269 buah sekolah rendah dan 101 buah sekolah menengah di seluruh FELDA.

 

  1. Ketujuh, pendidikan dah ada, kerja dah ada, barang dah dijual. Kesihatan bagaimana, kesihatan? Maka pada tahun lepas, saya telah meluncurkan pasukan kesihatan Skuad MAYA FELDA. Melahirkan 1,556 orang ahli sukarelawan daripada kalangan peneroka. Bagi memastikan ikhtiar murni ini berhasil dan diperkasa, saya dengan ini mengumumkan bantuan tambahan untuk skuad MAYA FELDA sebanyak RM3 juta.

 

  1. Jadi, alhamdulillah, hari ini kerana sokongan dan kerjasama saudara kepada Kerajaan MADANI, kita telah lihat, kita telah menunjukkan bagaimana FELDA diurus dengan baik, dan kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk membela nasib peneroka. Beberapa perubahan besar telah dilakukan walaupun menelan belanja yang lebih besar, tetapi insya-Allah saya akan bersama rakan-rakan saya akan berikhtiar sedaya upaya kita, “In uridu illal islah mastata’tu” – akan kucuba seperti doa Nabi Allah Syu’aib AS melakukan perubahan ke arah kebaikan sedaya upaya kita.

 

  1. Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan program ini. Masih khusus kepada sahabat saya, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi dan tuan rumah khususnya, Saudara Datuk Wan Rosdy.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Share: