TEKS VERBATIM: SIDANG MEDIA PENUTUP LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KE TURKIYE
TEKS VERBATIM
SIDANG MEDIA PENUTUP
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KE TURKIYE
8 JANUARI 2026 (KHAMIS) | 5.30 PM
ISTANBUL, TURKIYE
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Kunjungan kita ke Türkiye ini atas undangan Presiden Recep Tayyip Erdoğan, yang juga telah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada bulan Februari tahun lalu. Tapi sepertimana kita saksikan, sambutan dia hangat sekali sebagai sahabat dan bagi penghormatan kepada negara Malaysia, dan kita lihat umpamanya beberapa acara sambutan itu agak luar dari jangkaan dan diakui sebagai salah satu yang diberikan penghormatan luar biasa kepada negara Malaysia tercinta.
Kita manfaatkan juga waktu itu untuk mengadakan Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategi Peringkat Tinggi, iaitu High Level Strategy Cooperation Council. Ini suatu permulaan yang menarik kerana tidak banyak negara yang kita adakan hubungan dua hala pada tingkat itu, kerana dalam High Level ini, Council ini dia mesti dipengerusikan bersama oleh Presiden dan saya.
Tentunya keputusan-keputusan kita itu akan dilaksanakan oleh menteri-menteri yang akan bertanggungjawab melaksanakan keputusan-keputusan penting yang strategik, mengangkat hubungan di antara dua negara dengan menumpukan perhatian dalam bidang pelaburan, perdagangan dan juga hubungan strategik dalam pelbagai bidang; pendidikan, pendidikan tinggi, penyelidikan dan juga memasuki beberapa disiplin dan teknologi baru, termasuk dalam ruang penerbangan, dalam bidang AI, dalam bidang tenaga dan juga nadir bumi.
Saya juga ucap terima kasih bagi pihak rakyat, kerana Anugerah Order of the Republic. Sekali lagi, penghargaan kepada negara, dan saya nyatakan penghargaan saya kerana jasa ini, jasa yang telah dicurahkan oleh pemimpin-pemimpin sejak berabad, kerana hubungan daripada Empayar Uthmaniyah kepada Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu Johor. Kerana hubungan Sultan Johor ketika itu dan juga Sultan Abdul Hamid, yang terakam dalam kenyataan sejarah.
Kemudian tentunya ditingkatkan oleh pemerintahan kita, terutama dalam keadaan sekarang, dan penghormatan itu kepada semua dan juga kepada rakyat.
Dalam pertemuan kita, kita putuskan selain berkerjasama dalam pelbagai bidang, seperti teknologi maklumat, komunikasi, keselamatan, pendidikan, pelaburan, perbankan, pengajian tinggi dan pemerteraian deklarasi bersama Penubuhan Rasmi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi ini, Majlis Peringkat Tertinggi, kita juga berbincang isu-isu semasa, termasuk keperluan meningkat kerjasama dalam berbagai bidang dan tidak bergantung hanya kepada kekuatan ekonomi biasa dan meningkat kerjasama dan menjalur ke kawasan-kawasan baru.
Kemudian kita bincang panjang juga tentang perkembangan mutakhir Gaza, kerana Türkiye telah menyediakan puluhan ribu kontena perumahan sementara, tetapi tidak masih dilarang dan tidak diizinkan oleh Netanyahu yang mempamerkan bukan saja kezaliman tetapi hilang pertimbangan kemanusiaan.
Saya juga sempat memberikan ucapan kepada golongan akademik dan pimpinan masyarakat di Türkiye, di Ankara dan adakan sesi soal jawab supaya mereka dapat lebih faham keperluan mengadakan hubungan pelancongan, kerjasama, perdagangan dan pelaburan di antara Malaysia dan Türkiye.
Sebelum saya berlepas pulang, saya sempat singgah di Istanbul, khusus untuk mengadakan perbincangan dengan Peniaga, Pelabur Türkiye yang dimulakan oleh kenyataan dan dialog bersama Menteri MITI, saudara Johari Abdul Ghani. Kemudian ada pertemuan khusus Menteri Pendidikan Tinggi dengan rakan sejawatnya, Profesor Dr Erol Ozvar.
Saya juga ambil kesempatan ini membuat beberapa pertemuan dengan rakan-rakan di Istanbul ini, rakan-rakan lama yang menyebabkan saya terasa bahawa sesuatu yang lebih harus dilakukan untuk meningkatkan kekuatan ekonomi Malaysia bersama Türkiye.
Suatu hal yang memprihatinkan yang dibangkitkan ialah tatkala saya meletakkan bunga penghormatan kepada pengasas Türkiye moden, Mustafa Kemal yang dikatakan gelaran Atatürk. Saya tidak fikir terlalu ramai, kerana semua ketua negara yang mengadakan kunjungan rasmi itu dikehendaki melakukan upacara tersebut.
Jadi harus kita ada kefahaman sejarah. Selepas Perang Dunia Pertama, Allied Forces atau Kekuatan Negara-Negara Bersekutu pada masa itu, mengambil keputusan untuk mengagihkan kawasan-kawasan di bawah empayar Uthmaniyah ini untuk dimiliki sebahagiannya oleh Greece, sebahagiannya oleh Inggeris, sebahagiannya Perancis dan lain-lain.
Ini percubaan untuk meleburkan kekuatan Uthmaniyah yang lalu, itu ikut perjanjian 1920 kalau tidak silap saya, dan diteruskan dalam perjanjian 1923. Sebab itu pimpinan tentera pada masa itu Mustafa Kamal memulakan suatu gerakan ketenteraan yang mampu menangkis serbuan ini dan mengalahkan beberapa kekuatan tenaga penjajah pada masa itu ya, atau cubaan untuk menjajah sebahagian daripada Türkiye.
Jadi rakyat Türkiye itu melihat Mustafa Kemal itu dalam konteks tersebut tentunya. Seaya juga ada pendapat peribadi yang kuat kerana kalau dia memimpin dan menguasai, ada beberapa keputusan yang saya rasa tidak serasi dengan pandangan saya. Soal tentang Islam, tentang pertukaran bahasa dan sebagainya, tulisan dan sebagainya.
Tetapi itu tidak boleh memadamkan sumbangan dan peranan dan sikap rakyat Türkiye tentang seorang tokoh besar yang berjaya membebaskan negara mereka daripada percubaan meleburkan dan menjadikannya sebahagian daripada wilayah di bawah penjajah Eropah.
Jadi itu dia. Tapi yang penting walaupun setuju atau tidak, ini rangkaian, program yang ditetapkan. Parti mana pemerintah di Türkiye, itulah perintahnya. Pemimpin mana pun dari Malaysia yang datang kunjung rasmi, semua Perdana Menteri yang pernah datang di sini dulu, baik Tun Dr. Mahathir ataupun Dato’ Sri Najib, saya terpaksa melakukan upacara tersebut. Itu sahaja. Tidak sangat besar tetapi inilah keadaan kadang-kadang yang disebut kedangkalan ilmu, kegopohan untuk menghukum yang harus kita jelaskan kepada rakyat.
Presiden Tayyip Erdogan juga menanyakan tentang kedudukan kesihatan Tun Dr. Mahathir, saya jelaskan sedikit daripada apa yang telah disampaikan oleh doktor dan beliau juga sama-sama mengucapkan selamat dan mendoakan agar afiyah, keselamatan dan setuju untuk kalau keadaan Tun Mahathir itu lebih sedikit lega beliau akan cuba menelefon, menanyakan khabar dan terus mendoakan.
Soalan 1 :
Secara keseluruhan adakah Dato’ Seri sangat berpuas hati dengan lawatan rasmi ini?
Jawapan YAB PM :
Saya mungkin dianggap sedikit bias, tetapi percayalah bahawa tidak semua negara apa lagi negara berkembang di tahap Malaysia ini diberi penghormatan luar biasa. Jauh lebih baik dari jangkaan kita sebelumnya. KSU, Kementerian Luar, Dato’ Amran pun tahu, Menteri luar yang bersama saya pun akui perkara ini. Sambutannya, penghormatannya, persahabatan Presiden tunjukkan dan juga rakan-rakan sejawatnya pada mana masa sahaja. Datuk Johari Ghani terus dapat mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat. Tidak kira waktu, dia ubah suai untuk memenuhi. Kemudian saudara Zambry pun begitu juga. Jadi, nampak ada minat untuk memberikan perhatian yang lebih kepada Malaysia. Tugas kita ialah memastikan ia dilaksanakan dengan baik.
Soalan 2 :
Dato’ Seri, sasaran 10 billion dollar nilai perdagangan di antara kedua negara pernah dilakukan sebelum ini tetapi kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Seri kali ini menzahirkan keyakinan malah yakin ia boleh dicapai lebih awal dari jangkaan. Bedasarkan faktor apa itu Dato’ Seri?
Jawapan YAB PM :
Yang Jo Ghani tentulah memperincikan segi perdagangan dan kita tentu lihat dari segi program-program, projek pelaburan, cadangan pelaburan itu nampaknya sudah dan mula berkembang itu menunjukkan keupayaan kita mencapai lebih cepat daripada jangkaan awal.
Soalan 3 :
Tentang pendidikan kita difahamkan masih tidak berapa ramai pelajar, tetapi dengan datangnya Menteri Pengajian Tinggi dijangka akan lebih banyak pertukaran pelajar?
Jawapan :
Bukan sekadar dari segi bilangan ya. Ini merupakan satu pertemuan yang sangat penting kerana kita telah pun mewujudkan jawatankuasa peringkat tertinggi dalam bidang pendidikan tinggi dan ini pertama kali diadakan antara dua buah negara. Jadi, banyak perkara bukan hanya melibatkan pelajar tapi juga melibatkan penyelidikan dan juga universiti-universiti yang ternama yang akan kita gabungkan sekali. (Di jawab oleh YB Menteri KPT)
Jawapan YAB PM :
Dia akan putuskan selepas Perhimpunan Agung UMNO. Sekarang dia balik sibuk lepas tu. Selesai. 16 hari bulan. Insya-Allah (Nada berseloroh).
