TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 NEGERI MELAKA “ASPIRASI MADANI: MENJAMIN PERTAHANAN DAN KEDAULATAN NEGARA”

19 October 2025

 

TEKS UCAPAN

 

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 

PROGRAM MADANI RAKYAT 2025

MELAKA

“ASPIRASI MADANI: MENJAMIN PERTAHANAN DAN KEDAULATAN NEGARA”

 

 

19 OKTOBER 2025 (AHAD) | 11.00 PAGI

POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillāhi rabbil ʿālamīn,
naḥmaduhu wa nuṣallī ʿalā rasūlillāhil karīm,
wa ʿalā ālihi wa ṣaḥbihi ajmaʿīn.

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh,

Ketua Menteri Melaka;

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin,

Menteri Pertahanan;

 

Yang Berhormat Datuk Wira Ibrahim bin Durum,

Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Ketua-ketua Jabatan;

 

Ketua Setiausaha;

 

Ketua Pengarah;

 

Panglima Angkatan Tentera; dan semua rakan yang hadir.

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur dan dapat bersama-sama menjayakan Program MADANI Rakyat dan seperti mana kita tahu, ini adalah program akhir Program MADANI Rakyat yang telah diselenggarakan di seluruh negara. Sekali lagi Melaka menjadi tuan rumah dengan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian induknya.

 

  1. Jadi, saya ucap penghargaan dan tahniah dan tentunya kerana Kementerian Pertahanan jadi agak lebih istimewa kerana tarikan kemudahan dan kelengkapan pertahanan itu menyebabkan begitu ramai sekali hadir, mungkin di antara yang paling ramai dalam sejarah Program MADANI Rakyat. Apalagi sambutannya itu oleh Kerajaan Negeri Melaka bersama.

 

  1. Sepertimana saya sebut, satu-satunya negeri yang kita singgung secara khusus kejayaan dalam peluncuran World Tourism Day dan Hari Pelancongan Malaysia dan saya sebut di Melaka itu satu penghormatan khas untuk Negeri Melaka dalam belanjawan. Tapi peruntukan kita tambah sikit sajalah.

 

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Saya mulakan dengan menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan di Kementerian Pertahanan dan sering diperingatkan kerana negara bila aman dan stabil, orang mengandaikan semua keadaan terkawal jadi dianggap tumpu soal ekonomi, pendidikan, pembangunan infrastruktur kerana mereka mengandaikan semuanya sudah beres tetapi bagi kita yang menikmati keamanan, jangan tinggalkan soal persiapan, kesiapsiagaan, disiplin dan peningkatan keupayaan pertahanan negara.

 

  1. Ini sering kita ingatkan kepada orang-orang yang biasa dengan teori-teori dan sejarah peperangan, ketegangan termasuk Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua semua melakukan satu kesilapan besar iaitu tidak ada disiplin dan kesiapsiagaan. Kerana mengandaikan semuanya keadaan terkawal. Sebab itu saya ucap tahniah khususnya kepada Menteri Dato’ Seri Khalid yang sentiasa menggesa dan menekankan isu ini dalam sidang-sidang Jemaah Menteri dan beberapa program perubahan dan reform, sama ada dalam soal perolehan, kelengkapan dengan disiplin, tender dan proses yang baik, dan juga keselesaan kepada pasukan tentera selain daripada Polis Diraja Malaysia.

 

 

  1. Ini termasuklah perumahan mereka, sekolah mereka dalam beberapa lawatan saya lihat ada keadaan yang perlu perhatian kerajaan. Saya ucap sekali lagi terima kasih kepada Saudara Khalid dan juga KOR Kejuruteraan, Kementerian Pertahanan kerana mempercepatkan proses mempersiapkan beberapa kemudahan asas termasuk perumahan Angkatan Tentera yang dapat kita perbaiki dengan begitu banyak rekod dalam dua tahun ini rekod dalam sejarah dari segi pemuliharaan rumah-rumah Angkatan Tentera.

 

  1. Tentang strategi pertahanan yang komprehensif, tentu sahaja PAT dan Panglima-panglima lebih arif dan kita tahu prestasi serta imej kita kian baik. Baru-baru ini, saudara tahu kita diminta meleraikan ketegangan di antara Kemboja dan Thailand. Walaupun ada kejayaan awal, tetapi harus dipantau terus-menerus, dua negara tersebut, Alhamdulillah, memberi kepercayaan dalam dua hingga tiga minggu yang lalu. Rundingan di antara menteri luar, tentera dan pegawai-pegawai diplomatik dan ketenteraan itu dianjurkan di Kuala Lumpur. Sekali lagi saya ucap terima kasih selain daripada Kementerian Luar juga kepada Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera yang membantu membawa mereka berunding sehingga berhasil memeteraikan beberapa prinsip dalam menjamin perdamaian ini dan kebetulan Presiden Donald Trump yang akan datang pada 26 haribulan ini mahu juga melihat kejayaan tersebut.

 

  1. Jadi, ia tidak mungkin berlaku. Ada orang mengucapkan terima kasih kepada saya, betul. Tetapi saya tidak mungkin dapat lakukan tanpa jentera yang baik di Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan seluruh jentera kerajaan, khususnya peranan Menteri dan Panglima Angkatan Tentera dalam membantu berunding dan meleraikan masalah ini.

 

  1. Saudara-saudara, ini terkait juga dengan isu-isu pembangunan. Sepertimana disebut oleh Ketua Menteri, kita kemukakan beberapa cadangan, tetapi saudara-saudara harus tahu bahawa dalam pengalaman kita, selalunya perancangan itu di Putrajaya. Tetapi kita sudah rombak sedikit. Kita turun ke negeri, mendengar pandangan negeri dan setelah mendengar pandangan negeri, dalam melakar Rancangan Malaysia ke-13, kita membuat beberapa perubahan menyesuaikan dengan urutan keutamaan yang ditetapkan oleh negeri.

 

  1. Begitu juga dalam belanjawan negara. Walaupun negeri beri senarai ratusan, di antara sebab Dato’ Seri Rauf bawa saya datang kerana tiap kali datang dia bagi dalam 12 fail tuntutan baru untuk Negeri Melaka. Tapi saya ucap terima kasih kerana dalam tuntutan itu tidak ada tuntutan untuk saham atau projek peribadi semuanya untuk rakyat Negeri Melaka.

 

  1. Tujuan kita ada MADANI Rakyat ini antara lain ialah supaya menyantuni rakyat, supaya rakyat tahu kita umumkan sekian untuk kementerian, jabatan, projek rakyat baca dan dengar. Kemudian ada pandangan lain yang menyerang kita, dia kata tidak ada, tidak dapat melihat sendiri. Jadi tujuan kita mengajak rakyat melihat sendiri dan pegawai-pegawai ditugaskan untuk memberi penjelasan tentang tindakan yang diambil.

 

  1. Kalau diberikan Kementerian Pertahanan, penambahan kepada RM21.7 bilion itu, kelengkapan mana? Pesawat mana? Tank mana? Itu semua dapat diterangkan oleh pegawai-pegawai yang membantu menjelaskan kepada rakyat.

 

  1. Begitu juga untuk sekolah, sekolah baru mana yang akan dibangunkan? Sekolah mana yang dianggap sesak yang harus dibantu? Perumahan mana yang baru diperkenalkan, sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri? Itu tujuan kita santuni. Sebab kita tidak bergerak dalam satu lompongan, bukan dalam satu vakum. Kita kemukakan satu projek, diserang bertubi-tubi, kadang-kadang guna atas nama agama, diserang dan tidak langsung berasaskan fakta.

 

  1. Kita yang belajar agama, kita yang terdedah dengan pandangan ulama-ulama besar dunia, pernahkah kita dengar ulama besar yang menyerang, menghukum, mencemuh, memperolok-olokkan, menghina sesama manusia, kemudian membuat tuduhan tanpa rujuk kepada fakta.

 

  1. Kalau dengar ceramah-ceramah mereka itu marah sahaja-sahaja. Semuanya dilaknatkan, semuanya dikafirkan atau dimunafikkan tanpa usaha untuk mencari. Jadi kalau dalam Al-Quran tentang bil hikmah wa al-maw‘izah al-hasanah wajadilhum billati hiya ahsan itu diungkapkan tetapi tidak pernah diamalkan. Saya kenal juga ulama-ulama besar, dengar teguran mereka, dengar nasihat mereka, sama yang datang.

 

  1. Baru-baru ini Syeikh Habib Umar, daripada Yaman. Sebelum itu puluhan tahun kita kenal ulama-ulama besar dunia. Memang mereka beri teguran. Tapi dengan penuh hikmah, dengan semangat kasih sayang. Bukan dengan fitnah dan maki hamun. Saya bagi contoh umpamanya, Khazanah. Bukan kerajaan, Khazanah, syarikat kerajaan. Belanja RM600 juta untuk Bangunan Sultan Abdul Samad sehinggalah ke Carcosa Seni Negara.

 

  1. Carcosa Seni Negara itu tatkala kita mencapai kemerdekaan, diumumkan di sini kemerdekaannya oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Itu kerana rundingan diadakan, Tunku menyerahkan Carcosa Seni Negara sebagai lambang pentadbiran Inggeris.

 

  1. Jadi, kami di kalangan anak muda masa itu merasakan tidak sesuai. Bangunan terindah, tersergam, tertinggi di Kuala Lumpur tidak wajar diserahkan. Jadi kita tuntut supaya diserahkan balik dengan gantian tanah untuk Pesuruhjaya Tinggi Inggeris. Baik. Jadi, takkan tak boleh baiki? Takkan tak boleh pulih? Takkan pula adakan bangunan itu sebagai gedung Inggeris? Tak. Dimasukkan karya-karya, seni, budaya, muzik, semuanya terutama berteraskan Melayu dan suku-suku kaum di Malaysia yang lain.

 

  1. Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, di antara bangunan yang menjadi mercu tanda bagi Kuala Lumpur, itu dalamnya sudah robek, musnah. Harus dibangunkan, diperbaiki sebagai lambang Raja-Raja Melayu. Warisan Kuala Lumpur yang saya umumkan itu dari bangunan Bangunan Sultan Abdul Samad, Padang Merdeka, Stesen Kereta Api Tanah Melayu, Daya Bumi, sehinggalah Carcosa Seni Negara. Itu kita anggap sebagai satu warisan sejarah negara kita dan warisan ini berteraskan warisan Melayu yang bermula dengan Kesultanan Melayu dengan nama bangunan Sultan Abdul Samad.

 

  1. Ini matlamat dan tujuan kita, dibelanjakan tapi diserang, membazir. Yang curi berbilion ringgit, yang guna wang beli harta di London, di Amerika, di Australia, itu tak jadi masalah. Negara hilang ratusan juta, tak pernah disebut di Parlimen. Yang diserang, hal ini.

 

  1. Saudara, kita ini negeri betul rakyat Malaysia, semua kaum dan suku kaum. Tetapi terasnya masih Melayu. Saya mahu warisan. Kuala Lumpur itu terasnya Melayu itu nampak tersergam. Ini Dato’ Sri Khalid, dia dalam Jemaah Menteri, dia tahu pendirian kita. Dan Alhamdulillah, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, walaupun ada dari parti-parti lain, tidak ada masalah.

 

  1. Saya terangkan, terasnya Melayu, Bangunan Sultan Abdul Samad itu sebagai simbol ketuanan dan Raja-raja Melayu. Tapi kalau ada mana-mana perumahan atau projek-projek lama, oleh Cina, India, kita masukkan, kita raikan. Tapi terasnya tetap Melayu. Ini untuk Ketua Pemuda UMNO. Dan alhamdulillah, tidak ada masalah.

 

  1. Jadi projek itu bermula. Tetapi itu juga satu pelaburan. Satu investment. Bukan buat itu untuk megah sahaja. Macam Carcosa Seni Negara, itu untuk investment sebagai pelancongan. Tetapi untuk menyantuni rakyat. Begitu juga Bangunan Sultan Abdul Samad. Pelannya itu bukan untuk tersergam sebagai 5-star Indah, sebagai tahap kebanggaan warisan Melayu dan negara Malaysia, tapi dapat santuni.

 

  1. Tempat-tempat perniagaan yang murah untuk rakyat, kawasan lapang yang boleh jalan, tambah kawasan hijau, dan di belakangnya kawasan-kawasan yang boleh menarik pelancongan dan hotel dan sebagainya. Saya bagi satu contoh itu nak tunjuk bagaimana hasad dengki di kalangan beberapa kalangan pembangkang termasuk yang di sini, di Jasin, yang menyerang seolah-olah kita ini langsung tidak fikirkan soal Islam dan Melayu.

 

  1. Saya tidak anggap kita ini sudah sempurna. Saya bukan sahaja boleh ditegur, wajib ditegur. Dan teguran yang boleh kita perbaiki, kita perbaiki. Dan sepertimana saudara tahu, Kerajaan Perpaduan, MADANI ini tegak atas semangat kerjasama pelbagai parti. Jadi rundingan harus diteruskan.

 

  1. Tetapi percaya, mana pernah dalam sejarah kita, kita tahu Tanah Rizab Melayu terlepas ada. Mana ada Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur yang dikembalikan sebagai Rizab Melayu. Hanya pada tahun 2023-2024 yang kita ambil keputusan tanah Sungai Besi TUDM yang terlepas kepada kaum lain dan juga negara lain dapat dikembalikan 480 ekar itu menjadi milik kerajaan.

 

  1. Dan saya dapat persetujuan Jemaah Menteri. Jemaah Menteri itu Melayu ada, Cina ada, Kadazan ada, India, Punjabi ada. Tidak ada bangkangan. Saya kata sejak 1957, Kerajaan MADANI akan mengisytiharkan dari tapak tanah sejarah Sungai Besi, dengan sejarah gemilang TUDM di situ, kita isytiharkan 50 ekor itu sebagai tanah Rizab Melayu pertama kali sejak merdeka.

 

  1. Jadi, saudara-saudara, tak ada, saya bukan nak kata nak dapat penghargaan daripada mereka, tetapi nak mengatakan kita menyerah, tidak. Ada 1-2 kes dalam negara dan masyarakat pelbagai kaum pelbagai agama akan timbul 1-2 masalah.

 

  1. Saya akui. Tetapi dasar pokok kita tidak berganjak. Tidak berganjak sama sekali. Dan kita akan bangunkan dengan memelihara. Dan apa arahan saya kepada syarikat khas yang dikelola sepertimana Perbadanan Putrajaya, Pejabat Perbadanan di Sungai Besi, di bawah pengawasan Petronas, umpamanya SPV dengan Kementerian Kewangan. Apa arahan? Jaga kepentingan veteran tentera terutama TUDM kerana mereka bertapak di situ, berjasa di situ, berkhidmat di situ, pembangunan ini harus mengambil kira sejarah perjuangan dan sumbangan mereka kepada negara.

 

  1. Itu arahan kita. Jadi tentera kena ingat itu kadang-kadang tak sampai. Ada orang kritik saya. Dia kata, bagaimana Majlis-majlis MADANI, majlis-majlis Kerajaan ini digunakan untuk kempen politik. Ini kempen politik apa? Saya terangkan apa yang kita lakukan. Dan supaya dengan maklumat ini, saudara-saudara boleh menilai yang kita lakukan. Saya tidak bermaksud panjangkan lagi, Dato’ Sri Khalid dah beritahu saya dia nak tunjuk banyak perkara sebelum dia pergi ke Sabah.

 

  1. Tetapi saya nak sebut di sini tentang satu perkara yang istimewa yang saya umumkan masa Belanjawan. Saudara bayangkan, ini bukan pujian kepada Jemaah Menteri sahaja. Ini badan penguatkuasaan. Siapa penguatkuasaannya? SPRM, LHDN, AKPS yang di sempadan. Kemudian Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis, ini semua jentera yang menjaga keselamatan kita dan boleh mengutip dana.

 

  1. Saudara bayangkan dalam 2 tahun boleh selamatkan termasuk rampasan daripada sindiket penipuan dan sindiket gelap ini, 2 tahun RM15.5 bilion. Ya. Mengapa hal ini dibiarkan sebelum? Mengapa seluruh Parlimen tidak bangun memberi sokongan? Ini wang rakyat, wang negara. Mengapa tidak sepatah pun dari pembangkang yang menyatakan ini langkah baik dan memuji? Jangan memuji Perdana Menteri, puji ini pelaksana, penguatkuasa yang telah bekerja dengan risiko besar.

 

  1. Dia berantakan dengan kumpulan kongsi gelap besar, dengan kartel-kartel besar. Tapi mereka tunjukkan keberanian kerana kecintaan mereka kepada negara dan menyelamatkan dana negara. Saudara bayangkan negara mana yang boleh selamatkan begitu? RM15.5 bilion ringgit dalam tempoh 2 tahun. Soalnya, ke mana dana ini sebelum ini? Mengapa kartel-kartel dibiarkan?

 

  1. Mengapa kelompok-kelompok kongsi gelap besar dibiarkan? Inilah yang saya tekankan tentang tatakelola. Kalau saudara-saudara dalam angkatan pertahanan, angkatan bersenjata itu diminta untuk pertahankan negara. Pertahanan negara dari mana? Dari siapa? Penceroboh, pengganas, pengkhianat, musuh-musuh luar. Jadi tanggungjawab kita di dalam, jaga keselamatan kita, termasuk dari perompak-perompak dan penyakau-penyakau ini.

 

  1. Mudah? tidak mudah. Saya berunding pada ketika mereka mahu ambil tindakan langkah tegas itu, hampir tiap minggu. Dengar masalah mereka — tak cukup dana, tak cukup pegawai, tak cukup senjata, tak cukup jaminan keselamatan mereka. Kita bagi jaminan sepenuhnya sehingga hal ini berlaku.

 

  1. Insya-Allah kita akan terus tegas. Dan kita mahu rakyat tahu RM15.5 bilion ini ke mana? Ke sekolah, ke klinik baru, ke jalan-jalan, menggalakkan pelancongan baru. Ini yang kita gunakan. Dan STR, MySARA tambah, menjadi RM15 bilion. Naik gaji penjawat awam. Semua ini kerana kita berjaya menyelamatkan wang negara dari bocor, tiris, dari rasuah dan penyelewengan.

 

  1. Jadi, saya nak tekankan hari ini kerana bagi saya penghargaan kepada badan penguatkuasaan itu jangan kita tinggalkan. Kalau mereka silap sikit, kita sergah dan serang setengah mati, padahal jasa mereka, pengorbanan mereka tak pernah kita iktiraf. Ini perangai yang hodoh di kalangan setengah-setengah orang politik. Bila mereka bagi sumbangan, perkhidmatan, pengorbanan, hargailah mereka. Sebab itu saya ambil keputusan bersama Jemaah Menteri tentang pengiktirafan kepada penjawat awam. Kalau ada dana bagi STR, MySARA yang lebih, penyasaran subsidi yang dulu kita hentam. Bayangkan, tiap tahun kita belanja tampung harga ayam RM1.1 bilion satu tahun. Siapa yang dapat? Itu kartel ayam, syarikat ayam. Sekarang keputusan kita, tarik balik price support. Harga kekal rendah, negara selamat RM1 bilion. Wang itu kita selamatkan balik kepada rakyat.

 

  1. Sebab itu saya kata dasar-dasar ini adalah dasar yang mesti dilakukan. Ia harus difahami. Kalau kita buat susah payah, pegawai-pegawai penguatkuasa bertungkus-lumus bekerja tapi tidak mendapat penghargaan, dan dengar coloteh-coloteh setengah penceramah dari Parlimen kerja maki saya, tidak dengar satu yang baik menghargai jasa orang. Ini dia kata dakwah. Dakwah apa begini? Penjelasan Islam begini — dengar marah, maki orang sahaja. Tidak ada mengajak maju.

 

  1. Saya dengar puluhan ulama-ulama besar, sama ada di sini atau di luar negara. Semuanya mengajak, menegur dengan baik, memberi semangat kepada kita, dorong kita bekerja lebih baik, betulkan niat kita, baiki akhlak kita dan betulkan syahsiah Islamiah, ma’nawiyah kita. Tapi tidak pernah mencerca dan menghina seperti mana berlaku hari ini.

 

  1. Jadi mudah-mudahan kita dapat jaga negara kita dan manfaatkan kekuatan yang ada dalam kestabilan politik ini untuk memberi manfaat dan mengangkat martabat negara. Sekarang satu dunia jadi perhatian.

 

  1. Semalam saya sempat bercakap Sabtu tengah hari saya bercakap dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi, Mesir, kerana saya nak ucap terima kasih atas khidmat dan jasa dia bersama beberapa negara Arab dan Turki untuk sekurang-kurangnya hentikan pengeboman dan serangan Israel ke atas Gaza. Tapi saya dalam bincang dengan dia saya beritahu apa kerisauan saya — Tebing Barat dan kemungkinan Israel menyerang lagi.

 

  1. Jadi Presiden Abdel Fattah El-Sisi kata, sebab itu negara-negara Islam harus sentiasa nampak satu pasukan. Walaupun kita ada keberatan, kita tidak setuju semua penyelesaian 20 perkara itu, tetapi saya dengar juga rakan-rakan di situ dan juga orang-orang seperti Hamas yang berunding dengan Israel di Sharm el-Sheikh itu Hamas.

 

  1. Yang kita nak lebih daripada Hamas ni sebab apa? Kita ini kadang-kadang sikap kita nak mengajar lagi. Hamas itu bertempur, ribuan sudah mati. Dan kita di sini, jangan berunding, jangan bercakap dengan Amerika. Yang di sana berunding itu Hamas dan Israel, Mesir dan Qatar, dan Amerika Syarikat.

 

  1. Dan saya tanya Presiden Erdoğan, semalam Presiden Abdel Fattah El-Sisi, dia kata, “Yes, Prime Minister, we’ll take up.” Jadi dia kata dia akan adakan persidangan bulan November dan dia nak ambil perkara-perkara yang kita bangkitkan juga yang tak termasuk dalam 20 perkara.

 

  1. Kerana bagi dia, dia terima 20 perkara untuk damai dulu — jangan serang, bawa makanan masuk. Sekarang truck boleh masuk. Saya juga minta laluan sebab sukarelawan kita juga nak masuk, nak bantu. Dia bagi jaminan. Itu yang berlaku.

 

  1. Kemudian bersebelah malam, selepas acara budaya pelancongan antara negara-negara ASEAN di Angkasapuri, saya balik jam 10.30 – 11.00 malam. Saya bercakap dengan Perdana Menteri Afghanistan yang kita tidak iktiraf, dan Perdana Menteri Pakistan. Sebab apa? Sebab mereka dah mula berperang di sempadan. Puluhan sudah mati. Dua negara Islam, jiran, tetangga, ada yang satu suku kaum Pashto yang sama.

 

  1. Dan saya juga ada hubungan dengan Emir Qatar dan Perdana Menteri Qatar. Tapi ahli Parlimen ni apa? Dia permainkan. Ini Perdana Menteri telefon. Dia tidak tahu dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand. Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain untuk meraikan usaha kecil kita bersama.

 

  1. Dan telefon inilah juga yang diminta oleh Qatar supaya kita sokong usaha damai membawa Menteri Pertahanan Afghanistan dan Menteri Pertahanan Pakistan ke Doha. Dahulu kerana kita dekat dan kita juga ada hubungan baik dengan Pakistan dan Afghanistan, diminta kita menekankan, menggesa dua-dua negara ini cari jalan damai yang sekarang sedang dirunding di Doha, Qatar.

 

  1. Saya hanya sebut perkara ini, ini yang kita kerjakan. Semalam Sabtu malam Ahad jam 11.00 –12.00 malam kerja menghubungi tiga negara ini kerana kita diminta. Kita negara kecil tetapi, alhamdulillah, dapat penghormatan diminta untuk bantu meleraikan. Apakah salah kita? Bukan kita hantar sana ratus-ratus juta ringgit, tak. Cuma hanya bercakap menggesa mereka membantu dan, alhamdulillah, hari ini mereka terus berunding.

 

  1. Dan kita harap hubungan dua negara ini kembali aman kerana dengan peperangan ini akan menyebabkan rakyat terdera dan tersiksa.

 

  1. Jadi sekali lagi, saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan seluruh rakan-rakan, khususnya dari Kementerian Pertahanan, dan doakan kepada Allah SWT mudah-mudahan usaha kita yang murni ini mendapat keberkatan Allah SWT, dan kita dapat jalankan sidang ASEAN — 11 negara bersama Jepun, India, China, Korea, Australia, New Zealand, Kanada, dan kali pertama kehadiran dua negara ketua Latin Amerika, Brazil dan Afrika Selatan akan bersama.

 

  1. Esok sambutan Deepavali, jadi Happy Deepavali Nal Valthukkal.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

 

 

 

 

 

Share: