TEKS VERBATIM: MAJLIS SENTUHAN MADANI BERSAMA RAKYAT NEGERI SABAH

6 December 2025

 

 

TEKS UCAPAN

 

 

YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS SENTUHAN MADANI BERSAMA RAKYAT NEGERI SABAH

 

 

 

6 DISEMBER 2025 (SABTU) | 3.30 PETANG

 

SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC)

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil a’lamin

Nahmaduhu wanusolli ala rasoolihil karim

 

Saudara saya, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji;

 

Timbalan-timbalan Ketua Menteri;

 

Ketua Hakim;

 

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun;

 

Datuk Ewon Benedick;

 

Menteri-menteri Persekutuan;

 

Menteri-menteri Negeri;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama pada petang ini. Saya memilih untuk hadir untuk menunjukkan bahawa selesai pilihan raya, waktu untuk kita mula bekerja dan saya juga nak beri penjelasan dan mulakan majlis ini dengan berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Datuk S.U.K menyelenggarakan untuk memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa musim pilihan raya itu masih musim terbaik kita mendengar keluhan, usul rakan-rakan kita, sama ada yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji ataupun juga rakan-rakan dalam pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal sekadar mendengar pandangan, menilai tapi yang pentingnya ialah bagaimana kita boleh bekerjasama melaksanakannya.

 

  1. Saudara saudari, sebelum saya teruskan kerana saya tidak dapat hadir semalam mengiringi jenazah Allahyarham sahabat saya, Bung Moktar, saya nak melahirkan ucapan takziah dan mendoakan kepada Allah SWT mudah-mudahan roh beliau diberi rahmat diangkat sebagai para solihin dan mohon keluarganya bersabar menempuh ujian ini.

 

  1. Seperti mana disebut oleh Ketua Menteri dan yang lain sudah berakhir untuk kita hadapi lima tahun yang akan datang. Dan seperti mana juga yang kita jangka ada yang rasa gembira, ada yang sedikit kecewa, itu lazim dalam pertarungan demokrasi. Dan yang lebih kematangannya ialah bila kita terima dengan baik dan kebijakannya dan hikmahnya adalah kita gunakan kesempatan itu mendengar secara serius apa yang disuarakan, apa yang jadi tuntutan, apa yang dibanggakan oleh rakyat, apa yang diresahkan oleh mereka.

 

  1. Saya suka walaupun saya di sini sekitar dua hari sahaja, kita tinggal lebih dekat dan menemui ramai tokoh-tokoh dan melihat sendiri kekuatan suku-suku kaum, daerah-daerah, bandar, pinggir bandar, desa dan pendalaman, dan bagaimana kita dapat tingkatkan usaha kita. Jadi saya rasa penting dan kerana keadaan ini julung-julung kali saya datang segera selepas pilihan raya kerana saya tidak mahu ada anggapan bahawa janji orang politik itu sebelum pilihan raya dan setelah menang, dia rasa selesa.

 

  1. Tapi, seperti mana kita dengar sendiri, dari sahabat saya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji, bahawa ini bukan budaya politik kita. Budaya politik kita ialah sebaik saja pilihan dibuat, dan angkat sumpah pun 3 pagi, jadi saya terus kirim kepada Ketua Menteri lagu P. Ramlee, “Pukul Tiga Pagi”. Jadi sekarang ini untuk Sabah nak popularkan lagu “Pukul Tiga Pagi”, it’s okay. We take it in good faith, good strike. Ya? Baik.

 

  1. Apakah isu-isu yang saya dengar? Tadi saudara Ketua Menteri menyebut isu-isu dekat. Bagi pihak saya, tentu saya hanya boleh mengatakan kita ikhtiar luluskan peruntukan yang besar untuk air, untuk api, untuk elektrik atau karan, untuk jalan raya, Pan Borneo dan juga untuk jalan-jalan kampung. Tapi bagi rakyat yang di sana, dia kata betul lah. Tapi kami, karan belum ada atau pun air masih terbatas, jalan masih tidak ada. Kita dengar.

 

  1. Jadi saya nak cadangkan pada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, di Pejabat Perdana Menteri (ICU), mulai Januari kita akan mulakan pemantauan projek bersama dengan Kerajaan Negeri, mana projek Kerajaan Negeri dan projek Kerajaan Persekutuan, supaya kemajuannya dapat kita tinjau, pantau setiap bulan. Kalau sudah ada projek itu, mengapa ada kelewatannya dan apa lagi yang patut disegerakan. Untuk maksud itu, kalau setakat Kerajaan Persekutuan saya bagi jaminan, sedaya upaya saya, saya akan beri perhatian dan tentukan tidak ada penangguhan kelulusan projek.

 

  1. Malah untuk projek tahun depan, kalau dulu-dulu semua peruntukan diberi pada bulan April, tapi sejak 2 tahun yang lalu saya luluskan dana untuk negeri itu bulan Januari, maknanya bulan Januari sekarang boleh rancang, Januari mesti jalan. Jadi kita memperkotakan apa yang kita ucapkan, dan ini penting dalam politik dan kalau tidak ia tidak akan selesai. Kita boleh beda pendapat dalam soal-soal yang lain ya, tetapi kalau soal pengabaian, atau merasakan Kerajaan Persekutuan atau semenanjung tidak ambil kira, saya nak bagi jaminan anggapan itu tidak benar. Ia hanya dianggap benar kerana pelaksanaan itu agak perlahan. Jadi kita harus percepatkan.

 

  1. Ini sebab itu Menteri Pendidikan juga ada, dari segi pembangunan sekolah, pembaikan sekolah. Dia sebut tadi ada beberapa sekolah yang perlu diberikan peruntukan segera untuk diperbaiki sekitar RM3 juta. Semua itu tidak harus ditangguhkan sama sekali. Bagaimana nak pastikan bukan sahaja pengumuman Perdana Menteri, tetapi dengan adanya jawatankuasa persekutuan dan negeri memantau beberapa ratus projek bersama pegawai daerah, pegawai pembangunan, negeri dan persekutuan supaya pelaksanaan itu lebih pantas daripada sebelumnya.

 

  1. Yang kedua ialah tentang MA63, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadhilah, itu akan diteruskan. Seperti saudara-sauadara tahu, belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat. Sembilan (9) perkara telah kita putuskan, tinggal beberapa lain yang kita akan rujuk dan bawa kemudian kepada Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dan diuruskan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Parlimen sekiranya perlu pindaan undang-undang seperti mana penyerahan elektrik itu terpaksa meminda undang-undang, soal wakil dalam Lembaga-lembaga Hasil Dalam Negeri juga melibatkan pindaan undang-undang parlimen, itu semua kita boleh lakukan.

 

  1. Kemudian isu 40%, Jawatankuasa Teknikal, Datuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah berjumpa dan mengadakan mesyuarat awal teknikal dari segi persiapan dengan Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri, sama ada  mungkin bulan ini agak suntuk sedikit kerana kita ada kekosongan empat sekarang, Ewon, Tengku Zafrul tamat Senate dia dan dua daripada yang sebelumnya, jadi empat yang patut saya isi. Jadi beri ruang saya 1-2 minggu ini untuk berfikir dan bincang dengan ketua-ketua parti termasuk dengan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji, Ketua Menteri untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya muktamadkan. Jadi mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan tentang kaedah parameters dalam soal 40% supaya beri keyakinan betul-betul kepada sahabat.
  2. Tentunya dalam musim pilihan raya dan juga kadang-kadang setengah-setengah sama ada orang akademik atau NGO yang sinis, kita buat apa pun bagi mereka itu terus sinikal. Atau orang yang terlalu kuat sentimen perkaumannya itu, dia sinis. Tapi saya nak beritahu bahawa rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada, bahawa kita harus lihat cara terbuka. Saya tak boleh kata kita serah pada bulan Januari, kita clear parameters nya, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam satu tahun umpamanya. Semua itu kita akan serahkan kepada Jawatankuasa Teknikal, dan juga Jawatankuasa Persekutuan dan Negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri peringkat Persekutuan.

 

  1. Tapi, apa yang sudah muktamad ialah bahawa Kerajaan Persekutuan seperti mana saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkan 40% hasil kepada negeri Sabah. Bagi saya, ini hebatnya MADANI. Selalunya, selepas pilihan raya kita cuti sekejap, tapi tak ada, sebab saya tidak mahu ada andaian bahawa budaya politik itu budaya politik yang menjanji-janji tapi tidak laksanakan. Lagi kalau orang Islam lebih tahu kan bahawa ‘Lima taqulu liman taf alun’ itu orang yang bicara yang tidak amalkan, itu bukan suatu perkara yang baik, itu amaran daripada Al-Quran. Jadi saya bila jamin, kita harus tunaikan dan tentunya kita terang berapa kekuatan ekonomi dan kewangan Sabah, berapa kekuatan ekonomi dan kewangan Persekutuan, dan kita minta persefahaman dan cari kaedah pelaksanaan yang sebaik mungkin.

 

  1. Ada juga lain-lain masalah dibangkitkan, terutama dari benda-benda yang kecil termasuk peniaga cina di bandar tentang e-invois, terutama yang melibatkan Syarikat-syarikat kecil. Syarikat besar ini, Malaysia ini tahun 2025 takkanlah syarikat besar nak complaint, nak bantah lagi soal e-invoicing, mereka ada keupayaan. Bukan secara profesional, tapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana ini, dia rasa itu menambah beban dan kos. Saya dengar, sebab itu saya tak boleh umum masa kempen, kerana itu tak bertetentangan dengan peraturan. Saya hanya boleh menyebut, kita telah mengarahkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji semula. Jadi kita kaji dalam masa singkat. Sudah kaji, dan semalam dalam Mesyuarat Jemaat Menteri sudah putuskan peringkat awal iaitu threshold yang syarikat ini jumlah 500 ribu itu dibatalkan dan dinaikkan 1 juta minima. Jadi maknanya syarikat-syarikat kecil betul dia tak perlu lagi dipaksa e-invoicing untuk sekarang ini.

 

  1. Bagaimana keadaan lepas 1 juta? itu baru kita kaji lebih mendalam apa implikasi kosnya. Jadi sekurang-kurangnya kita dengar, kita laksanakan segera yang boleh disegerakan ialah naik daripada harga RM500,000 kepada RM1,000,000. Sebab itu saya bincang dengan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji tak payahlah semua orang dia panik, sugul, tak payah dalam dunia politik ini pasang surut, naik turun, kalah menang, itu sepak terajang politik. Saya minat bola tapi team saya Manchester United asyik kalah sahaja. Jadi, banyak buat keputusan. Pelbagai yang saya dengar, berpuluh. Yang umpamanya, orang Bugis, Suluk, pandangan sedemikian. Kadazan, Dusun pandangannya sedemikian. Cina yang sedemikian. Muslim sedemikian. Masing-masing beri pandangan, kalau kita ambil satu pihak sahaja akan mengundang permasalahan dengan pihak lain.

 

  1. Sebab itu untuk kebijaksanaan ini kita kena dengar semua, kita rungkai apa yang kita lakukan dahulu dan bincang dengan baik. Kerana politik dalam Kerajaan Perpaduan MADANI ini, kita mewakili semua. Dan bila mewakili semua pihak, menyantuni semua pihak, semua pihak akan merasa belum cukup kuat kerana belum dapat semuanya. Kalau kita bagi satu pihak dapat semuanya, itu akan mengundang malapetaka dan akan berpecah.
  2. Jadi saya cakap apa yang saya dengar, apa lagi yang di rungutkan oleh perniaga-perniaga, perniaga bumiputera, peniaga Cina, terutama yang peniaga-peniaga kecil. Dia kata, Kerajaan ini bila kutip cukai efisyen, bila kutip cukai, mesti bayar. Segera. Jadi, dan saya syukur, Lembaga Hasil Dalam Negeri jauh prestasinya, jauh lebih baik. Kastam juga lain lebih baik. Dapat hasil kita baik. Tetapi, kata mereka, bila ada kelebihan bayaran, nak bayar balik itu begitu lambat. Ini menyebabkan kemarahan mereka. Kami adalah peniaga yang bertanggungjawab. Bayar ikut jadual, tapi bila hak kami nak dipulangkan bertahun-tahun kena tunggu. Saya tidak tahu secara terperinci, saya hanya tahu semasa kempen pilihan raya, di Tawau, di Sandakan, ada peniaga-peniaga cina sebut, “kita sudah bayar tapi belum bayar lagi”. Saya pun pelik, kenapa tidak bayar lagi. Tunggulah sekejap.

 

  1. Jadi bila saya balik semak dengan Kementerian Kewangan, memang benar. Ada yang terpaksa tunggu setiap malam. Sekarang ini Kerajaan sudah peruntukan RM2 bilion untuk bayar balik. Cepat. Saya fikir untuk segera, 2 bilion tak cukup. Kita kena selesaikan untuk peniaga kecil. Jadi untuk bulan Disember ini, Disember ini bayangkan, habis saja kerajaan terus saya buat Keputusan, semalam saya umum dengan Jemaah Menteri, kita bayar balik peniaga-peniaga yang hadapi masalah, yang Kerajaan berhutang dengan mereka, saya tambah dari 2 bilion kepada 4 bilion, selesaikan. Itu setakat ini. Apakah boleh selesai semua? Belum lagi. Tapi ini akhir tahun. Saudara Masidi tahu kalau dia Menteri Kewangan nak umum cepat-cepat tak boleh. Dia kena tunggu ikut belanjawannya. Tapi saya tahu resah orang tak tunggu. Saya tak boleh tunggu bulan Oktober tahun depan, sebelum kita tambah. Jadi saya cari, kalau ada keperluan untuk esok supplementary budget, kita buat. Kalau tidak, kita gunakan juga beberapa kaedah dalaman.

 

  1. Tapi inilah yang saya katakan, perlunya pemimpin itu bukan sahaja pemimpin yang mengarah tetapi juga mendengar. seperti mana saya juga sebut, pemimpin itu taqlifun wa la taqleef, apa dia? maksudnya? ialah tanggungjawab, bukan keistimewaan. Tetapi pemimpin ada tanggungjawab, ada juga keistimewaan. Ya, seorang menteri, menteri ada juga keistimewaan. Tetapi keutamaannya itu, responsibility and not a privilege. Pelaksanaan tanggungjawab itu bermakna, kita dengar. Mana mungkin saya sebagai Perdana Menteri tahu semua jawapan kepada masalah, saya juga mewakili sesetengah pandangan. Masa dia Perdana Menteri, tak banyak kerja, sudah habis, semua dia tahu, semua dia boleh jawab. Ini masalah, sebab tu saya beritahu kabinet Sabah, ada depan saya ini, dan saya, kabinet Persekutuan, kalau kita nak buat kerja, kalau kita ikhlas dalam amal kita lakukan apa yang sedaya upaya sekarang tidak tunggu setelah kita pencen untuk bebel tiap-tiap hari.

 

  1. Bagaimana kita boleh tahu tanggungjawab kita sekarang? yang kita dengar, yang kita rancang, yang kita lontarkan dalam kerangka Malaysia MADANI, Industrial Master Plan, Energy Transition, Digital Transformation, National Semiconductor Strategy, dan di sini Blue Ekonomy, nah itu rancangan. Cukup? Belum. Kita kena dengar juga daripada khalayak, daripada rakyat di bawah. Apa yang saya respon hari ini dari masalah basic, api, air dan jalan, daripada soal sistem percukaian, e-invoicing dan juga bayar balik yang kita tambah dari 2 hingga 4 bilion ringgit ialah kerana kita dengar keluhan rakyat.

 

  1. Tahniah setinggi-tingginya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji. Kena belajar style dia tahu. Relax, tenang saja. Tapi gemuruh di dalam. Di luar tenang. Menang pula akhirnya. Tahniah, tahniah. Alhamdulillah. Lagi yang penting disebut, kita kerja sebagai satu pasukan. ini bukan soal parti lagi, bukan siapa betul siapa menang, siapa kalah. Menang pun kata 30%, saya tengok ada yang hantar kepada saya, “Dato’ Seri, these people shouldn’t be too excited because they won only by 30% of the votes 70% not with them”. This is the democracy system, we move on, dah sudahlah, saya tak marah. Yang pilih mana ke, saya beritahu kawan-kawan saya pun dalam DAP, it’s okay kalau dia ikhlas, saya percaya rakyat akan tentunya akan menghargai dan akan meletakkan harapan kepada mereka. Dan kalau yang dah putus nak pilih parti-parti lain, it’s okay, itu hak mereka.

 

  1. Tapi sekarang, tumpuan kita ialah melaksanakan kata, ialah untuk menjalankan dan pada hari ini setakat yang tempoh seminggu ini dalam mesyuarat kabinet pertama, hari Jumaat semalam, setelah pemilihan kerajaan baru di Sabah, kita telah buat beberapa keputusan besar untuk sekali lagi, untuk elektrik, air dan jalan-jalan kampung, itu saya jaminan kita akan tingkatkan peruntukan sedaya upaya kita dalam tempoh 1-2 bulan ini, bukan lambat- lagi.

 

  1. Jadi sekali lagi saudara Ketua Menteri dan rakan-rakan, saya ucap terima kasih dan menghargai persahabatan ini dan saya mewakili Kerajaan Persekutuan amat hargai hubungan dan muafakat yang kukuh di antara Persekutuan dan Negeri untuk kepentingan rakyat jelata. Kita boleh bertempur, boleh bergaduh yang sengsara rakyat.

 

 

 

  1. Jadi lebih baik kita gunakan kuasa, pengaruh, tindakan kita untuk mengukuhkan persahabatan dan kerjasama di antara dua, Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 

  1. Dan pastikan mulai sekarang hari ini, bulan Januari dan berikutnya kita laksanakan secepat mungkin.

 

Terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Share: