TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

31 January 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

  

31 JANUARI 2026 (SABTU) | 10.00 PAGI

KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

 

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim;

 

Ampun Tuanku.

 

  1. Patik dengan penuh takzimnya menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat mencemar duli ke Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad yang bersejarah ini.

 

  1. Sesungguhnya, keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku telah menambah seri majlis ini. Keberangkatan Tuanku bukan sekadar menyempurnakan sebuah acara, tetapi mengingatkan kita bahawa perjalanan sejarah negara ini sentiasa berakar kepada zaman lampau, dipandu nilai dan dilindungi institusi Raja Berperlembagaan.

 

  1. Seterusnya, patik dengan segala hormat dan takzimnya memohon perkenan Tuanku untuk patik mempersembahkan ucapan kepada hadirin.

 

Ampun Tuanku.

 

  1. Bangunan ini dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada ketika itu. Bangunan yang tersergam sejak 1897, bukan sahaja sekadar gedung gagah, tetapi sebuah sejarah panjang yang merupakan saksi zaman. Pahit getir perjuangan menghadapi kelicikan, kezaliman dan penindasan penjajah.

 

  1. Bermula sebagai pejabat pentadbiran kolonial, bangunan ini menjadi saksi penubuhan negara, tatkala Bendera Union Jack dilengserkan pada detik 12 tengah malam, 31 Ogos 1957.

 

  1. Arkian, bermulalah ikhtiar awal negara, membersihkan negara dari kelicikan dan onak penjajahan yang dicemari dengan kebejatan, keangkuhan kuasa, penindasan dan rasuah.

 

  1. Menyingkap acara bersejarah, wajar kita tekankan bahawa pemuliharaan bukan semata-mata usaha untuk mengulang nostalgia, tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah negara Malaysia tercinta, dari Perlis sampai ke Sabah, harus sentiasa berakar, segar, dijadikan pedoman agar generasi ini dan generasi penerus tidak akan gelojoh dan tersasar daripada cita-cita dan idealisme murni perjuangan.

 

  1. Usaha ini merupakan teras kepada inisiatif Warisan Kuala Lumpur, pendekatan strategik Kerajaan untuk menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya.

 

  1. Warisan adalah aset strategik yang mampu menjana kegiatan pelancongan, budaya, seni, menggerakkan industri kreatif, dan membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan, termasuk di kalangan peniaga kecil.

 

  1. Pendekatan ini juga selari dengan persiapan negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. Malaysia bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam dan kepelbagaian serta kerencaman budaya, tetapi juga kerana kekuatan naratif sejarah dan peradaban. Lebih penting, ikhtiar ini mencerminkan hasrat bersama membina Kuala Lumpur yang moden, indah dan dinamik, namun tetap berakar kepada sejarah dan nilai.

 

  1. Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2026, projek ini meliputi kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, selain pemuliharaan Sri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa dan bangunan-bangunan berkaitan. Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi antara manifestasi awal yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat seluruhnya.

 

  1. Bangunan ini akan menempatkan, pertama mempamerkan peranan Raja-Raja, Raja-Raja Melayu khususnya, menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang menelusuri perjalanan bangunan ini dan ibu kota Kuala Lumpur melalui lima ruang bertema merentasi tiga abad bersejarah, dengan pernyataan pelbagai budaya dan pelbagai kaum.

 

  1. Di samping itu, Galeri Royal Selangor akan mempamerkan seni kraf piuter sebagai cerminan legasi ekonomi, kreativiti dan daya usaha masyarakat Kuala Lumpur yang lahir daripada sejarah perlombongan dan bijih timah.
  2. Saya yakin insya-Allah, Bangunan Sultan Abdul Samad dan keseluruhan kompleks bersejarah ini akan menjadi cerminan identiti negara. Sebuah negara progresif dan maju, tetapi tidak terputus daripada akar sejarahnya; membangun bukan sahaja dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan kemanusiaan.

 

  1. Akhir kata, kita harus memastikan bangunan-bangunan warisan ini terus hidup sebagai ruang yang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi — bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan pewaris kita pada masa hadapan.

 

  1. Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini, Dato’ Amirul Feisal dan seluruh keluarga Khazanah Nasional, Kementerian-kementerian, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, dan semua agensi puluhan malah ratusan yang terlibat.

 

 

 

Ampun Tuanku.

Patik sekali lagi merafak sembah menjunjung setinggi kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat bercemar duli menyempurnakan majlis ini. Walaupun Kuala Lumpur ini jauh daripada Johor, tetapi semangat yang dipamerkan ini sebenarnya menepati semangat Malaysia dan sejarah gemilang negara kita tercinta.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sentiasa melimpah rahmat dan kesejahteraan kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Share: