TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PM : PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI
2026
15 MAC 2026 (AHAD) | 6.00 PETANG
KOTA KINABALU, SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,
‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.
Alhamdu lillāhil qā’il,
Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān,
hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,
Wausolli wausallimu ‘ala rasoohilil kareem,
Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.
Saudara saya, Ketua Menteri
Saudara rakan-rakan Menteri;
Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri-menteri Persekutuan dan Negeri;
Profesor dan pensyarah, tetamu dan anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah, kita bersama-sama mengimarahkan Ramadan, dan terima kasih khusus kepada Saudara saya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji yang banyak hari dengan saya dalam beberapa acara, Hari Pengguna bersama Armizan, dan kemudian juga bersama dengan Bandaraya Kota Kinabalu. Dan sepertimana sedia maklum, dua tahun yang lalu saya ke negeri dan mengadakan perjumpaan dengan pimpinan negeri, tetapi sejak akhir tahun lalu saya telah memilih untuk menumpukan perhatian, menilai prestasi di daerah, jadi lebih granular melihat masalah-masalah rakyat dengan dekat dan tidak hanya secara mikro di Pusat atau di Negeri.
- Jadi, ucap terima kasih juga kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu tadi, kerana menyampaikan taklimat dan kita berbincang melihat kepada permasalahan rakyat secara langsung. Dan sepertimana yang disebut oleh Ketua Menteri memang Alhamdulillah kita prestasi pertumbuhan ekonomi, kawalan inflasi, dan kehadiran pelabur asing. Semua angka-angka termasuk kekuatan Ringgit itu membanggakan, Alhamdulilah. Tetapi keperluan kita menjurus langsung ke daerah, peringkat akar umbi, ialah menilai sama ada program-program raksasa dan program pertumbuhan itu, dan pada angka itu menakjubkan dan apakah ia dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat terbanyak.
- Dan penilaian di peringkat akar umbi itu sangat utama bagi saya kerana pendapatan mereka, jumlah pengangguran, dan kemudahan-kemudahan asas. Saya bagi contoh umpamanya tadi dalam menilai pembangunan, Sabah di antara negeri yang paling menarik dari segi kehadiran pelancongan asing. Dan ini suatu petanda yang sangat baik dari segi kestabilan politiknya, tentang pimpinan negeri yang punyai pengarahan yang jelas, prasarana yang baik, tetapi selanjutnya saya minta diperhatikan juga kemudahan-kemudahan asas yang dimanfaatkan oleh majoriti rakyat, umpamanya restoran kecil, gerai, warung. Itu menarik pelanggan sekitar 85 peratus, tetapi kadang-kadang dalam perencanaan pelan pembangunan, itu dianggap terkebelakang. Sebab itu, kedudukan dan tahap gerai-gerai dan warung itu paling daif.
- Maka di Kuala Lumpur saya mulakan satu gerakan besar, satu tahun berapa? 100-150 sama ada diperbaiki atau gerai baru supaya manfaat dan keselesaan kepada majoriti rakyat 85 peratus menggunakan gerai, warung dan restoran kecil, tetapi perhatian dan perbelanjaan itu tidak setimpal. Maka pengarahan dan perencanaan kita itu harus diubah supaya kepentingan rakyat dijaga. Disamping menjaga kebersihannya, penarikan pelancongnya yang juga menjadi keutamaan dalam negara kita. Jadi, terima kasih sekali lagi.
Saudara-saudara,
- Saya ingin juga menyinggung apa yang dibicarakan di Sabah. Tadi sepanjang pertemuan dengan Ketua Menteri banyak dibicarakan tentang suara-suara bagaimana menjana pertumbuhan, menjaga kepentingan-kepentingan rakyat, tetapi dibangkitkan juga tentunya isu yang hangat diperkatakan oleh segelintir tentang apa yang dibicarakan di mahkamah dan juga isu 40 peratus hasil. Saya telah berikan ketetapan, Kerajaan umumnya yang disahkan oleh Jemaah Menteri, bahawa komitmen kita berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tidak dipertikai. Dan kalau lihat kenyataan dan keputusan mahkamah itu sendiri pun sudah ada komitmen perjanjian interim di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang bermula akhir 2022, 2023 dan seterusnya setelah kami ambil alih tampuk pentadbiran negara.
- Jadi soal itu bagi saya bukan lagi isu. Yang ditanya ialah bagaimana pelaksanaannya. Saya ingin mengesyorkan rakan-rakan, walaupun saya tahu ada tuntutan yang agak riuh rendah ini ada di Sabah kerana tertangguh agak lama, tetapi ada dua pertimbangan yang harus dilakukan. Tidak pernah, umpamanya dalam pentadbiran kita abaikan. Ini dilihat dari segi peruntukan yang besar kepada Sabah dan Sarawak. Yang juga mengundang teguran dan kritikan oleh Pembangkang di Semenanjung. Tidak mengiraukan saya. Kerana kita ambil keputusan yang tepat. Kita berikan peruntukan berdasarkan keperluan. Dan soal air, elektrik yang diberikan besar dan mudah-mudahan mulai pentengahan tahun ini selesai sebahagian besar dari masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah.
- Masalah tebatan banjir yang kita tumpu di Kelantan, sebahagian Johor dan Sabah. Dan dua hari yang lalu di Sarawak, kita juga luluskan beberapa projek segera untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah dalam program tebatan banjir. Jadi, soal itu saya tidak mahu panjangkan, saya sudah sampaikan, tetapi jumlah peruntukan yang besar. Jadi boleh bincang, boleh tegur, tetapi untuk menghukum seolah-olah ada kelompok dalam negara kita di kalangan pimpinan yang sengaja mengabaikan untuk menidakkan MA63, itu hanya omongan politik, bagi saya yang tidak wajar kita layan, kerana komitmen itu ada. Datuk Johan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) telah mengadakan empat pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Ini menunjukkan seriousness kita untuk mencerakin cara detail. Ini bukan soal 40 peratus dari mana? jumlah di mana? ketetapan bagaimana? Tentunya tidak termasuk hasil mahsul, tidak termasuk pelaksanaan projek-projek negara: pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Yang pernah saya sebut di sini, bukan untuk merampas lebih 40 peratus, Datuk SS. Itu hanya menjelaskan peruntukan yang kita tambah sejak kita ambil alih kuasa yang jauh lebih tinggi daripada yang pernah diluluskan sebelumnya. Jadi sepatutnya dijawab bukan hanya oleh saya, tapi juga pemimpin Sabah yang masih aktif sekarang. Mereka harus jawab juga. Dalam Kerajaan, mengapa tidak ditambah? Ditambah itu hanya setelah 2022. Sama seperti interim payment.
- Sebab itu dalam penghakiman, tidak dipertikai komitmen Kerajaan sekarang, kerana kita menjalin perjanjian walaupun sementara, interim dengan Kerajaan Negeri yang disepakati oleh Sabah, dan dalam konteks lain oleh Sarawak. Itu diterima. Jadi, yang dibangkitkan umpamanya, perutukan pembangunan pendidikan universiti, prasarana, Pan Borneo, okey dimasukkan. Tetapi umpamanya, apakah subsidi dimasukkan? Yang tidak termasuk dalam perincian perjanjian. Itu kita bincang dan subsidi bukan kecil. Tadi saya umumkan umpamanya, berapa subsidi RON95 dengan kadar minyak, harga minyak yang mencecah USD103 satu tong. Subsidi minyak itu untuk negara, satu bulan RM2 bilion ringgit. Maknanya kalau keadaan berlarutan dengan kadar harga yang ada sekarang, RM24 bilion ringgit subsidi.
- Baik, bagaimana diesel? Naik untuk Semenanjung, tidak naik untuk Sabah dan Sarawak. Saya pertahankan keputusan itu walaupun dikritik di Parlimen, kerana saya katakan suasana keadaan di Sabah dan Sarawak itu berbeza, penggunaan diesel itu jauh lebih tinggi di Sabah dan Sarawak. Berapa subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak? Tahun lalu, 2025, RM2 bilion subsidi untuk Sabah dan Sarawak. Tahun ini, dengan kadar harga yang melambung, subsidi untuk Sabah dan Sarawak untuk diesel RM4.6 bilion. Ini bukan saya nak mengeluh, nampak saudara-saudara sedih, tidak. Saya hanya nak memberikan fakta supaya perbincangan itu berdasarkan maklumat. Berdasarkan semangat kerjasama di antara Persekutuan dan Negeri, sepertimana yang ditunjukkan oleh pemimpin Sabah sendiri, Datuk Seri Hajiji. Runding, tuntutan, perbincangan, gesaan, asakan, semua itu boleh. Tapi tidak dengan cara kenyataan yang tidak beradab dan kasar, menimbulkan kebencian, bebal. Padahal mereka juga berkuasa. Ini masalah dalam sistem negara kita ini. Orang-orang yang telah pernah diberikan amanah. Jadi Menteri, jadi Ketua Menteri, jadi Timbalan Ketua Menteri, Menteri Negeri, Menteri Persekutuan, tapi bila hilang kuasa, dia bebal dan menegur seolah-olah tidak ada yang dilakukan.
- Jadi saya harap hal ini boleh kita runding dengan baik. Saya bagi penuh kepercayaan kepada KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan SS untuk menjelaskan. Kalau lambat, tanya mereka. Dan saya percaya kita akan cuba selesaikan sebaik mungkin. Tapi juga ditanya mengapa kalau begitu kita merayu untuk rayuan banding di mahkamah dalam keputusan itu? Jawapan saya begini, kita tidak merayu kes 40 peratus. 40 peratus itu sudah muktamad, tutup kes. No discussion. As far as this government is concerned, we have given categorical assurance, this is a firm commitment, is a policy decision I have declared in the cabinet and in parliament, no negotiations. We are committed to honour our commitment of 40% to the people of Sabah, period.
- Tetapi dalam keputusan penghakiman itu ada isu, menyinggung dan malah mempertikai peranan pemimpin-pemimpin Persekutuan sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, pimpinan besar negara, pimpinan seperti Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens, Harris Salleh berikutnya, Pairin Kitingan, juga pemimpin yang dipilih oleh rakyat Sabah. Jadi bagi kita, kenyataan dan keputusan penghakiman dan sebagainya itu tidak wajar. Itu pandangan kita dan kita bawa ke mahkamah, minta diperjelaskan.
- Apakah ini menyinggung kedudukan 40 peratus? Tidak timbul sama sekali. 40 peratus done. SS, jangan bimbang, it’s done. We are not going to question that. But we are questioning, takkan nak soal keputusan itu pun tak boleh. Ada yang kata, “Oh no, you can’t.” It is an insult to the intelligence of the people of Sabah. Bagi saya, tak betul kerana yang dihina itu bukan sahaja pemimpin-pemimpin besar negara, juga pemimpin-pemimpin besar negeri. Kita nak betulkan on record. Kita tidak bersetuju dengan tujuan penghakiman yang sangat saya ingat tidak objektiflah, maknanya terlalu kuat sentimen dan prasangka politiknya.
- Baik, serius sangat time bulan puasa ini. Tadi saya mula tadi dengan Ramadan Kareem, Kullu ‘aam wa antum bi khair, Ramadan ini madrasah, sekolah tarbiah. Guna untuk melatih, membina kekuatan diri. Dan syahru Ramadan, bulan Ramadan, unzila fihil quran — bulan turunnya al-Quran. Untuk apa turunnya al-Quran? Bagi kita orang Islam, itu hudal linnas petunjuk pada manusia. Bagaimana dia petunjuk? Baca pun tidak, faham pun tidak, amal pun tidak. Dia kena baca, faham dan amal untuk menjadikan petunjuk. Petunjuk apa? Kerana menambah hidayah dan furqan. Wa bayyinatin minal huda wal furqan. Dengan ilmu itu yang disaring, difaham, diteliti, ditelaah akan memberikan kita kekuatan untuk menilai yang baik dan yang buruk, yang makruf dan yang mungkar. Dan ini ikut kefahaman kita sebab itu majlis bulan Ramadan itu patut dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu, menambah amal dan memberikan kita apa yang disebut pencerahan, kecelikan. Ada orang guna agama ini untuk menutup, melemahkan, merabunkan. Tapi ada juga agama ini sebenarnya untuk memberikan kefahaman dan kecelikan. Jadi mudah-mudahan kita tidak tinggal aspek yang sedemikian.
- Tadi dalam mesyuarat, kita bincang juga soal tebatan banjir dan beberapa tambahan peruntukan yang tentunya saya sambut dan akan beri pertimbangan, dan sebahagiannya sudah diberikan kelulusan. Dan saya ucap terima kasih kerana itu Ketua Menteri kita dah guna kesempatan yang dibuat banyak tuntutan lagi, yang dia tahu kita dah lulus banyak. Tapi saya nak manfaatkan majlis ini juga kerana kita jemput sekolah-sekolah pondok dan tahfiz Negeri Sabah. Ini juga kita kena mohon rakan-rakan faham. Di negara kita ini, anak-anak di Maahad Tahfiz, sekolah agama rakyat ini dah mencecah sampai lebih 400 ribu, mungkin setengah juta. Dan sejak 2003, keputusan Kerajaan masa itu ialah menghentikan semua bantuan pada sekolah-sekolah agama rakyat. Saya bincang dengan rakan-rakan saya Zambry pun ada, Fadhlina, dan merasakan keputusan itu tidak bijak. Kalau kita rasa ada kekurangan, kita cuba perbaiki. Tapi dengar masalah mereka.
- Saya undang tuan-tuan guru, ulama kita dan beritahu mereka. Apa yang diajar di Maahad Tahfiz, soal sama ada hafazan al-Quran atau kitab-kitab tradisional, Ihya’ Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali, mungkin min al-Dalal, atau Kimiya-yi Sa’adat, ataupun Munyatul Musalli Syeikh Daud Abdullah al-Fatani yang diajar, itu urusan pondok. Bukan urusan Kerajaan untuk campur tangan menetapkan manhaj tarbiah atau kurikulum mereka. Tetapi, kita ada usul, di semua sistem pendidikan negara kita. Sekolah Kebangsaan tentunya, sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekarang sekolah Arab, sekolah antarabangsa, untuk anak-anak Malaysia, mana mungkin sekolah antarabangsa untuk anak-anak dididik, anak orang kaya, elit pergi ke sekolah antarabangsa langsung tak faham Bahasa Malaysia, tak langsung belajar sejarah Malaysia. Jadi kita ambil keputusan untuk semua anak-anak sekolah dalam semua sistem persekolahan dan pendidikan, wajib menguasai Bahasa Melayu, wajib belajar Sejarah Malaysia. Ini juga terpakai di Maahad Tahfiz dan sekolah-sekolah agama. Jadi ada uniformity yang basic dua subjek ini yang diterima pakai.
- Tapi saya cadang juga kepada tuan-tuan guru, kita tak boleh ketinggalan dalam pertembungan budaya dan fikiran dan faham. Kalau dulu pondok, pesantren ini, di Indonesia disebut pesantren, kita kata Maahad, Tahfiz Maahad itu menjadi benteng pertahanan iman, ilmu dan menanam roh jihad menentang penjajahan. Benteng satu-satunya setelah Inggeris, Brooke di sini, Raffles ke Singapura dan Tanah Melayu menakluk negara-negara kita, ditawannya pimpinan, sistem pentadbiran, bahasanya, pendidikannya, semuanya ikut acuan Inggeris. Satu-satunya benteng pertahanan yang kebal, yang tak boleh ditembusi oleh penjajah Inggeris dan Belanda di Indonesia adalah pesantren dan pondok-pondok. Kerana tanaman tentang akidah, dan akhlak, dan sahsiah, dan roh jihad yang ditanam di sini.
- Alhamdulillah, dari segi kenyataan. Tapi keadaan berubah. Dunia sekarang melihat benteng pertahanan itu boleh ditembusi kerana rapuh. Kerana kekuatan baru itu digital transformation, Artificial Intelligence dan kita kalah sikit. Sebab itu saya bincang dengan guru-guru pondok katakan, kita akan gunakan jentera Kerajaan untuk masukkan dengan persetujuan mereka kerana Artificial Intelligence (AI) kita itu dengan nilai, di mana kita invite apa katanya values as integrating force in society and culture, dan ini yang kita pertahankan.
- Jadi, saya syukur Alhamdulillah, kerana pondok-pondok yang kita undang setuju, jalan kurikulum mereka, dan sekarang kita tidak campur, tambah bahasa, tambah sejarah dan tambah digital education dan Artificial Intelligence. Jadi kerana sambutan mereka untuk Negeri Sabah ini, kita mula lulus lima projek iaitu dalam komitmen Kerajaan MADANI ini lima projek, untuk memperkenalkan apa yang saya sebut tadi sistem pembaikan infrastruktur dan kemudian dimasukkan kemudian AI ataupun digital education. Tapi sekolah-sekolah tahfiz ini banyak yang uzur. Jadi saya beri peruntukan untuk pondok pesantren Nurul Ihsan Sandakan, Pondok Miftah Salam Sandakan, Pusat Tahfizh Al-Quran Abu Salam Matunggong, Pondok Al-Hashimi Kudat dan Pondok Fizh Zilal Al-Quran Kota Belud, kita luluskan RM1.525 juta ringgit.
- Akhirul kalam, saya sebut sikit tentang permasalahan dunia sekarang. Perang Teluk melibatkan semua negara-negara Arab dan Iran. Iran diserang ganas oleh Zionis Israel dengan dukungan Amerika Syarikat. Tentunya kita bantah, Malaysia tegas pertahankan kebebasan dan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Dalam konteks ini negara Republik Islam Iran diserang. Jadi kita pertahankan. Saya ucapa terima kasih kepada semua Ahli-ahli Parlimen dari semua parti dalam negara kita menyokong usul membantah dan mengutuk serangan Israel dan Amerika atas Iran, menjamin kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran dan takziah atas syahidnya Imam Ali Khamenei dan keluarga beliau.
- Itu satu bab, bab berikutnya ialah masalah kita, kesan daripada tutupnya Selat Hormuz, 400 kapal minyak, gas dan jentera terhalang. Harga akan melambung naik. Harga minyak USD104 satu tong sekarang, tapi Alhamdulillah, kita masih boleh bertahan. Walaupun saya sebut tadi, kos untuk RON95, RM2 bilion ringgit satu bulan, kos untuk diesel Sabah dan Sarawak untuk tahun ini RM4.6 bilion. Jadi Setiausaha Kerajaan Negeri dalam bincang dengan KSP, perlu ambil kira-kira masalah ini dan bukan sekadar bincang, keputusan guna kebijaksanaan.
- Saya syukur, Alhamdulillah, saya beritahu tadi kepada Ketua Menteri dan rakan-rakan, Malaysia diberi juga penghormatan. Kita negara kecil, bukan negara yang terlalu kaya, tapi aman dan hampir semua negara Arab termasuk Iran menghubungi kita, memberikan pandangan mereka tentang susur galur peristiwa yang berlaku dan minta juga input dan pandangan kita, kerana kestabilan politik kita, kerana sikap kita yang tegas dan saya syukur walaupun saya tidak berhajat untuk menyatakan bahawa saya boleh melakukan lebih daripada itu kerana kekangan kita dan kerumitan dan kompleksiti permasalahan itu, tetapi kita sentiasa berhubungan dengan Raja-Raja dan Ketua dan pimpinan negara Iran untuk menyatakan simpati kita dan harapan kita supaya dapat ditenangkan keadaan. Beginilah maknanya imej Malaysia sekarang kerana aman, kerana dasar ekonomi yang membangun.
- Jadi jagalah keamanan negara kita, perbezaan agama, kaum, memang ada, tapi kita boleh pilih untuk bertempur sengit, atau kita pilih untuk lita’a rafu’ kenal dan runding dengan baik, dengan semangat kemanusiaan.
- Sekali lagi ucap terima kasih. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
