TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SANTAI AKHIR RAMADAN PMX BERSAMA PIMPINAN KOMUNITI PERMATANG PAUH

20 March 2026

 

 

 

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

 

SEMPENA

 

 

SANTAI AKHIR RAMADAN PMX BERSAMA PIMPINAN KOMUNITI PERMATANG PAUH

 

 

 

 

20 MAC 2026 (JUMAAT) | 2 PETANG

DEWAN PERMATANG PASIR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi Rabbil Alamin

Nahmaduhu wanusolli ala rasoolihil karim

Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

 

Saudara pemimpin Bahagian, Cabang dan rakan-rakan saya muliakan;

PKMM;

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid; semua yang hadir. Terima kasih banyak.

 

  1. Saya datang hari ini secara mengejut nak melawat keluarga di Cherok Tok Kun, tapi saya ambil kesempatan singgah solat Jumaat di Masjid Kampung Pelet dan Amir paksa jumpa kawan-kawan lama, dan saya setuju.

 

  1. Kita dah selesai, hampir selesai hari ini menunaikan puasa ibadah Ramadan, mudah-mudahan sampai ke darjat apa yang disebut dalam al-Quran, La’allakum tattaqun. Jadi mudah-mudahan kita capai ke darjat yang paling tinggi ketakwaan kepada Allah SWT. Dan kita harap Ramadan ini kita kata madrasah Ramadan, maknanya bulan ujian, bulan pendidikan, bulan yang kita anggap kategori latihan. Jadi mudah-mudahan, kita buat penilaian hari ini supaya ibadah kita ini mampu mengangkat keimanan kita, ibadah kita, semangat kita, daya juang kita, dan juga kesedaran kita untuk membela nasib rakyat yang lebih susah dan miskin.

 

  1. Saya nak ambil kesempatan singkat sahaja, kerana tiap ketika sekarang ini kita dapat maklumat daripada kawan-kawan kita dari dunia Arab, jiran-jiran di ASEAN, dari Iran, dari Qatar. Pemimpin-pemimpin hubungi kita memaklumkan pandangan mereka. Dia berpunca dari serangan Israel dan Amerika ke atas negara Islam Iran. Malaysia dan saya minta Ahli-ahli Parlimen membuat kenyataan bersama mengutuk serangan itu, mengucapkan takziah atas kematian pemimpin-pemimpin Islam Iran dan mendoakan kejayaan mereka. Tapi sejak itu, keadaan lebih serabut, kelam kabut, sebab bila missile dan drone daripada Iran itu balas, dia balas kepada pengkalan tentera yang ada di beberapa negara Arab dan kadang-kadang serpihan itu sampai kepada kawasan-kawasan penduduk masyarakat awam. Jadi ketegangan sekarang sudah merebak ke seluruh rantau.
  2. Semalam selain daripada Presiden Turkiye dan ASEAN, semalam Perdana Menteri India pun telefon minta kalau boleh kita memikirkan jalan untuk meredakan keadaan jadi kita. Alhamdulillah, Malaysia ada di tahap yang baik kerana negara-negara ini hubungi kita, kerana kita ambil pendirian bebas, merdeka, tapi tegas dalam pertahankan prinsip. Yang keduanya, kita kena tahu kerana negara kita ini aman sebab itu bila ada gaduh-gaduh sikit-sikit, itu saya kata kena cepat, minta kawan-kawan kita, pegawai PDRM dan yang lain-lain untuk bantu cepat-cepat. Kalau boleh runding, runding. Kalau nak kena tangkap, dakwa, tangkap dakwa. Jangan tolak ansur sehingga keadaan tak terkawal.

 

  1. Sebab kita belajar daripada lain. Dah mula bergaduh saja, hancur negara. Ekonomi habis, orang ada kerja pun hilang kerja, yang hidup sihat pun terkorban. Hah ini yang berlaku. Kita jangan tunggu sampai keadaan begitu. Kita bernasib baik kerana masih lagi pertahan, sekarang harga minyak dah melambung, dulu terkawal, sekarang dengan tutupnya Selat Hormuz, pengkalan minyak dan juga gas ditutupkan, jadi harga melambung tinggi. Malaysia satu-satu negara masih pertahan RM1.99.

 

 

  1. Senangkah? tak, tiap hari, semalam kita mesyarat Majlis Keselamatan Negara, walaupun orang dah mula cuti, saya panggil Ketua Pengarah MKN, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Menteri-Menteri yang berkenaan untuk bincang. Hari sebelumnya, Mesyuarat Khas Kabinet. Kerana kesan ekonomi ini serius. Thailand buat catuan minyak. Cambodia dah dekat nak darurat minta tolong kita dan Singapura jual minyak pada dia. Harga minyak saya katakan tadi melambung naik. Semua negara. Di Singapura harga minyak dah cecah lebih RM10. Kita masih RM1.99. Walaupun diesel dan minyak RON97 naik.

 

  1. Ada orang lagi guna kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh. Minyak tersekat. Bukan salah kita. Ini masalah perang dunia. Masih ada lagi beberapa orang pembangkang maki hamun kita dalam keadaan sekarang. Ini dunia politik ini kadang-kadang tak terkawal. Patut semua pakat cari penyelesaian. Bagi rakyat, insaf. Kamu ada dana sedikit, bantu yang susah. Jadi sebab itu, kita kena kerjasama dan pakat. Sebab itu saya terima kasih kepada Dato’ Zaidi. Dia pun teguh iring saya dalam keadaan sekarang ini. Baru boleh damai. Ha, tengok tu. Aku sebut orang ni tak tepuk je. Ha, tepuk. Sebut, ha, tepuk.
  2. Jadi, saya kena terang benar-benar hal ini, kerana kita ada pantau tiap hari. Tiap hari kita pantau. Semalam pagi, saya menghadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk melaporkan, memberitahu dia tentang masalah rumit, darurat ekonomi kita ini. Sebab, kita boleh ambil tindakan mudah, semua negara naik minyak, harga minyak, kita boleh naik, tapi saya fikir banyak kali kerana naik ini beban kepada rakyat, jadi kita dapat bertahan setakat upaya. Bincang dengan Petronas supply minyak berapa lama boleh tahan? Dia kata sampai bulan Mei boleh tahan lagi dan gas kita gali lagi banyak supaya boleh bertahan.

 

  1. Jadi, janganlah ingat kita tak buat apa-apa. Hari-hari, bayangkan. Semalam, Majlis Keselamatan Negara. Sebelum itu, Mesyuarat Kabinet Khas. Pagi semalam, dengan Yang di-Pertuan Agong. Semua ini kerana nak jaga negara ini, supaya aman. Sebab itu, bila ada pergaduhan sikit tentang beberapa wakil NGO Hindu dan wakil NGO Islam, saya terima kasih kerana pihak polis, PDRM ambil inisiatif, panggil runding baik-baik. Kalau buat salah, kena dakwa. Itu soal lain. Tapi, janganlah sampai negara ini jadi kacau-bilau. Rakyat ini terikut-ikut. Yang Muslim marah pada Hindu, yang Hindu marah pada Muslim. Jangan kita marah, kita bergaduh, negara rosak, hancur. Jadi sebab itu, kena ada kewarasan.
  2. Kita, seperti yang saya sebut, negara hukum. Macam mana beza pendapat pun, ikut undang-undang. Kalau semua faham macam itu, negara ini selamat. Jadi saya cuma nak maklumkan di sini Belanjalah dengan sederhana, jangan kita rasa jenuh sangat. Malaysia ini belum terkena lagi. Di negeri lain, Ringgit kita masih boleh pertahan. Bayangkan hampir semua negara ini, nilai wang dia jatuh. Kita masih boleh pertahan. Syukurlah dan jagalah

 

  1. Jangan ingat ini semua akan kekal selama-lamanya. Jadi sebab itu, saya kata yang pertama, aman. Terutama kerana kita ada pelbagai kaum, pelbagai agama. Mana-mana negara di dunia yang ada pelbagai kaum, pelbagai agama, dia boleh aman, tenang macam ini. Panas sikit, tak puas hati sikit, merajuk sikit. Itu biasa lah, tak apa boleh tahan lagi. Jangan gaduh. Kena ingat. Tanya orang Cina, ada tak puas hati. Tanya orang Melayu, ada tak puas hati. Tanya orang India, ada tak puas hati. Saya pergi Sabah, Sarawak, ada tak puas hati. Itu biasa, runding dengan baik. Selesai dengan baik.

 

  1. Sebab itu saya kata, pimpinan kena ambil tahu. Dan pimpinan jangan duk ambil tahu pasal diri dia dan kekayaan dia. Ini prinsip yang kita kena jaga. Jadi saya harap, Saudara-saudara, saudari-saudari walaupun tak ada jadual, terima kasih Amir ya buat program santai macam ini. Dia pun kata hari ini senang buat sebab tak payah bagi makan minum. Dan, you fikir, orang ada persefahaman. Yang puasa orang Islam. Orang Cina, India yang datang tetap puasa tapi takda kata, eh kami tak ada minum ke? Tak ada. Goh ada ke? And ini, kalau saya sebut maksudnya, this is the beauty about Malaysia.

 

  1. Banyak orang tak faham ini. Ya. umpamanya, Persatuan Peniaga Cina di Kuala Lumpur buat sambutan. Kalau dia buat lepas Raya Cina, kita puasa. Dia buat sebelum Raya Cina, kalau kita hadir, kita tak boleh makan. Jadi, Persatuan Perniagaan Cina ini punya ambil berat supaya jaga kita dia buat sebelum Raya Cina. Sambutan kali pertama, dia buat sebelum Raya Cina panggil Perdana Menteri, Menteri hadir, sebelum puasa. Nak jaga hati orang Melayu supaya boleh makan, boleh senang, selesa dengan mereka. Ini kita sebagai seorang Melayu, saya appreciate Saya kata bangga ini sahabat betul. Dia faham kita. Jadi kita pun patut macam itulah. Baru ada semangat tolak ansur di kalangan kita.

 

 

  1. Macam Thaipusan, mereka minta saya pergi ke kuil. Saya kata, saya tanya fatwa apa semua dia, kita tak payah pergi ke kuil. Tapi kalau pergi sebelum itu, sekadar nak terima kasih, rai orang-orang India yang kejar dan sambut ikut paham agama dia, tak apa. Jadi saya pergi dua hari sebelum itu. Sebab apa? Saya nak tunjuk kita hormat mereka, tapi tak boleh ikut acara agama mereka. Jadi, saya cuma terima kasih kerana pimpinan masyarakat Hindu hadir, faham, dan kita orang-orang Islam pun faham. Kalau begitu, aman.

 

  1. Saya tegaskan sekali lagi, ini penting untuk jaga negara kita dalam keadaan tekanan ekonomi dan keselamatan negara sangat berat. Jangan ingat semua pergaduhan itu jauh daripada kita. Orang yang marah itu kerana kesan sampai ke sini. Kita kena pantau. Sebab itu, dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara semalam, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, semua jentera kita diambil, diberi arahan supaya pantau betul-betul keselamatan negara ini.

 

  1. Di sempadan, unsur-unsur luar, ramai iri hati dengan kita. Ramai orang iri hati dengan kita. Orang lain kelam kabut, ekonomi kita masih bertahan. Orang lain nilai wang jatuh merudum, kita masih bertahan, jadi setengah orang dia terima baik, setengah orang dia iri hati, setengah orang dia nak rosakkan dan nak khianat kita, jadi kena ingat.

 

  1. Tapi yang penting, dalam beberapa minggu ini kita terus pantau, kita doa mudah-mudahan selesai dengan baik. Saya hubungi dengan pimpinan Iran, paling akhir dengan pimpinan Arab Saudi, sebelum itu dengan Qatar, dengan Presiden Turkiye, hubungan supaya cari jalanlah kena selesai. Kalau tidak, yang untungnya Israel. Karena kita diserang, kemudian kita gaduh sama kita. Kita pakat. Jadi ini semua kita cuba bantu.

 

  1. Tapi, kesan kepada kita itu ada. Ekonomi, harga barang, harga barang sekarang ini boleh tahan, tapi saya nak bagitahu memang baja kita import. Kalau baja import, petani guna baja import, harga naik, jadi barang-barang naik, itu kita bimbang. Jadi sebab itu kita cuba sekarang kawal, ambil stok lama. Saya bagitahu Mat Sabu, beras ambil stok lama, jangan import, beras mahal, guna dulu yang lama supaya kita kawal harga.

 

  1. Itu kita ambil ikhtiar dan saya harap rakyat faham, walaupun esok kita Aidilfitri Mubarak, memang kita nak sambut, tapi saya mintalah bersederhana. Yang wanita-wanita, beritahulah, kalau kuih biasa 7 jadi 4. Kalau ketupat buat 1 gantang, buat 3 suku gantang, boleh. Kena ingat, jangan kita ingat semua hendak, simpan sikit, simpan. Allah pesan saya banyak kali dah. Simpan, simpan. Jangan belanja, jangan lupa. Jangan lupa.

 

  1. Ini saya kadang-kadang heran tengok perang ni. Dundam, dundam, ingat tak ada apa-apa. Tak! Ini perang ni, dia perang. Dia gas letup, minyak letup, minyak mahal. Bila meletup, baja mahal. Sekarang ini kita boleh bertahan kerana kita urus betul-betul dengan baik. Tapi berapa bulan saya boleh tahan? Saya bincang dengan Petronas, saya kata sampai bulan Mei, boleh bertahan lagi. Jadi, kena beringatlah. Kena terang kat orang kampung. Kalau tidak, mari puak-puak ini dia duduk kata, “wah tengok janji tak naik”. Saya janji tak naik, kalau saya tak naik. Tapi, ini dah berlaku perang, tak tengok ke?

 

  1. Kadang-kadang orang, kawan-kawan dari pembangkang ni tak tengok. Saya tengok Ketua Pembangkang, “Oh pasal apa naik. Hang mengaji di mana? Hang baca apa? Ni hari-hari terpampang ini. Satu dunia gawat sekarang. Eropah. Semalam saya katakan, Perdana Menteri India telefon. Kita negara kecil, tapi dia telefon kerana dia bimbang nak jaga 1 bilion orang rakyat India dengan keadaan sekarang. Kita 34.5 juta pun kena jaga.

 

  1. Jadi saya harap yang boleh jimat, jimat. Tapi yang paling penting, sabar dan faham masalah ini dan jangan ada hal-hal yang boleh merosakkan semangat kerjasama dan perpaduan kita supaya semangat Ramadan itu dapat kita tunai dengan baik.

 

  1. Saya sekali lagi nak ucap terima kasih Amir. Terima kasih banyak untuk Amir Ghazali, kerana urus benda ini dan kehadiran, oh ramai penyokong Amir ni (nada berseloroh) dan TKM dan Ketua UMNO, Permatang Pauh dan rakan-rakan semua yang hadir, terima kasih banyak. Goh, oh Goh Exco yang baru, dan terima kasih banyak dan saya minta maaf kerana saya datang balik sekejap, hanya untuk ziarah keluarga, balik kerana esok pagi-pagi, kena sembayang Raya di Istana Negara dengan Yang di-Pertuan Agong, itu tugas.

 

  1. Ada tadi saya pergi ke Kampung Pelet, dia kata, “tak boleh ke balik sembahyang raya kat Cheruk Tok Kun?”. Saya kata, boleh. Kau nak jadi Pendana Menteri, kena ikut peraturan. Tak nak lah ke mana. Ha, baik. Jadi, minta maaf zahir dan batin. Sempena Hari Raya, Minal Aidin wal Faizin. Kullu ‘aam wa antum bikhair.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: