TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 27 JANUARI 2026: SOALAN 1 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN

27 January 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

 

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

 

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

YB TUAN LEE CHEAN CHUNG

[ PETALING JAYA]

 

TARIKH

:

27 JANUARI 2026 (SELASA)

 

SOALAN:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara sepanjang tempoh tersebut yang menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Assalamulaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Terima kasih ahli yang berhormat Petaling Jaya, dan seperti mana kita lakarkan sebelum ini strategi kita ialah memperluaskan pasaran dan ruang perdagangan dan hasilnya diantara lain, pada tahun 2025 Malaysia telah menjana jualan eksport sebanyak RM45.4 bilion dari hubungan ini, iaitu United Kingdom, Thailand, Russia, Itali, Perancis, Brazil, RRC, Republik Korea, Ethiopia, Kenya, Afrika Selatan dan sebagainya. Yang menumpukan dalam bidang gas cecair asli (LNG), minyak kelapa sawit, barangan E&E yang kian meningkat terutama bidang semikonduktor, barangan aeroangkasa, perabot dan bahan-bahan lain.

 

Malaysia berjaya juga menangani cabaran yang tidak menentu hasil beberapa langkah yang dibuat oleh Amerika Syarikat dan juga ketegangan sosio politik. Tetapi kita mampu, Alhamdulillah kerana dapat merekod jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM3.061 trilion.

 

Peningkatan 6.3% ketimbang 2024, dan ini hasil sekali lagi kerana sikap kita mengambil sikap terbuka berdagang secara bebas dan mencecah kepada 240 pasaran. Ada yang satu negara, dua proses perdagangan dalam satu negara.

Selain itu, pencapaian yang tertinggi dalam sejarah ialah setelah kita mencatat nilai RM1.63 trilion, iaitu pertambahan dan perkembangan 6.5% ketimbang 2024, dan ini termasuk ASEAN, negara China, Amerika Syarikat, EU dan lain-lain.

 

Satu hal lain ialah tentang prestasi yang memberansangkan, lebihan dagangan, kita catat lebihan dagangan meningkat 9.2%, iaitu sebanyak RM151.80 bilion ketimbang tahun sebelumnya. Ini disebut trade surplus.

 

Negara-negara yang harus saya sebut sepintas lalu yang merupakan negara baru, pasaran baru, termasuk Kyrgyzstan penambahan 225.8% peningkatan. Yemen, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya, Maghribi.

 

Saya sebut hal ni kerana ini adalah pasaran baru yang memungkinkan kita mengambil sikap lebih terbuka, mendapat peluang dalam perdagangan dengan pasaran baru.

 

Terima kasih.

 

 

SOALAN 1 (TAMBAHAN 1): YB TUAN LEE CHEAN CHUNG

[ PETALING JAYA]

 

Terima kasih dan tahniah saya ucapkan atas rekod eksport untuk negara kita. Pada masa yang sama, terdapat maklum balas pelabur-pelabur bahawa mereka selalu berhadapan dengan kos tinggi dan kekangan birokrasi daripada TNB, IWK dan kadangnya koridor utiliti negeri.

 

Terdapat projek yang di charge beratus juta untuk membina substation, dan IWK mengenakan contribution sebanyak satu peratus berdasarkan nilai pelaburan. Bererti bagi projek menilai RM2 bilion, RM20 juta perlu diserahkan kepada IWK.

 

Persoalan saya adalah, apakah pendekatan Kerajaan supaya pihak utiliti, pemain utiliti menjadi pemudahcara dan bukan penghalang bagi pelaburan-pelaburan asing ini untuk melonjarkan lagi eksport kita.

 

Terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Terima kasih, Petaling Jaya, kerana memberikan maklumat itu dan tentunya kita, strategi kita mestilah meningkat tahap kecekapan dan mengurangkan kos. Kos perniagaan, kos pengkhidmatan dan setelah mendengar pandangan saya akan mengarahkan supaya diteliti semula apakah kos itu yang dianggap munasabah. Walaupun dari sudut perdagangan, peningkatan itu sangat memberansangkan, tidak menjejaskan dari sudut penambahan kos, tetapi kita harus ambil sikap terbuka andai kata beberapa kos perkhidmatan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat terlibat umpamanya, IWK, hal ini akan diberikan perhatian khas oleh kementerian.

 

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 2: YB DATO’ WIRA DR. KU ABD RAHMAN BIN KU ISMAIL [KUBANG PASU]

 

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Yang Amat Berhormat Tambun, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Ringgit Malaysia telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sejak dua tahun lalu, iaitu peningkatan berterusan daripada Januari 2024 ke Januari 2026 yang mengukuh dengan ketara sekali daripada 4.75 ringgit (Januari 2024) kepada 4.00 ringgit (Januari 2026) berbanding Dolar Amerika.

 

Pada pagi ini ia naik kepada 3.96 ringgit bagi 1 Dolar Amerika, tertinggi sejak Jun 2018. Bukan saja ia naik berbanding dengan Dolar Amerika, tapi juga berbanding dengan mata wang-mata wang negara yang lain, seperti British Pound (2.9%), South Korea (9.11%) dan Jepun Yen (10.11%).

 

Persoalannya, adakah rally ini akan dapat dipertahankan untuk tahun ini? Itu mungkin tidak begitu jelas buat masa ini. Soalan saya ialah, kepada Perdana Menteri dan Tambun merangkap Menteri Kewangan. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan nilai ringgit berbanding dengan Dolar Amerika dan mata wang-mata wang negara yang lain?

 

Seterusnya, apakah kesan kenaikan ringgit terhadap pertamanya eksport dan import negara, keduanya kemasukan pelaburan asing khususnya FDI, sektor pembuatan dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Tiap berita yang baik dan menggalakkan tentunya ada beberapa kekangan, dan saya tidak nafikan keperluan kita meneliti tentang kesannya. Tetapi kesannya tentunya positif. Ringgit kita itu sudah melemah sekian lama, dan bila ada tindakan dan kegiatan yang sendirinya menunjukkan keyakinan kepada sistem ekonomi negara, dan penambahan mengikut angka-angka, ringgit itu tidak harus dilihat cara yang terpisah. Dia harus lihat juga tentang peningkatan pelaburan, peningkatan pendapatan dan juga pengurangan dari segi pengangguran.

 

Maknanya angka-angka ekonomi keseluruhannya itu menunjukkan petanda positif, dan ini juga berjaya memperkukuh kedudukan dan kekuatan ringgit. Tetapi saya setuju bahawa sebaiknya kalau kita ada pilihan, ringgit itu harus mengukuh secara berhemah, perlahan. Tetapi, ini kadang-kadang luar daripada jangkaan, keyakinan pelabur itu tidak dapat dikawal sepenuhnya. Itu yang pertama.

 

Yang kedua yang harus kita ambil perhatian ialah tentang langkah-langkah yang kita harus ambil, domestik, untuk memastikan beberapa dasar dan kerangka ekonomi itu dikawal dengan umpamanya, menjaga keupayaan kita mengawal penurunan defisit, mengawal dan terus menarik pelaburan dan ini sedang dilakukan. Dan saya tidak fikir kalau keadaan setakat kekuatan ringgit sekarang itu terlalu menjejaskan.

 

Tetapi, dalam keadaan biasa memang bila ringgit mengukuh ada kesan positifnya, ada sedikit yang membimbangkan kerana dia terkait dengan eksport dan import barangan. Tetapi, pada keseluruhannya, kalau kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka itu merosot dan rendah luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 3: YB TUAN MOHD KURNIAWAN NAIM MOKTAR [KINABATANGAN]

 

Pendek saja soalan kepada Yang Amat Berhormat Tambun. Syabas dan tahniah di atas pelaburan, kemasukan pelaburan yang begitu tinggi dan saya amat bersyukur sebagai rakyat Malaysia.

Cuma soalan saya, apakah peratusan pelaburan yang besar-besar tersebut untuk masuk ke luar bandar seperti Kinabatangan itu, ke kawasan-kawasan lain, pedalamanlah seperti Kinabatangan dan lain-lain YAB Tambun.

 

Terima kasih.

 


JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Tahniah, YB Kinabatangan. Tahniah kerana ada soalan awal dan soal penambahan ini umpamanya kalau masuk pelaburan, itu kita tidak semestinya kawal, melainkan kita boleh kawal dari sudut keutamaan bidang, E&E umpamanya ataupun teknologi tinggi atau dalam bidang-bidang yang kita kaitkan dengan soal pelaburan yang bernilai.

 

Tetapi tentunya dari segi dasar lain, tidak sahaja dari segi pelaburan, pembangunan kita itu harus lebih menyeluruh dan adil, dan ini dilakukan oleh Kerajaan menurut kerangka lain, umpamanya dari sudut memastikan projek-projek pembangunan itu mengambil kira kawasan-kawasan pedalaman, kawasan yang agak tertinggal ataupun terbiar. Ini memang dilakukan dalam kerangka kedua-duanya, Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Kewangan. Dan saya tentu ambil perhatian kerana mandat yang meyakinkan yang diperolehi oleh Yang Berhormat, tentunya kerajaan harus beri perhatian untuk memberikan suntikan supaya ekonomi di Kinabatangan berkembang.

 

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 4: YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM [ARAU]

 

Yang Berhormat, kekukuhan ringgit ini menyeronokkan, tapi saya ingin bertanya apakah kesan, apakah sesuatu yang boleh kita buat kepada pasaran saham kita?

 

Kita ada 2,200 kaunter lebih kurang, dia lebih sikit ya, saya tak dapat angka yang sebenar. Cuma kaunter yang aktif ialah 1,650 yang buat trading hari-hari, tapi bila kita kira indeks Menteri Ekonomi, kita kira hanya kepada 20 kaunter, contohnya kelmarin, kaunter yang diambil kira sangat ialah kenaikan AirAsia, melambung ke tahap yang cukup tinggi bagi kaunter yang berharga RM1 lebih itu dia naik, dua hari dia naik sampai dekat 50 sen. Ini yang menyebabkan indeks kita naik, indeks kita naik pemain bagus Alhamdulillah.

 

Tapi, apakah Yang Berhormat, kekukuhan ringgit ini mampu untuk menggerakkan kaunter yang tidak aktif daripada 2,200 itu, tinggal 1,650 dan apakah dengan Ringgit ini kita mampu untuk mendapat lebih banyak barangan luar? Dulu dengan duit sikit kita beli barang, sekian banyak. Sekarang ini duit banyak kita beri barang sikit. Sekarang ini duit sikit, barang banyak. Kenapa bila barang banyak masuk, harga barang tak turun? Itu simple economic theory lah. Tapi, nak tanya kut-kut Yang Amat Berhormat sebab rakyat Malaysia sedang perhati saja sekarang.

 

Terima kasih.

 


JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Dia bukan teori ekonomi, dia teori ekonomi lapuk sebenarnya. Sebab, Yang Berhormat tanya itu pasaran saham. Mana mungkin Kerajaan dan juga sistem ekonomi sekarang campur tangan dalam urusan pasaran saham? Pasaran saham itu kukuh kerana dianggap bebas dan berintegriti. Sebaik sahaja Kerajaan mulai campur tangan, maknanya sistem itu di-compromise. Itu yang pertama dari segi prinsipnya.

 

Walaubagaimanapun, dari segi makro, bagaimana kita boleh menjana pertumbuhan, kegiatan, itu boleh diteruskan dengan keterbatasan yang sedia ada.

 

Tapi secara umumnya pasaran saham itu dilihat dari keseluruhan, tidak pada setiap kaunter. Jadi saya cadangkan Yang Berhormat, pandai pilih kaunter.

 

Yang kedua, yang terkait ialah tentang apa yang diperhatikan oleh Yang Berhormat tentang harga barang. Harga barang memang ada kenaikannya sedikit, tapi kalau kita lihat keseluruhannya, ada peningkatan yang terkawal dan bagaimana kita nak ukur? Kita ukur ketimbang perkembangan di semua negara, dengan negara jiran, dan kalau berlaku sedikit kenaikan yang harus diambil tindakan adalah oleh Kerajaan, umpamanya melalui beberapa suntikan. Suntikan dana tambahan dan juga bantuan, seperti SARA ataupun Bantuan Tunai Rahmah ataupun dengan fasa-fasa bantuan. Atau di sini, dianggap campur tangan untuk mengurangkan tekanan harga barang. Itu kita akan lakukan.

 

Kalau ada Yang Berhormat nak cadang secara spesifik satu dua, saya sedia terima dan pertimbangkan.



Share: