TEKS VERBATIM YAB PM : MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW 1448H/2026M

25 August 2026

 TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW 1448H/2026M

25 OGOS 2026 | SELASA | 9.00 PAGI

DEWAN BESAR, PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN

SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.

Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. 

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul;

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan;

 

Yang Berhormat Timbalan Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);

Rakan-rakan Menteri dan rakan-rakan yang saya muliakan, Sahibus Samahah al-Mufti; dan

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membantu menyelenggarakan majlis bersama JAKIM;

 

Rakan-rakan duta-duta besar negara Islam yang hadir; Saudara-saudara dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita dapat menyempurnakan satu majlis yang tentu sangat bermakna bagi umat, sekiranya kita menghayati. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada JAKIM dan Senator Dr. Zulkifli kerana memilih isu dan istilah, terminologi penghayatan.

 

  1. Cabaran bagi umat ini ialah soal menghayati. Jadi kalau kita bicara soal MADANI, malah dalam konteks kefahaman Islam kita, yang cabarannya adalah penghayatannya. Bagaimana kita memaknainya. Sepertimana bulan kemerdekaan; bukan sambutannya, bukan pesta-pestanya, bukan perarakannya, tetapi yang lebih diutamakan ialah apa yang digesa dalam firman Allah SWT, ‘Ya ayyuhallazina amanu istajibu lillahi wa lir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum’. Penghayatan. Bagaimana kita memaknai Islam dan apa itu risalah, ‘Wa ma arsalnaka illa rahmatan lil-‘alamin’. Risalah kenabian, risalah rahmat kepada umat manusia.

 

  1. Senator Dr. Zulkifli menyingkap sedikit tentang kenyataan kemajmukan di Malaysia. Cabaran bagi kita ialah menghayati supaya umat Islam itu menjadi contoh terbaik. Bukan saja bagi umat Islam, bagi umat manusia, rakyat Malaysia dan umat manusia keseluruhannya. Kerana cabaran Islam itu bukan hanya untuk mempamerkan, bukan untuk mengherdik, tetapi untuk menarik minat melalui contoh terbaik.

 

  1. Bila kita berbicara tentang Rahmatan lil ‘Alamin, tentunya para ulama, para sarjana lebih mampu mengupas daripada saya. Dari cebisan nukilan pandangan mereka. Dia sebut, mereka menyebut bahawa komuniti Muslim yang dibina di peringkat Makkah al-Mukarramah sekalipun, yang disebut mungkin tahap Makkah atau marhalah Makkah sebelum ke Madinah Munawarah itu yang dididik dan dilatih untuk menjadi bukan sahaja masyarakat dalam arti kata umat yang kita faham sekarang.

 

  1. Tapi ada sarjana menggunakan istilah ecumenical community. Ecumenical ini bermakna bukan sahaja masyarakat dalam arti kata teori sosiologi masyarakat, tapi masyarakat yang menteraskan nilai dan akhlak dan prinsip dan idealism.
  2. Ini kemudian diulas oleh Abdul Rahman Ibn Khaldun dalam muqaddimah, bagaimana masyarakat itu berteras kepada nilai dan mempunyai idealism. Bukan masyarakat sekarang hidup sekarang menerima memang kenyataan itu disebut ada kaitan dengan faham keagamaan nilai dan akhlak ecumenical community.

 

  1. Tapi ditambah juga oleh para sarjana dan ulama tentang maksud komuniti itu mesti yang mendorong, menggesa ke arah kecemerlangan. Striving for excellence kalau ikut istilah sekarang. Tapi, dalam pengkhususan hadis Nabi Muhammad SAW disebut, yang kita faham sebagai itqān fil- ‘amal. Maknanya, mesti ada kelainan, keistimewaan, keunikan, yang menyebut yang mendorong umat itu menjadi jīlun, generasi, yang berteraskan kepada kefahaman Al-Quran, Al-Quraniyun yang tersendiri, unik, istimewa farīd. betul, Sheikh Mufti, ya?

 

  1. Jīlun Qur’āniyyun Farīd, makna generasi Qurani yang istimewa, yang tersendiri. Dia bukan ecumenical community atau masyarakat biasa dia mesti masyarakat yang ada prinsip dan nilai yang berbeda.

 

  1. Senang dengan mahruf, senang dengan kebaikan, senang dengan hormat, senang dengan keadilan. Menolak kemungkaran, menolak kebejatan sosial, menolak keangkuhan, menolak faham perkauman yang sempit, menolak penindasan, menolak rasuah, penyelewengan.

 

  1. Jadi ada nilai yang diterapkan bukan sahaja kepada prinsip kaum ummat itu ecumenical community dan striving-nya itu Ithan fil amal atau striving for excellence.

 

  1. Bagaimana kita boleh hidupkan masyarakat Melayu, masyarakat Islam di Malaysia ini masyarakat yang boleh dibina atas prinsip yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW menjadi masyarakat yang istimewa, yang farīd, yang ecumenical tetapi ada kelainannya ada ciri yang exceptional yang bergerak mendorong kearah excellence.

 

  1. Ini ujian dan cabaran tatkala kita menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW. Hari besar bagi kita tapi kita bedakan, bukan pesta, bukan perarakan, bukan sambutan biasa, tetapi mendorong ke arah penghayatan lebih bermakna. Ini yang maksudnya saya sebutkan sebagai Ecumenical Community par Excellence.
  2. Mudah-mudahan sambutan kita menceritakan suatu semangat yang harus kita tingkatkan. Hidupnya umat di bawah bimbingan Nabi Muhammad SAW. Sebelum hijratul Nabi Muhammad SAW, ke Makkatul al-Mukarramah, ke Madinah al-Munawwarah atau Yathrib sebelumnya, itu juga arah perubahan transformasi sosial, reform dan islah yang sangat bermakna. Dia tidak mengekalkan tahap yang lama.

 

  1. Kita hidup dalam masyarakat dan dalam proses pengislaman juga berperingkat. Kalau kita baca karya Ibni Battuta, sang pengembara hebat itu, masuk ke Kepulauan Melayu, ke Perlak, peringkat awalnya, apa yang dikesan? Sikap tolerance-nya, kebijaksanaannya, hikmahnya itu luar biasa. Kerana kalau dibawa Islam itu dengan cara yang agak terlalu keras, dia bimbang pengaruh Islam itu tidak akan berkembang. Sebab itu, tokoh-tokoh besar dulu lebih berjaya dalam menarik orang kepada Islam.

 

  1. Bayangkan, dakwah kita dan pergerakan kita sekarang, orang lebih takut dan tidak tertarik dengan Islam. Beda dengan apa yang kita sebut tadi. Kita sebut Rasulullah SAW itu contoh terbaik, Laqad kana lakum fi Rasulillahi uswatun hasanah. Contoh terbaik, tapi dalam menghayatinya, tidak semestinya tuntas atau konsisten dengan mesej. Ini teguran kepada kita masing-masing. Bagaimana boleh kita perbaiki?

 

  1. Ada masalah sekarang. Bukan sekadar orang tidak mahu mudah menerima Islam, tetapi kadang-kadang orang merasa lebih cemas dengan nada Islam kita.

 

  1. Masalahnya bukan pada orang lain, masalah juga pada kita. Kita biasa dan kita tahu tentang sanggahan dan pertentangan musuh-musuh dari awal. Bukan baru. Seluruh sejarah imperialisme dan kolonialisme, penjajahan. Dari penjajahan Inggeris di Malaysia, Belanda di Indonesia, Perancis di Afrika Utara, di seluruh dunia.

 

  1. Itu menampakkan apa? Sikap yang keras menolak aqidah kita, akhlak kita, menjajah pemikiran dan jiwa kita. Isti’mar ruhi wa fikri, kupasan Sheikh Muhammad al-Ghazali umpamanya, maknanya penjajahan, penaklukan bukan sahaja negara, tapi juga sistem dan jiwa raga. Sehingga kita rasa kagum dengan yang asing, yang Barat dan rasa Islam dan tamadun Islam itu picisan atau yang terpinggir.

 

  1. Keadaan, alhamdulillah, dalam proses Islamization ini keadaan berubah, kesedaran meningkat dan cabaran bagi umat sekarang ialah bagaimana boleh dijadikan Islam itu sebagai contoh yang mampu diteladani oleh umat dan oleh manusia keseluruhannya.

 

  1. Kalau yang mentadbir, mentadbir dengan baik. Kalau profesor, dengan baik. Mahasiswa begitu juga. Pentadbir, Menteri, malah Perdana Menteri juga, mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas.

 

  1. Bagi saya, sambutan begini adalah untuk menyuntik semangat baru. Bukan mengekalkan kealpaan lama. Dan obor Islam itu sentiasa obor yang dinamik, yang hidup. Setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan. Tentunya ramai yang lain yang boleh mengolah lebih baik daripada saya, tetapi sekadar mengingatkan kita bahawa sambutan ini hanya bermakna kalau ia memberi suntikan semangat dan kesedaran, pencerahan dan kita mampu selepas hari ini menjadi manusia Muslimun Hakikiyun yang jauh lebih baik dan boleh mampu memberikan contoh yang terbaik kepada umat manusia.

 

  1. Demikian kuliah pagi saya. Terima kasih banyak atas kesudian hadir. Saya juga ada amanah untuk menyampaikan salam kepada semua hadirin dan juga rakyat Malaysia dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang di luar negara untuk mengadakan sedikit ruang untuk membaiki kesihatan sedikit. Tetapi beliau minta saya sampaikan dan rasa penghargaan kepada rakan-rakan yang menjayakan JAKIM khususnya dan semua, dan tentunya UPM, dan mendoakan, kehadrat Allah SWT, mudah-mudahan negara kita kekal sebagai negara yang aman, berdaulat dan dapat mengangkat martabat rakyat dan negara untuk menjadikan contoh yang terbaik bagi umat Islam dan umat manusia seluruhnya.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Share: