TEKS VERBATIM: RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (PINDAAN) 2026 BERBANGKIT DARIPADA CADANGAN PENGEHADAN TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI

2 March 2026

 

TEKS VERBATIM

 

RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (PINDAAN) 2026 BERBANGKIT DARIPADA CADANGAN PENGEHADAN TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 dibacakan untuk kali yang kedua sekarang.

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

  1. Hari ini, Dewan bukan sekadar menimbangkan satu pindaan undang-undang, tetapi sedang melakar satu tradisi kenegaraan yang akan membentuk dan memberi corak masa depan kepimpinan negara. Perlembagaan Persekutuan merupakan amanah perundangan tertinggi negara yang bukan sahaja mengatur kuasa, tetapi mengehadkan kuasa demi melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan demokrasi.

 

  1. Tanpa mengira perbezaan politik, kita memikul tanggungjawab untuk memastikan sistem demokrasi berperlembagaan negara kekal stabil dan matang

 

  1. Dalam salasilah demokrasi, kematangan sesebuah negara tidak pernah diukur pada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa. Ia diukur pada kekuatan institusi yang menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu.

 

  1. Jadi, pengehadan tempoh jawatan bukanlah penafian terhadap peluang kepimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat kepada mana-mana insan semata-mata.

 

  1. Ia juga bukan perkara yang baru kerana ia berlaku di rantau kita had jawatan Presiden di negara-negara jiran. Di Afrika Selatan, dihadkan tempoh pasca-Aparteid, susulan penubuhan Kerajaan baru di bawah pimpinan Nelson Mandela.

 

  1. Jadi, pembentangan Rang Undang-Undang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.

 

  1. Pendekatan ini selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menuntut kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan, nilai-nilai yang hanya dapat dipelihara apabila kuasa diurus dengan integriti, institusi diperkasa dan kepercayaan rakyat kepada sistem kenegaraan sentiasa dijunjung.

 

  1. Nilai yang dikongsi merentas agama dan tamadun kerana setiap masyarakat menuntut pemimpinnya berlaku adil dan bertanggungjawab.

 

  1. Apa lagi kalau diteraskan kepada prinsip Islam yang menekankan tentang amanah mesti diserahkan kepada yang berhak dan urusan manusia hendaklah dilaksanakan dengan adil, Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58.

 

  1. Dalam satu hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim pula, Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan, tentang kita, peranan kita, setiap kita sebagai pemimpin,

 

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَن ْ رَعِيَّتِهِ

 

  1. Jadi mesej dan intipati nilai menekankan keterbatasan kuasa dan pertanggungjawaban atau akauntabiliti.

 

  1. Jadi, pindaan ini dengan menghadkan tempoh jawatan bukanlah tertumpu kepada individu, tetapi memastikan kuasa kekal di bawah disiplin perlembagaan dan kepimpinan negara sentiasa diperbaharui secara tertib demi kestabilan.

 

  1. Syariat Islam turut menekankan prinsip sadd al-zari’ah, iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan. Penetapan had tempoh jawatan boleh dilihat sebagai satu usaha mencegah penumpuan kuasa, penurusan dan mengurangkan risiko tersebut.

 

  1. Selari dengan tuntutan agama supaya kepimpinan sentiasa dipelihara dalam kerangka amanah, keadilan dan pertanggungjawaban.

 

  1. Menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah perkara baharu. Ia telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi yang panjang.

 

  1. Kita telah mengambil langkah untuk menterjemahkan wacana tersebut melalui pindaan ini sebagai satu tekad politik untuk melaksanakan reformasi secara konsisten.

 

  1. Jadi rasionalnya adalah menetapkan kaedah atau mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Memastikan peralihan kuasa dan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang.

 

  1. Dalam kerangka Perlembagaan, pelantikan Perdana Menteri bergantung kepada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Namun, Perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan tersebut, walaupun jawatan ini memegang peranan yang amat besar dalam pentadbiran negara.

 

  1. Maka, cadangan ini dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada. Ia tidak mengubah asas demokrasi berparlimen, tidak menjejaskan kuasa prerogatif wewenang Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada Kerajaan.

 

  1. Malah, pindaan ini memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.

 

  1. Terdapat negeri yang telah melaksanakan pendekatan ini dan terdapat juga negeri yang sedang meneliti cadangan seumpamanya. Ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingan memperkukuh institusi serta menetapkan had kuasa secara berprinsip.
  2. Di peringkat Persekutuan, cadangan ini mengambil pendekatan had tempoh secara agregat bagi mengekalkan keseimbangan antara pembaharuan kepimpinan dan kestabilan pentadbiran negara.

 

  1. Dalam rangka cadangan ini, Kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan, wakil masyarakat serta pakar dalam bidang tadbir urus dan perlembagaan. Turut mengambil kira pandangan awam yang menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh pertanggungjawaban atau akauntabiliti pimpinan melalui penetapan had tempoh jawatan.

 

  1. Cadangan Rang Undang-Undang ini mempunyai lapan (8) fasal sebagaimana yang dinyatakan dalam naskhah biru, yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat pada 23 Februari 2026. Iaitu meminda perlembagaan bagi memperuntukkan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, termasuk kaedah pengiraan tempoh jawatan serta perkara berkaitan.

 

  1. Fasal 1 Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi tajuk ringkas dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.
  2. Fasal 2 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

 

  1. Fasal baharu (2A) Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh memegang jawatan Perdana Menteri selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah sepuluh tahun, sama ada terus-menerus atau selainnya.

 

  1. Fasal baharu (4A) hingga (4D) juga dimasukkan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Fasal baharu (4A) Perkara 43 Perlembagaan memperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila tempoh yang ada pada agregatnya berjumlah sepuluh tahun, manakala Fasal baharu (4B) Perkara 43 Perlembagaan memperuntukkan bahawa anggota Jemaah Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan berbangkit daripada pemberhentian jawatan Perdana Menteri.

 

  1. Fasal baharu (4C) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kesinambungan pentadbiran Kerajaan dengan membenarkan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang telah terhenti memegang jawatan untuk terus menunaikan fungsi mereka sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik menurut kuasa perenggan (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi yang ditunaikan oleh Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang telah terhenti memegang jawatan di bawah Fasal baharu (4A) dan (4B) Perkara 43 Perlembagaan terhad kepada memastikan perjalanan pentadbiran harian Kerajaan sehingga seorang Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang baharu dilantik.

 

  1. Fasal baharu (4D) Perkara 43 Perlembagaan memperuntukkan pengiraan tempoh yang pada agregatnya berjumlah sepuluh tahun sepertimana yang disebut dalam Fasal baharu (2A) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, dan bahawa apa-apa tempoh orang yang melaksanakan fungsi Perdana Menteri berikutan pembubaran Parlimen di bawah Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak akan diambil kira.

 

  1. Sebagai tambahan, pindaan berbangkit juga dibuat kepada Fasal (5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan berikutan kemasukan baharu Fasal (4A) dan (4B) Perkara 43 Perlembagaan mengenai pemberhentian jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

 

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

  1. Pengehadan tempoh ini dikemukakan bukan bertujuan melemahkan institusi eksekutif, tetapi untuk memperkukuhkan legitimasi, kepercayaan awam dan kestabilan sistem demokrasi negara ini. Ia merupakan satu pelaburan untuk generasi akan datang, agar kepimpinan negara sentiasa berteraskan mandat rakyat dan prinsip akauntabiliti

 

  1. Saya menyeru agar dewan yang mulia memberi perhatian dan memberi sokongan penuh, dari kedua-dua blok, bukan sahaja sekadar meluluskan satu pindaan undang-undang, tetapi meninggalkan satu legasi tatakelola bahawa Malaysia memilih untuk memperkukuh kuasa tertinggi eksekutif melalui had dan memperkukuh kepimpinan melalui pertanggungjawaban atau akauntabiliti.

 

  1. Jadi, dengan yang demikian, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat tanpa mengira haluan politik untuk memberikan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 ini demi memperkukuh kerangka Perlembagaan, memantap tatakelola negara dan memastikan kepimpinan sentiasa berteraskan prinsip akauntabiliti.

 

  1. Semoga langkah ini menjadi sebahagian daripada legasi kenegaraan bahawa Malaysia memilih untuk memperkukuh demokrasi melalui kekuatan institusi dan keluhuran Perlembagaan.

 

  1. Semoga Allah S.W.T memberikan restu, doa kita agar kita beroleh kejayaan seterusnya.

 

Share: