TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SIMPOSIUM PEMBANGUNAN DAN ANUGERAH PEMBANGUNAN NEGARA TAHUN 2025

12 November 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

SIMPOSIUM PEMBANGUNAN DAN

ANUGERAH PEMBANGUNAN NEGARA

TAHUN 2025

                                                                    

 

12 NOVEMBER 2025 (RABU) | 11.30 PAGI

DEWAN DAMAR SARI, PARCEL F

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

 

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar,

Peguam Negara;

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Sollehuddin Alyubi bin Zakaria,

Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri yang menyelaras acara pada hari ini.

 

  1. Terima kasih dan tentunya saya ucapkan penghargaan dan tahniah kepada rakan-rakan yang diumumkan menang tadi, dan yang bakal diumumkan lagi. Mudah-mudahan akan menjadi kesempatan dia merenung dan mencari jalan meningkatkan usaha dan khidmat mereka.

 

  1. Saya ingat itulah intisari tujuan Majlis Anugerah Pembangunan Negara sepertimana yang disampaikan tadi oleh Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara.

 

  1. Kalau kita lihat konsep pembangunan MADANI ini, ia sebenarnya terangkum dari gesaan firman Allah Subhanahu Wa’taala tentang keperluan meningkatkan usaha kita, ketakwaan kita, kehidupan kita, pembangunan kita, memilih arah kebaikan dan pembangunan dan meninggalkan kebejatan, kerosakan dan kemusnahan. Wa Nafsihi wa ma Sawaaha, Fa Alhamaha Fojuroha wa Taqwaha, Qad Aflaha Man Zakkaha, Wa Qad Khaaba Man Dassaha.

 

  1. Ja’far Sheikh Idris, seorang alim terkenal dari Sudan, yang meninggal beberapa bulan yang lalu, pernah mengupas dengan cara yang sangat mengesankan, bahawa berbahagia orang-orang yang memilih menyucikan diri mereka ke arah matlamat meningkatkan ketakwaan.

 

  1. Dan ini tentunya terangkum, suci maknanya ikhlasnya, amanahnya, bersihnya dan berbeda dengan kalangan yang memilih jalan lain. Sebab itu, disambung ayat ini, menang dan berbahagialah – Qad Aflaha Man Zakkaha, orang yang sentiasa mencari jalan, menyuci, membersihkan, meningkatkan dan rosak binasalah orang, sistem yang memilih jalan kebejatan dan kerosakan.
  2. Dia rangkul konsep ini dalam erti pembangunan. Sebab pembangunan sebenarnya itu pembangunan manusia seutuhnya yang kita bangunkan bukan gedung. Tentunya kita harus bangunkan gedung, industri atau AI apa saja tapi yang sebenarnya yang nak dibangunkan itu manusia. Sebab itu aspek Karamah Insaniah manusiawi itu penting dan sepertimana yang disebut dalam gesaan Al-Quran tentang erti pembangunan itu, dia tidak boleh lari daripada penekanan tentang nilai kehidupan dan ketakwaan dan ini sebenarnya dirangkul dalam konsep MADANI.

 

  1. Pembangunan itu diperlukan, kalau kita mahu maju maka semua teknologi baharu harus kita kuasai jaga persekitarannya dan menjana pertumbuhan dalam pelbagai bidang. Tetapi selalu kita kena ingatkan, kerosakan yang berlaku adalah bila kita abaikan nilai manusiawi itu.

 

  1. Negara boleh membangun, tetapi tidak mungkin bertahan. Negara mungkin ada khazanah dan limpahan rezeki yang jenuh, tetapi tidak akan menjamin keadilan dan keselesaan melalui pengagihan sistem yang adil.

 

  1. Sebab itulah saya ambil kesempatan ini sekali lagi untuk menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan penjawat awam, KSN, KPPA dan rakan-rakan dan juga yang diselaraskan oleh KP ICU ini, kerana kita menjalankan beberapa kegiatan tambahan untuk mengingatkan kita bahawa membangun itu bermakna membangun manusia seutuhnya. Bermakna ada empati, keprihatinan terhadap golongan yang paling rendah darjatnya dari segi duniawi, dan kebenaran yang mampu kita tambah. Tetapi jangan ditinggalkan aspek nilai.

 

  1. Kampung Angkat MADANI, Sekolah MADANI, SejaTi MADANI, itu sentuhan MADANI yang datang mengingatkan satu kerangka. Ia tidak semestinya baharu.Semua kita turun ke daerah. Semua kita balik kampung. Tetapi bila ada rencana yang lebih tersusun, sistematik, diarah supaya kita meneliti permasalahan di akar umbi, itu berbeza daripada mesyuarat, saya baru selesai tadi Majlis Tenaga Negara.

 

  1. Tentunya cabaran dan fokus kerja kita itu terlalu besar; nasional, regional, international agenda, energy transition, dan juga ASEAN Power Grid, dan Undersea Cable dari Sarawak. Itu terlalu besar untuk kita renung. Dan bukanlah tempatnya kemudian nak fikir pasal Kampung Angkat. Tapi kalau kita sibuk soal itu, ada kadang-kadang berlaku disconnect. Sementara ini diperlukan, maka kita sentiasa diingatkan untuk juga turun ke bawah.

 

  1. Tetapi yang juga utama dalam konteks ini, atas inisiatif rakan-rakan dalam memberi, menyampaikan anugerah-anugerah pembangunan ini ialah untuk mengingatkan bahawa harus ada usaha tambahan, seperti yang kita katakan productivity paradox. Apa dia usaha tambahan itu? Apa lagi yang harus kita kerjakan?

 

  1. Tadi di Perhimpunan Bulanan JPM, saya sebut tentang keperluan kita sentiasa merasa tertekan untuk memperbaiki, untuk meningkatkan usaha kita, untuk memberi makna kepada gesaan Nabi Muhammad SAW bila minta menyempurnakan, menjadikan kerja kita itu amal kita cemerlang, itqan fil amal itu bukan sahaja pada slogan, striving for excellence kita sudah dengar daripada Peter Drucker, tahun 70-an sampai sekarang. Tetapi, gesaan itqan fil amal dalam hadis Muhammad SAW itu gesaan yang sebenarnya menyentuh hati nurani kita, mengetuk hati kita.
  2. Apakah kita lakukan yang sebaiknya? Apakah dengan pangkat, darjat, anugerah, pingat, hadiah, jabatan yang tinggi itu sebenarnya telah kita tunaikan amanah itu dengan sesungguhnya. Berapa orang yang boleh diangkat sebagai KSU atau Ketua Jabatan atau KSN, apalagi Perdana Menteri? Apakah kita lakukan sebaiknya? Seikhlasnya? Sebersihnya? dan apakah kita berikan netijah idea yang benar-benar mampu mengangkat negara ini dan juga membela nasib yang tersisih, terbiar atau terpinggir? Itu semua isu-isu yang terkait dengan isu nilai, isu pertanggungjawaban, isu yang kita sebut, yang dirangkul dalam asakkan kepada diri kita dalam ayat Al-Quran tadi, Wa Nafsihi wa ma Sawaaha – jiwa yang murni dibersihkan.

 

  1. Pagi tadi sekadar nak rumuskan, saya mengatakan kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa’taala. Semua angka-angka dan data terakhir ini sangat membanggakan, Alhamdulillah. Pelaburan tertinggi, pengangguran terendah, ringgit terkukuh ataupun prestasi terkukuh di Asia.

 

  1. Ini jangan kita andaikan sesuatu yang mudah. Negara Malaysia ini bukan negara besar. Ekonominya dan penduduknya itu dianggap sederhana, tetapi telah mencapai sesuatu yang baik. Ini kerana negeri ini aman kerana politiknya stabil. Kerana kerja kita sebagai satu pasukan, kerana hubungan pimpinan politik dan penjawat awam itu kemas dan rapat dan kerana pelaksanaan itu berkesan. Itu, Alhamdulillah kita sampai tahap itu, tetapi apa cabarannya? Jangan runtuhkan apa yang telah dibina. Ini tanggungjawab kita. Jangan buat andaian bahawa ini akan kekal dan abadi, tidak. Jadi soal kesatuan kita, kestabilan kita dan cabaran kepada kita di semua peringkat.

 

  1. Bayangkan kalau kita dapat tarik setengah juta. Tidak semuanya, katalah setengah juta penjawat awam ini dengan satu semangat baru. We have this mandate. Not only to save but to strive to ensure that Malaysia will emerge as a great competitive nation in this region.

 

  1. Just imagine for once, half a million people suddenly rise tomorrow morning and say now enough, enough of excessive corruption, abuse, stupid silly political polemic based on race, based on division and hatred and let us build ourselves, our family, our nation. We do it with such a drive. Wallahu a’lam. Kalau ada semangat itu, saya fikir you, saudara saudara, akan menyaksikan satu kebangkitan rakyat dan kesedaran dan kejayaan negara yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara.

 

  1. Saya, menaruh keyakinan, kerana saya lihat ada pergerakan itu. Dan saya lihat, umpamanya, penjawat awam, semangat mereka, sikap mereka. Mulai tahun 2022, banyak yang ragu-ragu. Saya faham. Ini yang ketua pembangkang sekian lama, mana dia tahu. Tetapi, kita sabar, kita bincang, kita tunjuk kasih kita, kesungguhan kita. Dan saya sediakan, peringat kan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri, win them over, convince them. Dan Alhamdulillah, saya bukan nak sebut ini depan KSN dan rakan-rakan. Saya bangga bekerja dengan pasukan penjawat awam.

 

  1. Kerana kesungguhan saudara-saudara menjadikan keluarga kita, negeri kita, negara kita sesuatu yang lebih baik daripada sekarang. Dia tidak mudah, tentunya. Tiap hari kita akan terdedah, terjebak dengan masalah baru dan sebagainya. Itu biasa, lazim. Hidup manusia ini dan asam garam hidup.

 

  1. Tetapi sesuatu yang cukup meyakinkan ialah kerana saya lihat program-program kita itu cuma diberi sambutan dan ada kesungguhan. Saya pantau umpamanya, ya, macam Kampung Angkat MADANI, SejaTi MADANI. Saya lihat, dia setengah-setengah itu bergelut sungguh-sungguh. Dia bukan jadi sambil lewa. Datang sekali-sekali tengok. Mereka manusia, dia kalau tersentuh hati nurani dia, terketuk pintu hati dia untuk berbuat satu, they will perform miracles.

 

  1. So, daripada bottom of my heart, saya datang untuk menyatakan terima kasih kepada saudara semua.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: