TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 KEDAH

6 September 2025

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PROGRAM MADANI RAKYAT 2025

KEDAH

“KESELAMATAN NEGARA, KESEJAHTERAAN RAKYAT”

 

 

6 SEPTEMBER 2025 (SABTU) | 11.00 PAGI

 

DEWAN TUNKU ABDUL RAHMAN

BALING, KEDAH

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahillazi arsala rasulahu bil-huda wa dinil-ḥaqq,

Li-yuẓhirahu ‘alad-dini kullihi wa kafa billahi shahida.

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor,

Menteri Besar Kedah;

 

Yang Berhormat Senator Dato’ Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Bin Khazali,

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah;

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail,

Ketua Polis Negara;

 

Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang hadir dan ramai;

 

Rakan-rakan Lama dan Baharu.

 

  1. Saya ucap syukur Alhmadullilah, kerana dapat menjayakan program di Baling. Saya beritahu kepada rakan-rakan Saufuddin, Azeez beberapa lama dahulu, saya kata memang saya minat hendak hadir ke Baling ini kerana ada sejarah tersendiri dan terima kasih kepada kawan-kawan yang masih segar yang terlibat dalam peristiwa Baling tahun 1974. Terima kasih banyak kerana terus mendoakan dan sama-sama meraikan kehadiran kita bersama.
  1. Tentunya kalau dalam bahasa Inggeris, tentunya “nostalgia”. Nostalgia ini maknanya kenang. Bila kita singkap lembaran sejarah lalu, bahawa selain daripada Peristiwa Baling, rundingan Tunku Abdul Rahman mewakili Kerajaan Persekutuan yang sebelum merdeka, dengan gerombolan komunis yang diketuai oleh Chin Peng, mencari titik perdamaian, tetapi oleh kerana sikap keras Parti Komunis Malaya pada ketiak itu, mereka mahu terus dengan langkah mereka, maka gagal Rundingan Baling 1955 dan kita dengan pasukan Senoi Praaq tadi, dengan Home Guard, polis, tentera terpaksa bertempur puluhan tahun, mengorbankan nyawa dan menjejaskan keselamatan peringkat awal kerana tentangan gerombolan komunis yang berterusan. Tapi Alhamdulillah, kita berjaya mematahkan serangan dan keadaan negara lebih aman.
  1. Cuma pada tahun 1974, ini beberapa tahun selepas almarhum Tun Abdul Razak meluncurkan Dasar Ekonomi Baru yang mahu menjamin kemaslahatan rakyat melalui serampang dua mata, termasuk pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Selang tiga tahun, muncul masalah kemiskinan ketara kerana kejatuhan mendadak harga getah. Pekebun-pekebun kecil hidup dalam keadaan yang sangat sengsara. Mereka bangun, berarak di Baling, sehingga ke Alor Setar sampai berita itu ke Kuala Lumpur, kami pun bangkit beri sokongan. Maka saya diberi cuti rehat di Kamunting dua tahun. Itu peristiwa 1974.
  1. Jadi sebab itu, Baling ini tidak luput dari ingatan. Kalaulah saya sebagai seorang insan, yang sekarang diberi amanah, itu ingat Baling itu ingat masalah kemiskinan ketara. Bahawa negara boleh memacu pertumbuhan hebat, pelaburan yang meningkat, angka-angka yang boleh meyakinkan. Tapi ukuran kejayaan kita adalah bagaimana dapat kita agihkan dengan adil, bagaimana kita boleh beri jaminan keselesaan kepada rakyat, yang paling terpencil dan terpinggir.
  1. Dan doakanlah, insya-Allah mudah-mudahan dalam negara MADANI ini kita teruskan. Saya tahu, seperti mana disebut oleh Saudara Saifuddin, ada yang terus menegur dan menganggap ini belum cukup. Saya setuju, tetapi percayalah, belum pernah dalam sejarah kita tumpukan perhatian dalam soal pembangunan wilayah dan desa, yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Zahid, dan juga dari segi bantuan langsung kepada rakyat, belum pernah tertinggi. Kita cakap soal SARA memanglah ada orang yang mencemuh kata RM100 nak buat apa. Tapi dia lupa, SARA itu tambahan daripada program SARA, tambahan daripada STR. Berapa jumlah yang kita bagi kepada rakyat? 9 juta orang. Berapa jumlah? RM15 bilion.
  1. Bila saya bincang dengan kawan-kawan saya di luar negara, terutama pemimpin-pemimpin ASEAN. Dia tanya, penduduk 34 juta, kita belanja RM15 bilion untuk bagi kepada 9 juta. Itu kebanyakan mereka jawab, tidak mampu mereka buat. Perdana Menteri Vietnam tiga hari yang lalu umumkan bantuan kepada rakyat sekitar RM47, RM50 satu orang. Dia tanya saya, macam mana. Saya kata RM100 ini yang akhir, menambah keperluan yang lain kerana saya tahu. Sebab apa? Sebab saya tahu harga barang masih tidak terkawal.
  1. Bagaimanapun kita ambil Tindakan, pecahkan kartel. Orang Baling dan kawan-kawan di Kedah dan rakan-rakan di Perlis, Penang yang ada, percayalah tidak mudah. Ayam ada kartel, telur ada kartel, penyeludupan ada kartel. Jadi nak pecah itu kita lawan sistem yang sudah rosak sekian lama. Jadi dia perlukan tekad politik yang tegas, kekuatan politik dan pegawai, pengurus yang cukup berani bertindak, dia tidak mudah. Kita pecah kartel ayam, satu tahun kita bayar RM1.2 bilion selama puluhan tahun. Sekarang kita tarik balik, RM1.2 bilion, harga ayam tidak naik. Maknanya selama ini kartel itulah yang menyebabkan hal yang sedemikian. Penyeludupan begitu banyak masuk, keluar, manusia, barang dan sebagainya. Rugi berbilion ringgit.
  1. Sebab itu, untuk jaga rakyat ini bukan soal bagi wang begitu sahaja. Dia mesti sikap orang politik juga betul. Jangan duk harap bila ada tender, nak rebut tender. Kalau dulu, tidak ada tender, runding terus. Projek RM2 bilion runding terus. Siapa nak tentukan runding terus, harganya betul atau tidak? Kita tidak boleh banding. Mana kita tahu buat tebatan banjir di Baling, runding terus. Ada yang kata RM1 bilion, ada yang RM1.5 bilion, mana saya tahu? Melainkan ada persaingan, ada kaedah yang ketat, dan jangan ada amalan sakau. Itu yang kita hentikan.
  2. Sebab itu saya minta tidak setuju dalam soal-soal lain tidak mengapa, tapi dalam hal-hal ini kita kena sepakat. Negara ini mesti diselamatkan daripada amalan begini. Saya ingat yang saya masuk penjara dua tahun soal Baling sebab apa? Bela nasib miskin. Jadi jangan lepaskan peluang untuk amalkan. Dan kita-kita, kawan-kawan, Datuk Seri Zahid ada, Saifuddin, Sanusi ini. Kalau orang hendak tanya masa mana kamu nak buat? masa kamu ada kuasa. Baik di Persekutuan atau Negeri, atau pengarah, atau Ketua Polis Negara. Masa kamu ada kuasa, cuba laksanakan dengan amanah, dengan sebaik mungkin. Besok dah pencen, hang berleter banyak mana, orang tak dengar dah. Orang tanya, hang dulu buat apa? Saya tak mahu besok bila saya pencen, orang tanya, Anwar bercakap pasal apa tak buat itu, tak buat ini?
  1. Sebab itulah saya katakan, ujian kita itu masa kita berkuasa. Tanggungjawab yang disebut kun lukum ra’ino, kun lukum mas’ul, kun lukum ra’iyati. Itu pasal tanggungjawab, lebih tinggi tanggungjawab lebih berat masalah. Tengok dunia sekarang, sekitar kita, pergolakan politik di negara-negara rakan kita Thailand, Perdana Menteri ketiga dalam masa dua tahun. Itu tak termasuk yang memangku, empat dah jadi kalau ikut yang pangku. Indonesia, Alhamdulillah, saya jumpa Presiden Prabowo di Beijing, dia sebut keadaan jauh lebih terkawal. Tapi pengajarannya ada.
  1. Orang kata, “Oh, pasal apa tak jadi di Malaysia. Perdana Menteri tak ambil gaji, gaji Menteri turun 20 peratus, bukan naik. Bantuan rakyat kita tambah.” Ini masa belanjawan ini. Saya ada fikir, tanya YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican ada di sini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Mesyuarat duk fikir macam mana lagi nak jaga supaya harga barang jangan naik. Apa lagi yang boleh buat untuk bagi bantuan, untuk ringankan rakyat? Bagaimana? Bukan sahaja pegawai kerajaan yang kita naik gaji. Bagaimana dengan nelayan? Bagaimana dengan pekebun kecil? Bagaimana dengan penoreh getah? Semua kita kena fikir. Kadang bila laksanakan, tak semestinya betul. Tadi dah cakap dengan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. Kita bagi kitalah, untuk orang buat bendang, sawah. Bagi ke siapa? Bagi ke tuan tanah. Tak dapatkan yang buat kerja. Yang miskin yang buat kerja. Jadi semua ini kita cuba buat dan kita betulkan.
  1. Saya biarlah bercakap ini dari hati ke hati lah, dengan orang Baling ini. Kenal saya, dah pernah ke Pondok Kupang. Pernah bersyarah di merata tempatlah, di masjid, daerah semua. Banyak program kita buat. Tapi saya cuma nak minta saudara-saudara faham. Mengapa dalam negara kita, tumpuan kita dalam soal mengangkat martabat ini? Dengan apa cara? Bagilah kemuka cadangan, teguran, bagaimana nak perbaiki. Tapi jangan hina, maki hamun, tak selesai. Belajar daripada pengalaman negara lain.
  1. Saya mula tadi dengan ungkapan Al-Quranul Karim tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW. Tapi kekuatan, keunggulan, keagungan Rasulullah SAW itu di mana? Yang kita jadikan contoh laqad kaana lakum fi Rasulillah uswatun hasanah. Dari mana? Dari contoh terbaik. Contohnya, pokok pangkalnya ialah amanahnya, keikhlasannya. Yang disebut akhlaknya. Akhlak kalau terjemahan Inggerisnya, “moral”. Moral tak lengkap. Akhlak itu lengkap. Wa innaka la’ala khuluqin ‘azim. Pada akhlak Rasulullah itu, Rasulullah itu akhlak yang terbaik.
  1. Jadi mudah-mudahan dalam kerja kita sebagai pendidik, sebagai penoreh getah, sebagai pegawai, sebagai polis, sebagai pemimpin, apalagi, maka jagalah supaya kita dapat lakukan yang sebaik mungkin. Negara kalau kita dapat bertahan kuat begini, orang boleh pandang. Kalau bakar sana, pecah belah sini, jatuh menjatuhkan, terjejas keyakinan, jatuh.
  2. Dulu masa saya ambil alih pengerusi ASEAN, apa saya kata? ASEAN kawasan Malaysia dan ASEAN rantau paling aman di dunia. Hari ini dah gawat sedikit. Ya, aman, umpamanya tidak ada peperangan. Tapi Alhamdulillah, setakat ini kita selesai sementara dapat berkawal, pantau. Itu pun orang kata jasa saya, tidak. Rakan-rakan ASEAN berpakat. Dua-dua negara ini bersetuju nak damai, Siam dengan Kemboja. Kemudian Panglima Angkatan Tentera kita pun kerja kuat. Hari ini umpamanya saya setuju hadir dalam perdamaian itu, Perdana Menteri Thailand dengan Perdana Menteri Kemboja sign. Malam itu juga pukul 10 malam Panglima Angkatan Tentera terbang ke Siam dan Kemboja untuk bincang dengan general supaya tidak ada peperangan.
  1. Alhamdulillah, imej negara kita ini baik. Bukan soal Perdana Menteri dan kerajaan sahaja. Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera boleh runding dengan kawan dia dan mereka dengar dan serah tanggungjawab itu kepada kita, kawal. Jadi dia jadi berita satu dunia, keupayaan negara dengan kerjasama semua pasukan ini. Jadi sebab itu saya katakan penting kita jaga.
  1. Baca dalam sejarah kita, tak mudah. Dan saya kata saya tidak mungkin buat kalau tidak ada pasukan dia. Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, kerjasama kerajaan, polisnya, tenteranya, semua sepakat. Kementerian Luarnya. Semalam pagi masih lagi ada laporan, kerana ada satu tembakan di sempadan. Dia tak payah banyak, seorang askar tembak, boom, meletup balik. Segera umpamanya, Kementerian Luar dan Panglima Angkatan Tentera terus hubungi, tanya penjelasan. Jawapannya, ada salah seorang dia tertembak dan minta maaf. Nasib baik tidak ada kecederaan parah. Itu kerja kita. Kerana orang bagi keyakinan. Pelaburan pun sampai.
  1. Jadi, saya harap rakan-rakan faham mengapa kalau kita cakap soal jangan rasuah, jangan curi harta rakyat, itu kena jaga. Supaya kita dapat jamin negara kita lebih baik dan apa yang kita dapat, kita bagi balik kepada rakyat. Percaya yang itu, orang katalah apa pun kepada saya, saya tak peduli. Tapi saya belajar dari pengalaman, termasuk di Baling ini. Masa ada kuasa, masa inilah cari jalan sebaik mungkin. Negeri kena aman, ekonomi kena baik. Kemudian nak pergi-pergi mana, pergi jumpa orang buat bendang, dia minta duit. Getah, dia kena buat duit. Tali air kena bagi. Sekolah kena bagi. Minggu depan saya nak pergi ke belah Mulu. Ada sekolah dah tengok dah gambar, daif sangat, papan sahaja kena bagi duit. Di mana? Di Sarawak. Baik.
  1. Dari mana duit dia itu? Dari pelaburan. Kulim Hi-Tech, Penang, Johor, Singapore Economic Zone, Sarawak. Itu semua kena kembangkan ekonomi dia. Hasil dapat, pekerjaan dapat. Kemudian wang itu untuk siapa? Untuk kita bubuh dalam poket? Untuk beli harta di New York? Beli harta di England? Berapa ramai, pengalaman kita? Orang yang kumpul-kumpul dan beli harta-harta dunia dan kayakan anak sampai berbilion-bilion. Fitnah apa? Dendam apa? Kita kena belajar, nak jadi pemimpin ini, kena bertanggungjawab. Kerana harta yang kita ambil, kalau ini tidak sah, harta daripada siapa? Daripada rakyat. Sebab itu saya kata, kalau ekonomi sudah meningkat, hasilnya banyak. Setiap tahun kita bentang Belanjawan. Ini hasil dia, ini kita boleh belanja. Kita belanja ke mana? Masuklah kepada rakyat.
  1. Jadi, tentang itu, rakan-rakan tak payahlah terlalu susah hati, kita akan cuba. Kita dah bagi, setakat mana, RM15 bilion, saya kata termasuk SARA baru-baru ini. Maka kalau dalam Belanjawan kita ada upaya, saya tidak akan ringankan, pandang ringan soal ini, dan kita akan cuba bantu sedaya upaya termasuklah kawan-kawan di Baling ni.
  1. Ada beberapa projek yang saya akan sampaikan sekejap lagi, untuk misalnya FELDA Teluk Kanan, FELDA Bukit Tangga, Kampung Batu 60, Taman Muslim, Kampung Dalam Wang, Kampung Dalam Wang, ini Siam ya? Kemudian ada program-program lain, saya tak perlulah sebut semua ini. Tapi saya nak sebut satulah, kerana Menteri Besar pun ada, terima kasih kerana kerjasama yang diberikan. Menteri Dalam Negeri sebagai peneraju, Saifuddin peneraju, Menteri Besar bagi kerjasama. Itu baru aman di dunia ini. Hangpa yang di bawah-bawah ini jangan dengar bergaduh sangat, saya tengok dia okey je. Oh, tapi di bawah tu macam… sabaqla tengok. Habis ucapan, salam. Bukan salam Perdana Menteri dulu. Salam Menteri Dalam Negeri dulu. Punya sahabat ni.
  1. Tapi saya nak beritahu, baik Kementerian Dalam Negeri ataupun Kerajaan Negeri Kedah, betul kita faham, Persekutuan. Sebab itu peruntukan, termasuk pemberian. Peruntukan pembangunan, peruntukan pengurusan, ya, SUK ada. Ini bertambah, jauh lebih besar kalau bandingkan tahun 2021, RM7 bilion. Sekarang sudah RM9.6 bilion ringgit, tambahan. Ya. Ada orang kata, oh sebab saya berkenan khas orang Kedah, dak. Sebab saya makan laksa orang Kedah, dak. Sebab kuih Baling, dak. Sebab keperluan. Tebatan banjir, perlu. Kita perlu hasil tanaman padi Kedah. Tapi tak mahu baiki sistem tali air, tak boleh. Tapi boleh cek berapa keperluan, RM5 bilion lebih. Jadi kita mula, dan Alhamdulillah, saya pantau beberapa bulan yang lalu perjalanan projeknya. Jadi kita bagi dulu RM1 bilion. Dan saya tengok, kemajuan ada.
  1. Kemudian bila bincang runding dengan Kerajaan Negeri, dia kata betul lah kami kena jadi jelapang padi, tapi bagaimana tentang kawasan Alor Star yang nak dikembangkan untuk pembangunan, lain industri dan perumahan. Saya bagi pandangan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kita perluaskan sikit, kurangkan kawasan jelapang padi. Perluaskan sedikit di sekitar Alor Star dan SUK sedang berunding memastikan kawasan baru supaya keperluan negeri Kedah dari segi industri, perumahan dan komersial dapat dijamin. Jadi, ini faedah kita ada rundingan.
  2. Belum pernah dalam sejarah kita, Perdana Menteri turun, turun ke negeri dan dengar. Umpamanya dalam Belanjawan akan datang, kalau ikut dalam Rancangan Malaysia ke-13 bulan lalu, kalau ikut Kerajaan Persekutuan dia ada keutamaan dia. Tapi saya kata tak boleh. Kita ada keutamaan, kita dengar negeri. Negeri kata keutamaan begini, jadi kita ubah suai. Ada pandangan negeri yang kita boleh terima, ada keutamaan Kerajaan Persekutuan yang kita boleh peraku dan laksanakan.
  1. Dalam Belanjawan negara pun begitu juga, saya ada minta supaya dalam menentukan projek-projek baru untuk tahun 2026 kita ambil kira pandangan Kerajaan Persekutuan dan juga pandangan balas Kerajaan Negeri di mana kita boleh ubah suai, kita sesuaikan. Itu baru ya. Jadi saya percaya rakan-rakan boleh faham.
  1. Tapi untuk Program MADANI Rakyat ini, peluang kepada rakyat tengok apa yang dilakukan, dan walaupun peneraju utamanya Kementerian Dalam Negeri, tapi ada lain-lain yang boleh kita lihat. Jadi kalau tidak, kita dengar dok baca, lepas itu tengok, nonton televisyen atau media sosial. Tapi kita tengok sendiri apa yang dilakukan. Jadi, tolong beri perhatian. Bawa anak-anak tengok dan lihat apa manafaat yang boleh diperoleh.
  1. Jadi sekali lagi saya nak ucap terima kasih banyak-banyak, terutama kawan-kawan lama Baling ni, saya terharu lah. Ingat lagi tahun 1974, lama lah. Yang itu dia bagi tengkolok ni, saya tak berani nak buka sampai balik nanti. Sampai orang kenang kita. Apalah yang boleh saya balas. Balas tu nak tunjuk saya santuni dan hargai apa yang rakan-rakan raikan. Dan saya nak beri jaminan semangat kita bangkit untuk menjaga rakyat terutama yang miskin itu tetap kekal dan akan kita laksanakan, insya-Allah.
  1. Dulu, masa saya ditangkap itu, 1974, saya kira macam, masa itu Presiden ABIM, yang Timbalannya Presiden itu Ustaz Fadzil Noor, dia yang baca ucapan. Tapi sekarang saya datang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jadi takkan nak lupa, yang jasa dia termasuklah rakan-rakan di Baling dulu. Itu jasa yang saya boleh kenal, dan sekarang ini jadi Perdana Menteri.
  1. Jadi terima kasih dan kita doa kehadrat Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT berikan kekuatan kepada kita. Sempena pula Maulud Nabi Muhammad SAW dan Program MADANI Rakyat ini, kita boleh bawa kebaikan, kesejahteraan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Share: