TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN SEPTEMBER 2025

22 September 2025

 

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI

 

 

 

22 SEPTEMBER 2025 (ISNIN) | 8:00 PAGI

DEWAN DE’ SERI ENDON PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Rakan-rakan Menteri;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan

 

Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang mengundang dirinya sendiri untuk check Menteri Kewangan. Takut pengumuman itu melebihi daripada peruntukan yang ada (nada berseloroh).

 

Rakan-rakan yang saya muliakan,

 

  1. Saya mulakan dengan mengingatkan bahawa dalam apa kerja kita, bertolak dari faham agama, ada istilah Al-Quran yang disebut, tafaqqahu fiddin. Dia istilah fiqah, tapi tafaqqahu maknanya mendalami, memahami agama dari segi keyakinan kita, amalan kita. Itu kena tahap kefahaman, itu penting. Dia bukan sekadar dengar secara ringkas tanpa memahami konteks kefahaman.

 

  1. Ini dikembangkan kalau Sayyidina Umar al-Khaṭṭab r.a. menjadi khalifah. Beliau kemudian juga Tafaquh dalam amalan kerja. Seorang pemimpin, di mana peringkat sekalipun, termasuk penjawat awam, dalam memperkenalkan dasar dia kena faham keseluruhan konteksnya. Barulah ada makna dalam peringkat pelaksanaannya. Ini bukan dituju kepada penjawat awam, tetapi juga kepada pimpinan. Tafaquh ini maknanya memahami dalam konteks negara, dasar, supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

 

 

  1. Saya kebetulan rumuskan daripada buku Syeikh Dr. Yusuf al-Qaraḍawi tatkala mengupas tentang fiqh al-awlawiyyat. Dia fiqh juga istilahnya, bermakna memahami apa yang harus diutamakan. Dan kita jelaskan, utamakan pelaksanaan hukum, atau mendidik, atau berdakwah. Jadi ada urutan keutamaannya. Itulah fiqh al-awlawiyyat. Apa yang harus didahulukan? Saya sebut al-awlawiyyat, Mufti sampai, cukup setakat itulah. Biar Mufti ulas kemudian. Tetapi itulah maknanya, dia tidak semudah itu. Ambil satu ketetapan hukum, itu main pilih-pilih bagi penjelasan.

 

  1. Jadi dalam pengumuman saya pada hari ini juga, saya berikan konteks yang sama dalam agama, tafaqqahu fiddin, ataupun yang dikupas oleh Abdullah bin ‘Umar bin al-Khaṭṭab dalam pemerintahan, pentadbiran, menentukan dasar. Kefahaman yang menyeluruh itu penting. Umpamanya pada hari ini saya hendak menjelaskan tentang keputusan kerajaan. Satu-satunya negara yang memilih untuk menurunkan harga minyak bagi rakyatnya, tidak bagi orang luar sama ada dari luar negara yang ambil minyak atau orang asing yang sebenarnya tidak dikenakan cukai.

 

  1. Jadi, apa dia konteks yang saya katakan kefahaman tadi? Ini dasar dilakukan dalam keadaan negara masih terbeban dengan hutang yang kita warisi yang tinggi, tetapi ia dapat dilakukan kerana kita melihat ada tahap kecekapan yang lebih baik, hasil yang lebih baik, ataupun mengelakkan daripada ketirisan yang pernah berlaku, ataupun kelompok-kelompok yang besar umpamanya penyeludupan yang kemudian mengelakkan daripada pembayaran cukai.

 

 

  1. Nah, kalau ini dapat dikurangkan, maka pulangan kepada rakyat itu akan lebih baik. Ini hikmah kita bila kita sebut tentang urutan keutamaan negara MADANI ini bermula daripada tatakelola, dari yang teratas sehinggalah penjawat awam dan peringkat bawahnya.

 

 

  1. Alhamdulillah, hasilnya itu lebih meyakinkan, sehingga kita berani, satu-satunya negara di dunia yang berani menurunkan harga minyak dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Sebelum ini kita perkenalkan penghargaan SARA sempena Hari Kebangsaan. Saya terkesan kerana ke beberapa daerah, dari peringkat tertinggi, sehingga ke daerah, saya pergi ke Baling baru-baru ini, sambutan rakyat itu merasakan kerja mereka, amal mereka, suri rumah tangga yang pada umum menganggap tidak bekerja, tapi tidak benar. Mereka bekerja menjaga anak-anak, keluarga. Dan bila dapat bayaran walaupun kecil, mereka hargai kerana ada pengiktirafan kepada mereka.

 

 

  1. Itu berbeza daripada beberapa pandangan sinis dan sebagainya. Walaupun kita akui bahawa dalam kejutan hari awal itu ada sedikit permasalahan. Itu yang menyebabkan kita lebih berhati-hati untuk mengulangi ujian-ujian tatkala mengumumkan penyasaran subsidi RON95 atau BUDI95. Ini telah kita janjikan dan dalam pengumuman saya, saya katakan saya dengar semula pengumuman itu sebelum akhir September.

 

 

  1. Jadi ada orang marah saya, 1 September itu, belum lagi. Ini dia kata PMX tipu. Tak apalah itu. Saya minta rakan-rakan JAKIM bagi dakwah benar fahaman serba sedikit. Baik, jadi kita putuskan untuk menetapkan kadar RON95 daripada RM2.05 seliter sekarang kepada RM1.99 bermula pada 30 September. Saya belum habis, saya kata 30 September tahun 2025. Dan saya juga sebutkan bahawa manafaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan, pengiktirafan semangat dari Hari Kemerdekaan 31 Ogos, 16 September, Hari Malaysia. Jadi, penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

 

 

  1. Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar yang tidak layak terima subsidi. Dia untuk peribadi, ya. Untuk perseorangan yang mempunyai lesen memandu, itu akan bermula pada 30 September itu untuk bukan warganegara RM2.60, jadi 99 seliter bagi rakyat Malaysia dan RM2.60 bagi yang bukan warganegara.

 

 

  1. Tapi kalau tanya mengapa tinggi? tidak. Semasa kita umumkan dulu, saya umumkan menurunkan harga minyak. Harga di Arab Saudi itu sekitar RM0.50 satu liter. Harga di Arab Saudi sekarang RM2.61 satu liter. Pengeluar minyak, di antara pengeluar minyak terbesar di dunia. Harga satu liter RM2.61 ketimbang RM1.99 di Malaysia. Indonesia RM3.22, Filipina RM4.22, Thailand RM5.68 dan Singapura RM9.02. Tentunya Singapura bukan pengeluar minyak, tapi saya nak jelaskan di kalangan negara kita termasuk negara pengeluar minyak kita masih di antara yang paling rendah. Cuma yang lebih rendah sedikit daripada kita adalah Brunei Darussalam.

 

  1. Baik, warganegara dengan lesen memandu yang sah. Jadi yang belum renew, perbaharui. Saya masa saya di Sungai Buloh saya tak perbaharui. Tapi sekarang sudah perbaharui. Jadi seperti langkah penghargaan SARA, dia tak kira tahap pendapatan atau kedudukan, tak kira, kerana kita berikan nikmat manfaat subsidi RON95 ini kepada semua, saya nak jelaskan.

 

  1. Mungkin ada juga kritik mengapa golongan mahakaya pun dapat? Ini pengiktirafan kepada rakyat Malaysia. Jadi kita bedakan. Jadi berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara, dianggarkan lebih 16 juta rakyat yang akan menerima manfaat ini. Itu BUDI95.

 

  1. Jadi kalau yang perlu, semak cip MyKad sekarang. Kerana MyKad itu sudah lusuh, anak baling ke sana ke sini (nada berseloroh). Jadi, semak supaya berfungsi dan semak lesen memandu yang sah. Jadi, untuk seperti juga SARA, tak perlu lagi pendaftaran lain-lain. Tidak ada. Bawa MyKad, ada lessen, sah.

 

  1. Mungkin peringkat awal itu diambil sedikit masa. Jadi, saya harap sabarlah sikit ya. Janganlah 30 hari bulan meluru. KSN kena semak, tidak ada penjawat awam yang keluar waktu pejabat (nada berseloroh). Semua dok queue. Dak, minyak tu berterus. Kalau 30… 2 Oktober pun boleh, 4 Oktober pun boleh. Sabarlah kejap. Kalau semua meluru 30 September, takut jammed, queue panjang sangat. Jadi, semua penjawat awam, KSN check ya, KPPA ya. Siapa pergi, potong markah. Jadi, saya nak elakkan daripada terlalu ramai dalam satu waktu.

 

  1. Tapi pembaca MyKad itu disediakan juga di kedai, di pam minyak. Jadi tidak terhad pada satu tempat, itu untuk mengurangkan risiko kesesakan. Tapi kalau yang celik digital, ada option lain lagi, TouchNGo boleh, Setel boleh, jadi dia tak perlukan MyKad, jadi untuk memudahkan.

 

 

  1. Untuk mengurangkan kesesakan dan panik ini, saya nak nasihatkan, janganlah semua meluru pada 30 hari bulan dan kita tidak mahu Mufti beratur pada 30 hari bulan (nada berseloroh).

 

  1. Kita telah putuskan supaya warga polis dan tentera kerana ada kad sendiri masing-masing, mereka akan menikmati harga RM1.99 ini pada hari Sabtu, 27 September. Hanya untuk polis dan tentera. Kalau KP Jakim rasa dia tidak dapat, dia boleh apply masuk polis sekarang hanya untuk mendapat 2 hari RM1.99 boleh, belum lagi terlambat (nada seloroh). Maknanya pada 27 haribulan semua anggota polis dan tentera dengan kad boleh menggunakan boleh memulakan, jadi kita lihat dalam sekitar 300 ribu orang itu trial supaya terkawal.

 

  1. Pada hari Ahad, 28 September 2025 golongan B40 dan sebahagian M40 yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dia boleh menikmati RM1.99 seliter bermula Ahad, 28 September 2025. Jadi kita agak berperingkat sedikit. Kalau orang tanya sebab apa polis dan tentera? sebab kita bagi keistimewaan polis dan tentera 27. 28 golongan relatif lebih miskin, 28 September 2025 itu sekitar 5 juta orang. Untuk test, baru yang lain 30 haribulan.

 

  1. Ini tentang mekanisme RON 95, saya harap teliti saya ucap terima kasih kepada khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan semua yang bekerjasama dan syarikat-syarikat minyak yang telah bekerjasama penuh untuk menyiapkan hal ini, tetapi seperti mana kita tahu bila timbulkan kesesakkan itu mungkin menimbulkan sedikit rungutan seperti apa yang berlaku i-SARA. Sebab itulah kali ini kita lebih berhati-hati dalam keadaan ujian dan bawa kepada Jemaah Menteri, bincang lagi, kemudian minta sebahagian daripada Menteri test sistem itu, kadang-kadang test di peringkat awal, sekitar 100,000 orang mungkin dia belum jammed Tapi kalau meningkat lebih daripada 5 juta, mungkin dia menimbulkan sedikit masalah kesesakan. Kita harap insya-Allah tidak, sebab itulah kita cadangkan 27 polis dan tentera, 28 yang terima STR dan 30 untuk awam dan penjawat awam kerana mereka relatif lebih bijak, diambil mulai 2 Oktober (nada seloroh).

 

 

  1. Ia bermula tentunya jam 12.01 malam. 12.01 kena ikut tarikh. Mudah-mudahan perlaksanaan ini akan bermakna seperti mana saya telah sebut tadi, saya harus tekankan ini keputusan dasar besar oleh rakan-rakan Jemaah Menteri. Untuk pertama, memenuhi janji kita walaupun janji kita patut lebih awal tetapi melihat kepada kekangan ekonomi dan beban hutang yang besar kita kaji sepenuhnya supaya dia tidak menjejaskan kedudukan ekonomi negara. Alhamdulillah saya syukur kerana kita dapat lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu melaksanakan sesuatu yang boleh benar-benar meringankan beban rakyat dalam keadaan sekarang ini.

 

 

  1. Jadi terimalah dengan baik, La-in syakartum la-azīdannakum wa la-in kafartum inna ‘ażābī la-syadīd. Mudah-mudahan kita bersyukur kepada Allah SWT kerana negara aman, ekonomi masih bertahan, rakan-rakan penjawat awam bekerja dengan begitu baik dan kita dapat mampu memberikan hasil balik kepada rakyat.

 

 

 

  1. Seperti i-SARA itu, walaupun kita kata 100 ringgit, implikasi kewangan kepada negara itu RM2 bilion ringgit. Ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu. Sekarang penyasaran subsidi maknanya naik sedikit untuk bukan warga negara, turun bagi rakyat dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat, terutama prasarana seperti yang kita lihat umpamanya banjir. TPM Datuk Seri Zahid Hamidi banyak luang masa di sana, saya pun lihat satu hari di sana, maknanya kerosakan-kerosakan infrastruktur besar termasuk seluruh Institut Perguruan di Kota Kinabalu, Gaya. Memang kena dibangunkan semula cerun-cerun, jalan, klinik, sekolah, semua harus diperbaiki. Jadi, ada beban baru yang kita harus manfaatkan daripada dana ini untuk bantu rakyat yang terjejas dan tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas.

 

 

  1. Kita hadkan kepada 300 liter sebulan. Sebab purata sekarang ini 150 liter, kebanyakannya 200 liter, paling tinggi 250 liter, tidak ada yang mencecah 300 liter.

 

 

  1. Bagi e-Hailing itu kita kecualikan sebab anak-anak muda puluhan ribu yang bekerja untuk itu, jadi kita beri pengecualian kepada 300 liter.

 

 

  1. Butiran lanjut nanti Kementerian Kewangan akan beri penjelasan.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: