TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA 2026 DAN PELUNCURAN RANCANGAN FIZIKAL NEGARA KELIMA (RFN5) DAN DASAR PERBANDARAN NEGARA KETIGA (DPN3)
TEKS VERBATIM
UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA 2026
DAN
PELUNCURAN RANCANGAN FIZIKAL NEGARA KELIMA (RFN5) DAN DASAR PERBANDARAN NEGARA KETIGA (DPN3)
4 NOVEMBER 2026 | RABU I 10.30 PAGI
DEWAN SIVIK MBPJ, SELANGOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera.
Alhamdulillahirabbil ‘alamin.
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim.
Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
Wakil Menteri Besar;
Ahli Majlis Kerajaan Negeri;
Yang DiPertua Majlis Perbandaran Petaling Jaya selaku tuan rumah;
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, kita dapat jayakan acara Peluncuran Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2026, Majlis Peluncuran Rancangan Pemajuan Nasional: Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3).
- Saya bangga kerana Petaling Jaya di pilih. Ini rumah tempat saya bermastautin agak lama, dan saya percaya dengan prestasi dan kejayaan Petaling Jaya boleh jadikan contoh untuk pembangunan bandar dan direnungkan langkah-langkah yang boleh kita perbaiki dan tingkatkan usaha, bukan sahaja tahap kecekapan tetapi juga perancangannya.
- Saya nak mulakan dengan membicarakan soal kerangka besar. Bila kita bicara soal perancangan fizikal dan bandar, ini soal kehidupan, soal manusiawi, soal yang terkait dengan keyakinan kita, dalam agama, dalam nilai, dalam akhlak. Dalam Al-Quranul Karim, ada surah disebut Surah Al-Balad, mengenai kota, “La uqsimu bihazal-balad, Wa anta hilum bihazal-balad”. Ini maknanya kota, kesucian kota, pembangunan kota, kemanusiaan yang memikirkan masyarakat sekitarnya, termasuk golongan miskin dan fuqara di dalamnya.
- Intisari ini penting, kerana kita ini diamanahkan, kadang-kadang kita datang kerja, pulang. Kita lupa bahawa sebenarnya pembangunan kota itu pembangunan insan, pembangunan manusia. Pembangunan yang boleh membantu meneguhkan iman dan akhlak kita. Jadi prinsip kemanusiaan harus ada.
- Semalam umpamanya, saya ke Parlimen Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, daerah pinggir kota yang secara nisbi atau relatifnya lebih miskin. Dan rumah sementara itu saya lihat banyak yang Melayu, ada keluarga India yang duduk di khemah-khemah kecil yang disediakan sebagai mangsa banjir. Tengok kehidupan mereka. Saya terus renung tanggungjawab saya dan rakan-rakan, membangunkan manusia, prasarananya, kehidupannya. Dan bagi mereka itu ini soal survival, dia tak fikir benci, beza warna kulit antara satu sama lain, dia fikirkan masa depan.
- Saya tanya anak yang masih di bangku sekolah. Saya tanya seorang pesakit diabetes, saya tanya tentang ubatnya, saya minta Pegawai Perubatan segera berikan ubat. Apa yang nak saya sampaikan? Bila kita kerja, ia mesti ketuk pintu hati, dhamir kita. Apa kita berkhidmat sebaiknya? Simpang siur politik, kecaman sana-sini itu lazim lumrah dunia, tetapi bagi kita yang pikul amanah, mesti bermula dari langkah tersebut.
- Itu yang dari Surah Al-Balad, dikembangkan oleh salah seorang pemikir dan sejarawan ulung pengkaji masyarakat bernama, Abd Rahman Ibn Khaldun yang memang masyhur di Timur dan di Barat. Dia akui bahawa tamadun manusia itu selalunya berpengkalan, bermula, berpaksi dari kota. Pusat pendidikan terbaik di kota, kemudahan terbaik di kota, dan oleh itu menarik orang yang paling pintar pun di kota. Jadi sebab itu, dalam teori dia, pembinaan kota itu bermula dengan semangat kekitaan, ‘esprit de corps’. Walaupun dia gunakan istilah asabiah, bukan assabiyah yang memecah tetapi asabiah yang memperkukuh pada peringkat lawan, ya ‘esprit de corps’.
- Kata Ibn Khaldun, inilah yang kemudian boleh mengangkat kota, kemudian boleh membina negara yang baik dan tamadun yang baik. Teorinya apa? Permulaan, pembinaan kota. Dari apa? Dari cetusan cita-cita luhur murni kemanusiaan, akal budi yang baik, idealisme. Orang yang mengasaskan kota dan kemudian menjadi negara, itu orang-orang yang ada cita-cita. Dia mahu kesatuan rakyatnya, dia mahu angkat harkat, darjat rakyatnya, dia mahu kemajuan, dia mahu tegak atas landasan, prinsip dan akhlak yang baik. Satu generasi di ganti dengan generasi kedua katanya, dan ketiga.
- Apa masalahnya? Kata Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, yang mempengaruhi kajian sosiologi, kajian masyarakat, termasuk sejarawan terkenal Arnold Toynbee sejarawan Amerika Syarikat. Tapi saya tekankan kepada Ibn Khaldun, apa yang Ibn Khaldun nyatakan dan kemudian ingatkan kita satu pengajaran penting. Pengajarannya ialah Idealism awal yang Nga Kor Meng, yang Nga Kor Meng sebut tadi tentang 70 tahun merdeka. Itu idealisme awal, Dato’ Onn Jaafar, Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman, itu idealisme perpaduan, kemajuan negara. Itu bila generasi berikutnya kadang luntur. Kata dia idealisme itu tak dapat dipertahankan. Kota, yang bandar dengan idealisme, cita-cita murninya itu kadang terhakis. Kerana apa? Kerana nafsu serakah. Kerana kegilaan untuk merebut kekayaan yang bukan hak mereka, kerana kerakusan kuasa, kerana tamak haloba dan rasuah.
- Ini bukan Anwar sebut, ini saya sebutkan teori Ibni Khaldun. Apa yang boleh mengangkat harkat yang menjadikan kota Madinah itu satu peradaban yang baik dan apa yang akan meruntuhkan nilai dan akal budi. Jadi kita yang merangka dari Kota Bharu ke Alor Setar, ke Kota Kinabalu, ke Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, jangan lupa prinsip ini. Ini amanah dan saudara-saudari adalah pencetus perubahan ini. Kerja dengan Ikhlas, dengan baik. Kerja untuk mengangkat martabat kota. Tapi mengangkat martabat kota itu sebenarnya martabat manusia. Insan “fii ahsani taqwim”, ke tahap yang murni dan mulia.
- Tapi ingat apa yang digesa oleh Ibn Khaldun? Boleh cemerlang dan setelah dua tiga generasi, bibit-bibit rasuah, sakau-menyakau, mula menular. Hancur negara. Siapa kata negara itu boleh dipertahankan selama-lamanya? Orang itu kalau dia kata begitu dia buta sejarah. Kerana orang yang fahami sejarah tidak jamin.
- Pada satu ketika dulu dalam ingatan kita, England, United Kingdom itu gergasi politik, geopolitik, ketenteraan dunia. Lebur. Muncul Amerika Syarikat. Sampai sekarang masih bertahan, tetapi sudah jauh lebih lemah ketimbang 50 tahun yang lalu, kerana ada saingan dengan negara China umpamanya. Jadi tidak ada jaminan satu negara itu kekal. China dulu, dulu, dulu, 1000 tahun dulu, itu gergasi besar. Seperti juga tamadun Islam, dari Mekah Mukarramah, ke Mesir, ke Syria, sampai Andalusia, Azerbaijan. Sekarang pecah perkotak-katikkan.
- Kalau lihat susur galur sejarah, ini ada kaitan dengan apa yang saya nak sampaikan. Bermula dengan berkembangnya kota, idealisme, prinsip, kemurnian cita-cita hidup yang lebih sederhana, tidak bolot, tidak menipu, tidak mencari kekayaan, hilang berbilion-bilion. Itu peringkat awal. Kemudian, walaupun di negara-negara Islam, tamadun Islam, China, India, Eropah, ini bibit-bibit ini senang meresap. Jadi, itu peringatannya kepada kita.
- Sebab itulah, dalam kuliah saya pagi ini, saya nak ingatkan tentang apa yang saya cuba lontarkan idea negara MADANI ini. Ya, betul kita nak “menggapai di langit”. Dalam pendidikan saya tekankan kepada anak-anak “menggapai di langit” kerana teknologi baharu, artificial intelligence, digital technology, quantum computing, ini istilah-istilah yang saya tak pernah dengar, bukan saja belajar atau konsepnya, masa saya di sekolah, malah di Universiti Melaya tinggal di Petaling Jaya, belum ada itu. Mana ada AI? Yang ada itu macam saya kata, AI – Anwar Ibrahim sahaja, tak ada yang lain daripada itu. Tapi sekarang keadaan sudah berubah. Kalau kita lambat, ini lah, saudara-saudara ada anak-anak umpamanya.
- Baru-baru ini Fadhlina Menteri Pendidikan kata kita nak perkenalkan AI. Oh, belum tahu detail dah kecam sana sini. Bukan darjah satu, tunggulah beberapa tahun ada asas 3R arithmetic, membaca, menulis, mengira. Kemudian barulah. Kerana apa? Saya tidak mahu anak-anak kita ketinggalan. Sebab itu saya cadangkan umur dari umur 6 tahun, 7 tahun, turun 6 tahun belajar, masuk sekolah. Saya tak mahu anak-anak kita tinggalan. Kalau yang tak boleh, tak apa, tunggulah setahun lagi. Tapi saya tidak mahu Malaysia ini ketinggalan. Tapi apa-apa saja perubahan dia menimbulkan masalah, kesukaran. Tapi kalau tak mahu berubah, ketinggalanlah kita. Jadi zaman kudung.
- Kalau nak maju, nak bersaing, sepertimana yang disebut oleh menteri tadi, pencapaian kita tahap-tahap dalam banyak bidang, itu kerana kerja keras, kerana pemikiran baru, kerana semangat perpaduan. Membina bukan meruntuhkan. Meruntuhkan itu dalam satu hari bangunan boleh diruntuhkan, nak bangunkan itu dari perancangan nak bangunkan bertahun-bertahun, kadang-kadang lama sangat.
- Semalam dengan Menteri Besar Selangor, lihat beberapa projek, lulus tahun 2024, tebatan banjir. Kaji, kaji, kaji, mengaji, mengaji, mengaji, lambatlah. Dia suruh dipercepatkan. Jadi, nak bangunkan itu mengambil waktu, nak merobohkan itu senang. Jadi, kalau dengar orang yang cakap hanya benci dan roboh, kenanglah betul-betul, negara ini mesti diselamatkan.
- Yang saya sebut tadi Surah Al-Balad, tadi teori Ibn Khaldun, bukan itu sahaja, kalau kita ambil teori Barat, selalu saya perkenalkan pandangan Mark Twain, seorang pemikir. Bila dia pergi kali pertama dia pergi ke Amerika Syarikat, dia kata, kota-kotanya hebat, tetapi culturally barren. Maknanya, megah, bangunan yang indah, moden, tetapi culturally barren, maknanya gersang dari budayanya. Ada saya catat dia punya… quote Kata Mark Twain, “indah dari external appearances atau external appearance, hebat, megah. tetapi inward character, nahi kabhi nahi. Dari segi nilai dalaman, lemah.” Nilai dalaman maknanya apa? Dari seninya, budayanya, dari segi persekitarannya, dari hijaunya, itu sekarang kita kembangkan dari teori asal itu.
- Jadi, sebab itu, saya minta kawan-kawan yang dalam Majlis Perbandaran ini, memikir betul-betul. Kalau mahu kota kita maju, dia balik pada pangkalnya, dari Surah Al-Balad kepada teori Ibn Khaldun, kepada Mark Twain, kepada keindahan-keindahan kota-kota yang baru, yang direncana dengan baik, sama ada Barat atau Timur. Kelas tariannya, kehijauannya dan yang penting juga, kemaslahatan rakyatnya dan rakyat itu bukan sahaja yang golongan elit atasan, di bawah. Sebab itu, tumpuan kita kalau ada masalah-masalah rakyat, ini kita kena cuba selesaikan dengan sebaik mungkin, dengan prihatin.
- Saya tahniah Hannah Yeoh di Wilayah Persekutuan, sebab program di wilayah itu, ya, kita tak halang, ada pembangunan indah, kita ada… semualah. TRX, Twin Tower, okey, saya tak ada halang. Orang ada wang, buatlah. Dia nak bina gedung dia, bina. Tetapi rumah rakyat bagaimana? Gerai rakyat bagaimana? Yang pergi makan ni, kalau di Petaling Jaya, mengapa saya tekankan dalam perbincangan dengan Menteri Besar dan Menteri KPKT, tumpu juga gerai, warung, restoran kecil, kerana kalau tengok 80% rakyat itu ke gerai, ke warung, ke restoran kecil, tapi perhatian kita 20% kepada mereka. Kerana perhatian kita bagaimana nak indahkan, jalan mesti lebarkan… betul, tak salah, tapi jangan keutamaan kita hilang kerana itu bukan MADANI.
- MADANI ini, dia mesti “menggapai di langit” tetapi apa satu lagi? “Mengakar di bumi.” Dia “menggapai di langit” itu satu kemestian. Nak bangun ke menara gading dan kemuncak ke langit, tak ada masalah, tetapi jangan kita lupa jejak ke bumi. Jejak ke bumi ini apa? Nilai kita, akhlak kita, kemudian agama kita, kemanusiaan kita, rumah rakyat yang miskin, ya. Itu bagaimana kita harus rencana? Tentu kita ada kekangan, perencanaan, kewangan. Jadi yang merencana, juruteranya, streamliner-nya, dalam kelas tariannya, kehijauannya, tamannya, perumahannya tentu. Jadi, ini peranan sebenarnya perancang bandar.
- Dan saya ucap terima kasih kerana banyak saya lihat ada perubahan-perubahan dan sebab itu, kita boleh keluarkan perancangan yang begini. Tetapi, saya nak ingatkan walaupun hari ini kita sebut tentang perancangan tetapi ukurannya bukan pada perancangan. Perancangan itu permulaan, ukurannya ialah pada pelaksanaannya. Ukurannya adalah keupayaan kita dalam 5 tahun, boleh tak kita ubah penekanan wajah Petaling Jaya? Selain daripada keindahan yang biasa, tentang perumahan rakyatnya, tentang gerai-gerai yang dihuni oleh 80% penduduknya. Ini bagi saya, cabaran. Bagai meningkatkan kehijauannya, kemudian kemudahan-kemudahan asas bagi rakyatnya.
- Kalau saudara lihat umpamanya kesan banjir, selalunya kawasan banjir itu di pinggir bandar yang lebih parah. Ia mengesankan orang-orang yang miskin. Kalau negeri pun begitu, Kelantan, Terengganu. Sebab itu, saya, walaupun saudara tahu perbedaan dari segi politik, saya tak peduli. Saya masih beri tumpuan besar bagi menyelesaikan masalah rakyat, termasuk masalah banjir dengan program tebatan banjir. Dia nak terima kasih, dia nak hina, itu kerja dia. Kerja saya, laksanakan sebaik mungkin. Islah Mastata’tu, yang maknanya perubahan sedaya upaya kita.
- Kerana takkanlah pula negara, 70 tahun hampir merdeka, catat kemajuan begitu. Banjir 3 kali setahun, tapi tentu perancangan, belanja yang besar dan kadang-kadang, terima kasih pun tak boleh. Macam itu saya buat, saya umumkan tentang stesen bas. Bas Petaling Jaya, bas Kuala Lumpur semua itu stesen yang baik-baik. Di Kota Bharu, tak siap-siap, jadi saya kata tak apalah belanja. Jadi seluruh projek itu dari stesennya ke jalannya sampai ke Rantau Panjang itu RM250 juta. Stesen itu sahaja kita luluskan RM30 juta. Siapa luluskan? Kerajaan Persekutuan. Kemudian ada pula yang kecam apalah, bukan RM250 juta, RM30 juta je. Eh, amboi, terima kasih lah. Kalau terima kasih tu, hang diam je lah. Because, kalau tak buat, berapa puluh tahun tak ada orang buat, tak ada yang ambil kisah tapi saya kena hubungkan dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri itu baik, maka saya jalankan tanggungjawab saya.
- Jadi saya nak bagi contoh je, mengapa? Kerana kita bicara tadi, apa? Surah Al-Balad, kita berbicara Ibn Khaldun, kita berbicara tentang Mark Twain, tentang teori-teori pembangunan dan sekarang lancarkan satu perancangan bandar. Terima kasih KPKT, kerana nampak kita selari dengan tuntutan masa dengan Menterinya, Timbalan Menterinya, pegawai-pegawai dan perancangnya itu dia dapat menangkap, bukan setakat pergi. Ini, Kor Ming dia jadi Pengerusi badan international kalau perancangan bandar semua ni. Kemudian tiba-tiba bandar negeri dia teruk, tak elok juga. Jadi sebab itu, dia bagi, dia kemukakan perancangan yang baru dan supaya kita seiring, kalau tidak cepat di ASEAN ini sebagai ke depan.
- Ini sajalah himbauan saya pada pagi ini untuk menyampaikan bukan sangat pengumuman-pengumuman penting itu dah Menteri dah lakukan, tapi saya nak himbau dari hati ke hati. Harapan kita itu tinggi mengunung, kerana apa pun perancangan besar yang kita lakukan peringkat antarabangsa, ASEAN, international menilai kejayaan itu di peringkat akar umbi. Peringkat akar umbi ini kekuatannya di perbandaran, sama ada bandar raya, majlis perbandaran itu yang menjadi kekuatan. Lambat kita laksanakan, lambatlah erti kemajuan. Lemah dan cuai dan budaya angkut harta yang haram ini dan mencuri harta rakyat, melengahkan Keputusan, itu akan menjadi satu beban yang tidak akan memberi makna kepada perancangan kita yang indah dan teratur.
- Jadi, saya bagi pihak Kerajaan nak sampaikan penghargaan saya setinggi-tingginya kepada setiap tenaga yang bekerja dengan ikhlas, mengangkat martabat diri mereka dan masyarakat mereka dan kota yang mereka pimpin. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
