TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS ANUGERAH PINGAT EMAS YAYASAN TERENGGANU KALI KE-46 DAN HADIAH KECEMERLANGAN PELAJAR SPM, STPM , STAM SERTA ANUGERAH SARJANA TERENGGANU TAHUN 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH PINGAT EMAS YAYASAN TERENGGANU KALI KE-46
DAN HADIAH KECEMERLANGAN PELAJAR SPM, STPM, STAM SERTA ANUGERAH SARJANA TERENGGANU
TAHUN 2026
26 NOVEMBER 2026 | KHAMIS | 10.30 PAGI
DEWAN KONVENSYEN TAMAN TAMADUN ISLAM
KUALA TERENGGANU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba walam yaj’al lahu ‘iwaja. Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara yang berbahagia,
Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah,
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri;
Ahli mesyuarat Kerajaan Negeri;
Datuk Seri Sollehuddin Alyubi bin Zakaria,
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU); dan
Rakan-rakan dari Yayasan Terengganu,
ICU, pengetua, guru besar, guru-guru dan ibu bapa yang dihormati sekalian.
- Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat menyempurnakan satu majlis sebagaimana yang disebut oleh Dato’ Mohd Nor yang bererti, kerana ia salah satu lakaran usaha ikhtiar untuk meningkatkan minat, kesungguhan, mengupayakan anak-anak kita catat keputusan yang cemerlang dalam pendidikan tetapi masih mengekalkan adab, budaya dan akhlak.
- Semalam kita di Kuala Lumpur, di Putrajaya, meluncurkan satu sistem pendidikan teras ilmu untuk AI. Jadi wajar saya jelaskan kepada rakan-rakan, terutama ibu bapa di sini, mengapa dalam sistem pendidikan kita, kita harus selalu lakukan anjakan dan perubahan.
- Semasa zaman saya dan zaman ibu bapa di sekolah, itu soal komputer tidak dibincangkan. Kemudian, digital tidak diajar dan sekarang pula AI, Artificial Intelligence. Jadi, ada orang bertanya apa keperluan kita terus mendukung teknologi baharu? Jawapan saya ialah sementara kita kekalkan asas pendidikan dan tradisi, tetapi kita tidak mahu anak Terengganu, anak Kedah, anak Selangor, anak Malaysia ketinggalan dalam dunia yang penuh persaingan ini. Penguasaan bahasa, dan kecerdasan, termasuk apa yang disebut disiplin dan ilmu baharu.
- Sebab itu semalam saya ucap tahniah, bukan saja kepada anak-anak yang cemerlang, tapi guru-guru, kerana guru itu terbeban dengan langkah dan usaha baru yang mereka sendiri tidak terdedah semasa mereka belajar dulu. Mereka terbeban dengan tanggungjawab baru, cabaran baru, tetapi mereka tidak ada pilihan kalau mereka nak didik anak-anak, cucu, anak-anak bangsa. Dan ini bukan perkara yang mudah, kerana masa guru-guru sekarang kebanyakan yang belajar, AI belum lagi dalam naratif dan sukatan. Tetapi saya syukur, Alhamdulillah dan ucap tahniah dan penghargaan kepada pendidik kita yang tahu keperluan keutamaan.
- Dalam Dasar Pendidikan Negara sejak saya Menteri Pendidikan dulu, yang kita jelaskan ialah semangat roh hadis Nabi Muhammad S.A.W “Adabani rabbi fa ahsana ta’dibi.” Maknanya pendidikan ini bukan sepertimana dilihat di Barat atau di Timur, pendidikan kita ini tidak boleh lari daripada mengangkat mutu, martabat, sahsiah manusia yang menteraskan adab. Jadi, ilmu itu ada terasnya. Itu bedanya dengan pemikiran yang lain.
- Dan sebab itu, di dalam belanjawan negara baru-baru ini, dalam falsafah pendidikan, kita selalu sebutkan “menggapai di langit, mengakar di bumi”. Apa makna “menggapai di langit?” Ini seolah-olah meneroka alam pemikiran baru. Membawa masyarakat untuk menempuh, menguasai teknologi baharu dan segala bentuk ilmu baharu. Dan ini termasuklah AI, digital.
- Dulu kita pernah bercakap soal peralihan tenaga. Kita bincang tenaga bagi kita sesuatu yang halal elektrik, tapi sekarang selain daripada gas, kita bicara solar, kita bicara soal kekuatan angin yang menderu memberi kekuatan tenaga. Maka anak-anak kita harus dilatih di KUSZA, di kolej-kolej, di matrikulasi. Itu sudah terdedah dengan beberapa disiplin ilmu baharu. Begitu juga soal digital, soal AI. Semua disiplin kita ni termasuk AI. Pertanian, pendidikan, sains, ekonomi. Ini yang kita sebut “menggapai di langit.”
- Apa kebimbangan kita? Kalau kita asyik fikir “menggapai di langit”, teknologi baharu, kita tinggal akar kita. Sebab itu saya tekankan “menggapai di langit, mengakar di bumi.” Apa dia “mengakar di bumi”? Itu akidah kita, akhlak kita, sahsiah kita, nilai kita, budaya tempatan kita, bahasa kita, dan kemanusiaan kita. Maka pendidikan sekarang ini harus menggabungkan kekuatan “menggapai di langit, mengakar di bumi.”
- Jadi kita tidak akan tersepit dengan permasalahan difikirkan di Barat sekarang. Nilai kemanusiaan sudah hilang. Anak-anak pintar tetapi kemanusiaannya tidak ada. Kalau kita lihat umpamanya, bagaimana mereka bicara soal kekejaman dan pembunuhan Zionis di Gaza dan Palestin. Kalau bicara, dibicara soal hak asasi, dibicara soal demokrasi. Tapi soal nilai, soal kemanusiaan, soal akhlak itu terabai kerana sistem itu hanya menumpukan usaha menimba ilmu tetapi tidak berpaksi kepada akhlak dan sahsiah.
- Ini menjadi cabaran juga kepada kita. Bagaimana kita boleh meletakkan asas pendidikan dalam sistem pendidikan negara kita supaya jangan lari daripada tonggak ini. Ya, kita perkenalkan lebih banyak pendidikan Islam, lebih banyak sekolah-sekolah menengah agama sekarang. Ada maahad tahfiz, kita ada TVET tahfiz. Dan di Putrajaya baru-baru ini kita ambil langkah-langkah tambahan. Syukur Alhamdulillah, kerana kita dapat kumpulkan ulama-ulama terkemuka di dunia. Tiga tahun berturut-turut kerana kita ramai huffaz, kumpulkan mereka. Kemudian kita atas cadangan seorang ahli hadis terkenal di dunia, Sheikh Abu Bakar, dia mencadangkan supaya negara tidak harus terlepas daripada pengupasan semula ilmu hadis.
- Jadi tiga tahun lalu kita mula khatam, khatam ini maknanya seluruh korpus hadis Sahih Bukhari itu dibaca dalam tempoh dua minggu oleh ratusan ustaz-ustaz kita dan guru-guru agama. Jadi, majlis itu dibuat di Putrajaya tiga tahun yang lalu. Dia cadang pada masa itu lama, lama sebelum saya jadi Perdana Menteri, jumpa pada dia, dia kata jangan lupa, kerana ramai huffaz al-Quran tetapi khatam hadis itu jarang berlaku di mana-mana negara di dunia.
- Maka khatam seluruh kumpulan hadis Sahih Bukhari tiga tahun lalu. Tahun lalu seluruh kumpulan hadis Sahih Muslim dibaca, dikupas, disyarah di Putrajaya. Baru-baru ini berapa hari yang lalu, khatam hadis Sahih Imam al-Tirmizi. Ini Imam al-Tarmizi itu bukan dari dunia Arab, daripada Asia Tengah, dari Uzbekistan sekarang. Jadi seorang imam keturunan Imam al-Tarmizi itu saya ingat lagi dia bagi jubah. Dia kata jubah memang keturunan Imam alTarmizi. Saya tak berani pakai datang Terengganu lah, dia dipanggil sheikh besar pulak. Tapi nak menceritakan budaya ini harus kita hidupkan ya.
- Ini maknanya dalam tradisi ilmu. Ini yang kita maksudkan dengan tradisi ilmu. Dia seperti mana yang disebut oleh Datuk Yang Dipertua sebentar tadi, dia tidak berakhir dengan musim persekolahan. Ini masalah kita sekarang. Orang semua hanya terpukau dan terpaut dengan sosial media, dengan telefon pintar. Jadi budaya membaca itu ketinggalan. Saya aneh, padahal budaya membaca itu budaya yang sangat kukuh dan tebal dengan Islam, yang disebut budaya Iqra’. Tapi budaya membaca dah kurang.
- Jadi baru-baru ini, semalam saya kata sebelum akhir musim persekolahan tahun ini, guru mesti pastikan anak-anak di musim percutian selain daripada hafalan al-Quran, pengajian-pengajian ini, mereka teruskan, sekurang-kurangnya selesai membaca dua buku. Minima dua buku tu paling minima lah kan, dua buku dalam satu bulan. Saya boleh habiskan satu buku satu hari, tapi masa di Sungai Buloh lah. Masa di Sungai Buloh boleh satu buku satu hari, tapi sekarang tak boleh lah. Di mana daripada pagi lepas, maknanya teruskan hafalan al-Quran. Lepas minum pagi, dari pukul 8:00 sampai pukul 1:00, kemudian sambung pukul 2:00 baca, jadi boleh habis satu hari. Tapi anak-anak kita, kita kena wajibkan.
- Saudara, kalau tidak, ini Yayasan Terengganu ucap tahniah. Dan Menteri Besar, Dato’ Seri Samsuri, dia ada maklum pada saya hari Isnin yang lalu, tentang usaha-usaha Terengganu dan juga dukungan daripada Yayasan Terengganu. Dan kalau dengan usaha ini, kemudian tak terbatas berakhir dengan persekolahan.
- Jadi kita bincang pelbagai masalah persekolahan. Soal penderaan dan buli. Kemudian dalam dialog semalam, mereka tanya tentang sakit mental, runsing saya. Semua itu ditanya kepada saya untuk cari jawapan. Tentu sebahagiannya boleh diselesaikan di sekolah, tetapi sebahagiannya tanggungjawab ibu bapa. Bagaimana boleh ibu bapa didik anak-anak tak ambil tahu sama ada mereka boleh baca al-Quran, solat disempurnakan. Bagaimana boleh ibu bapa mendidik anak-anak tidak mempedulikan sama ada anak itu solat atau tidak? Sama ada anak itu membaca al-Quran dengan betul atau tidak? Sama ada anak-anak itu ulang kaji, lakukan kerja rumah atau homework yang ditugaskan oleh guru?
- Bagaimana saya tahu? Sejak empat tahun yang lalu, tiap Jumaat, sebelum solat Jumaat, saya ke gerai, ke warung, tidak ke restoran besar. Ini empat tahun, kalau saya buat sekarang, dia kata dekat pilihan raya baru buat, tak, tak, tak, ini dah empat tahun. Saya nak beritahu Tuan Speaker, jangan silap faham. Dan saya tanya harga barang bagaimana? Keuntungan perniagaan bagaimana? Sewa bagaimana? Apa kawalan majlis perbandaran? Dia bantu pembersihan, dia bantu urus atau tidak. Jadi kita dapat maklumat langsung. Kemudian pergi ke masjid.
- Di masjid selalunya anak-anak tu saya layan, anak-anak kecil, cucu-cucu saya. Dan mereka ini jawab lurus. Sekolah, nama sekolah baik. Tandas sekolah ada baiki? Ada rosak tak? Dia bagi tahu. Oleh kerana itu dirakam terus, maka pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina terus dapat dengar. Anak-anak ini membuat cadangan atau teguran, maklum walaupun maksud dia bukan nak kritik tapi maklumat sampai. Tandas sekolah ada lapan, dua rosak, walaupun kita dah belanja RM1 bilion 3 tahun yang lalu untuk perbaiki.
- Kemudian saya tanya, “guru datang sekolah semua?” Ya. Ada seorang kata, “ada seorang tak datang.” Guru apa? “Guru Sains.” Saya tanya ni, “eh, pasal apa dia tak datang?” “Dia baru bersalin”, ah tak apalah. Tapi maknanya maklumat itu penting. Jadi itu tiap Jumaat. Jadi saya dapat maklumat. Dan kadang saya tanya, balik solat? Kadang-kadang. Ada ibu bapa tanya dah solat ke belum, ada yang jawab tidak. Ada ibu bapa tahu balik pukul berapa, pukul 9, ada ibu bapa tanya, “Mengapa balik atau pulang ke rumah jam 9. Hmm, kadang-kadang tanya, kadang-kadang tidak.
- Ya, sudahlah kita daripada keluarga yang bukan berpendapatan tinggi. Kalau sekolah ada, kemudahan sekolah ada, guru-guru memberikan tumpuan, tetapi ibu bapa tidak melakukan sewajaranya. Jadi saya mohon maaf, kerana pada hari ini saya nak maklum, saya nak memanfaatkan waktu untuk mengajak rakan-rakan. Nak bawa perubahan ini, mesti tanggungjawab semua. Dia dalam Islam ini dia tidak hanya khusus bukan peranan Menteri Besar ke, Speaker ke, Perdana Menteri seorang itu. Kita sama-sama lakukan tapi tanggungjawab semua. Tanggungjawab menyampaikan yang baik, melakukan kebaikan. Wa man ahsanu qaulan mimman da’a ilallah wa amila shalihan, waqala innani minal muslimin. Ini tanggungjawab semua menyampai kebaikan dan melakukan amal soleh untuk menjadikan kita muslimun haqiqiyyun. Jadi mudah-mudahan kita dapat bersama untuk meningkat usaha memartabatkan harkat, darjat umat melalui pendidikan.
- Satu keistimewaan Terengganu sejak dulu saya menjadi Menteri Pendidikan, dan ialah, Terengganu mencatat prestasi pendidikan yang membanggakan, Alhamdulillah. Ini maknanya mungkin peranan ibu bapa, guru-guru ya, guru besar, pengetua, pensyarah, dan budaya yang diterapkan, kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Terengganu serta Yayasan Terengganu. Kita harus terus pertahankan, tapi apa yang saya ingin sebut juga, dalam keadaan kita mencatat kejayaan anak-anak dengan cemerlang dengan emas, tapi masih ada yang jauh ketinggalan, yang terpinggir. Ada yang kurang memberikan tumpuan untuk mengangkat martabat mereka.
- Bagi saya, pembangunan itu mesti lebih selesa memanfaatkan sebanyak mungkin. Dari segi Kerajaan Persekutuan, saya nak sebut di sini, jumlah peruntukan untuk pendidikan itu sangat tinggi. Saya sebagaimana ibu bapa juga tahu memang hubungan saya dengan negara ASEAN, dengan antarabangsa itu sangat akrab dan baik. Baru-baru ini di Manila, di Negeri China, di antara pemimpin dia tanya, pertama tentu dia tanya bagaimana kita boleh pertahankan harga minyak yang terendah di dunia RON95 RM1.95 sen hingga RM1.99 sen. Dia tanya, saya kata tak mudah, dia bukan percuma. Kerajaan kena tampung bayar RM40 bilion satu tahun untuk pertahankan harga minyak yang rendah. Dia bukan percuma ya.
- Bagaimana boleh kita ambil RM40 bilion, RM18 bilion untuk naik gaji penjawat awam tahun ini, RM16 bilion untuk STR dan SARA? Sebab kita cermat dalam pengurusan kewangan, kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya. Semalam saya sebut di sekolah, tanya guru-guru, guru besar. Anak-anak kalau curi pensel tahu marah tak? Marah, dia ulang curi dua tiga kali, hukum tak? Hukum. Bagaimana kalau budaya itu kemudian tak sampai di atas? Bila sampai di atas, curi pensel kita kata salah. Curi kali ketiga kita hukum. Curi berterusan buang sekolah, tetapi bila terangkat jadi Datuk, Datuk Seri ke, Tan Sri curi ratusan juta kita tak jadikan isu.
- Haa ini, yang kita ajar itu apa? Akhlaknya di mana? Persoalan adabiyat itu apa? Inilah sebabnya mengapa bagi saya pendidikan itu pendidikan bangsa, bukan dia pendidikan di sekolah, tanggungjawab bersama kita hidupkan. Mengapa saya sebut begitu? Selain daripada yang saya katakan tadi tentang minyak, pendidikan, kalau tengok semua belanjawan negara, nombor satu tu mesti yang lain, pertahanan dan lain-lain.
- Di Malaysia, sejak saya perkenalkan Belanjawan MADANI, yang pertama peruntukan terbesar tiap tahun selama empat tahun adalah peruntukan untuk pendidikan anak-anak bangsa. Berapa jumlahnya? Kalau tahun lalu RM66.2 bilion tahun ini RM69 bilion. Pertama pendidikan. Kedua baru kesihatan. Kesihatan anak-anak kita, ibu bapa kita, kesihatan kita dan berikutnya barulah pertahanan dan lain-lain. Jadi saya harap dengan peruntukan ini saya tidak maksud membaca di sini, cuma saya mengatakan kita fikir. Nak fikir apa lagi nak galakkan ibu bapa ini datang sekolah ambil berat tentang masalah anak-anak.
- Saya tahu kita beri untuk tiap anak dari darjah satu sampai tingkatan lima RM200. Jadi bulan Januari, guru besar, pengetua akan atur. Tapi saya syaratkan, kalau ibu bapa marah saya tanggunglah ya. Saya syaratkan, mesti kalau nak dapat RM200 kena pergi sekolah. Kalau tidak, hantar anak sekolah tak ambil tahu langsung. Sekolah ni dia bagaimana anak pergi sekolah tu tidak, apa pandangan guru langsung tidak tahu. Jadi saya bagi kuasa penuh pada guru besar dan pengetua dan guru-guru bahawa meluluskan dana RM200 bulan Januari untuk semua pelajar kita itu dengan syarat mereka pergi ke sekolah, jadi guru boleh beritahu, “Anak ni rajin belajar, kaki ponteng, suka buli orang dan sebagainya” dan berpesan supaya anak-anak itu lebih tekun dan lebih berakhlak, boleh? Kalau tak boleh pun tak apalah saya dah umum dah. Ya itu dia.
- Itu dua untuk tingkatan enam. Ada tingkatan enam di sini? Matrikulasi? Ada tingkatan enam. Aa okey nanti tingkatan enam, mulai tahun depan, kalau sekarang tidak ada peruntukan untuk tingkatan enam. Matrikulasi ada, jadi mulai tahun depan untuk semua pelajar tingkatan enam. Kerana saya nak galakkan ya, tingkatan enam ini dibuka banyak tempat, ada anak-anak Melayu kampung, desa tu pun dah mula masuk tingkatan enam. Tapi tak ada peruntukan. Jadi, mulai tahun depan, tiap pelajar tingkatan enam untuk satu tahun, kita akan peruntukkan RM2,500.
- Untuk negeri Terengganu ni, jadi saya umumkan peruntukan khas kerana baiki infrastruktur bagi 11 buah institusi pendidikan Islam dan sekolah tahfiz. Dan peruntukan khas tambahan ini, kita luluskan RM1.497 juta untuk dilaksanakan. Ya saya, nama-nama sekolah saya tidak bacakan, kita akan edarkan.
- Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua, Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, dan semua rakan, terutama Jabatan Pendidikan, pengetua, guru-guru, ibu bapa dan yang paling istimewa, anak-anak sekolah yang hadir.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
