TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 20 JANUARI 2026: SOALAN 1 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN

20 January 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

 

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

DATUK SERI UTAMA IR. HASNI BIN MOHAMMAD

[ SIMPANG RENGGAM]

 

TARIKH

:

20 JANUARI 2026 (SELASA)

 

SOALAN:

 

Minta PERDANA MENTERI menjelaskan faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi pertumbuhan ekonomi tahun 2025 yang dijangka mengatasi unjuran antara 4.0% hingga 4.8% ekoran anggaran awalan suku empat tahun 2025 sebanyak 5.7%.

 

 

JAWAPAN

 

Tan  Sri Yang di-Pertua,

Terima kasih kepada Simpang Renggam.

 

Kalau kita merujuk titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku semalam, unjuran pertumbuhan tempoh Januari sehingga September adalah 4.7%. Tapi, Alhamdulillah bila kita menjawab angka suku tahun keempat, iaitu pertumbuhannya sebanyak 5.7%. Maka angka terkini pada pagi ini saya ingin maklumkan bahawa pertumbuhan KDNK 2025 mencatat kadar 4.9%, iaitu mengatasi unjuran rasmi di antara 4 sehingga 4.8%. Bukan sahaja KDNK berkembang, tetapi prestasi ringgit adalah yang terbaik sejak lima tahun, iaitu mencapai RM4.05 ketimbang dolar Amerika Syarikat.

 

Indeks bursa saham, bursa Malaysia mencecah 1,700 mata tertinggi sejak 7 tahun yang lalu. Pengangguran pada November 2025 turun pada 2.9%, kadar terendah dalam tempoh 11 tahun.

 

Ini Alhamdulillah kerana kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat menjamin kestabilan politik dan kesinambungan serta kejelasan dasar. Bersama dengan usaha gigih perkhidmatan awam dan juga peniaga dan pelabur.

 

Keduanya tentang halatuju negara itu agak jelas. Seperti mana yang diumumkan tentang Pelan Induk Perindustrian, transformasi digital, peralihan tenaga dan lain-lain.

 

Ketiga, kesediaan Kerajaan dengan tekad politik melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar yang membina keyakinan pelabur, termasuk Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal sehingga defisit fiskal turun dari 5.5% pada tahun 2022 kepada 3.8% 2025.

 

Yang menarik ialah penyasaran subsidi yang diwar-warkan sekian lama, puluhan tahun, tapi dapat kita laksanakan subsidi elektrik, diesel dan RON95, dengan penjimatan, mengelakkan kebocoran, ketirisan dan penyelewengan dan juga telah menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion.

 

Berikutnya ialah integriti dan pembanterasan rasuah. Dasar fiskal kita memang menyokong pertumbuhan. Dan kelima ikhtiar memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat. 

 

Angka-angka yang menarik tadi itu tidak akan bermakna kalau tidak diikuti, disusuli dengan program-program seperti STR, SARA, peningkatan gaji pekerja, kenaikan gaji minimal dan bantuan-bantuan persekolahan dan bidang pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

 

Jadi kalau lihat dasar kita, kita tidak terikat kepada cadangan atau usul dari badan-badan ekonomi antarabangsa, pakar-pakar ekonomi, termasuk Bank Dunia, bagaimana berlaku dalam kes penyasaran subsidi.

 

Jadi mudah-mudahan dapat kita kekalkan kestabilan ini untuk merangka program yang lebih meyakinkan dalam satu tahun, tahun akhir ini, insya-Allah.

 

 

 

SOALAN TAMBAHAN

 

SOALAN 1 (TAMBAHAN 1): YB DATUK SERI UTAMA IR. HASNI BIN MOHAMMAD [ SIMPANG RENGGAM ]

 

Terima kasih Yang Amat Berhormat. Tahniah di atas pencapaian kerajan terhadap meningkatkan ekonomi negara dengan pelan-pelan hala tuju yang telahpun dimaklumkan kepada Dewan yang mulia ini.

 

Walau bagaimanapun Yang Amat Berhormat, kita sedia maklum bahawa antara penyumbang besar pada pertumbuhan ekonomi negara adalah Foreign Direct Investment (FDI) kita dan melalui apa yang kita lihat hari ini, ketegangan perdagangan global serta geopolitik yang kita kira boleh menjejaskan prestasi perdagangan dan pelaburan negara.

 

Jadi apakah usaha dan langkah-langkah Yang Amat Berhormat berhadapan dengan keadaan yang demikian?

 

Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Terima kasih Simpang Renggam,

 

Memang satu kenyataan yang harus diberikan perhatian, kerana kedudukan dan perubahan geopolitik, beberapa dasar kuasa besar yang tidak menentu termasuk Amerika Syarikat, baik soal tarif ataupun beberapa keputusan yang melibatkan negara-negara lain, Eropah, soal Greenland, soal Venezuela yang menyebabkan terjejas sedikit sebanyak urusan perdagangan antarabangsa dan juga penembusan pasaran baru.

 

Kerajaan Malaysia realistik untuk melihat kenyataan ini. Oleh itu, kita telah cuba meneroka bidang dan pasaran baru termasuk teknologi baru. Dan oleh itu, Alhamdulillah setakat ini selain daripada rakan perdagangan kekal yang lama, Amerika Syarikat, Eropah, China, kita juga telah berjaya menerobos ke rantau dan juga kawasan baru untuk meningkatkan pasaran dan juga perdagangan.

 

Bagi 9 bulan pertama 2025, pelaburan diluluskan ialah RM285.2 bilion iaitu pertambahan 13.2% ketimbang tempoh sama 2024. Pelaburan diluluskan adalah tertinggi dalam sejarah setelah RM329.5 bilion (2023) dan RM384.4 bilion (2024).

 

Tetapi satu kenyataan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah, ialah yang akan diumumkan oleh MATRADE pada 12 tengah hari ini, iaitu trend perdagangan positif dan tertinggi dalam sejarah. Sejarah tercipta dan angka itu akan diumumkan secara terperinci tengah hari ini dengan jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencecah RM3 trilion buat pertama kalinya.

 

Jadi sebab itu saya rumuskan perlunya penjelasan dasar, disiplin dan tatakelola yang baik dan meneroka pasaran baru.

 

Terima kasih.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 2: YB DATUK WAN SAIFULRUDDIN BIN WAN JAN [TASEK GELUGOR]

 

Kita sedia maklum Yang di-Pertua, kalau kita hendak membangunkan ekonomi negara, maka prinsip penting untuk kita pegang ialah memastikan negara Malaysia ini kekal dengan prinsip pasaran ekonomi yang terbuka, sambil Kerajaan memainkan peranan untuk memastikan persaingan yang sihat dan menjaga pengguna.

 

Bagaimanapun, Index of Economic Freedom 2025 yang dikeluarkan oleh Heritage Foundation, dalam indeks itu Malaysia dikategorikan sebagai sebuah ekonomi yang hanya moderately free. Antara perkara yang didapati boleh membantu memperbaiki prestasi kita dalam indeks ini yang dibetulkan ialah kalau kita memastikan kerenah birokrasi dapat ditangani. Proses dapat lesen, dapat permit dan sebagainya.

 

Jadi, soalan saya, apakah langkah diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan the regulatory burden syarikat-syarikat swasta? Dan pada masa yang sama, ada satu isu yang tidak disebut oleh YAB Perdana Menteri, iaitu kewujudan ekonomi gelap, the black economy. Yang mana baru-baru ini Jabatan Kastam Diraja mengumumkan bahawa mereka dapat merampas, mematahkan sebanyak 7,000 lebih kes-kes penyeludupan dan penyelewangan, dan ini bernilai lebih kurang RM1.88 bilion. Itu yang dapat dikesan, yang tak dikesan mungkin double that amount.

 

Dan di samping isu-isu ketirisan yang disebabkan oleh penyeludupan ini, ada juga isu yang membabitkan komisen. Saya, Yang di-Pertua, sejak kebelakangan ini, duk ulang-alik ke mahkamah 2–3 tahun ini, ramai pula orang datang cerita pengalaman mereka mendapatkan kontrak-kontrak Kerajaan. Antara perkara yang ditimbulkan oleh mereka ialah bagaimana bukan sahaja kos barangan, kos perniagaan naik, tapi kos komisen juga naik dalam era Kerajaan sekarang ini. Jadi, saya tak nak ulas panjang isu itu. Tapi ada yang kata sampai mencecah 8%, 10% pun ada.

 

Jadi, soalan kedua saya kepada YAB Perdana Menteri ialah, apa langkah Kerajaan untuk menangani masalah black economy yang semakin buruk dalam negara kita?

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Terima kasih Tasek Gelugor. Saya hargai pandangan itu kerana beberapa isu seperti komisen atau “ekonomi gelap” memang ditangani secara keras.

 

 

Pertama kali ada langkah sejak dua (2) tahun yang lalu oleh badan-badan penguatkuasa, yang telah saya umumkan di sini, baik LHDN, AMLA, SPRM, Kastam, kerana beberapa kelompok kartel, termasuk yang boleh disebut “ekonomi gelap” sampai ke mana di Pelabuhan Klang yang menyebabkan penyeludupan yang tinggi itu terbiar selama puluhan tahun, ikut rekod. Tapi sekarang sudah diambil.

 

Tetapi kerana sistem rosak dan bobrok ini agak sistemik, ia mengambil masa. Jadi, saya beri perhatian serius tentang teguran Yang Berhormat dan akan beri jaminan supaya kita dapat lapor ke Parlimen langkah-langkah yang diambil.

 

Cuma kalau Laporan Heritage Foundation itu, sepertimana kita tahu, Heritage Foundation itu adalah foundation yang neoconservative, far right pandangan. Walaupun boleh kita teliti, tak ada salahnya, tetapi kita harus faham sikap dan dasar mereka itu sangat prasangka terhadap negara Islam, sangat prasangka terhadap negara-negara berkembang dan membangun. Tetapi teguran tentang masalah kerenah birokrasi, soal black economy dan juga penyeludupan itu saya hargai. Terima kasih.

 

 

Share: