TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SEBERANG PERAI ASPIRE CENTRE DAN SANTUNI KOMUNITI

24 January 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN SEBERANG PERAI

ASPIRE CENTRE DAN SANTUNI KOMUNITI

24 JANUARI 2026 (SABTU) | 2.20 PETANG

 

PERKARANGAN MENARA MAJLIS BANDARAYA

SEBERANG PERAI, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.

 

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada petang ini dan ucap tahniah atas inisiatif Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menterjemahkan konsep dan Dasar Transformasi Digital jadikan Bandar Pintar, Smart City. Terima kasih kehadiran

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

 

Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid,

Datuk Bandar Seberang Perai; dan

 

Semua keluarga MBSP.

 

  1. Saya dengar kata dia masak, saya nak try tengok kualiti masakan dia. Saya sebut tadi dalam mukadimah, bila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih meyakinkan, maka dia kena susuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia ini tidak lagi terperangkap sebagai negara pertengahan ataupun pendapatan pertengahan yang disebut middle income trap.

 

  1. Kita lihat banyak perkembangan negara, dia maju kemudian dia tersangkut ke satu peringkat. Jadi sebab itu kita merangka beberapa dasar dalam Pelan Perindustrian, dalam Pelan Transformasi Digital. Itu di antara yang saya rasa terkait dengan ikhtiar yang dilakukan dalam Seberang Perai Aspire Center (SPACE) ini iaitu memastikan kita menterjemahkan dasar yang di atas dengan percambahan data centre dengan AI.

 

  1. Kita jadi tarikan tentunya dari segi semikonduktor. Malaysia dah jadi hab Infineon. Selain dari di Jerman, pelaburan terbesar mereka adalah di Malaysia. Nvidia juga telah menjadikan Malaysia di Johor sebagai pusat untuk rantau ini. Kemudian, semua syarikat-syarikat besar AI dalam peringkat, tentunya ada pra-syarat yang kita penuhi. Tetapi kalau kita ada jentera begitu, kita tak terjemahkan di peringkat bawah, maka kita tak akan dapat manfaat. Sebab itu saya ucap tahniah kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai kerana di antara Majlis yang awal, dan melaksanakan walaupun cara yang terbatas apa yang dimasukkan dengan Smart City. So, my heartiest congratulations for MBSP for taking this initiative. Dia menuntut kita ada lonjakan. You know, it is ini bukan saja paradigm shift, kalau kita tengok teori Thomas Kuhn peralihan paradigma itu dia mengambil masa tahap perlahan.

 

  1. Kalau kita bincangkan soal Bandar Pintar dia mesti adakan suatu lonjakan. Lonjakan itu menuntut banyak persiapan prasarana, tentulah kekangan kewangan kita juga ada. Jadi saya dengar tadi, ada langkah-langkah diambil secara berperingkat. Kemudian prasarananya, tapi dengan latihan, maknanya MBSP harus pastikan rakan-rakan yang punyai bakat asas diberikan kesempatan untuk menguasai bidang ini, kerana bidang ini sangat mencabar dan tergolong dalam apa disebut new technology, teknologi baharu yang kita tidak biasa sangat.

 

  1. Sebab itu dalam perancangan pendidikan negara yang kita luncurkan minggu lalu, di antara yang kita tekankan ialah memperkenalkan disiplin mata pelajaran baru termasuk AI di peringkat serendahnya supaya pengetahuan asas itu diperkenalkan kemudian anak-anak diberi ruang latihan supaya dapat kembangkan di peringkat menengah dan tinggi. Dan maknanya kalau kita bawa seperti Pulau Pinang, itu agak ke depan dari segi perindustrian dan sekarang semikonduktor, itu satu permulaan yang baik tetapi yang harus kita kejar lonjakan ialah upskilling, reskilling, latihan kemahiran dan kita harus akui kita tidak mampu lakukan semuanya, tetapi kita ada advantage. Apa dia? Iaitu sepertimana di Penang Skills Development Centre (PSDC) lakukan, tapi harus dikembangkan dengan cepat dan meluas lagi, iaitu sinergi di antara industri, terutama yang semikonduktor dan AI, dengan universiti dan pusat-pusat latihan lainnya. Ini bagi saya, harap tentunya telah dimulakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, tetapi dari segi Kerajaan Persekutuan, kita tumpukan dengan sesungguhnya sahaja. Kita tidak mampu keterbelakang.

 

  1. Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada saudara-saudara dan rakyat kerana kerja mereka, komitmen mereka, sumbangan mereka dan ikhtiar mereka menyebabkan kita terangkat. Prestasi ringgit terbaik di Asia, pelaburan tinggi di ASEAN dan perdagangan mencecah tiga trilion ringgit. Semua angka-angka ini membantu, meyakinkan kita. Ia bukan kerana kerja seorang, atau hanya Jemaah Menteri atau kerajaan negeri. Ia telah dapat menarik minat, sense of confidence and commitment dari a large number of Malaysians from all walks of life. Ini menyebabkan kita yakin, kita fokus.

 

  1. Sekarang ini kadang-kadang, macam pelan atau perancangan pendidikan, lelah kita. Nak buat perubahan itu, elemen yang agak konservatif atau yang negatif itu, dia bangkitkan isu-isu yang kita patut selesaikan pada tahun 60-an. Tak selesai. Soal jurusan, soal pendidikan, soal bahasa.

 

  1. Jadi sebab itu saya berhasrat untuk menyelesaikan hal ini dan supaya rakyat, ibu bapa tumpu masa depan anak-anak dia harus lebih baik daripada kita, lebih canggih ilmunya daripada kita, tinggi nilainya daripada kita, dan tahu cabaran-cabaran semasa. Dan ini yang kita lakukan dalam sistem pendidikan.

 

  1. Sebab itu kita awalkan Tahun 1. Umur enam tahun masuk sekolah. Ada yang kata belum bersedia. Masuk tahun ini untuk prasekolah, umur lima tahun. Kerana hampir seratus lebih negara di dunia mula enam tahun. Yang kita terlambat ini sebab apa? Takkanlah orang Malaysia ini lembab begitu rupa sampai kena tunggu umur tujuh baru masuk kelas Darjah 1. Padahal separuh dunia telah jalankan. Di ASEAN semuanya, melainkan Indonesia, itu pun terpilih. Jadi kita harus segerakan. Ada orang kata patut bagi notis. Memang kalau tanya Kementerian Pendidikan, dia dah bagi notis: 2027, 2028, 2030. Saya kata ‘no’, mula tahun ini. Tahun ini daftar prasekolah. Ada anak umur lima tahun, tahun depan mula enam tahun masuk sekolah rendah. Ini kita agak ke depan.

 

  1. Katalah dalam keadaan di mana anak itu agak belum bersedia, ada kelas khas, bantu. Kita ini bukan memaksa orang semua. Kita tak sama. Umpamanya dalam pengalaman kita tahun 70-an, tentang budak-budak, anak-anak Melayu, Bumiputera agak ketinggalan dalam bidang matematik dan sains, kita adakan kelas Asasi, adakan kelas Matrikulasi. Kalau tambah satu tahun, apa masalahnya?

 

  1. Saya belajar Sekolah Rendah Cherok Tok Kun, kemudian ayah saya fikir harus ubah ke aliran Inggeris. Kemudian sekolah menengah kebangsaan belum ada, jadi pergi ke Stowell High School. Itu kita rugi satu tahun, kerana setelah Darjah 4, kita pergi dua tahun remove special Malay untuk menguasai bahasa Inggeris. Kemudian baru masuk Tingkatan 1. Nasib baik saya masuk sekolah Darjah 1 umur enam tahun, boleh pula masa itu. Bukan sebab ayah saya Ahli Parlimen, belum masa itu. Masa itu dia di Hospital Sungai Bakap.

 

  1. Jadi, ya, ketinggalan satu tahun. So what? Apa masalahnya? Kalau pun begitu. Jadi kalau ibu bapa rasa tak boleh, dia gagal, tak apalah, tangguhlah. Tetapi jangan halang majoriti yang nak masuk Darjah 1 umur enam tahun. Ini yang kita kena fikirkan.

 

  1. Kalau tidak, nak cakap Smart City, apa relevannya? Dato’ Baderul Amin. Kita sebut Smart City. Nak masuk Darjah 1 pun berperang. Umur enam tahun pun berperang. Nak belajar AI pun bergaduh. Nak ambil ujian, penilaian, matriks pembelajaran Darjah 4 pun jadi masalah. Saya kata Darjah 6, terlambatlah sikit. Tahun depan dah masuk Tingkatan 1. Apa salah buat penilaian Darjah 4?

 

  1. Kemudian kita tengok keupayaan dia, lemah, tambah kelas dia supaya dua tahun untuk ditingkatkan supaya masuk Tingkatan 1, itu dirancang. Bukan saya, saya bukan ada kepakaran. Cuma saya tekan. Saya kata, kalau dah setuju, nak tunggu tiga empat tahun sebab apa? If you agree, do it now. Find the funds. Prepare the schools and the teachers, the training.

 

  1. Umpamanya macam bahasa. Bahasa Melayu kita mantapkan. Ya, bukan sahaja Sekolah Kebangsaan malah Sekolah Arab, Sekolah Agama, Sekolah Antarabangsa. Anak-anak kita, belajar Sekolah Antarabangsa anak Malaysia, anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, masuk Sekolah Antarabangsa, Bahasa Melayu tak belajar, sejarah negara dia tak tahu. Mana boleh terima itu? Memang ada masalah sikit. Tadi tengah saya makan, ada orang berbisik, dia tanya Ibu bapa dia runsing sikit. Pressure, pressure. Pressure apa? Anak dia kena lulus Bahasa Melayu dan Sejarah untuk Tingkatan 5. We give you time. Anak-anak kita itu tak macam kita. Saya beritahu kepada ibu bapa, your children are not like you. They are smarter. They can absorb faster. So give them the chance. Because it’s building a nation. Tapi saya juga sebut, keutamaan Bahasa Inggeris. Smart city. Smart city. Datuk Bandar, ya? Ini penggunaan Bahasa Inggeris dengan sendirinya diperlukan.

 

  1. Makna dalam sistem pendidikan kita, sementara kita tekankan soal Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dah jadi bahasa yang penting, harus diberikan fokus yang lebih. Saya nak dari peringkat pendidikan rendah mesti ada kelas tambahan Bahasa Inggeris, bukan setakat communication, komunikasi tapi juga untuk menguasai Bahasa Inggeris lebih baik.

 

  1. Kemudian, sistem kita membolehkan. Baik. Kesediaan Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, sediakan. Apa masalah? Semua yang menguasai bahasa-bahasa lain, mesti terasnya Bahasa Melayu. Mesti menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Tetapi dia pilih Bahasa Arab atau Bahasa Tamil, Bahasa Cina, bagi ruang. Oh, dia nak sistem UEC ya, tapi UEC sama dengan Sekolah Agama, Maahad Tahfiz ataupun Sekolah Antarabangsa, mesti lalui Bahasa Melayu dan Sejarah.

 

  1. Kemudian kalau dah dia terima, dia lulus, bagi laluan dia naik atas, ke universiti, ke kolej. Eh, nak bergaduh apa? Kita orang Melayu bimbang kalau orang Cina dia tak mahu belajar Bahasa Melayu. Kita kata mesti belajar Bahasa Melayu. Sudah. Sudahlah nak gaduh apa lagi? Jalan sajalah. Selamatkan negara kita. Tumpu hal-hal yang penting. Ekonomi mesti mantap. Pekerjaan mesti diberikan. Semua faedah itu pulang balik kepada rakyat.Ini saya rasa yang perlu dikatakan.

 

  1. Jadi, bandar pintar ini, Datuk Bandar dah ambil poin semua, saya tak mahu cakap lagi lah. Tapi yang penting yang kita belajar is new technology, new knowledge, new discipline. It requires some level of proficiency in the English language. It also require new skill, new expertise. So it is related to an entire scheme of things of training, of expertise, of upskilling and of major focus with the nation to ensure that we succeed as a nation. We can only succeed if we aspire to do better. Termasuk dalam bidang teknologi baharu. Itulah yang saya nak sampaikan.

 

  1. Saya terima kasih banyak saudara-saudara. Panas berpeluh, lepas tu sabar lepas tu. Terima kasih banyak.

 

  1. .. dan Ketua Menteri Chow, memang sebab Pulau Pinang ini banyak pencapaian yang membanggakan, termasuk Majlis Perbandaran. Kelulusan cekap, santuni masalah rakyat. Ini yang Komuniti MADANI, ada masalah rakyat cepat selesai, jangan dengan titik bengik, birokrasi, orang letih kadang-kadang. Kita bicara ekonomi begini, tapi rakyat minta itu kena tunggu. Nak minta lesen kena tunggu. Ini hal-hal yang kita tak patut pertahan lagi. Jadi setakat yang saya tahulah, yang saya tahu, yang saya tak tahu, saya taklah. Saya tahu, terima kasihlah seluruh keluarga Majlis Perbandaran Seberang Perai kerana tahap kecekapan yang membanggakan.

 

  1. Saya uji dulu Fasa Satu projek perumahan. Saya nak tengok berapa cekap. Sebab di Kuala Lumpur, kalau dulu lazimnya projek perumahan enam hingga lapan bulan untuk dapat kelulusan awal. Ada satu projek saya bagi tarikh, 34 hari saya sampai. Jadi bergegas, bergegas semua. Selesai pula 34 hari. Jadi saya kata, look, you boleh selesaikan 34 hari. Sebab kebetulan PM pergi. Jadi yang PM tak pergi, kena tunggu enam bulan ke? Jadi, permulaan. Jadi saya cuba uji Dato’ Baderul Amin. Saya bagi, saya kata tarikh ini saya nak pergi untuk projek perumahan. Wah, siap sebelum satu bulan. Saya terima kasih banyak.

 

  1. Ini maknanya bekerja sebagai satu pasukan. Dia tak boleh satu orang. Dia kerja satu pasukan, macam bandar pintar. Kalau PDRM fikir no, no, no, no no.. ini bidang kita, ataupun Bahagian Penguatkuasa ini bidang kita, tak selesai. Dia mesti ada penyeragaman dan kerjasama. Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: