TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM TEMU MESRA MADANI JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN MENYANTUNI MASYARAKAT BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM TEMU MESRA MADANI JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN MENYANTUNI MASYARAKAT BERSAMA
YAB PERDANA MENTERI
5 SEPTEMBER 2025 (JUMAAT) | 1.15 PETANG
MASJID JAMEK BANDAR BARU SERI PETALING
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah
Wa Maa Tawfeeqeee Waktusaami Illa Billaah Alaihi Tawakkaltu Wa Ilaihi Uneeb
Alhamdulillahil Qawiyyil
Lakad kana lakum fii rasulillahi uswatun hasanah
Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim
Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen
Saudara, Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Ustaz Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil,
Sahibus Samahah Fatawas Mufti Wilayah Persekutuan;
Wakil-wakil Jabatan;
Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid;
Para alim yang sepatutnya memberi Tausiyah bukan saya.
Minta izin, Ustaz Azim minta maaf. Saya minta izin sedikit.
Saudara-saudara yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, hari ini hari Jumaat dan kita juga baru selesai tadi sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
- Maksudnya memperingatkan. Saya nak rujuk sedikit tentang tradisi Maulud Nabi. Setakat saya faham, ia dimulakan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Maksudnya dia untuk mengangkat, meningkatkan kesedaran umat dan menyedarkan untuk bangkit sebagai satu kekuatan. Menanam roh jihad dan roh Islam. Itu yang dipersiapkan oleh Salahuddin al-Ayyubi yang asal Kurdi, sekarang di bawah Iraq. Sehingga menjadi satu kekuatan yang mampu menakluki semula Baitulmaqdis.
- Apa persiapannya? Persiapannya kekuatan masjid. Persiapannya semangat dan roh perjuangan. Dengan kekuatan perpaduan masyarakat. Dengan peningkatan ilmu dan kesedaran. Ada punya ilmu mungkin tidak punya kesedaran. Ada punya kesedaran tapi tidak langkah. Sanggup melangkah dalam perjuangan atau jihad. Tidak selari dengan firman Allah SWT. Walladzīna jāhadū fīnā lanahdiyannahum subulanā, wa innallāha lama‘al-muḥsinīn (Surat Al-‘Ankabu, Ayat 69.)
- Islam itu tegak dengan iman, dengan ilmu dan kesedaran, dengan amal dan dengan semangat ruh untuk melangkah maju dengan apa cara sahaja supaya memuliakan Islam. Dalam mukadimah tadi, saya bacakan ayat yang kebetulan dibaca juga oleh Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im pagi tadi. Itu yang saya ingat tu. Bahawa Rasulullah itu diutuskan sebagai ‘uswatun hasanah’, contoh terbaik. Yang terbaik di kalangan kita itu dengan pelbagai kelemahan tidak mungkin sampai ke makam ‘uswatun hasanah’ Contoh terbaik bagi umat manusia.
- Contoh itu dalam semua bidang, keseluruhannya. Sebab itu dikatakan Islam itu ‘Syaamil wa Kaamil’, dia lengkap dan sempurna. Bahawa dalam keperibadian Rasulullah SAW itu akidahnya, akhlaknya, amalnya, peribadinya, tingkah lakunya, keseluruhannya itu menjadi pedoman dan contoh. Hanya dengan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW maka kita dapat terapkan sedikit daripada ciri-ciri keperibadian Rasulullah SAW.
- Mufti, saya sambung sedikit. Saya kalau Menteri Agama tak apa lagi. Mufti ini saya gerun sikit (nada berseloroh) Jadi, minta maaf. Saya nak sampaikan itu sahaja, iaitu negara ini bukan sempurna tetapi letakkan asas. Mengapa MADANI? MADANI kerana ciri keyakinan iman, ciri nilai, ihsan, rahmah yang tergabung, terangkum dalam apa disebut akhlak. Yang disebut tentunya akhlak juga contoh terbaik, ‘uswatun hasanah’ ‘Wa innaka la ala khuluqin azeem’ pada akhlak Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah R.A bila di tanya akhlak Rasulullah, ‘Khuluqul Qur’an’ (اخلاق القرآن). Boleh tak naa? Pak dia yang ajar saya dulu. Baik, jadi pada akhlak Qur’an. Jadi, jangan tinggal. Sesetengah orang dia ambil satu juzuk. Islam itu beda dengan agama-agama lain, ideologi lain, kerana dia “Kulli”, dia menyeluruh, dia bukan “Juz’i”. Oleh itu, kalau kita nak bicara tentang negara, negara juga tidak boleh “Juz’i”. Ekonomi saja? Tidak. Politik sahaja? Lagi tidak, kerana politik ini jadi celaru habis. Ataupun pendidikan sahaja? Tidak. Semuanya itu mesti terangkul. Pendidikan? mesti asing tidak lari dari keimanan.
- Sebab itu, dalam sistem pendidikan kita, di bawah Kerajaan MADANI, kita wajibkan Islam itu dipaham lebih baik dengan, termasuk dengan membaca, menelaah, memahami Matan Al-Ba’in, Hadis 40, Imam Nawawi. Sebab apa? Sebab jumhur ulama. Saya tak termasuk kategori itu. Sebab apa saya setuju jadikan Matan Al-Ba’in, Hadis 40, sebagai asas untuk semua pelajar Islam baca? kerana jumhur ulama termasuk Sahibus Samahah Mufti kata ini di antara kumpulan hadis ilmu yang terbaik yang dalam 40 itu. Cukup tak cukup, tapi tentunya asas permulaan. Itu dalam sistem pendidikan kita.
- Dan dalam MADANI itu sudah masuk ihsan. Negara boleh maju, pelaburan banyak, dari Amerika ke Rusia ke China, Brazil, Afrika Selatan, semua datang kerana kita nak tingkatkan perdagangan supaya anak kita boleh dapat kerja, tetapi ekonomi sahaja? Kebendaan? Tidak. Negara MADANI itu mesti menetapkan ada prinsip keadilan, jangan bila ada kuasa kita punggah kekayaan sampai berbilion-bilion untuk diri, rakyat tak terbela. Ataupun syarikat untungnya 500 juta setahun, upah pekerja masih di tahap yang lama.
- Sebab itu negara MADANI umpamanya menetapkan dalam keadilan, ihsan dan rahmah diterjemahkan. Mulanya keluarga kita dulu, iaitu penjawat awam, maka dinaikkan kadar elaun mengikut gaji tertinggi dalam sejarah. Kemudiannya syarikat-syarikat Kerajaan, kemudian cuba tekankan supaya syarikat-syarikat swasta yang catat keuntungan lebih, bagilah pulangan kepada rakyat termasuk upah minima, dulu RM1200, kita naik RM1500 sebulan. Naik lagi RM1700 sebulan. Cukup? Tak cukup. Tapi naik Daripada dulu RM1200, saya kasi RM1700 dan terus bagi penekanan. Ini negara MADANI.
- Sebab saya kata tak guna atau tak lengkap untuk kita hanya bicara tentang ‘uswatun hasanah’, tetapi bila perlaksanaan itu dia ada kesenjangan, maknanya perbedaan dari apa yang diungkapkan dengan apa yang dilaksanakan.
- Begitu juga dalam bidang sistem negara kita. Sebab itu pesanan baru-baru ini oleh Raja-Raja Melayu dalam ucapan-ucapan mereka, dalam sempena maulud Nabi Rasulullah S.A.W sentiasa menekankan jaga akhlak, jaga nilai. Tak setuju, boleh. Tegur, ya. Kritik pun, ok. Tapi mencerca, menghasut, menghina, memfitnah tak ada peraturan yang bolehkan. Jadi kalau kita dalam kesatuan Islam, dalam khariah masjid, mesti tegur-menegur. Jangan Ad-Din An-Nasihah itu, nasihat orang lain, tetapi mesti juga dengar nasihat supaya dapat kita perbaiki. Itu dia dinamisma, dinamiknya Islam itu. Boleh sebut Ad-Din An-Nasihah, itu menasihatkan orang dan biar orang menasihatkan kita juga. Kalau ada yang terlanjur, mesti dihentikan. Kalau ada fitnah, mesti dibatalkan. Jangan diteruskan.
- Jadi mudah-mudahan kita dapat mencapai maksud MADANI kerana sambutan ini semua orang boleh sambut, seluruh dunia boleh sambut. Boleh buat perbarisan, boleh jelajah tiap kota. Tapi tidak semua dapat mengamalkan. Cabarannya ialah bagaimana Malaysia, terutamanya umat Islam, boleh diangkat martabat, harakat dan darajat dia sebagai umat. Kesatuan, amal soleh, dan menanam roh perjuangan semoga dalam semua bidang, keluarga kita, masyarakat kita, sekolah kita, jabatan kita, apalagi masjid kita itu dimakmurkan.
- Akhirulkalam, kalau masjid ini memang ada sejarah. Guru saya, sahabat ayahanda saya, Haji Ibrahim, itu adalah Tuan Guru Haji Saleh. Di sana kalau di Pulau Pinang, Kedah, dia dikenali sebagai almarhum Tuan Haji Saleh Penanti, Pondok Penanti. Dia yang sentiasa mendorong saya ke sini dan hikmah dakwahnya itu luar biasa. Kalau saya kata saya sibuk, dia kata “Tak apa, boleh tak jumpa Anwar sekejap, lepas Asar?” Saya kata boleh. “Boleh tak esok Maghrib datang singgah sekejap?” Itu cara dia. “dia takkan bedal sahaja, dak”.
- Saya tak pernah tengok dia, 10 tahun dengan dia, berdamping dengan dia, belajar daripada dia. Tunjukkan selain daripada ‘bilḥikmah wal-maw‘iẓatil ḥasanah, wa jādilhum billatī hiya aḥsan’. Jadi sebab itu bila setiap kali datang masjid ini, saya terkenang sangat luar biasa semangat diberikan. Doa tidak putus-putus termasuk jemaah di depan Kaabah. Hajat khas semasa saya di penjara, itu dia. Orang yang sebenarnya juga berjasa di masjid ini dalam jemaah tabligh, iaitu Tuan Guru Haji Saleh. Sebab itu saya kenangkan juga. Bila tiap kali ke masjid ni, bila dijemput ke masjid ini tak pergi, teringat Tuan Guru Haji dia suruh datang. Jadi sekali lagi lah kepada Sahibus Samahah Mufti dan rakan-rakan yang menjayakan masjid ni, saya ucapkan ‘Jazakumullahu Khairan Kathiran’.
Wassalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
