TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KEBUDAYAAN MADANI DAN KENDURI RAKYAT PULAU PINANG 2026

24 January 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA 

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL

KEBUDAYAAN MADANI DAN

KENDURI RAKYAT PULAU PINANG 2026 

24 JANUARI 2026 (SABTU) | 10.35 PAGI 

PEJABAT PENDIDIKAN

DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH,

PULAU PINANG

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillāhi rabbil ‘ālamīn, naḥmaduhu wa nuṣallī ‘alā Rasūlillāhil Karīm, wa ‘alā ālihi wa aṣḥābihi ajma‘īn.

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Nasir bin Mohd Rashid,

Pengasas Yayasan Global Mesra;

 

Rakan-rakan dari MRT, Bank Rakyat dan Kementerian-kementerian yang terlibat;

 

Saudara-saudari yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah, lama tak sampai Permatang Pasir, Tanjung Putus, terima kasih Zaidi, Ketua UMNO Bahagian yang bantu menyelaraskan selain daripada KEADILAN dan saya ucap terima kasihlah kerana sambutan yang baik di kalangan masyarakat. Saya nak ambil kesempatan ini bagi juga penjelasan selain daripada apa yang telah jelaskan oleh Nasir sebentar tadi bahawa kita sedang berikhtiar untuk lakukan sebaik-baik perubahan untuk memberi kebajikan, kesejahteraan kepada rakyat.

 

  1. Tapi, syarat dia apa dulu? Pertama, negeri ini aman. Jadi, sebab itu tadi di Seberang Jaya saya sebut, kita kena terima kenyataan tentang sumbangan angkatan bersenjata kita. Tentera, polis, agensi sempadan yang jamin. Tengok negara-negara termasuk di ASEAN, kita di antara yang paling aman. Bila kita sebut ekonomi, jangan mula dengan ekonomi. Mula dengan keamanan. Tugas siapa? Tugas tentera, polis. Sebab itu saya tak mahu berapa tindakan yang baru-baru ini itu seolah-olah memberi gambaran semua angkatan bersenjata atau tentera begitu. Tidak. Kita terpaksa tegas. Nak beli senjata, jangan pakai komisen. Nak beli senjata, jangan ikut ejen. Mesti pilih apa yang negara ini perlu dan manfaat kepada negara ini.

 

  1. Yang itu, kita lakukan tetapi jangan kita ketepikan majoriti besar, 90% lebih polis dan tentera yang menjalankan tugas yang terbaik sehingga negara ini jadi aman. Dulu ancaman komunis, kita dapat banteras. Kemudian ancaman apa-apa, kelompok-kelompok, pelampau dengan senjata dapat dibanteras kerana kerja mereka. Yang ini saya nak sebut yang pertama. Bila ini ada, maka sistem negara kita kena teratur. Nak marah sikit-sikit bolehlah, tak setuju pun tak apa. Bukan tak boleh kita terima semua orang setuju kan?

 

  1. Tetapi, politik itu kena kuat, stabil. Di Thailand, ada pilihan raya entah Perdana Menteri ke-4 atau ke-5 dalam tempoh dua, tiga tahun. Banyak negara jiran kalau pun nampak tidak ada perubahan dari segi pimpinan tetapi keadaan ekonomi berat di rantau kita. Malaysia tengok dari segi ekonomi tadi disebut, ringgit kita itu prestasi terbaik di Asia bukan terbaik dibanding dengan negeri-negeri jiran. Di seluruh Asia ini ringgit kita terbaik. Senang ke? Tak, kena kerja kuat, kena jaga negara sebab itu saya kata mula dengan tatakelola. Jangan bagi ada duit lebih, sapu dalam masuk dalam poket, ada duit lebih ambil komisen, ada duit lebih perkayakan anak-anak.

 

  1. Ini menyebabkan negeri kita orang tak yakin. Bila pelabur datang, bila saya tengok macam Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri ada. YB Dato’ Dr. Mohamad, ya. Kalau kita kata nak buat hospital, nak tambah, besarkan Hospital Sungai Bakap, Bukit Mertajam. Tadi saya rasmi blok baharu Hospital Seberang Jaya. Kerajaan negeri cepat, lulus dengan cepat, dan tak ada tambahan kos kepada Kerajaan Persekutuan.

 

  1. Setengah negeri saya nak beritahu, ada sesetengah orang ada sokong sini nak buat hospital, nak lulus, tujuh bulan tak selesai lagi, salah tanah negeri. Jadi bila lambat orang marah kita. Ini sebabnya saya kata negeri itu kena cekap. Tapi kalau setiap kali nak buat projek, nak buat hospital ada komisen, nak beli ubat nak minta komisen. Jadi negara mana nak boleh maju? Sebab itu, rakyat kena tahu mengapa kita keras lawan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

 

  1. Saya tak peduli orang kritik-kritik, biasa. Di sini pun ada orang bercakap, ada orang tertentu kata “oh Anwar ni, dia cukai orang miskin, orang kaya tak cukai”. Tak apalah, dia reti satu dua bab, dia tak reti bab ekonomi negara dan urus negara. Tak betul. Cukai ini yang tinggi pada orang kaya. Elektri,k kita cukai kepada orang paling kaya, yang 85% tak naik kadar elektrik.

 

  1. RON 95 kita bagi kesemua rakyat Malaysia. Harga minyak di antara yang paling rendah di dunia, RM1.99. Tapi orang asing bayarlah, RON 97, bayarlah tinggi. Tapi ada juga orang nak jadi jurucakap. “Oh, naik harga RON 97.” Hang peduli apa? Bukan kita pakai minyak itu RON 97, kita pakai RON 95. Ini kita boleh dengar. Tapi sebab itu saya minta, kita guna ruang macam ini bagi penjelasan. Bukan nak fitnah, bukan nak kutuk orang. Bagi penjelasan. Kalau boleh kita baiki, kita baiki. Bukan kita pandai semua. Kita dengar, kita belajar, kita turun.

 

  1. Semalam, dua hari yang sudah, saya pergi ke Bentong, daerah Bentong. Dulu Perdana Menteri dia pergi projek-projek besar, bincang dengan Kerajaan Negeri. Tapi saya buat tukar cara dia. Saya minta Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ahmad Zahid, Dato’ Sri Haji Fadillah sekarang, bila turun ke negeri, pergi ke daerah. Tengok projek mana jalan, titi, bangunan masjid, gerai, benda-benda yang memerlukan perhatian kita di peringkat bawah, kena di bawah rakyat. Kalau tidak orang kata pelaburan tertinggi dalam sejarah, perdagangan kita dah cecah tiga trilion ringgit, Ringgit kita prestasi terkuat Asia, tapi dia kata, “Bagi kami, dapat apa? Sekolah bagaimana? Tandas sekolah bagaimana? Dinding sekolah bagaimana? Pagar masjid bagaimana?”

 

  1. Jadi, orang di bawah nak tahu faedah di peringkat bawah. Sebab itulah saya dah minta dan saya dah mulakan di Bentong. Tengok dari segi daif. Sekolahnya, sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil, bagaimana boleh kita perbaiki supaya anak-anak kita dapat faedah yang terbaik.

 

  1. Saya luncur minggu lalu Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Industri Pertahanan Negara. Ini dua yang sangat penting. Ya, biasalah bila kita luncur apa pun, kalau kata ada ujian darjah empat, dia kata pasal apa tidak darjah lima? Buat darjah lima pasal apa tidak darjah enam? Masuk umur enam tahun, pasal apa tak boleh tujuh tahun? Semua tak kena. Tapi saya nak beritahu, dengar penjelasan. Satu dunia orang dah tukar. Umur enam tahun masuk sekolah. Satu dunia. Yang belum, Indonesia dengan beberapa negara lain. Yang lain semua. Takkan anak kitaini tak cerdik nak banding dengan orang lain, di dunia lain.

 

  1. Baik, kalau tak siap enam tahun, lima tahun masuk prasekolah. Semua sekolah ini, Sekolah Permatang Pasir, Mengkuang, mesti sediakan prasekolah supaya umur lima tahun ini, nak masuk tahun depan darjah (satu semasa umur) enam. Ni orang Permatang Pasir, pasti ke anak umur lima tahun hantar sekolah sekarang? Daftar sekarang. Supaya dia ada tujuh, lapan bulan dia belajar, tahun depan terus belajar darjah satu. Jangan tunggu tahun depan baru nak masuk. Masuklah ni, sekarang ini. Sekarang ini, daftar.

 

  1. Sebab saya kata kadang orang jadi politik ini semua jadi benda yang tak menguntungkan. Apa faedah kita minta kita ke belakang? Dan dalam Dasar Pendidikan kita apa dia? Orang kata “oh tak ada agama”. Siapa kata tak ada agama? Kita tetapkan semua pelajar Islam, masa dia belajar, mesti tamat, khatam. Selain daripada belajar al-Quran, ayat-ayat yang diwajibkan, Matan al-Arba’in oleh Imam Nawawi. Matan al-Arba’in, hadis 40 itu dengan syarahnya sekali. Jadi, anak-anak Muslim di seluruh Malaysia ini menguasai beberapa ayat basic al-Quran dan juga Matan al-Arba’in, hadis 40, dengan syarahnya sekali. Itu asas dia. Dan dalam dasar kita, seperti mana orang Permatang Pauh biasa dengar saya dari masa saya Menteri Pendidikan dulu, apa dasar kita? Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi. Pendidikan itu, betul, menambah ilmu. Fardu Ain, Fardu Kifayah.

 

  1. Dulu tak pernah bercakap soal digital, AI. Sekarang masuk digital, AI. Dulu Bahasa Melayu, Bahasa Arab, sekarang masuk lagi Bahasa Inggeris. Anak Cina boleh belajar Bahasa Cina. Anak Melayu pun boleh belajar Bahasa Cina atau Bahasa Tamil. Tak ada masalah. Tetapi yang kita tekankan yang lainnya daripada sistem yang ada di Barat, apa dia? Nilai, akhlak, Karamah Insaniah, menggunakan masa persekolahan untuk didik jadi manusia yang baik.

 

  1. Sebab itu saya kata kepada Fadhlina, Menteri Pendidikan, jangan tolak ansur. Ini kalau Sekolah Menengah Permatang Pasir minta… Pengetua ada Pengetua? Pengetua, okey, okey, berdiri, berdiri, tidak apa sikit bagi orang kenal dia Pengetua. Terima kasih. Saya dengar prestasi baik Permatang Pasir, terima kasih. Walaupun sudut jauh, saya tengok Sekolah Permatang To’ Kandu, Permatang Pasir, Cherok To’ Kun tentulah, Sekolah Juara, tengok prestasi. Permatang Pasir, Alhamdulillah ada perubahannya dan sebaik cikgu. Kalau ada perlu, boleh tulis surat, saya bagi apa-apa (yang) tidak cukup. Kalau saya tak cukup, minta kat Timbalan Ketua Menteri ada.

 

  1. Apa yang ditekankan? Hentikan kerana buli tu tunjuk orang tu tak ada adab. Pendidikan itu adabani, Ya Allah, tambah ilmu ku. Rabbi zidnil ilma, tetapi perbaiki akhlak, adab, nilai ku. Ini mengaji, lulus SPM, lulus STPM, lulus universiti, lulus sampai PhD. Tapi faham perkauman sempit, benci kepada orang, hina warna kulit. Ni belajar apa daripada ni? Bukan belajar agama itu. Bukan belajar nilai dan akhlak. Dia kuat sikit, dia tendang budak yang bawah daripada dia. Ini bukan akhlak.

 

  1. Sebab itu saya kata jangan tolak ansur, cikgu. Kalau ada kes, jangan tutup. Kadang-kadang guru, Pengetua, Guru Besar ni, dia nak jaga imej sekolah. Dia nak jaga imej sekolah, jahanamkan masa depan anak ni. Tak boleh. Sebab itu kita ambil tindakan. Dan pegawai polis ada. Saya minta polis pun, terlebih dahulu, pantau di sekolah-sekolah ni termasuk Sekolah Menengah Permatang Pasir. Supaya kalau ada, supaya kita kawal ini. Kemudian bagi asuhan, solatnya, fahaman agamanya, nilai dia. Ini faham agama, kita faham. Tapi bersyarah, maki orang hari-hari. Kutuk orang, hina. Buat fakta yang salah.

 

  1. Macam saya kata satu tadi lah. Adakah benar, Anwar sebagai Menteri Kewangan, cukai orang miskin, tak cukai orang kaya? Tanya siapa pun, ini adalah satu maklumat palsu, satu penipuan. Kerana kita cukai orang, mana ada cukai pendapatan bagi orang miskin? RM5000 ke bawah tak ada cukai pendapatan. Tapi orang yang kaya, cukai pendapatan tinggi.

 

  1. Jadi dalam sebab itu saya kata, dalam Dasar Pendidikan kita, kita tanam nilai. Jadi manusia yang baik. Di Malaysia ini, Islam agama Persekutuan. Islam ini mesti dihayati. Dan Islam tu kita kata murni dan tinggi. Al-Islamu ya‘lu wa la yu‘ala ‘alaih. Kita kata Islam itu bukan untuk menyampaikan, tapi mengamalkan. Istajibu lillahi walirrasul, iza da‘akum lima yuhyikum. Tetapi cabarannya ialah penghayatannya.

 

  1. Jadi, saya harap kita di sekolah, cikgu kirim salam semua guru-guru. Terima kasih kepada mereka. Dan tengok kalau saya ada masa, saya jenguk sekejap. Tapi selalu saya tak beritahu, saya pergi mengejut dan kita akan cuba gunakan sekolah kerana ilmu-ilmu baru itu penting. Bukannya Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Arab, Maahad Tahfiz. Kita bagi laluan. Dulu habis, habis situ, dah. Sekarang bagi laluan.

 

  1. Saya minta TPM Dato’ Seri Zahid bagi ruang. Saya kata, budak-budak, anak-anak kita Maahad Tahfiz, bagi ruang. Dia nak masuk belajar lagi di Maktab Teknik atau Politeknik, sampai Universiti pun ada dari Maahad Tahfiz. Sekarang juruterbang pun ada. Makna kita bagi ruang. Kita sekat dia hafaz Quran? Tak. Dia hafaz. Dia seorang hafiz. Tapi dia boleh naik, ini dia. Tapi, kita bagi syarat yang sama. Kalau belajar Sekolah Agama, ya, nak bantuan kerajaan, kita bagi. Siapa hentikan dulu? 2003. Batal semua bantuan kepada sekolah agama. Bila? 2003. Saya jadi Perdana Menteri, saya bawa balik bantuan itu dan tahun ini sahaja kita tambah 200 juta ringgit tambahan untuk Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz. Peruntukan untuk JAKIM, untuk urusan agama dalam negara kita. 2.6 bilion ringgit. Ya, paling tinggi dalam sejarah. Kerana Sekolah-sekolah Agama Rakyat ni teruk benar. Kadang-kadang tandas dia, bumbung dia, saya pergi tengok di Kelantan, satu sekolah itu kesian daif, asrama itu dengan anak-anak kadang-kadang terpaksa tidur atas lantai.

 

  1. Jadi, kita bantu. Syarat dia apa? Dia nak baca hujatul, karya hujatul Islam, Kimia Sa’adah, Haiyyat Al-Muddin, Imam Al-Ghazali boleh terus kita tidak mahu campur. Dia nak baca Munyatul Musalli, Syeikh Daud Abdullah Fathani, tapi syarat dia apa? Belajar Bahasa Melayu, sejarah Malaysia.

 

  1. Sama macam Sekolah Antarabangsa, anak-anak kita kadang-kadang di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang orang yang berada dia hantar anak Sekolah Antarabangsa. Tidak apa, boleh hantar. Syarat dia apa? Dia boleh bahasa Inggeris, boleh. Syarat dia Bahasa Melayu, sejarah Malaysia.

 

  1. Sekolah Cina yang jadi kontroversi, UEC semua sekarang orang tidak faham, marah habis. Saya kata samalah syarat kita bagi kepada Sekolah Agama Rakyat. Bahasa Melayu, sejarah Malaysia. Sekolah Cina, Bahasa Melayu, sejarah Malaysia.

 

  1. Kalau semua ikut itu, jadi kita sepakatlah angkat martabat negara kita ini Bahasa Kebangsaan, kita terima sejarah negara kita, kita terima. Mana boleh belajar sampai Tingkatan Lima, masuk universiti, sejarah tidak faham, Perlembagaan tidak faham tentang kedudukan Islam, agama Persekutuan, hak keistimewaan, hak rakyat, tidak tahu langsung. Itu jadi kacau-bilau sekarang ini.

 

  1. Jadi mudah-mudahan majlis seperti ini kita guna dan manfaatkan untuk bantu. Saya tekankan tadi, tidak ada cukai yang baru untuk rakyat di bawah. Tapi gaji pegawai kerajaan naik. Dua hari sudah, naik. Pergi mana? Tak tidak terima kasih dekat aku tadi pun (nada berseloroh)? Oh umum begitu terima kasih, selamat datang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri… kata terima kasihlah naik gaji hangpa ni lah. (nada berseloroh)

 

  1. Baik, berapa ini naik gaji? Berapa? Untuk pegawai-pegawai kerajaan ini untuk tahun ni? Tambahan, tambahan 18 bilion ringgit tambahan. Tapi tidak apa, hak mereka, dia khidmat, dia kerja kuat. Polis tidak kira waktu, pagi, malam, dengan tentera, kadang-kadang utusan kena jaga laut, jaga darat, jaga sempadan, jaga bukit, tinggal keluarga berminggu, berbulan. Jadi kita bagilah pengiktirafan kepada dia. Itu naik, okey, 18 bilion.

 

  1. Kemudian, rakyat minta kemudahan, kita bagi Tunai Rahmah, kita bagi SARA, ada orang Permatang Pasir tidak dapat SARA beritahu saya. Ada yang dapat tak? Dapat SARA? Berapa jumlah dia? 15 bilion ringgit. Bayang, jangan fikir yang lain, jangan fikir bab hospital. Tambahan gaji tambah RM18 bilion ringgit. SARA, Tunai Rahmah tambah 15 bilion ringgit. Dari mana duit tu? Cukai tidak tambah.

 

  1. Dari yang itu saya sebut penyasaran subsidi. Kita dapat 15 bilion, naik elektrik untuk orang kaya dan untuk kilang, tidak naik untuk rakyat. RON95 turun untuk rakyat, naik untuk orang asing. Dapat berapa? 15 bilion. Yang lain, yang sakau ini. Beli senjata sakau, beli… buat hospital sakau, beli kontrak lain sakau, jual ayam sakau.

 

  1. Semua ni kita hentikan, bawa seludup pula barang, puluh-puluh kontena barang, kita hentikan sebahagian. Dia masih lawan. Saya terima kasih PDRM, AMLA, Kementerian Pertahanan, SPRM, LHDN. Berapa kita dapat setakat ini? Tadi sekitar 15 bilion selamat, yang kita dapat daripada hentikan sakau, rasuah, rampas yang mana, yang buat haram-haram ini. Berapa dapat? 15.5 bilion ringgit. Ya, mudah? Tak. Mudah? Tak.

 

  1. Saya dulu ingat saya berani sangat, tak. Saya pun tidak berani mana-mana nak fikir juga. Eh, berani sangat ni, dia berani, kita ambil tindakan Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri ni. Orang kaya tahu tak? Orang kaya. Bukan kaya satu dua juta, kaya ratus juta, bilion ringgit. Kita gam dia, rampas bangunan dia, harta dia. Dia geng, dia bantu orang lawan kita. Dia bantu orang melalui media sosial, dia bantu orang supaya kutuk kita hari-hari ataupun apa-apa rencana dia lain.

 

  1. Saya tidak fikir betul, saya fikir, saya rasa bimbang, bimbang. Tapi, fatawakal alallah, kita tawakal kerana kita pikul amanah dan kena buat. Mudah? Tak mudah. Tidak banyak negara yang sanggup buat macam kita. Tapi inilah amanah kita.

 

  1. Saya ucap terima kasih kepada orang Permatang Pasir, orang Permatang Pauh, kerana kenal saya, kenal keluarga saya dan kenal tekad saya. Memang kadang-kadang lambat. Oh, Anwar hari ini menang, esok minyak turun. Bukan main, habis saya di kampung-kampung. Tapi hari ini apa jadi? Turun tak? Turun. Ambil masa sikit, dua setengah tahun. Turun tak? Turun.

 

  1. Saya kata PTPTN patut percuma, ada mula tak? Sekarang dah mula. Lambat tak? Lambat sikit. Buat tak? Buat. Sebab apa lambat? Sebab aku terima negara ini celaru, rasuah tinggi, wang hilang, hutang banyak. Hutang 1.5 trilion ringgit ini saya tanggung dengan kawan-kawan saya. Jadi sebab itu saya ambil masa sikit. Saya minta maaf kalau lambat sikit. Tapi buat tak? Buat.

 

  1. Kita mula bagi untuk 5,000 orang anak-anak paling miskin percuma sampai universiti. PTPTN tak perlu bayar balik. Kemudian tambah lagi jadi sepuluh ribu.

 

  1. Masa meluncurkan Dasar Pendidikan Kebangsaan Negara, saya tambah RM3000 untuk semua OKU. Ada sahaja OKU dia belajar percuma, dia belajar dari prasekolah sampai universiti percuma. Untuk RM3000 yang OKU. Tanya negara mana nak buat? Cakaplah Islam kah, Melayu kah, ada cadangan itu tak? Tak ada. Ada fikir begitu? Tak. Yang duk Kelantan.

 

  1. Jadi mudah-mudahan kita bawa perubahan ini dan saya ucap terima kasih sekali lagi lah masyarakat di sini dan kawan-kawan yang menjayakan Nasir dan kawan-kawan semua dan Dato Nasir. Dan kerana memberikan kerjasama dan doa kepada Allah SWT supaya kita sihat afiyah dan bawa perubahan ini untuk menyelamatkan masa depan anak-anak dan bangsa kita.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

Share: