TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 5 OGOS 2025: SOALAN YB PUAN RODIYAH BINTI SAPIEE [ BATANG SADONG ]
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 5 OGOS 2025 (SELASA)
SOALAN 1: PUAN RODIYAH BINTI SAPIEE [ BATANG SADONG ]
Minta PERDANA MENTERI memberi penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang mencapai kata sepakat untuk menghentikan konflik sempadan antara kedua negara tersebut.
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
JAWAPAN:
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih, Batang Sadong.
Saya tidak akan mengulangi apa yang telah diumumkan sebelum ini tentang kesediaan Perdana Menteri kedua-dua negara dan kerajaan Kemboja dan Thailand untuk menyelesaikan ketegangan dan perseteruan, terutama yang melibatkan ketenteraan, aktiviti ketenteraan di sempadan bersama kerosakan harta benda, pengorbanan lebih 50 nyawa dan juga pemindahan yang melibatkan sekitar 150,000 penduduk di Kemboja dan juga di Thailand.
Hari ini, Ketua-ketua tentera, khususnya Jeneral-jeneral yang terlibat di sempadan, ada di Kuala Lumpur, diselaraskan oleh Kerajaan Malaysia dan kita memberi penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang bantu menyelaraskan pertemuan ini. Dan kita mengharapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia dapat dimeterai sebelum 7 haribulan, ataupun pada 7 haribulan, kerana pada 7 haribulan, Menteri-Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand akan bersama untuk mencapai kesepakatan. Dan mudah-mudahan ada penyelesaian muktamad, sekurang-kurangnya menghentikan kegiatan senjata, menjamin tidak ada lagi pelanggaran peraturan termasuk di kawasan-kawasan sempadan yang dipertikai.
Jadi, kita ucap tahniah juga kepada Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan yang membantu dalam hal ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, kejayaan ini adalah kerana kejayaan kementerian-kementerian, Pasukan Tentera Malaysia dan kerjasama yang diberikan oleh semua negara-negara ASEAN.
Saya telah menghubungi semua Perdana Menteri, Presiden dan kebawah Duli Tuanku Sultan Brunei, memohon mandat dan memberi dukungan. Kesemua mereka bersetuju memutuskan Atase Pertahanan mereka untuk terus memantau dan dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, Atase Pertahanan Malaysia yang menyelaraskan bersama antara Atase Pertahanan ASEAN.
Kedua-dua Amerika Syarikat dan negara China akan hadir sebagai pemerhati sahaja. Tapi ini inisiatif Malaysia yang didukung sepenuhnya oleh ASEAN. Dan kita berdoa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan ada pencapaian kesepakatan dan penyelesaian muktamad kerana ini bukan sahaja menjejaskan hubungan dua negara tetapi menjejaskan nama baik ASEAN.
Tan Sri Yang di-Pertua, ASEAN ini bangga, alhamdulillah, kerana rantau ini kita telah uar-uarkan sebagai rantau di antara rantau yang paling aman di dunia dan pertumbuhan ekonomi yang paling rancak di dunia.
Jadi, segala masalah ini harus dicuba diselesaikan secara muafakat dan setakat ini kita ucap terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Kemboja dan Thailand yang nampak sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1
Terima kasih YAB Perdana Menteri, atas penjelasan yang begitu membanggakan negara, khususnya dalam konteks Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Malah, semalam pihak pembangkang turut menyatakan ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri atas kejayaan yang kira bersejarah tersebut.
Soalan tambahan saya adalah, adakah kerajaan merancang untuk menggunakan saluran ASEAN, khususnya melalui ASEAN Regional Forum (ARF) ataupun ASEAN Political-Security Community, bagi memastikan konflik sempadan Thailand-Kemboja ini tidak berulang?
Dan apakah manfaat strategik dan diplomatik yang bakal diperoleh oleh Malaysia daripada penglibatan aktif dalam perundingan ini?
JAWAPAN:
Terima kasih YB Batang Sadong. Saya ucap juga terima kasih pada semua rakan-rakan dalam kerajaan dan juga pembangkang yang memberi sokongan kepada Kerajaan Malaysia dan inisiatif Kerajaan Malaysia yang diiktiraf.
Dan saya telah tegaskan, ini berlaku kerana kerjasama yang diberikan oleh kementerian-kementerian termasuk Panglima Angkatan Tentera, dan juga kerjasama dengan negara ASEAN yang memberikan mandat kepada kita dan dukungan yang diberikan juga oleh Amerika Syarikat dan negara China.
Dan yang berikutnya, kita memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya keputusan hala tuju berikutnya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan (GBC) yang sekarang sedang berlangsung dan akan berakhir dengan kehadiran dua-dua Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand, mereka akan menemui saya sebelah pagi itu dan kemudian meneruskan mesyuarat. Harapnya dapat dimuktamadkan pada 7 Ogos.
Sama ada perlu kehadiran tentera memantau, itu akan diputuskan kemudian. Setakat ini keadaan amat terkawal walaupun sangat sensitif dan tegang. Dia tidak mudah bila ada perlakuan pembunuhan dan penembakan, dia mengambil masa untuk mengurang dan menyejukkan suhu kepanasan dan kemarahan itu. Dan setakat ini kita ada satelit yang bantu memantau, dan mereka telah bersetuju supaya ini diselaraskan oleh Defense Attaché Malaysia. Dan Defense Attaché dengan negara ASEAN hanya memantau dari jauh.
Apakah perlu kehadiran? Itu akan diputuskan kemudian. Apakah perlu pasukan tetap? Itu juga akan diputuskan kemudian oleh negara-negara ASEAN. Setakat ini yang mereka minta hanya Malaysia untuk menyelaraskan — baik dalam pertemuan perundingan hari ini dan sehingga 7 haribulan ataupun kehadiran Attaché Pertahanan ASEAN dengan kehadiran Attaché Pertahanan Malaysia di sempadan.
Kerangka sama ada melalui ASEAN Regional Forum atau Security Initiative itu semua saya fikir terlalu awal untuk kita tetapkan. Itu dalam keputusan kita yang saya panjangkan kepada Perdana Menteri Hun Manet, Kemboja dan Perdana Menteri Phumtham, Acting Prime Minister Thailand ialah bahawa kita mahu kedua mereka bersetuju, sepakat muktamadkan dengan witness atau saksi oleh Malaysia, dan kemudian didukung oleh semua negara ASEAN. Itu setakat itu. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1 : YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM [ARAU]
Apakah Yang Amat Berhormat bercadang untuk menggunakan ASEAN forum ini untuk menyelesaikan kes-kes yang lain seperti di Rakhine Myanmar yang melibatkan pelarian begitu ramai ke Malaysia dan yang keduanya ialah apakah Yang Amat Berhormat ingin menggunakan forum ASEAN juga untuk memastikan supaya Negara Asean ini dipertahankan daripada gangguan luar seperti kita diganggu oleh pengawal pantai China di Vietnam, di Philippines, di Brunei dan juga di Malaysia sendiri.
Dan akhir sekali, Yang Amat Berhormat telah menjadi pendamai yang hebat di dunia inilah buat masa sekarang. Konflik 5 Hari dulu kita menjadi pendamai di Moro di Filipina dan juga di Selatan Thailand. Itu konflik yang berpanjangan. Jadi 5 hari konflik lebih 50 orang mati kalau ikut CNN bukan 50,000 malah 300,000 orang yang displace. Jadi Yang Amat Berhormat telah berjaya. Jadi apakah Yang Amat Berhormat bercadang di negara sendiri Yang Amat Berhormat ingin memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia dengan memberi peruntukan kepada semua Ahli-ahli Parlimen supaya kami boleh meneruskan. Benda yang baik kami puji. Sebagai seorang pemimpin kita puji. Semua ucapan semua ini puji. Tapi malangnya, yang sikit rezeki. Pada hari yang bahagia ini Yang Amat Berhormat umumkanlah sikit bahawa semua ahli Parlimen akan diberi keadilan.
JAWAPAN:
Terima kasih Arau. Saya dah dengar pandangan Arau sebelum ini pun. Mekanisme yang diputuskan ialah Malaysia mengendali, Malaysia host, dan witness. Chair – host – witness. Itu yang dipersetujui oleh kedua-dua negara Kemboja dan Thailand. Kemudian saya hubungi semua pemimpin ASEAN minta mandat dan dukungan dan tiap kemajuan kita laporkan kepada mereka. Kerana ini untuk menjaga semangat kesepaduan dan kerjasama ASEAN.
Baik, kerana kejayaan awal ini, saya tidak mahu sebut kejayaan sangat sebab keadaan masih lagi sensitif tegang dan ada saling tuduh-menuduh. Tetapi, yang baiknya ialah setiap kali ada dengan terus dirujuk sama ada Menteri Luar ataupun kepada saya dan kini juga kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Ini menyebabkan kedudukan Malaysia dan ASEAN itu diberikan keutamaan.
Jadi setakat ini belum ada lagi cadangan walaupun saya percaya berdasarkan pengalaman ini dan pengalaman di Myanmar, kita akan bawa lagi ke dalam sidang kemuncak ASEAN bulan Oktober kepada ketua-ketua Negara ASEAN.
Mengenai Myanmar mereka masih lagi mahu meneruskan kerjasama perbincangan dengan Malaysia atas semangat dukungan ASEAN. Kita telah mulakan dan seperti mana saya sebut di Parlimen, saya sendiri sudah pun jumpa kedua-dua Perdana Menteri sekarang dan juga Perdana Menteri Kerajaan National Unity Government untuk mencapai kesepakatan. Pertama, gencatan senjata. Kedua beri peluang bantuan kemanusiaan, dan ketiga mencuba meneruskan dialog supaya serangan terutama yang mengakibatkan beberapa kawasan Karen, Rakhine yang Rohingya itu dihentikan. Setakat ini, jauh lebih baik keadaan kalau dibandingkan dengan perkembangan sebelumnya.
Mengenai Selatan Thai, memang kita telah angkat rundingan ini ke peringkat tertinggi di antara Malaysia dan Thailand. Dia belum lagi bersetuju untuk gunakan kerangka ASEAN. Begitu juga dengan selatan Filipina. Kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan juga Presiden Filipina bersetuju supaya Malaysia bukan campur tangan tapi maknanya mengambil tahu perkembangan supaya membantu menyelesaikan kemelut yang terus meruncing di beberapa insiden di selatan Thai dan di Selatan Filipina.
Mengenai keadaan di Malaysia, saya bersetuju. Sebab itu kita sudah minta TPM 2 terbuka untuk mendengar. Cuma kalau mula, dia mesti ada kesepakatan di antara ahli Parlimen Pembangkang dulu. Sekarang dia belum ada sepakat. Ada yang hendak sorang, ada yang hendak group, dan ada yang setuju runding, ada yang tidak setuju berunding. Jadi saya cadangkan Yang Berhormat Arau, runding dulu dengan Perikatan Nasional, Ahli-ahli Parlimen ambil kata sepakat. Bagi tahu TPM 2 yang dapat mandat. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1 : YB DATO’ SERI HAMZAH BIN ZAINUDIN [LARUT]
Saya nak tanya sikit saja. Terima kasih Tuan Yang Di-pertua. Sebenarnya saya suka mendengar tentang penerangan yang telah diberikan oleh Yang Amat Berhormat Tambun tentang isu konflik di antara Kemboja dan Thailand. Semalam pun saya dah bangkitkan dan saya ucapkan tahniah kerana inilah yang kita nak buktikan, bahawa pimpinan daripada Malaysia boleh berperanan untuk menjadi pengaman kepada semua regional effort yang mana-mana sahaja yang mempunyai pertelingkahan boleh kita lakukan.
Cuma saya nak tanya tadi tentang bila Yang Amat Berhormat kata belum ada kepastian sama ada kita hendak hantar pasukan di sempadan Thailand dan Kemboja itu. Cuma kalau boleh berikan penekanan di situ sikit, menunjukkan bahawa kita, kita bersedia persediaan-persediaan itu boleh juga nanti kita berperanan di Myanmar dan ini menunjukkan bahawa kita sanggup melakukan ini.
Dulu kita pernah buat di Kongo, di Bosnia jadi tak salah kalau kita juga boleh hantar pasukan tersebut.
Isu yang keduanya adalah tentang bincang sesama kita ini. Kadang jangan letakkan itu di belah sini sahaja. Kalau Yang Amat Berhormat sanggup berjumpa dengan saya, hari ini pun saya sanggup untuk berjumpa. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih mengenai Kemboja–Thailand Panglima angkatan tentera sudah pun… hari saya mencapai kesepakatan bersama Perdana Menteri Thailand dan Kemboja malam itu, panglima angakatan tentera Malaysia telah pun berlepas ke sempadan berunding supaya kaedah pemantauan itu dijaga.
Tapi setakat ini kita telah beritahu bahawa Malaysia bersedia menghantar, dan dalam perundingan saya dengan semua ketua-ketua ASEAN, semuanya sepakat, jika diminta oleh kedua-dua negara. Sekarang ini keadaan terkawal satelit dapat memantau, kemudian Atase Pertahanan hadir, diselaras oleh Malaysia dihadiri oleh semua Atase Pertahanan Thailand dan kita tunjukkan kesediaan kita dan oleh itu kita tunggu keputusan pada 7 haribulan Ogos ini.
Keduanya, tentang Myanmar dulu memang kita bantu tentang Cox’s Bazar, tapi sekarang kita ada field hospital di Myanmar dipersetujui oleh dua-dua pihak. Field hospital tentera itu beroperasi beberapa bulan membantu jadi dan syarat kita ialah bahawa tidak ada apa-apa serangan baru, harus ada gencatan senjata.
Ini juga cara menyelamatkan kedudukan masyarakat Rohingya yang tertindas sekian lama. Inilah pertama kali dalam beberapa bulan ini mereka tu agak lega, tidak mendapati serangan yang teruk walaupun ada beberapa insiden tertentu yang dilaporkan. Tetapi dengan Myanmar ini terlalu awal, Menteri luar dengan beberapa menteri luar Thailand dan mungkin Indonesia akan ke Myanmar dalam mungkin akhir bulan ini untuk meneruskan usaha dan ikhtiar ini.
Mengenai urusan dalam negara saya bersedia jumpa tapi kalau soal peruntukan kita telah bagi mandat daripada TPM 2 jadi kalau hal itu saya serah pada TPM 2, nak bincang hal-hal lain saya tidak ada keberatan.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 1 : YB DR. MOHAMMED TAUFIQ BIN JOHARI [SUNGAI PETANI]
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya ingin bertanya selama mana pasukan pemantau ASEAN, AMT yang dipengerusikan oleh Malaysia akan menjalankan tugas pemantauan di sempadan Thailand dan Kemboja? Dan kalau kita melihat dengan ketokohan yang ditunjukkan oleh negara Malaysia, adakah Malaysia dijangka akan terus menjadi tuan rumah bagi mesyuarat jawatankuasa sempadan yang sedang berlangsung ketika ini di Kuala Lumpur meskipun telah tamat tempoh kepengerusian ASEAN pada tahun depan. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih. Mandat diberikan itu, diminta saya teruskan sehingga keadaan itu selesai. Jadi tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN dan tempoh penyelesaian ini memang kita jangka selewat-lewatnya dalam tempoh 3 bulan.
Tetapi dalam mana-mana rundingan kita tidak boleh hadkan. Cuma yang kita tegaskan ialah mesti berlaku gencatan senjata. Jadi dengan cara ini kita elakkan penyertaan dan penglibatan dengan kuasa-kuasa besar di antara rundingan di antara Negara Asean. Kalaupun ada pasukan pendamai di sempadan haruslah hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera Negara ASEAN.
Kalau bantuan logistik dari Amerika Syarikat dan negara China itu kita alu-alukan kalau diberi beberapa kemudahan. Dan itu yang ditekankan setakat ini.
