TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA WARGA MAAHAD DI SELURUH BENTONG

22 January 2026

 

 

 

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA WARGA MAAHAD DI SELURUH BENTONG

 

 

22 JANUARI 2026 (KHAMIS) | 1.15 TENGAH HARI

MASJID SULTAN HAJI AHMAD SHAH

BENTONG

 

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

Alhamdulillahil quail

Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan

Waqala innanee mina almuslimeen.

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,

Menteri Besar Pahang;

 

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir,

Menteri Ekonomi;

 

Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Saya tak tahu dia wakil KSN ke, wakil Pahang, saya tak tahu sebab dia orang Pahang;

 

Speaker dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Tuan-Tuan Guru dan anak-anak yang bersama pada tengah hari ini.

 

  1. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan, termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM dan Kerajaan Negeri yang bantu menyelenggarakan majlis pada tengah hari ini. Dan tentunya kita ambil kesempatan untuk sampaikan sedikit maklumat dan saya syukur Alhamdulillah, kerana nampak Negeri Pahang di antara negeri agak ke depan mengangkat kedudukan Maahad Tahfiz dan pendidikan Islam di negara kita.

 

  1. Kita dalam Kerajaan Malaysia seperti mana yang sedia maklum, peruntukkan yang agak besar tahun ini, mencecah lebih 1.6 bilion ringgit untuk JAKIM dan Pendidikan Islam. Ini tambahan daripada 1 lebih bilion tahun sebelumnya.

 

  1. Kita umumkan baru-baru ini dalam Rancangan Pendidikan Sepuluh tahun. Pertamanya tentu Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat diberi tumpuan, Sekolah Menengah Agama dan sebagainya. Tetapi dalam Sistem Pendidikan kita pun, yang kita tekankan prinsip itu prinsip yang selalu saya hebahkan semangat dan matijah dari hadis Nabi Muhammad SAW, ‘Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi’. maknanya pendidikannya, ilmu, ya. Tapi yang kita letih itu nilai, akhlak, adab, itu kelainan kita.

 

  1. Jadi soal orang nak tohmah itu soal lain, sebab itu anak-anak yang beragama Islam, di sekolah yang bukan tahfiz, bukan sekolah agama, pun diminta kuasai agama yang basic yang ditetapkan oleh sukatannya. Kemudian ditambah sejak tahun lalu Matan Arba’in, Imam Nawawi dengan syarahnya sekali. Dan untuk berkesan dakwah kita ‘Bil hikmah wal mau’izhah hasanah, Wajadilhum billati hiya ahsan’, maka diperkenalkan kitab yang boleh memberikan kesedaran dan didikkan, pentingnya ‘dakwah’, tetapi pentingnya ‘hikmah’ dan ‘ahsan’ dalam penyampaiannya. Itu maka kita edarkan supaya dapat ditela’ah, dihadam oleh anak-anak kita yang minat tentang Islam, menyebarkan dengan baik, kitab Al-Shaykh Fahad Jabir Al-Alwani – ‘Adab Al-Ikhtilaf fi al-Islam’. Dia dakwah itu dituntut, seperti ayat yang saya baca awal-awal tadi.

 

  1. Tetapi kebijaksanaan, adabnya penting. Pendidikan itu kalau kita tengok intisari hadis Nabi Muhammad SAW, itu bukan saja menguasai ilmu. Sekarang ini kita kena kuasai ilmu. Bahasa, saya umumkan baru ini, semua sekolah termasuk Maahad Tahfiz dan Sekolah Menengah Agama. Kalau dapat peruntukkan daripada Kerajaan, mesti ada mata pelajaran Bahasa Melayu, mesti ada mata pelajaran sejarah. Kalau tidak kita besar di Malaysia, pergi ke Sekolah Cina, UEC, pergi Sekolah Arab, pergi Sekolah Antarabangsa, tapi sejarah kosong. Perlembagaan dia tidak tahu.

 

  1. Perlembagaan kita menjamin satu kemerdekaan, sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan. Perlembagaan kita menjamin, kedudukan Islam, agama persekutuan, Bahasa Melayu bahasa rasmi. Kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu bumiputera. Ini harus diajar kepada anak-anak. Kalau tidak, sampai bila? 60-70 tahun merdeka, dok sibuk bergaduh soal bahasa, soal hak keistimewaan. Padahal ini sudah termaktub dalam perlembagaan dan bukan untuk dipertikai. Inilah sebabnya mengapa kita dukung terus.

 

  1. Saudara-saudara tahu, Tok-tok Guru tahu, lebih arif daripada saya. Tahun 2003, Kerajaan pada ketika itu membatalkan semua bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat. Dan dia kata, tak sokong. Saya ambil keputusan tahun lalu, dua tahun yang lalu untuk kembalikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat. Bukan sekadar itu, saya sudah berunding dengan tuan-tuan Guru Pondok di Kedah, di Pahang, di Terengganu, di Kelantan, banyak sekolah-sekolah agama itu daif, anak-anak ramai ratus ribu belajar di situ. Jadi saya kata, saya tak mahu ganggu kurikulumnya. Nak ajar “Iḥyāʾ ʿUlum ad-Dīn” atau ‘Kimia As-Sa’adah’, Imam Al-Ghazali ataupun ‘Mun-yatul Musalli’, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu. Itu Tok-tok Guru tentukan, ini bukan urusan kementerian, bukan urusan saya dah bukan urusan Dr Zul, kita takkan ganggu. Tapi kita minta supaya penguasaan Bahasa Melayu ditambah, sejarah Malaysia ditambah.

 

  1. Kemudian, terima kenyataan, perubahan menuntut kita siap sebagai pendakwah, pendidik, mu’alim yang mampu hadapi cabaran zaman. Dulu, sekolah agama ini kalau ikut sejarah, Maahad Tahfiz, pondok-pondok di Indonesia disebut pesantren, di dunia Arab disebut Zawiyah, ini benteng pertahana,n iman dan ilmu umat, itu dikupas oleh Muhammad Natsir, Indonesia. Sistem politik ditawan. Penguasa, bangsawan, cerdik pandai, semuanya ikut kiblat Inggeris. Sistem pemerintahan, Inggeris, sistem Pendidikan, Inggeris, sistem ekonomi, Inggeris. Jiwa raga ditawan oleh mereka. Apa yang disebut oleh Sheikh Muhammad Al-Ghazali, isti’amar ruhi wa fikri – penjajahan bukan sahaja fizikal, bukan sahaja negara, hutan melantara, balak, semua ditawan termasuk pemikiran dan jiwa. Ruh – jiwa dan pemikiran. Semua ditawan. Undang-undang? Inggeris terbaik. Bahasa? Inggeris terbaik. Sistem Ekonomi? Barat terbaik. Langsung tidak faham tentang Turath.

 

  1. Sebab itu saya sebut, terima kasih lah Menteri Besar, mana dia belajar pasal Turath, saya tak tahu. Tapi memang perancangan dia itu sangat baik. Turath. Maknanya gali Khazanah ilmu yang lama, kerana Islam itu bukan tamadun baru dan budaya baru.

 

  1. Jadi, apa peranan pondok masa itu? Bila ditawan semuanya, apa yang ada benteng pada masa itu? Tak ada kekuatan lagi. Pelajaran, ikut barat. ekonomi pun yang pandai semua barat. Jadi ini kalau ikut teori Ibn Khaldun, dia kata negara terjajah itu dia mula kagum dengan sang penjajah. Dia hebat, Inggeris hebat. Kapal, pesawatnya, teknologinya, semuanya hebat, ilmunya. dia tak tahu sejarahnya, dia tak tahu Turath nya. Baik siapa yang jadi benteng pertahanan iman dan ilmu pada masa itu? Pondok-pondok. Tok-tok Guru Pondok. Dengan gaya mereka yang sederhana, mereka sudah jadi benteng, kubu pertahanan iman, ilmu, dalam keadaan seluruh negara ditawan dan seluruh penguasa terpegun, terpukau dengan penjajah. Ini kenyataan sejarah.

 

  1. Baik, saya beritahu kepada Tok-tok Guru di Kelantan. Sekarang macam mana? Penjajah tidak ada kita sudah merdeka. Dan, Alhamdulillah, Kerajaan MADANI, dia cukup. Nak apa? Nak baiki sekolah? Baik. Nak tambah Turath? Tambah. Nak tambah kemudahan-kemudahan asas? Tambah. Baik, tetapi apa yang kurang? Yang nak belajar sekarang, sukatannya, manhaj tarbiah Betul. Tetapi apa yang berlaku sekarang? Dunia sekarang terancam dengan penguasaan digital, dengan AI, dengan komputer. Jadi kalau kita nak lawan sebagai benteng pertahanan, imannya, akhlaknya, ilmunya, nilainya dan penguasaan teknologi barunya.

 

  1. Maka sebab itu saya katakan, di antara peruntukan kita itu kita akan buat latihan. Maahad Tahfiz pergi ke TVET. Penguasaan teknologi. Sekolah-sekolah Pondok, sekolah-sekolah agama, didedahkan dengan teknologi baru. Tak ganggu yang lama, tapi tambah sedikit. Kalau Tok-tok Guru setuju, Al-Fakir sekadarnya akan bantu supaya ada tambahan maklumat. Kerana AI ini, dia ilmu baru, ada baiknya, ada rosaknya. Buku pun ada, ada buku yang ilmu baik, ada ilmu menyesatkan. Kupasan ‘Hujjatul Islam’ Imam al-Ghazali jelasnya tentang kategori ilmu. Begitu juga AI. Sebab itu soal akidah, soal akhlak, soal nilai itu penting. Siapa yang mampu faham, itu sekolah-sekolah agama, Tok-tok Guru. Jadi, kuasai ini dan jadilah benteng pertahanan umat yang terbaik.

 

  1. Itu tak apa, satu bab lah. Yang saya nak sebut di sini, kerana Menteri Besar yang mula, dia nak umum yang Kerajaan Pahang bagi lah. Jadi, saya kena sebut itulah. Kita dah tambah lebih daripada RM1.6 bilion untuk tahun ini. Kemudian, saya tambah baru ini saya umum, untuk sekolah-sekolah yang daif, sekolah-sekolah agama, Maahad Tahfiz yang daif, kita tambah RM200 juta, 2026. Ini soal kadang-kadang dawai rusuh, bumbung robek. Sebab tu saya ajak menteri muda ini, Akmal datang. Dia pegang ekonomi, jadi dia tahu masalahnya dan boleh bagi keutamaan.

 

  1. Jadi untuk Pahang, kalau tahun lalu kita dah belanja 6.2 juta, untuk baiki ini sahaja, tapi untuk tahun ini tentulah daripada peruntukan ini lebih besar, kita selaraskan dengan JAKIM dan ICU untuk bantu sekolah-sekolah di seluruh negeri Pahang. Kita akan selaraskan dalam masa ini.

 

  1. Jadi anak-anak minta belajar, jangan dengarlah komen-komen yang Menteri Besar bimbang, tak apa lah itu biasa. Ingat, pesanan, gesaan firman Allah SWT, dalam menghadapi ini semua, “Wa ‘ibadur-Rahmanillazina yamsyuna ‘alal-ardi hawnaw wa iza khatabahumul-jahiluna qalu salama”– Surah Al-Furqan, maknanya kita ini Ibadurrahman hamba Tuhan, bukan hamba orang, bukan hamba projek, hamba Ibadurrahman. Jalan di muka bumi dengan yakin. Dengan yakin kerana kita ini hamba-hamba Tuhan, tapi yakin di bumi ini. Tapi kalau kita dapat hadapi puak-puak yang jahil – al-jahilu, orang jahil, tak ada yang positif. Buat masjid pun tak kena. Bagi bantuan sekolah agama pun tak kena. Bagi elaun tambahan guru-guru KAFA pun semua tak kena. Apa jawab kita? Wa qalu salama – selamatlah kamu.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Share: