TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN RANCANGAN PENDIDIKAN NEGARA 2026-2035
TEKS VERBATIM UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN
RANCANGAN PENDIDIKAN NEGARA 2026-2035
20 JANUARI 2026 (SELASA) | 12.30 TENGAH HARI
DEWAN PERDANA, PICC
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahu ‘iwaja
Wa Usolli Wa Nusolli ala Rasoolihil Kareem
Wa ala alihi wasahbihi ajmain.
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,
Menteri Pendidikan Tinggi;
YB Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan Tinggi;
Rakan-rakan Menteri;
Ketua Setiusaha Negara; dan
Anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah kita bersama-sama dalam majlis peluncuran. Satu rancangan yang sangat bererti bagi membina negara bangsa.
- Peluncuran ini dilakukan untuk menentukan hala tuju negara yang berteras dan bertonggakkan pendidikan anak-anak bangsa. Ia memenuhi tuntutan kita untuk sepuluh (10) tahun dan semestinya yang dibicarakan adalah reform, bukan anjakan tetapi lonjakan.
- Negara ini mesti bangkit sebagai negara hebat dan negara ini punyai keupayaan dan potensi. Lihat prestasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, lihat komitmennya dari Menterinya, Timbalan Menterinya, KSU, Ketua Pengarahnya, seluruh jentera pendidik, guru-guru, dari desa ke kota, profesor dan pensyarah, saya yakin kita akan laksanakan lonjakan ini dan memberi makna kepada negara ini.
- Tapi apa erti pendidikan? Itu dikaitkan dengan dimensi manusia. Yang hendak dididik ini manusia, yang hendak dibangunkan ini manusia, prinsip Karamah Insaniah. Dimensi Insaniah atau Dimensi Manusiawi dia mencakup pelbagai bidang, mesti berakar ke bumi, mesti ada kekuatan nilai, akidah dan akhlak, mesti mengajar diri tentang apa erti kemanusiaan. Bagaimana mahu mendidik setelah terdidik menjadi pintar, menjadi pengolah, pejuang yang menegakkan sistem bobrok yang menghalalkan rasuah, yang mengizinkan penindasan, yang menghebahkan pandangan perkauman yang sempit dan kebencian antara manusia. Mana kemanusiaan kita? Mana nilai insan kita? Mana erti dan maksud pembentukan Addabani Rabbi faahsana ta’dibi – adab dan kemanusiaan.
- Ini negara kita tercinta Malaysia, dan Malaysia tertegak dengan kekuatan prinsip perlembagaan yang jelas; baik bahasanya, sistem Rajanya, dan demokrasinya, tetapi menuntut faham kekuatan kemanusiaan, kepelbagaian, kerencaman kaumnya dan bahasanya, adat dan budayanya, bersekutu itu bertambah mutu boleh digunakan untuk membina kekuatan atau digunakan untuk menghakis dan meruntuhkan budaya dan perpaduan.
- Sistem pendidikan kita mewajibkan profesornya dan pensyarahnya, guru-guru untuk menyatakan dengan jelas bahawa yang ingin kita didik dan latih itu manusia. Dengan segala aspek nilai, akhlak dan budaya, berakar ke bumi Malaysia tercinta supaya ditanam dalam lubuk hati, sanubarinya dan dhamirnya apa erti kebenaran, keadilan, kemanusiaan dan apa ertinya menjadi manusia kepada dirinya, keluarganya, masyarakat dan negaranya dan kemanusiaan keseluruhannya.
- Tetapi negara kita menuntut juga kita menguasai bidang-bidang ilmu baru. Dia terikat dengan budaya dan kekuatan lama, kita tak mungkin melonjak ke atas atau menggapai di langit. Teknologi baharu, digital, AI, pemahaman tentang peralihan tenaga, STEM, TVET, ini semua merupakan disiplin baru yang wajib dikuasai dan tidak boleh dikuasai mengikut unjuran tiga (3) tahun, lima (5) tahun, sepuluh (10) tahun. Kalau kita kekal dengan unjuran lama, kita akan tercorot di belakang.
- Maka, apa yang disebut di dalam lonjakan dalam Rancangan Pendidikan Kebangsaan ini adalah menggesa semua pihak melaksanakan dengan segera, dengan secepat mungkin, dengan gagah, dengan ikhlas, dengan tekad yang bersungguh-sungguh untuk memberi jaminan kepada anak-anak bangsa mendapat yang sebaiknya, lebih baik daripada generasi saya dan generasi selepasnya, apa itu teknologi baharu, apa itu transformasi digital dan AI.
- Saya ingin rakan-rakan faham, Rancangan kita ini berteras kepada dua (2) prinsip kerangka besar kita; berakar ke bumi supaya jangan lupa bahawa kita ini Anak Malaysia dengan nilai dan budaya dan akhlak dan kemanusiaan, kekuatan asasnya dan kerencaman kaum dan budaya, dan disamping itu menggapai, melonjak, menguasai apa yang disebut sebagai teknologi baharu, disiplin-disiplin yang terkait dengan digital, AI, dan tenaga baharu, tenaga hijau dan lain-lain.
- Bayangkan tugas Menteri, tugas KP, KSU untuk merangka sesuatu yang dituntut memenuhi keperluan negara, manusia, dirinya, keluarganya, masyarakat dan negaranya dan kemanusiaan seluruhnya. Itu tugas yang maha berat. Sebab itu kita tahu bahawa kalau dalam fahaman agama itu sendiri, tugas kerasulan itu, Innama buistu muallima – mendidik sebagai seorang mualim, mengajar, mendidik, mengasah bakat, itu tugas kerasulan, tugas yang murni.
- Sebab itu jangan tolak ansur kepada apa-apa ciri yang merosakkan nilai. Budaya buli yang melibatkan segolongan kecil tetapi kadang-kadang diambil ringan oleh para pendidik. Kita mesti ada tekad seperti mana kita perang dengan rasuah, kita perang dengan dadah, kita harus perang dengan amalan buli yang jahat dan merosakkan identiti dan budaya sekolah itu sendiri. Apa-apa amalan kemalasan dan kerosakan mesti dibanteras. Kerana yang kita ingin didik itu manusia, manusia itu dibedakan dengan haiwan kerana nilainya. Ia boleh jadi dan diangkat sebagai manusia yang baik, Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim, Allah jadikan manusia sebagai sebaik-baik insan ataupun pilih untuk menjadi sehina-hina makhluk, Thumma radadnahu asfala safilin.
- Jadi bagi saya kemanusiaan itu, nilai itu sangat penting dalam sistem pendidikan. Kita harus gerakkan seluruh tenaga kita, pelajarnya, mahasiswanya, gurunya, pensyarahnya sehingga seluruh pimpinan dalam bidang pendidikan itu supaya tumpu ke arah melonjakkan peribadi, diri, nilai, teknologi dan semua bidang yang diperlukan dituntut mengikut keupayaan masing-masing. Demikian mukadimahnya.
- Baik, setakat yang kita mampu, Kerajaan, saya, Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri, percaya dan berikan perhatian yang penting. Yang jadi Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi itu dua (2) orang, tetapi seluruh barisan menteri-menteri itu, kalau bicara soal pendidikan itu menggerakkan, minat, seluruh Jemaah Menteri. Maka, peruntukan dari segi Belanjawan Negara bayangkan. Banding negara mana di dunia sedikit sekali jumlah negara yang memberikan peruntukan terbesar dalam bidang pendidikan dan ini termasuk Malaysia. Kalau tanya Menteri, cukup? Belum cukup. Tetapi itulah kenyataannya.
- Kemudian, bulan ini bagi penjawat awam KSN, KPPA ya, naik gaji termasuk semua guru dan pensyarah. Bulan ini tiap pelajar dari darjah 1, sehingga tingkatan 6, semuanya diberi RM150 untuk asas. Ini tidak termasuk seperti mahasiswa baucar buku, bantuan-bantuan yang lain, STR untuk anak bujang, untuk bawah lapan belas juga yang selepasnya. Okay.
- Ini dah dapat, bagaimana mutu kerja? Sebelum dapat, markahnya C. Selepas dapat, masih C. Jadi saya mengharapkan dengan lonjakan dalam Rancangan Pendidikan Negara ini, kita benar-benar insaf dan berikhtiar untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.
- Saya mulakan dengan isu bahasa. Yang lain itu yang disebut dalam kertas ini, bunyi yang indah semua. Nyala rasa guru. Keterujaan sebagai pendidik. Wah, ini hebat. Pembugaran budaya membaca. Saya tak payah baca ini, tapi saya nak bagi tajuk. Pendidikan insani, yang saya singgung tadi. Baik. Saya mula tadi, isu bahasa.
- Semalam, Tuanku Yang Dipertua Agong, titah, tatkala merasmikan Parlimen tentang keburukan bahasa. Saya fikir, majoriti besar rakyat dari semua kaum, semua daerah, setuju dan cuba melaksanakan. Termasuk dalam semua sistem pendidikan negara kita. Cuma kita nak perkemaskan. Negara ini telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Maka penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai, tapi harus ditingkatkan. Sebagai bahasa Lingua Franca dan juga bahasa ilmu. Maka, kurikulum bahasa di sekolah dan universiti juga harus ditingkatkan seiring dengan tuntutan masa.
- Bila kita perkenalkan pembakuan, maksudnya penyeragaman dan peningkatan mutu penguasaannya. Sebab itu, kita mulai sekarang, saya jelaskan tentang keperluan bahasa dan menuntut supaya semua sistem pendidikan dalam negara kita menetapkan dan mewajibkan Bahasa Melayu mengikut kurkulum kementerian, termasuk sehingga SPM, sama ada di sekolah antarabangsa, ramai anak-anak Malaysia yang di sekolah antarabangsa tanpa kecuali diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu, SPM dan juga Sejarah Malaysia.
- Yang kedua, kita lihat Sekolah Agama Rakyat ini, dan Maahad Tahfiz dan sebagainya, sistem persekolahan yang kemudian sekarang meningkat. Mereka juga termasuk dalam kategori ini. Semua bantuan Kerajaan itu bersyarat. Ia boleh kekalkan manhaj, tarbiah dan kitab-kitab yang ditentukan. Kita tidak akan mengusik, ganggu, tetapi di Sekolah Agama, Rakyat dan Maahad Tahfiz yang mencecah lebih 400 ribu pelajar juga diwajibkan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia. Ini terpakai juga tentang kontroversi kecil, soal UEC walaupun keadaan sudah berubah. Majoriti besar mengambil SPM dan juga majoriti besar sudah mengambil SPM bahasa. Tetapi dalam peraturan sekarang, Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia juga diwajibkan bagi Sekolah Antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC. Maka dengan kaedah ini, jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada dari Sekolah Antarabangsa atau Sekolah Agama Rakyat dan UEC itu tidak lagi harus menjadi kontroversi. Kita terima baik asalkan syarat ini diterima.
- Berkaitan bahasa saya nak tekankan dan saya telah berulang kali tegaskan kepada rakan-rakan Menteri berkenaan. Manakala Bahasa Melayu itu dimantap kuasai sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu, penumpuan tentang penguasaan dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris harus berubah. Bahasa Inggeris harus diberi lebih keutamaan daripada sekarang. Anak-anak kita mesti menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa kedua. Tidak hanya belajar dan mengajar sambil lewa. Standard dan mutu pendidikan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara kita. Kerana negara kita negara perdagangan. Tadi saya umumkan di Parlimen, hari ini jam 12, MATRADE mengumumkan Malaysia memecah rekod buat pertama kalinya dalam sejarah mencecah perdagangan RM3 trilion. Maka penguasaan Bahasa Inggeris itu harus beri keutamaan untuk menjamin masa depan anak-anak di ruang dan medan antarabangsa, dan juga dalam bidang apa yang disebut penguasaan ilmu dalam transformasi digital, peralihan tenaga, AI dan sebagainya.
- Semua Sekolah Kebangsaan harus menyediakan guru. Kerana ini ketetapan yang kita lakukan. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, anak-anak, sama ada anak Cina atau anak Melayu yang ingin belajar Bahasa Cina sebagai bahasa pilihan. Atau Bahasa Tamil, atau Bahasa Arab, Kementerian Pendidikan wajib menyediakan guru yang cukup memberikan ruang kepada anak-anak ini belajar bahasa ini. Jadi pilihan Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, mesti ada di sekolah-sekolah bagi anak-anak yang memilih untuk menguasai bidang-bidang itu.
- Kita harap dapat diselesaikan kontroversi bahasa yang tidak berkesudahan. Saya dibesarkan tahun 50-60an, perseteruan soal bahasa dan konflik bahasa itu hangat. 2026, dengan dasar ini, insya-Allah kita tamatkan polemik bahasa, dengan memantapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan memberi peringatan dan tumpuan penguasaan bahasa-bahasa lain dalam sistem pendidikan negara kita.
- Baik, ini soal ujian, penilaian, peperiksaan. Mulai tahun 2026, tahun ini, kita akan kembalikan Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia, iaitu sistem penilaian atau peperiksaan yang dikendali oleh Lembaga Peperiksaan, darjah 4 sekolah rendah. Tahun ini, tahun ini. Cikgu-cikgu ingat, tahun ini ada ujian darjah 4 sekolah rendah. Mengapa nak tunggu darjah 6? Dan tumpuannya itu, tumpuan Matriks Pembelajaran Malaysia ini yang akan dikendali oleh Lembaga Peperiksaan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, dengan lima subjek ini.
- Sejarah itu dimasukkan untuk tingkatan 3 mulai tahun 2027. 2026, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan Sains mulai 2026. Saya tahu Kementerian Pendidikan mula nampak gelisah, mengapa Perdana Menteri nak arah cepat sangat. Tapi kerana saya tahu Kementerian Perdidikan ini kementerian yang cekap dan fikir masa depan.
- Maknanya, kita buat penilaian, dan kita tahu 2 tahun darjah 5, darjah 6 itu kita akan perbaiki dan letakkan anak-anak supaya berikan ruang mereka perbaiki dalam 2 tahun sebelum masuk ke tingkatan 1. Itu kalau tanya mengapa diberikan notis yang begitu singkat, itu salah Perdana Menteri.
- Baik, mutu sekolah itu dipertikai kemudahan asas dan sebagainya. Tahun 2023, saya luluskan 1 bilion ringgit hanya nak selesaikan masalah tandas sahaja. Itu pun tadi masuk, tanya sekolah mana? Tandas ada rosak? Okay, tapi ada satu flush tidak jalan. Setiap hari Jumaat, saya pergi solat Jumaat mesti anak-anak sekolah nanti datang, saya tanya masih ada lagi. Jadi kita akan cuba pantau dan perbaiki.
- Tetapi dalam rencana kita, tiap daerah kita akan pilih lima sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan untuk kita jadikan peringkat permulaan mulai tahun ini. Mulai sekarang saya dah maklum kepada Kementerian Kewangan bincang dengan Kementerian Pendidikan apa yang kurang supaya lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah ini bukan sekolah asrama penuh atau sekolah menengah sains, sekolah di daerah-daerah itu kita lengkapkan dengan kemudahan yang sebaik mungkin.
- Tapi tumpuannya bukan sekadar prasarana, tapi mutu pengajarannya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
- Baik, sekarang ini anak-anak masuk sekolah darjah 1, berumur 7 tahun. Mulai tahun depan, prasekolah 5 tahun, darjah 1, 6 tahun. Untuk tahun 2027, mahasiswa dia ketawa, masa mahasiswa dulu, umur 7 tahun baru layak. Masa adik-adik saudara, 5 tahun dah pandai dah, beza, dia lebih matang mengikut peredaran masa dan tuntutan zaman. Baik, maknanya tahun 2027, kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia. Kita tetapkan masih boleh masuk darjah 1, 7 tahun tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang supaya anak-anak umur 5 tahun masuk prasekolah. Dan prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan seluruh sistem prasekolah itu, kita minta kementerian pendidikan ambil alih dan selaraskan. Mulai umur 5 tahun. Umur 6 tahun, darjah 1. Ada yang tak setuju? Umur 4 tahun? Peruntukkan tambah. Ya, tentunya persiapan itu disegerakan, sebab itu saya arah mulai sekarang hal-hal yang diumumkan itu tindakan cepat dan segera oleh kedua-dua Menteri, kementerian dan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi untuk pastikan kemudahan asas itu ditambah.
- Kalau tanya unjuran Kementerian Pendidikan semua 2029, 2030. Jadi saya kata bagus, cuma kerana saya yakin dengan keupayaan kedua-dua kementerian ini semua kita akan percepatkan, semua fast track kerana negara ini mampu menjadi negara yang berjaya.
- Prakasa yang berikut ialah laluan TVET pada peringkat awal persekolahan. Sekarang yang mula ditunggu tingkatan 3, sekarang tingkatan 1 jadi Kementerian Pendidikan akan memastikan supaya laluan TVET itu, STEMnya atau digitalnya dalam kerangka TVET yang lebih menyeluruh dan lebih canggih, itu diberi ruang supaya anak-anak boleh pilih jurusan lebih awal.
- Ini bermakna beban guru bertambah, dan kita sedar bahawa rancangan daripada Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban pentadbiran kepada guru, maka dan wajarlah setelah naik gaji ini, kita juga akan pastikan kemudahan guru bukan sahaja sekolah. Kemudahan guru, bilik guru itu diperbaiki dan kita beri peruntukkan tambahan RM100 juta sekarang.
- Baik, ini tidak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi. Saudara Zambry tak bagi apa-apa nota, dan maksud saya Kementerian Pendidikan Tinggi ini notanya terlalu panjang, maklumlah yang membantunya selain daripada doktor-doktor di Kementerian Pendidikan Tinggi itu dengan profesor-profesornya, jadi dia punya laporan panjang. Jadi kalau saya nak baca semua, kita akan luncurkan hanya tahun depan.
- Tetapi ada usul dan cadangan yang sangat baik. Sebab itu saya ingin tegaskan di sini, saya bangga dengan rakan-rakan menteri dan kementerian-kementerian ini. Kerana yang pertama, kita kata harus adakan pelan. Yang kedua, dalam taklimat awal, saya rombak banyak juga perkara, dan saya tuntut semua dipercepatkan. Saya setuju pada kerangka besar, tapi saya kata mengapa nak tunggu? Segerakan, segerakan. Kita cari dana. Kalau dah tak cukup dana, sekarang dah kita potong gaji Menteri 20% ,kalau tidak cukup, kita potong lagi.
- Selain daripada yang saya sebut dalam kerangka-kerangka besar itu, universiti ini pendekatannya itu lebih, dikatakan menjurus kepada reformasi yang memberikan ruang dan pilihan lebih luas. Keluasan ini kerana sistem pendidikan itu tidak sangat terlalu terikat pada struktur dan disiplin jabatan dan fakulti. Jadi kelonggaran itu akan dijelas dan dicerakin oleh Menteri berikutnya.
- Cuma dalam pengumuman ini, saya nak tekankan beberapa hal umpamanya, reformasi Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang harus diberikan penerapan khas dalam bidang digitalisasi dan AI secara menyeluruh, dan kementerian sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti. Sepuluh buah politeknik akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang tempoh perancangan pendidikan ini.
- Kita telah sasarkan daripada awal tentang keperluan memikir merencana pendidikan percuma. Sekarang dari darjah 1 sehingga tingkatan 6 pendidikan percuma, beri lagi elaun khas untuk pelajar-pelajar, ada untuk beli buku 2 tahun yang lalu, RM100 ringgit untuk beli buku bagi pelajar-pelajar. Tahun lalu, saya kata beri kepada guru untuk beli buku untuk membaca kerana kita ada masalah sekarang, bukan sahaja kita, seluruh dunia minat membaca itu sudah jauh lebih kurang dan Malaysia harus buat sesuatu untuk mengasah bakat, dan dalam sistem pengajaran kita melatih anak-anak supaya lebih banyak membaca dan memaksa mereka membaca. Buku teks, buku pilihan, novel kerana diterima oleh semua pakar-pakar dan pendidik dunia bahawa budaya membaca, atau budaya ‘iqra itu sudah kian luntur.
- Jadi pendidikan percuma ini kita mula tingkatkan. Sebab itu saya telah umumkan dalam belanjawan peringkat awal — kalangan miskin tegar sekitar 5,800 pelajar miskin tegar akan diberikan pendidikan percuma, dan sekarang saya nak umumkan jumlah ini kita akan tingkatkan melalui bantuan PTPTN kepada 10,000 pelajar kategori miskin. Pada hari ini juga saya ingin umumkan semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti yang berjumlah sekitar 3,000 orang akan diberikan pendidikan percuma mulai sekarang.
- Mulai tahun ini, sebagaimana Kementerian Pendidikan mengambil alih seluruh sistem prasekolah, Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih seluruh sistem pendidikan pra-universiti, tingkatan 6 dan matrikulasi. Jadi, pelajar tingkatan 6 dan matrikulasi itu bukan lagi pelajar sekolah. Dia sudah masuk ke kategori pendidikan tinggi.
- Kita juga telah mengalami sedikit kontroversi. Setiap tahun kerana kursus-kursus pilihan itu sangat terbatas, dan anak-anak, tambah juga dalam kaum-kaum minoriti mengeluh tentang peluang mereka untuk mendapat tempat setelah mencatat prestasi yang sangat baik dalam ujian. Maka, memahami masalah ini saya telah tambah, minta universiti-universiti tambah kursus-kursus pilihan ini, 1,500 penambahan daripada yang ada sekarang. Tetapi setelah berunding dengan universiti dalam kursus undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, AI (kecerdasan buatan), ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, data sains, data analitik, sains komputer, kita tambah 1,500 lagi, maknanya 3,000 tempat tambahan tahun ini.
- Dan untuk mengurangkan kerisauan sesetengah pelajar, kita beri keutamaan kepada tentunya selama ini matrikulasi, asasi, tetapi kita juga telah beri jaminan supaya pelajar-pelajar tingkatan 6 STPM diberi juga keutamaan untuk mendapatkan tempat di universiti. Ini bagi PNGK 4.0, kalau 4.0, sedaya upaya, universiti akan beri tempat walaupun kadang-kadang pilihan kursus itu tertakluk kepada keupayaan universiti.
- Di peringkat pendidikan tinggi, kita tidak wajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah. Tetapi mulai tahun ini, kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang telah dirombak semula dan diajar dalam Bahasa Melayu di seluruh universiti awam dan swasta bagi pelajar Malaysia, iaitu isu perlembagaan, isu sejarah Malaysia, itu dimasukkan dalam kurikulum. Dia tidak terlalu menekan dan kita tidak membebankan anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih, tetapi saya tidak fikir wajar bagi anak Malaysia yang tidak faham perlembagaan negara, anak Malaysia yang langsung tidak mengerti tentang sejarah negara, tidak munasabah. Kalau mahu selamatkan negara ini, biar semua anak kita menguasai pengetahuan basic, asas tentang perlembagaan dan sejarah dan ini dalam mata pelajaran umum.
- Mahasiswa terus mengeluh kerana tempat penginapan sukar dicari. Kalau ada, di sekitar dan pinggir kota terlalu mahal. Maka, kita telah memberikan arahan kepada semua syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC). Kerana kalau kita berikan kepada swasta, dia mungkin timbulkan kontroversi. Jadi, syarikat-syarikat Kerajaan akan bekerjasama dengan universiti-universiti untuk membangunkan kawasan dan memberikan keutamaan kemudahan penginapan kepada mahasiswa kita. Saya telah mengadakan rundingan awal dan mudah-mudahan pada tahun ini kita mulakan dengan universiti-universiti tertentu dengan target menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa.
Saudara saudara, saudari saudari yang dikasihi sekalian,
- Pelan ini satu hal, pelaksanaannya itu lebih mencabar. Kata T.S. Eliot, “Between the ideals and the realities, lies the shadow”. Di antara matlamat dan idealisme yang menggunung dan kenyataannya dan pelaksanaannya itu ada ruang lebar dan bayang-bayang.
- Rakan-rakan Menteri, pegawai-pegawai kanan, Naib Canselor, pengarah-pengarah harus ingat, mereka tercabar dengan pelan ini, dan wajib memberikan liputan dan laporan tiap bulan tentang program pelaksanaan pelan ini.
- Tidak ada makna kita luncurkan dengan hebat begitu ramai, bagi sambutan begitu baik, bunyinya mantap kalau baca cukup menarik, dan saya dengar tadi taklimat demi taklimat, luar biasa. Ini memang kelas pertama peringkat antarabangsa, tetapi ingat cabarannya adalah pada pelaksanaannya.
- Apa pun keyakinan agama kita, soal nilai kita, apalagi pelan yang begini canggih, pendidikan dan pendidikan tinggi. Maka, mulai akhir Mac, semua yang bertanggungjawab harus lihat pelan dan berikan laporan tentang proses pelaksanaan. KSU, KP dan Menteri-menteri dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memastikan pelaksanaan itu baik. Itu bukan saja peringatan, tetapi amaran keras daripada saya. Kerana saya bimbang, berapa banyak pelan yang kita boleh luncurkan, tetapi pelaksanaan itu mungkin tidak kesampaian.
- Jadi, kita doakan kehadrat Allah SWT, mudah-mudahan dapat kita capai. Ini pelan besar bagi negara kita. Ini pelan baik atau perancangan baik untuk anak-anak kita. Ini memberikan satu gambaran tentang bagaimana serius kita untuk membawa perubahan, melakukan lonjakan dan transformasi serta reform dalam bidang pendidikan untuk pastikan dalam tempoh beberapa tahun ini mutu pendidikan kita itu meningkat dan masa depan anak-anak lebih cerah dari sekarang. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
