TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 4 NOV 2025: SOALAN 1 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
|
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
|
|
DARIPADA |
: |
YANG BERHORMAT PUAN SYERLEENA BINTI ABDUL RASHID [BUKIT BENDERA]
|
|
TARIKH |
: |
04 NOVEMBER 2025 (SELASA) |
SOALAN:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 dan tindakan yang Kerajaan ambil dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Tan Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih kepada YB Bukit Bendera, soalan itu menunjukkan keprihatinannya kepada semua kalangan rakyat.
- Saya nak jelaskan bahawa kalau kita ikut cadangan awal Bank Dunia, penyasaran subsidi bermakna kita naikkan harga ikut pasaran, kemudian berikan suntikan wang tunai. Tapi seperti mana yang saya jelaskan di Dewan ini, Jemaah Menteri memutuskan untuk menolak cadangan itu dan menggunakan pendekatan yang kita amalkan sekarang iaitu tidak menaikkan harga malah menurunkan harga minyak bagi rakyat.
- Walaupun YB Arau ada menyinggung kononnya sebab turun Anwar, (bagi) saya yang penting, turun minyak. Dan sekarang ni sibuk nak turun orang lain pula.
- Alhamdulillah, setelah satu bulan pelaksanaan, kita lihat kejayaan membanggakan. Terima kasih YB Pendang turut mendoakan walaupun ada sedikit sindiran, itu biasa. Alhamdulillah, baik. Subsidi petrol RON95 menggunakan pendekatan BUDI95, dia jadi mudah dilaksanakan dan sekarang ini pilihan digital telah meningkat dan dia sendirinya diberikan latihan pendedahan kepada rakyat menggunakan aplikasi SETEL dan TNG e-wallet dan lain-lain.
- Kemudian, dengan mengenakan RM1.99 seliter itu tentunya jauh lebih rendah dan diterima baik dan saya ucap terima kasih kepada rakyat yang memberikan kerjasama dan membantu. Malah banyak juga yang melaporkan sekiranya ada kebocoran, ketirisan, penyeludupan. Ramai rakyat yang sekarang melaporkan kepada pihak berkuasa.
- Jadi ini memerlukan lesen memandu sah walaupun dia ada kontroversi sedikit, tapi sekarang orang dapat terima kerana ia lebih transparent ataupun telus.
- Setakat bulan Oktober, 13.1 juta rakyat telah gunakan dan belanja RM2.6 bilion ringgit RON95 bersubsidi, jadi subsidi kerajaan kepada rakyat RM800 juta setakat pelaksanaannya, baik.
7. Soalannya, apakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata untuk penggunaan bulan Oktober.
- Purata jumlah ialah 98 liter sahaja iaitu 33% daripada kelayakan.
- Yang belanja lebih daripada 300 liter, 0.7% termasuk orang berulang-alik ke rantau. Itu makna jumlahnya meningkat, tapi
ini 0.7%.
8. Berhubung golongan pengguna bot:
- Kita dah meluaskan umpamanya kemudahan ini kepada nelayan yang tidak punya lesen memandu dengan kerjasama dengan LKIM, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak.
- Setakat 31 Oktober 2025, 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen, tanpa lesen memandu telah diluluskan. 24,000 pengguna bot.
9. Berhubung dengan pemandu e-hailing:
- Jadi untuk Oktober, e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter. Berapa yang dapat? 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.
Baik, ada lagi yang rakan-rakan anak-anak kita dari e-hailing yang merasakan masih belum cukup.
- Jadi, kita sekarang mengkaji kalau betul ada rekod dan keperluan maka kerajaan saya nak umumkan di sini bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan maknanya 5,000 kilometer tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.
- Pada masa yang sama, kerajaan turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
- Ada yang membangkitkan soal OKU, saya ingat YB Kota Melaka yang isterinya orang asing. Kes-kes sebegitu, kes itu telah diselesaikan, kes-kes sebegitu masih ada ruang untuk membuat permohonan kerana kes-kes itu tidak ramai tetapi kita berikan pertimbangan kerana MADANI ini dia ada ihsan dan kemanusiaan.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1: PUAN SYERLEENA BINTI ABDUL RASHID [BUKIT BENDERA]
Izinkan saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri serta seluruh Jemaah Menteri atas usaha berterusan dalam memastikan inisiatif seperti BUDI95 benar-benar membantu rakyat yang memerlukan. Tidak nafi penyasaran subsidi seperti ini merupakan satu usaha yang penting. Namun begitu izinkan saya bertanya, dalam Belanjawan, Kerajaan telah mengumumkan bahawa penyasaran subsidi RON95 akan diberikan kepada 85% rakyat. Namun mengapa akhirnya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Budi95 yang memanfaatkan semua warga negara Malaysia termasuk juga golongan T15?
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih. Tan Sri Yang di-Pertua, masalah pelaksanaannya bila kita nak T15, kalau kita letak target mulanya RM13,000 sebulan, kemudian RM20,000 sebulan. Itu masih menekan golongan kelas menengah atas. Jadi kita nak naikkan RM50,000 sebulan atau lebih kurang, tapi jumlahnya sangat kecil.
Jadi, dari segi penguatkuasaan, kos penguatkuasaan itu tinggi. Jadi, sekarang ini pandangan kita, kita jalankan ini dulu dan kalau ada keperluan di masa akan datang, di mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenalkan, tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kendaraan betul-betul mewah. Itu masalah. Kerana setakat ini pun, penjimatan kita adalah sekitar RM 2.5 bilion. Ada yang mengatakan bahawa ini lebih rendah daripada yang disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia. Saya tidak setuju sebab kita lihat penyelesaian subsidi dari keseluruhan.
Dari diesel, RM5 bilion kita selamatkan. RM5 bilion itu kerana banyak dalam sistem lama itu terlalu banyak penyeludupan dan kita risau. Dari elektrik, RM6 bilion; dari ayam, pengapungan RM1 bilion; dari telur RM1 bilion.
Jadi bagi mengikut pendapat saya, ini sudah cukup lah bagi kerajaan supaya kita laksanakan dengan hati-hati supaya tidak membebankan rakyat kerana dalam kes-kes seperti yang saya sebutkan tadi, ia tidak melibatkan 85%, tapi dalam kes itu lebih senang digunakan. Beda dengan penyasaran subsidi minyak petrol ini.
SOALAN TAMBAHAN 2: YB TUAN DATUK HAJI AWANG SOLAHUDDIN BIN HASHIM [ PENDANG ]
Saya nak ucap terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang saya memang ikhlas berdoa. Yang kita ini orang utara yang kecoh sikit-sikit itu, memang kita ini selalu melawak.
Kita rasa walaupun pelaksanaan BUDI95 ini bertujuan untuk memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, persoalannya, bagaimanakah kerajaan menilai keberkesanan dasar ini dalam konteks tekanan luaran seperti tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia, yang secara tidak langsung meningkatkan kos pengangkutan dan logistik.
Adakah kerajaan mengambil kira faktor tarif antarabangsa ini dalam mekanisme semakan semula kadar subsidi bagi memastikan pemandu e-hailing, teksi dan nelayan sungai tidak terus menanggung beban berganda akibat kesan global ke atas harga barang, bahan api dan barangan keperluan?
Saya nak sentuh juga berkenaan dengan Petronas ini, kita jadikan sebagai trading company untuk buy and selling — dengan izin — buy and selling goods from US. Dan adakah ini termasuk LNG yang menjadi satu elemen dalam perjanjian ini? Adakah ini memberi kesan kepada hasil negara ataupun revenue negara apabila ada yang kita senaraikan kosong sehingga 19% ini yang tidak dicukaikan? Yang kosong percent ini, adakah perkara-perkara ini kita minta kerajaan senaraikan juga perkara-perkara yang tidak dicukaikan ataupun yang cukai kosong peratus sehingga 19%? Sekian, terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih YB Pendang, lama tak dengar perkataan kecoh. Kecoh ini orang Kedah, Tan Sri Yang di-Pertua tahu tapi untuk makluman yang lain, kecoh ini maknanya menarik sikit-sikitlah.
Baik. Saya sudah umumkan tadi untuk e-hailing, teksi, nelayan itu sudah dikecualikan dengan memberikan peluang kepada mereka tanpa menggunakan harga pasaran. Tapi apakah kesan tarif bila dilaksanakan itu menyebabkan kita perlu kaji? Tentunya kita sedang pantau kesannya, kerana tarif walaupun diturunkan, tetapi dikecualikan banyak item, banyak yang mendapat pengecualian.
Semikonduktor yang besar, yang kita paling bimbang ialah semikonduktor dan juga kelapa sawit. Itu sekarang ini dikecualikan, tetapi kita masih pantau apa kesan dari segi kos, tentunya meningkat, tentunya kerajaan patut kaji semula beberapa dasar supaya tidak membebankan rakyat.
Soal Petronas dan LNG telah dijelaskan sebenarnya. Ini bermula sudah lama, termasuk semasa rakan-rakan dalam kerajaan. Telah dirunding, telah ada import. Jadi bukan perkara baru. Cuma sekarang ni apa yang dilakukan, yang dilakukan ialah menyenaraikan semua yang lalu, umpamanya MAS. Bila MAS beli Airbus dan Boeing, itu keputusan lama. Rundingannya sudah dua tiga tahun tetapi dimeterai sebelum tarikh ini. Tetapi soalnya, mengapa dimasukkan ini semua? Kerana kita, dalam hujah kita dengan Amerika Syarikat, kita nak terangkan ini — jangan dia kenakan hal-hal yang baru. Kita kata dah kita beli ini di Google.
Jadi LNG ini, saya tengok rekod dari 2018, masa mantan Perdana Menteri, ketua saudara-saudara sekarang lah, itu sudah diadakan perjanjian. Kemudian ditingkatkan tahun demi tahun. Jadi kita kemudian catat untuk keperluan kita untuk tahun-tahun akan datang.
Saya hendak jelaskan sekali lagi — sama ada Google, Microsoft, Nvidia, spare parts itu diperlukan oleh syarikat-syarikat Amerika. Tidak ada kaitan dengan kita. Kerajaan, tidak. Tetapi syarikat kerajaan ada, termasuk milik kerajaan, Petronas. Tapi bukan perkara baru.
Kita catat berdasarkan apa yang sedang diselenggarakan oleh kerajaan sekarang dan kerajaan terdahulu. Saya tegaskan sekali lagi YB Pendang, LNG ini diputuskan awal. Kita hanya mencatat kadar import yang meningkat keadaan sekarang, keperluan sekarang. Itu dia dua hal yang mesti diberi penekanan. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 3: YB TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT [ PULAI ]
Terima kasih dan tahniah berkenaan dengan masalah OKU tadi. OKU ini bukan sahaja isteri yang warga asing contoh tadi, tetapi sebenarnya ada sebahagian lagi. Mereka gunakan kenderaan anak mereka. Tetapi OKU itu tidak ada lesen kenderaan, jadi kalau kerajaan memberi pertimbangan ini sangat baik kepada mereka. Mungkin tak sampai lah 300 liter tapi ikut kuota yang bersesuaian.
Soalan saya di sini adalah PMX dah sebut tadi perkenaan dengan penjimatan, jadi itu pada tahun ini dengan perubahan-perubahan bahan mentah ini, apakah jangkaan kerajaan penjimatan pada tahun depan? Dan satu lagi juga, apakah dengan kejayaan dalam BUDI95 ini, kerajaan bercadang untuk beri pula kepada BUDI Diesel pula? Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih YB Pulai. OKU, benar saya ingat tadi saya jelaskan hanya untuk OKU yang suaminya itu, isterinya itu orang asing.Tetapi saya setuju dengan Pulai bahawa kalau untuk OKU, sama ada anak atau mungkin sahabat yang membantu atau pekerja, itu semua harus dikemukakan dan saya percaya perkara ini akan dipermudahkan. Mungkin kita senaraikan satu borang khas untuk OKU untuk tidak membebankan mereka.
Tentang saya katakan untuk penjimatan, walaupun dimasukkan jumlah ini sangat kecil keseluruhannya OKU, saya masih jangka sekitar minima RM2.5 bilion. Kita tidak bercadang untuk membuat apa-apa perubahan dari penyasaran yang sedia ada kerana dianggap ada kejayaan. Terima kasih.
