TEKS VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL GELOMBANG MADANI MASJID TANAH 2026
7 August 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL GELOMBANG MADANI MASJID TANAH 2026
7 OGOS 2026 | JUMAAT | 4.30 PETANG
KOMPLEKS SUKAN MASJID TANAH, MELAKA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
- Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama pada petang ini dalam Majlis Karnival Gelombang MADANI. Terima kasih kepada jawatankuasa, rakan-rakan di Masjid Tanah Melaka, saudara Datuk Azman dan Kawan-kawan lain, saya raikan juga kehadiran Ketua Menteri, rakan saya, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.
- Terima kasih saudara Adam Adli, Timbalan Menteri, Mr. Gao dan Mrs. Gao, Pengasas ERM xie xie ge wei.
- Ge Wei Lai Bin, Da Jia Hao, alhamdulillah, kita dapat bersama-sama. Saya mohon maaf kerana lambat. Saya di Kem Terendak tadi. Acara-acaranya itu agak teratur, saya tak boleh keluar. Jadi saya keluar sebelum makan, saya harap sini ada makan.
- Terima kasih banyak. Sepertimana kita tahu, majlis-majlis seperti ini, nak bawa semua masyarakat. Majoriti orang-orang Melayu, orang Cina, orang India. Kalau ada wakil Orang Asli kerana ini dia, Melaka. Ini dia kemegahan kita, negara kita, di mana kita dapat kumpul semua kekuatan, bekerjasama, dan untuk menjayakan negara kita.
- Jadi saya ucapkan penghargaan kepada rakan-rakan. Jadi, pada hari ini juga, kita ada kehadiran daripada anak-anak kita dari Institut Pendidikan Islam di negeri Melaka dan juga wakil sekolah Cina dan sekolah Tamil yang kita akan santuni dan sepertimana biasa, dalam majlis-majlis MADANI kita umumkan beberapa bantuan untuk mereka.
- Tetapi untuk hari ini, untuk ERM, saya bagi pihak kerajaan, terima kasih kerana Mr., Mrs. Gao banyak menjalankan kegiatan kebajikan. Bulan lalu saya dengan Azizah hadir dalam majlis mereka membantu anak-anak miskin di Kuala Lumpur, membantu anak-anak miskin dengan bantuan kewangan dan juga sambutan harijadi ratusan anak-anak. Maknanya, anak-anak itu diberikan sambutan harijadi di hotel. Jadi sangat mengembirakan anak-anak dan keluarga mereka.
- Jadi saya sekali lagi ucap Mr. Gao dan Mrs. Gao dan ERM, xie xie ge wei. Sepertimana saya sebut, dalam Kerajaan MADANI ini dan sepertimana yang Ketua Menteri sedia maklum, kita cuba santuni semua masyarakat. Kita kena cuba jaga kepentingan semua. Negara ini mesti aman. Sebab itu, saya tunggu masa agak panjang kepada rakan-rakan pasukan tentera, tentera darat di Kem Terendak, kerana peranan mereka dan pasukan Polis Diraja Malaysia itu besar.
- Kita ini aman, bayangkan, ada Cina, ada India dan ramai juga Melayu di sini. Ada sekolah agama, Maahad Tahfiz tapi dengan aman, orang hormat satu sama lain. Kalau di negara-negara lain susah, negara yang pelbagai kaum nak berhimpun macam ni, kerana syak wasangka, benci, tak percaya dan ada pemusuhan. Akhirnya negara jadi korban. Di sini, kita tahu apalagi orang Islam, orang Islam itu tahu peranan dia. Iaitu, sepertimana kita tahu mesti jadi contoh yang baik kepada umat manusia. Tadi di Terendak Kem, saya sebut apa sedikit keistimewaan Islam. “Wa kadzalika ja’alnakum ummatan wasatan litakunu syuhada’a ‘alan-nas wa yakunar-rasulu ‘alaikum shahida”.
- Al-Quran mengingatkan kita bahawa Allah menjanjikan umat ini, umat terbaik, umat yang jadi contoh. Umat contoh kerana dia seimbang. Dia jaga iman dan ilmu. Akal, kalbu, rohani, jasmani, duniawi, ukhrawi, material, spiritual. Dia ada balance kerana seimbang. Inilah dia jadi istimewa. Dia hormat orang Islam, kasih pada orang Islam. Hormat orang bukan Islam, hormat manusia, hormat tumbuh-tumbuhan, hormat haiwan yang tidak mengancam dia, hormat bumi, bukit bukau. Ini dia jadi “ummatan wasata”. Kalau ini berlaku, Allah janjikan dalam al-Quran, “litakunu syuhada’a ‘alan-nas”. Kalau betul, perangai kita baik, akhlak kita baik, negeri kita bersih dari penyelewengan dan rasuah. Hubungan kita dengan orang Islam baik, hubungan kita dengan orang Islam kita hormati. Dengan persekitaran, bukit-bukau, pohon-pohon tidak kita musnahkan dengan sesuka hati baru kita seimbang, “syuhada’a ‘alan-nas”. Kalau ini berlaku inilah baru boleh jadikan kita ini contoh kepada manusia.
- Nak tengok bersih, tengok kita. Nak tengok tidak rasuah, tengok kita. Nak tengok perjalanan negeri yang cekap, tengok kita sebagai contoh. Ini yang disebut contoh terbaik. Bukan benci dan permusuhan. Bukan menghina orang. Contoh terbaik, kerana bukti perlaksanaan kata-kata kita. Kalau ini berlaku, kita contoh bukan kepada umat Islam sahaja, al-Quran sebut, “litakunu syuhada’a ‘alan-nas” contoh kepada umat manusia. Kalau betul orang Islam ini, di Masjid Tanah, di Melaka, orang Melayu dan Islam itu contoh terbaik. Semua yang boleh dengar itu kerjanya rajin. Akhlaknya baik, budi pekertinya tinggi. Hormat sesama Islam. Hormat bukan Islam. Tidak menghina orang, tidak menindas, Allah sebut “syuhada’a ‘alan-nas”, contoh kepada manusia. Dan kalau ini berlaku, Allah janjikan dalam al-Quran, “wa yakunar-rasulu ‘alaikum shahida”. Akhirat kelak yang saksi kita. Saksi siapa? Nabi yang akan jadi saksi kita. “Wa yakunar-rasulu ‘alaikum shahida”. Begitulah pengiktirafannya.
- Sebab itu, saudara tengok, kita tidak letih ustaz-ustaz kita, guru-guru agama kita, rakan-rakan kita yang bukan Islam, mesti sentiasa bagi mesej ini. Kita ini balance community, hormat satu sama lain, bukan hormat masa majlis, hormat keyakinan kita. Jayakan anak-anak kita, berikan mereka didikkan yang baik, dan kalau itu berlaku, insya-Allah negeri ini aman, dan kita boleh tingkatkan.
- Jadi pada hari ini di Melaka, kita telah setuju untuk meluluskan. Saya pada hari ini kebetulan, saya hanya akan umumkan untuk institut pendidikan Islam. Tapi untuk sekolah-sekolah Cina, sekolah-sekolah Tamil yang telah kita luluskan, saya ada majlis dalam dua (2) minggu ini untuk kita umumkan secara berasingan. Kerana ini pun ada masalah juga, “Anwar, dia PMX, dia Perdana Menteri bagi semua. Bila umum, dia pergi ke sekolah Cina dia cakap soal Cina sahaja, kemudian pergi sana, sekolah Tamil sahaja”. Tengok majlis lah, negara ini kalau nak aman, kena bagi jaga semua.
- Orang Islam majoriti, maka tentunya majoriti peruntukan kepada Islam. Anak-anak sekolah pondok, Maahad Tahfiz ramai yang terbiar, tidak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan. Jadi sebab itu, kena runding cara baik. Jadi, untuk sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil kita bagi dah, jadual dalam dua (2) minggu lagi diumumkan di Kuala Lumpur.
- Tapi untuk Institut Pendidikan Islam Negeri Melaka, kita telah luluskan projek-projek yang mereka minta. Saudara kena ingat, ini kena ingat betul-betul. Dulu, kerana dulu sebelum Rauf, sebelum saya, batalkan semua peruntukan bagi sekolah agama. 2003, you buat apa tu? Ha, belum lagi, belum lagi. Exco pun tidak, apa pun tidak! Adam lahir, Adam dah lahir kan? 2003 Perdana Menteri pada masa itu batalkan. Ingat ini anak-anak kena ingat. Ustaz, ingat ini. Tak ada peruntukan langsung. Sekolah Agama Rakyat, zero! Arahan Perdana Menteri 2003. 2022, saya ambil alih Kerajaan Perpaduan. 2023, saya mula bagi bantuan. 2024 kita tingkatkan.
- Tadi saya jumpa Syeikh Wazir Al-Makki, yang mengetuai sebagai ketua sekolah-sekolah pondok seluruh negara. Baiki sekolah pondok, bagi latihan AI dan komputer di sekolah pondok. Sekarang, sekolah pondok diterima sebab kita santuni mereka. Kalau tidak, kita ada sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil, kemudahan baik. Sekolah pondok, ketinggalan. Tak boleh.
- Jadi sekarang ini, sekolah pondok diberi bantuan. Jadi untuk hari ini, untuk sekolah Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, kita beri peruntukkan RM1.29 juta:
- Madrasah Tahfidz Al-Quran Wal-Qiraat, Kota Melaka RM250,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Durian Tunggal, Alor Gajah RM140,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Tebong Jasin, RM30,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Kampung Baru, Alor Gajah RM50,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Serkam Darat, Jasin RM70,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Taman Maju, Jasin RM100,000; (kalau kurang minta Ketua Menteri)
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Tun Razak, Hang Tuah Jaya RM65,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim, Batu Berendam, Hang Tuah Jaya RM70,000;
- Sekolah Agama Rakyat Jaim Taman Tasik Utama Hang Tuah Jaya RM40,000;
- Sekolah Menengah Arab Jaim Al-Asyraf, Alor Gajah RM65,000;
- Sekolah Menengah Arab Jaim Assayidah Khadijah, Jasin RM160,000;
- Sekolah Rendah Arab Jaim Tun Razak, Hang Tuah Jaya RM50,000; dan
- Sekolah Rendah Arab Pernu, Kota Melaka RM200,000.
- Belajarlah rajin-rajin, jaga akidah, akhlak, sahsiah, hubungan dengan keluarga kita, dengan sahabat handai kita, dengan jiran-jiran kita, dengan orang Islam, dan bukan Islam, supaya Melaka ini jadi negeri contoh aman.
Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
