TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA PERINGKAT KEBANGSAAN DAN KARNIVAL USAHAWAN DESA: MEGA KARNIVAL 3 DIMENSI
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SEMPENA SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA PERINGKAT KEBANGSAAN DAN KARNIVAL USAHWAN DESA : MEGA KARNIVAL 3 DIMENSI
SABTU, 2 OGOS 2025 | 2.00 PM
MITEC, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;
Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri;
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek,
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
yang begitu komited untuk mengangkat martabat rakan-rakan FELDA;
Yang Berusaha Encik Sulong Jamil bin Mohamed Sharif,
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan;
Seluruh Jawatankuasa Koperasi; dan
rakan-rakan yang saya muliakan.
- Kita dengar tadi ucapan Saudara Sulung Jamil dan tentunya daripada TPM, yang juga mewakili hasrat bukan sahaja peneroka FELDA, tetapi juga rakan-rakan di KKDW dan juga di Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Saya ucap terima kasih atas kesudian saudara-saudara yang memberi sambutan yang begitu hangat dan luar biasa. Ini baru ada penyantunan di antara hasrat Kerajaan MADANI dan dukungan rakyat supaya dapat kita manfaatkan kuasa ini untuk mengangkat martabat rakyat termasuk di kalangan peneroka.
- Saya boleh lihat anak-anak di MRSM Ulul Albab, ini memang menyentuh sedikit perasaan, saya agak terkesan. Orang yang mendengar kehebatan mereka mungkin tidak dapat bayangkan. Ini anak-anak yang dibesarkan oleh datuk neneknya dari kawasan hutan yang diterokai. Mewakili kelompok masyarakat desa dan pedalaman yang relatif paling miskin. Tetapi kita lihat kalau diberikan peluang, keupayaan, diberikan kesempatan, kemudahan pendidikan, kesihatan, didikan guru-guru, pengurusan yang cekap kita boleh angkat martabat anak-anak yang kita kasihi ini.
- Dan cita-cita kita dalam negara MADANI itulah, bagaimana lagi harus kita lakukan? Kita harus tumpu secara positif membangunkan negara ini. Kerana dalam dunia yang pancaroba ini, dengan keadaan dan perubahan geopolitik yang tidak menentu. Ia memerlukan memerlukan ketahanan negara, ketahanan rakyat, semangat perpaduan dan tumpu bukan untuk merosak dan memusnahkan. Mudah untuk kita musnahkan, sukar untuk membangun.
- Lihat hampir 70 tahun sejarah FELDA. Ada yang gemilang, ada pasang surutnya, ada beberapa tantangan yang harus kita hadapi. Ia mengambil masa yang Lama untuk menjadikannya sebagai satu kekuatan rakyat dan kekuatan ekonomi raksasa. Maka jagalah Lembaga ini dengan baik. Kerana Lembaga ini bermakna kemudahan rakyat. Ingat!. Dari kalangan dan kelompok yang paling miskin atau di antara yang paling miskin, yang harus diangkat martabat, harakat dan darjat mereka sekiranya mereka satu dari pimpinannya, pengurusannya, penerokanya dan anak-anaknya tekad, cari jalan dan kaedah sebaiknya, beri pandangan, beri teguran, beri kritikan bagaimana boleh kita perkukuhkan lagi.
- Ada orang salah faham, dia kata kita tumpu sekarang negara ini ke arah digital, Artificial Intelligence, Energy Transition, seolah-olah kita lupa tentang masalah masyarakat desa dan pedalaman. Saudara, di antara tokoh kanan berdamping dengan saya yang diberikan amanah, Dato’ Seri Zahid Hamidi adalah untuk menjaga rakyat desa dan pedalaman. Dan bukan saya nak tambah pujian, tetapi soalnya bukan soal kepintaran sahaja, kecekapan sahaja, kerja sahaja, tetapi Dato’ Seri Zahid dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri, dalam pertemuan-pertemuan itu punyai apa yang dikatakan semangat, komitmen, iltizam, kasih dan cintanya kepada rakyat. Dan bagi saya ini faktor penentu. Kita boleh ambil orang pintar, kita boleh panggil profesional yang cekap, tetapi mesti ada hati, hati nuraninya, dhameer nya yang harus ada suatu tekad untuk membantu. Dan sebab itu saya senang bekerja dan saya tidak sukar untuk meluluskan permohonan-permohonan yang memberi faedah kepada rakyat.
- Hari Isnin baru-baru ini, saya luncurkan atau turun untuk memperkenalkan rancangan kerangka besar pertumbuhan ekonomi sosial negara yang dipanggil Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Yang pertama itu yang pernah diluncurkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak, Rancangan Malaysia Yang Pertama (RMK1). Negara tiada pilihan, negara Malaysia ini negara dagang, sebab itu kita berbaik dengan semua negara. Dan oleh kerana ia negara dagang kita mesti menghasilkan produk yang terbaik. Dan produk terbaik ini walaupun kita sebut semikonduktur, E&E, data centre, ia tidak boleh meninggalkan aspek agro pertanian dan aspek pengeluaran bahan-bahan yang ada kaitan dengan food products yang juga dihasilkan oleh rakan-rakan.
- Jadi, tidak ada isu apa yang disebut dalam bahasa Inggerisnya zero sum game, tidak. Negara mahu diangkat dengan teknologi baharu. Negara-negara juga harus diangkat dengan kebangkitan rakyat seluruhnya. Maka sebab itu, kedudukan wilayah dan desa, kebajikan, keusahawanan kalangan yang lebih bawah, kita tidak perlu jaga korporat besar-besar, mereka ada upaya mereka tetapi kita harus melalui KUSKOP menjaga kepentingan usahawan-usahawan muda kecil-kecilan supaya boleh diangkat upaya dan peluang mereka. Sebab itu luncurkan satu kerangka utama bagi negara kita. Saya minta kawan-kawan di kementerian KUSKOP, KKDW dan FELDA menelaah, menghadam dan mencari jalan bagaimana boleh kita laksanakan dengan cara yang terbaik. Ini cabaran buat kita.
- Sebelah pagi sebelum itu, 6.50 pagi saya dapat berbicara melalui telefon dengan Presiden Donald Trump Amerika Syarikat. Saudara, kita berunding berbulan-bulan kerana tarif yang dikenakan kepada kita 25% terlalu tinggi. Ada syarat-syarat dikenakan. Yang munasabah umpamanya dagang. Kita memang berdagang dengan Amerika, dengan China, dengan India, dengan Australia, dengan dunia Arab. 2 bulan lalu kita panggil pertama kalinya ASEAN, Negara-negara Teluk, Negara Arab yang kaya, Kuwait, Arab Saudi, UAE, Qatar, Bahrain bersama negara China. Rekod saudara, tapi bukan saya lakukan Malaysia lakukan dengan kekuatan rakyat Malaysia.
- Seorang pimpinan yang paling senior dalam Malaysia. Ke Bawah Duli Yang Maha mulia Tuanku Sultan Brunei, sahabat dan Raja yang senior. Dia beritahu saya berpuluh sidang ASEAN diadakan dan dia bangga kerana di Kuala Lumpur ASEAN-GGC-China itu sidang terbesar dan paling cekap dikendali oleh rakan-rakan kita. Baik, akhir Oktober Sidang Kemuncak ASEAN, Presiden Donald Trump maklum kepada saya hari Isnin pagi beliau akan hadir untuk meraikan Sidang Kemuncak ASEAN tersebut. Saudara, kita bukan setuju dengan semua dasar, tetapi kita negara dagang, kita berkawan dengan semua, tetapi masih berani menyatakan sikap kita dengan berani. Malaysia lah di antara negara yang paling keras mempertahankan hak wilayah Palestin dan perjuangan rakyat Gaza. Saya dapat lakukan ini kerana kita bersatu. Kerana kita tahu rakyat, pendirian rakyat yang cintakan keamanan, yang benci dengan kezaliman, benci dengan pembunuhan, benci dengan penjajahan. Sebab itu kita menyebut perkara ini di hadapan Presiden Amerika, di hadapan Canselor Jerman, mana-mana sidang kita tetap bawa masalah hak asasi dan keadilan bagi semua. Jadi sebab itu, saya katakan kita dapat lakukan ini sebab apa? Negara ini Aman, sebab negara ini dan Kerajaannya kukuh. Sebab itu waspada dengan percubaan untuk melemahkan mereka. Mereka ini mewakili siapa? kalau mewakil rakyat, negara ini mesti bersatu dan kukuh untuk kita angkat martabat rakyat.
- Dengan Amerika Syarikat, di antara perkara yang disebut pertamanya oleh Presiden Donald Trump. Apa dia? Dia kata, “Prime Minister Anwar, fantastic work”. Dia guna istilah fantastic 3 kali. Iaitu kerana kejayaan kita membawa negara Thailand dan Kemboja berpakat untuk menyelesaikan dan mencapai gencatan, keamanan yang sukar diperolehi di mana-mana di tempat lain. Percubaan pertama kurang berjaya, Presiden Trump telefon, negara China cuba, ada kejayaan sedikit. Maka Malaysia, Kementerian luar, Panglima Angkatan Tentera, semua berusaha. Setuju Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja datang dalam tempoh 2 jam setengah, alhamdulillah tercapai persetujuan. Nama Malaysia harum di dunia, dari Washington ke London, ASEAN orang bicara tentang kejayaan negara Malaysia untuk mempersatukan ASEAN dan mencapai perdamaian dan kemajuan untuk semua. Hampir setiap hari masih berhubung, malam tadi masih lagi dengan Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri Hun Manet, Kemboja. Saya tanya keadaan, dia kata “thank you very much Prime Minister, no more fighting”, tetapi dia minta kita tolong. Saya kita apa? Menteri Pertahanan Thailand, Menteri Pertahanan Kemboja hendak datang berunding di Kuala Lumpur mulai hari Isnin ini untuk catat beberapa, mencerakinkan beberapa secara terperinci keamanan. Kemboja dengan Thailand di mana mesyuaratnya? di Kuala Lumpur. Siapa yang selaraskan? Malaysia. Dan ini kemajuan kita. Kalau negara ini porak peranda hari-hari ada tuntutan dan pergaduhan siapa yang nak datang? Jadi ini yang saya mahu tekankan. Presiden Trump dia mula dengan itu, “Thank you. Prime Minister Anwar, a fantastic job bringing both Prime Minister together and securing a lasting peace”. Saya tentulah cara bertawaduk, terima kasih kepada beliau, terima kasih kepada China, terima kasih kepada ASEAN, tapi jangan lupa terima kasih kepada jentera kita, pentadbiran kita, Kementerian Luar kita, tentera kita yang bekerja menjadikan dan menjayakan usul ini. Insya-Allah hari Isnin kita sambung untuk 2 -3 Hari untuk tetapkan secara terperinci. Saudara, saya bangga sebagai anak Malaysia kerana Malaysia dipercayai tindakan kita.
- Dan tarif yang 25% itu yang merunsingkan kita diturunkan kepada 19% sahaja, alhamdulillah. Ini kalau tinggi kesannya ekonomi kita. Kita ini hab untuk semikonduktor dan E&E di ASEAN, di Asia Tenggara. Eksport kita ke Amerika sahaja 60 % daripada seluruh eksport E&E. Berapa jumlahnya? 200 bilion ringgit satu tahun eksport kita ke Amerika Syarikat dari E&E dan semikonduktor sahaja. Dan semikonduktor sekali lagi, alhamdulillah tak termasuk dalam tarif ini, zero kita boleh eksport.
- Jadi, saudara-saudara, inilah sebabnya mengapa pimpinan kita harus ada keupayaan mengendali bukan sahaja negara juga antarabangsa. Ada orang tanya apa kaitan dengan Amerika Syarikat? Kaitannya nak selamatkan puluhan ribu pekerja kita. Kaitannya nak dapatkan habuan dan hasil percukaian yang tinggi supaya boleh dipulangkan kepada rakyat. Ini kejayaan, alhamdulillah.
Saudara-saudara,
- Mengapa saya singgung hal-hal ini? Kerana rakan-rakan KKDW, rakan-rakan di KUSKOP, usahawan dan peneroka FELDA harus tahu kita kelola negara dan negara ini harus diutamakan, harus istimewa, harus unik, kerana aman kerana kuat dan stabil politiknya dan pengarahan ekonominya yang begitu baik. Nak bercakap boleh, nak kritik boleh tetapi mesti ingat kita ada tanggungjawab mengangkat martabat negara ini sebagai negara yang hebat. Harus ingat kita bertanggungjawab ada amanah. Kalau orang tanya Dato’ Seri Zahid, PM Anwar, Ewon Benedick, Fahmi ada? Kalau tanya sekarang kamu ada kuasa masa inilah buat kerja, masa inilah berikan sebaiknya kepada rakyat. Jangan masa ada kuasa sakau sana sini, kaya anak menantu. Kemudian bila hilang kuasa, Anwar turun!. Bila ada kuasa guna, kuasa kayakan diri dan keluarga.
- Sebab itu saudara, saya katakan FELDA bila saya jumpa pengurusan FELDA, Shabery Cheek saya kata nombor satu FELDA ini, pengurusan kita mesti number one the best performance. Baru boleh kita bicara tentang projek dan sebagainya. Lepas tu jumpa Sulong dan komiti Koperasi Peneroka FELDA saya sebut perkara yang sama. Urus dengan baik saya jamin kerana saya belajar dari satu perkara. Kalau nak buat masa kita ada kuasa, jangan berleter mengeluh masa kita ditendang oleh rakyat. Masa ada kuasa leka, anak-anak bilion-bilion ringgit, keluarga sekumpul empat bilion ringgit lepas tak ada kuasa dan rakyat pun boleh pilih. Sebab itu orang seperti itu kalau bertanding bukan sekadar kalah, hilang deposit kalau bertanding. Jadi kita harus ingat hal itu. Tak ada apa permintaan mereka kita janji tahun lalu saya ingat. Kita janji pusat dialisis setiap kawasan FELDA, alhamdulillah selesai. Kita ada sekarang 1000 Sekolah Angkat oleh korporat dan syarikat- syarikat Kerajaan dan saya beritahu, tiap sekolah, tiap kawasan FELDA mesti termasuk dalam senarai sekolah angkat ini. Supaya anak-anak FELDA akan mendapat manfaat seperti mana MRSM Ulul Albab, Trolak ini.
- Dan terima kasih kepada Dato’ Seri Zahid dan KKDW kerana di bawah Kerajaan MADANI semua kementerian, dia tidak umpamanya khusus FELDA, semua kementerian. KWDW, KUSKOP, kesihatan, pendidikan semuanya mesti ambil tanggungjawab mengangkat kehidupan dan kemudahan yang ada di Felda. Dan kita sekarang senarai hal-hal yang harus dilakukan. Tapi ada cadangan yang satu yang telah saya umumkan dan saya minta pengurusan FELDA, koperasi ambil tanggungjawab ini sepenuhnya. Saya sudah sediakan peruntukan. Setiap Kampung FELDA, bukan tiap kawasan, setiap kampung diberikan RM 100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan. Sebahagian telah memulakan tapi masih banyak yang belum. Ini bukan pengurusan yang tentukan projek apa nak buat? nak beli apa? Traktor. Nak buat kolam ikan, nak beli dron. Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli saya sediakan RM 100,000.
- Setiap kampung, setiap kampung pilih apa yang nak buat. Ini baru Kerajaan MADANI masa ada kuasa buat. Bukan setiap daerah, setiap kampung RM 100,000. Siapa tentukan? Orang kampung sendiri. Panggil Tok Imam, panggil belia, panggil koperasi, jawatankuasa masjid, jawatankuasa surau. Siapa pun yang mewakili kampung itu bermesyuarat, “Wa Innahum syura bainahum” berunding di kalangan mereka putuskan yang sebaiknya. Fatawakkal ‘alallah dan tawakal kepada Allah S.W.T kerana kita yakin sudah kita rumuskan. “Wa Innahum syura bainahum” baik tahu dan kita fatawakkal ‘alallah kerana kalau kita tawakal. “Innallaaha yuhibbul mutawak kileen”. Allah itu kasih kepada orang yang bertawakal. Jadi kalau tanya apa dia yang penting saya ingat balik dalam satu dua minggu buat mesyuarat, cadang apa dilakukan setiap kampung RM100,000 silakan. Tapi cadangan yang serius yang dibangkitkan adalah adalah adalah pihak Kerajaan hari ini, Kerajaan dari dana Kerajaan terpaksa bayar hampir satu bilion ringgit setiap tahun untuk melangsaikan hutang lapuk FELDA, itu kita akan teruskan. Satu bilion ringgit setiap tahun untuk melangsaikan, itu tidak mengapa, bukan salah ibu mengandung, bukan salah peneroka ini ada masalah-masalah lain.
- Tetapi, kerana pengurusan yang baik, terima kasih kepada pengurus besar dan seluruh pengurusan FELDA, kita boleh nyahsenarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya sekarang FELDA tidak terikat, Felda satu kekuatan, FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan boleh beri jaminan dengan Koperasi, Pak Long, supaya faedah dan kepentingan peneroka itu menjadi keutamaan. Sebaik sahaja hal ini diuruskan, saya bersama Dato’ Seri Zahid akan tetapkan dengan Dato’ Sri Shabery Chik dan rakan-rakan, saya hendak pastikan pengarahan yang jelas daripada Kerajaan, iaitu pastikan FGV kembali kepada matlamat asal, FELDA keutamaannya kepada peneroka, hak mereka, hasil mereka, dan koperasi yang mereka tentukan. Jadi yang selanjutnya biar mereka uruskan untuk beberapa bulan pertama supaya akan berhasil projek FELDA seperti mana diinginkan.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
- Saya hanya turut bangga hari ini, tentang apa yang diperlukan oleh FELDA tentunya banyak, tetapi seperti mana yang saya tekankan, saya tidak peduli tohmahan-tohmahan di luar, tapi sebaik sahaja dicadangkan tanya Saudara Shabery atau pengurusan apa yang mampu Kerajaan lakukan, ini Kerajaan MADANI, insya-Allah akan tunaikan. Sebab itu kita mula dulu, orang permainkan. Kita noktahkan kemiskinan tegar, kita tak puas hati, kita kumpul lagi dana, termasuk dari swasta. Saya boleh panggil syarikat-syarikat swasta dan minta dana untuk saya tetapi amalan inilah yang menjahanamkan negara ini ataupun ke arah itu. Sebab itu kita gunakan mereka, berulang kali panggil mereka, kumpul RM100 juta untuk Gaza. Kumpul lagi untuk 1,000 Sekolah Angkat MADANI, panggil lagi untuk Kampung Angkat MADANI. Ini semua kerana syarikat-syarikat yang besar itu jangan lupa, mereka untung itu juga dengan pekerja. Jadi saya tidak mahu punyai amalan, termasuk FELDA umpamanya, nak bangga dengan keuntungan. Kita bangga keuntungan, tapi bukanlah kepada syarikat, kena ada strategi pulangan kepada peneroka.
- Seperti syarikat tanya untung berapa satu tahun? RM800 juta. Gaji pekerja? RM1,500. Ini yang selalu saya tekankan kita mahu negara ini membangun dan selalu saya nukil pandangan salah seorang pemimpin Islam Indonesia, Mohammad Natsir: “Jangan kita sambil membangun, kita robohkan”. Kita semua berkejar untuk membangun — membangun industri, membangun projek, membangun infrastruktur, membangun teknologi baru semua membangun tetapi membangun itu apa? Membangun itu untuk manusia. Jadi jangan sambil membangun, kita robohkan apa yang kita bangunkan — gedung dan industri. Apa yang kita robohkan pekerja di dalamnya? gaji mereka tetap rendah, kemudahan asas tidak ada. Sebab itu mesti ada perimbangan.
- Itu yang saya sebut dalam ucapan Belanjawan, ucapan Rancangan Malaysia Ketiga Belas. “Wa kadza lika ja’alnakum ummatan wasata li takunu syuhada’ ‘alan nas, wa yakuna ar-rasul ‘alaikum syahida.” Betul tak Ulul Albab? Allah janjikan kita ini umat yang seimbang, umat yang maintain aquilibrium, balanced brain within community. Apa ertinya? iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi dan ada sarjana yang kembangkan: Man and Nature. Ummatan wasata ini umat yang tahu seimbang tidak robohkan bukit-bukau untuk memenuhi nafsu serakah dan tamak haloba manusia mesti jaga keseimbangannya. Ini yang disebut balance community, ummatan wasata. Kerana Allah menjanjikan di dalam Al-Quran sekiranya berlaku: li takunu syuhada ‘alan nas — dia akan jadi contoh. Umat ini dijanjikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quranul Karim contoh terbaik bagi manusia. Contohnya bagaimana? akhlaknya, adabnya, nilainya pembangunannya, kefahamannya, cara mengurus masyarakatnya dan negaranya, orang lihat ini yang baik bukan kerana dadahnya, rasuahnya itu merosakkan. Contoh terbaik itu janji, sebab itu dalam negara MADANI soal tatakelola menentukan kita itu tetapkan nilai yang baik, akhlak, contoh, jangan ada kuasa sedikit rompak, ada peluang bercakap sikit, maki hamun. Itu bukan contoh yang baik. Allah janjikan ummatan wasata dan menjadi contoh kepada syuhada ‘alan nas, wa yakuna ar-rasul ‘alaikum syahida dan inilah yang akan disaksikan oleh Rasul di akhirat kelak.
- Mudah-mudahan semangat ini yang ada. Saudara-saudari saya ucapkan penghargaan. Ikhtiar, semangat, dan saya faham harapan yang tinggi. Semua negara di dunia bergelut dengan masalah kos sara hidup dan kita juga tidak terlepas dari tempiasan itu. Ada kerangka, langkah-langkah baru yang kita ambil. Ada orang bimbang, dia kata, “Anwar janji dulu, menang hari ini…” Tapi minyak turun atau tidak? Ya — bukan Anwar turun, minyak yang turun dan ini paling rendah, paling rendah banding dengan semua negara ASEAN. Jadi bagi orang yang tak puas hati, tak reti bersyukur, “la’in shakartum la azeedannakum wa la’in kafartum inna ‘azaabee lashadeed”(Surah Ibrahim:7). Dia tak reti syukur, itu soal dia, tapi mana ada negara minyak serendah kita? Tetapi tentunya, saya kata, kalau kita bayar rendah, orang asing bayar tinggi lah. Orang asing yang tak bayar cukai, bayar! Berapa banyak puluhan ribu syarikat-syarikat kaya yang mengambil pekerja dan profesional asing di Malaysia ini yang gajinya RM200,000 sebulan, RM100,000 sebulan takkan kita nak bagi subsidi? Takkan kita nak minta anda bayar RM1.99 seliter, dia bayar lah RM2.60. Itu pun ada orang sebelah sana kata pada saya, “Anwar ni tidak berhati perut, dia sampai hati menekan orang-orang asing ni.” Kamu ni wakil rakyat mana? Wakil rakyat Bangla ke? Wakil rakyat Rohingya? Pilihan mana lagi? hutang banyak. Orang kata oh Anwar hutang? bukan saya hutang tanya Dato’ Seri Zahid hutang kita kurang tahun 2022, hutang hampir RM100 bilion sekarang tinggal RM70 bilion maknanya hutang lama, kita bayar kena bayarlah hutang lama.
- Sebab itu saya minta kawan-kawan FELDA, KDW, KUSKOP, saya tak minta sokong buta ambil fakta. Apa yang kamu buat dulu? yang riuh-rendah minta umpamanya tukar Kerajaan, nak turunkan Anwar ni apa? Pasal apa dia? semua ada kes-kes rasuah. Dia nak minta supaya kita selamatkan mereka sebab dia anggap kalau Anwar turun, kes dia selesai. Saudara, saya nak beritahu sekali lagi saya ada mandat semua wang yang dicuri daripada negara, dari rakyat mesti dipulangkan balik kepada negara. Itu saya tidak tolak ansur jatuh bangun, saya tidak akan bertolak ansur. Kalau ada bukti, kamu ambil RM1 bilion, anak kamu RM1 bilion, keluarga kamu RM4 bilion — kamu bayar balik. Soal hukuman itu kerja hakim, bukan kerja saya. Ada orang kata, “Anwar dah hukum…” saya tak hukum. Saya kata bila kita buktikan wang itu diambil cara haram dari rakyat, saya nak pastikan kuasa yang ada pada saya sebagai Perdana Menteri kalau terbukti, kamu pulang balik setiap sen yang kamu curi dari rakyat. Kalau kita dapat banyak peruntukan FELDA akan ditambah.
- Dan kemudian anak-anak sekolah, perubatan minggu lalu kita bincang ada 4,300 jawatan baru untuk doktor kita arah Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan, isi sekarang jangan tunggu akhir tahun. KSU ada, buat now! now! now! Doktor tak cukup ambil sekarang 4,300, Kerajaan bayar untuk kemudahan rakyat dan itu yang kita lakukan. Jadi mudah-mudahan, perjumpaan hari ini kita bagikan semangat baru kepada kita. Saya dengar ucapan Dato’ Seri Zahid saya pun semangat dah tengok sambutan terima kasih. Nampak! siapa kata orang Felda tak faham? tengok semangat mereka — itu luar biasa. Saya Sekali lagi, saya ucap terima kasih dan mohon maaf kalau ada keterlanjuran kata-kata.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya luncurkan Karnival Mega 2025.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
