TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JUN TAHUN 2025
30 June 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
BAGI BULAN JUN TAHUN 2025
30 JUN 2025 (ISNIN) | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON,
PUSPANITA PURI, PUTRAJAYA
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdu lillahi llazee anzala ala abdihil kitaba walam yaj’hal lahu iwaja,
Wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara Timbalan-timbalan Perdana Menteri,
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof,
Menteri-menteri,
Ketua Setiausaha Negara,
Dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Kita baru menyambut perayaan Hijratul Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam (SAW) dari kota Makkah Al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudian dikenali sebagai Madinatul Nabi atau Madinah Al-Munawwarah. Wajar kita memuliakannya dengan mengingatkan kepada kita tentang signifikansi dan keunikan peristiwa Hijrah Nabi itu.
- Pertama, kerana keyakinan kita tentang kekuatan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh: “Laqad kana lakum fi Rasulillahi uswatun hasanah.” Contoh terbaik bagi kita. Keduanya, dari sudut akhlak-akhlak yang paling mulia: “Wa innaka la ‘ala khuluqin ‘azim.” Jadi semangat itu kita merayakan.
- Tapi ada beberapa pengajaran yang saya dapat kutip daripada ulama yang membicarakan dan menulis dan cuba kita hadam. Pertama, peristiwa itu berdasarkan keyakinan bahawa harus berlaku perubahan atau transformasi keseluruhan masyarakat daripada penyembahan kepada amalan syirik kepada keesaan Allah SWT. Budaya yang terikat dengan fahaman asabiyyah yang menyesatkan menilai kepentingan suku, kaum atau kabilah kepada penilaian kebenaran dan keadilan berdasarkan prinsip hukum. Ketiga, meninggalkan amalan penindasan, pemerasan dan kezaliman, itu apa yang diberi erti Hijrah.
- Abul Hasan Ali Nadwi, salah seorang ulama India yang tersohor pernah menyampaikan pandangan dia tentang “characteristics of a jahiliyyah society.” Maknanya bila orang yang berilmu itu memutar belitkan kenyataan, mengiakan apa yang palsu dan memalsukan kebenaran. Yang kedua, di antara yang mempunyai harta. Punyai harta itu masyarakat yang mempunyai ciri “characteristics of a jahiliyyah society.” Maknanya guna kekayaan itu memunggah dan menimbun kekayaan dan memiskinkan rakyat dengan melalui pemerasan, riba dan sebagainya. Dan ketiga, yang berkuasa, guna kuasa untuk mempertahankan kedudukan mereka dan menzalimi dan menindas rakyat terbanyak.
- Jadi ini intisari daripada Hijrah tu Nabi Muhammad SAW, tapi apa yang berlaku dalam peristiwa itu juga pengajaran. Kerana anak muda Saidina Ali bin Abi Talib R.A, pengorbanan, keberanian, kecekalannya. Peranan sahabat yang setia dengan waras dan bijak – Abu Bakar As-Siddiq. Merupakan rakan setia, menyimpan rahsia. Peranan Wanita yang menyimpan rahsia, Asma’ binti Abu Bakar yang sebenarnya boleh dipercayai, diyakini dalam persiapan hijrah. Jadi anak muda ada, ada wanita, ada sahabat setia dan ada yang bukan Islam, Abdullah bin Uraiqith.
- Maknanya ada peranan, saya tidak tahu sama ada keyakinan dia, tapi makna kesetiaan dia dipercayai kerana dia tahu tentang logistik perjalanan kawasan itu paling pintar. Dia tahu lereng-lereng bukit untuk menyelamatkan Nabi Muhammad SAW. Jadi peranan kita belajar ini, dia tidak ada hijrah tanpa sumbangan. Pertama, keyakinan kepimpinan Rasulullah SAW, sahabat yang setia dan tidak pertikai, anak muda Saidina Ali, wanita Asma’. Itu semua diambil kira temu perjalanan dan sampai dan sebelum itu sebelum kita tahu dia tidak berlaku begitu sahaja. Kita mesti adakan reform, transformasi, langgar semua tak betul.
- Dia ada persiapan beberapa tahun sebelumnya yang disebut Bai’atul Aqabah Al-Ula dan Bai’atul Aqabah Ats-Tsaniyah atau Bai’atul Aqabah Al-Nisa’. Bai’ah maknanya janji. Aqabah yang pertama dan yang kedua, maknanya dua tahun sebelumnya sudah ada persiapan di Madinah. Orientasi pemikirannya, kefahamannya dan yang keduanya, jika disebut Bai’atul Aqabah Al-Nisa’ kerana wanita-wanita dari Madinah itu, dari Yathrib pada masa itu datang ikrar kepada Rasulullah. Kami patuh pada pimpinan, kami yakin dengan agama Islam. Itu tersebut Bai’ah kedua ataupun Al-Nisa’
- Tapi bukan begitu sahaja, Rasulullah tidak menerima hanya mereka sekiranya pengakuan mereka. Dia kirim kalau tak silap dua orang, Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum. Saya nak test Zahid, pasal saya dengar ceramah dia begitu (nada berseloroh). Baik, Mus’ab bin Umair kerana kepintarannya, ilmunya, kefahamannya. Abdullah bin Ummi Maktum, kalau saudara tahu sejarahnya dalam asbabun nuzul tentang ‘Abasa wa tawalla orang yang buta, nampak miskin, yang Rasulullah berpaling. Kerana kadang-kadang kita hanya berjumpa dengan ketua-ketua, Kerajaan Perpaduan, atau ketua-ketua parti sahaja. Contohnya tuan-tuan. Tapi dalam peristiwa Abdullah bin Ummi Maktum ini kerana dia miskin dan buta itu diperingatkan supaya dengar juga yang di bawah. Pengajarannya.
- Baik, untuk merumuskan menyatakan bahawa dua orang ini dihantar supaya tahu apa itu Islam, tahu apa itu Qur’an dan tahu apa dia mesej Islam itu. Barulah berlaku dan proses itu berterusan yang disebut Hijrahtul Nabi Muhammad SAW untuk membina melalui perjanjian Safar Madinah dan juga cuba menyantuni semua kelompok di Madinah yang agak sukar kerana berlaku Muhajirin, Ansar dan kabilah-kabilah Kristian, Yahudi dan lain-lain.
Saudara-saudara,
- Al-Marhum Ismail Al-Faruqi merumuskan, dia kata ini tercapainya masyarakat itu melalui kebijaksanaan, proses dan masyarakatnya. Pimpinan yang harus betul, masyarakat ini juga, dia tidak boleh bergelimpangan dengan semangat sahaja ataupun dengan fitnah dan adu domba. Kerana itu semua harus dibereskan kerana mesti dijaga keselamatan dan kemudian mengangkat martabat.
- Ada peristiwa-peristiwa yang lain menyentuhkan, tapi saya ingat membantu mengatakan bila Ismail Faruqi, dia kata ini sebenarnya bukan sekadar not just just a community, it’s not just society dia kata “Oh, Madinah society.” No, it is “Ecumenical Community.” Ecumanical Community maknanya komuniti yang berteraskan keyakinan, berteraskan nilai, this community dia percaya kepada nilai. Bukan sahaja satu kelompok maknanya melatih, mendidik masyarakat supaya semuanya ataupun sebahagian besarnya itu punyai satu komitmen untuk mengangkat martabat berdasarkan keyakinan, berdasarkan akhlak, berdasarkan nilai baru jadi perubahan itu. Dia kata “ecumenical community” bukan sahaja begitu, masyarakat yang ada teras nilai dan keyakinan. Tapi kalau sebut dia par excellence maknanya dia mesti menuju kepada itqan fil ‘amal, excellence dalam amal. Itu yang disebut Hijratul Nabi Muhammad SAW, demikian tazkirah awal.
- Baik, tajuk yang keduanya, pasal kita baru-baru ini kita luncurkan Kota MADANI dan seperti biasa semua isu itu jadi bahan hentaman politik, saya tak kisah itu, tapi cuma nak sebut di sini ya. Kita tahu masalah penjawat awam perumahan mereka, bahawa yang tunggu beribu, yang rosak pun beribu unit. Tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 98% yang rosak itu sudah diperbaiki dan diduduki dan ini diteruskan saya ucap tahniah kepada Perbadanan Putrajaya.
- Apakah cukup? Tak cukup. Kalau semua diperbaiki masih ribuan tunggu dan kalau kita unjur untuk keperluan tahun-tahun akan datang, puluhan ribu. Maka sebab itu, bila ada usul untuk membangunkan kota yang baru ini, bukan sahaja kita siapkan fasa pertama 3,000 unit perumahan penjawat awam, fasa kedua melengkapkan 10,000 unit untuk memenuhi keperluan mereka. Tetapi bukan saja rumah macam rumah biasa, biar kita beri satu keselesaan yang luar biasa, sekolahnya dekat, masjidnya, gimnasiumnya, tempat permainan, hijaunya semua diambil faktor, satu kota yang moden, yang MADANI.
- Dan ada juga yang sekarang ini cadangan supaya kereta itu di tingkat bawah, dan di tingkat penghuni itu hampir tidak ada kenderaan, dia semua dalam 10 minit, 15 minit perjalanan. Jadi kota yang agak moden, konsep yang baru, tetapi juga meletakkan, mengasaskan kepada nilai.
- Sebab tu, bagi penjawat awam, perhatikan fakta ini dan pertahankan konsep ini kerana ramai yang tidak senang. Entah dia mewakili kontraktor lain ke ataupun yang lain-lain saya tidak tahu ada kepentingan. Tapi saya tidak faham mengapa tidak boleh dukung, apa lagi kerana Perbadanan mampu mengurus sendiri tanpa beban daripada Kerajaan secara langsung. Jadi tentulah ada pertimbangan komersial sedikit kedai-kedai dan sebagainya. Ini saya anggap kerana dengar daripada KSN, KPPA tidak habis-habis kata rumah tak cukup, jadi kita cuba.
- Jadi saya harap rakan-rakan kalau mahu kita berikan penjelasan, biar Perbadanan datang bagi, kalau perlulah jabatan-jabatan kerana ramai yang lebih muda yang tunggu peluang. Menyewa ataupun menduduki rumah, untuk membeli, sekurang-kurangnya ada ruang dan dapat lihat. Kerana saya dalam konsep ini supaya ianya bukan sekadar membangun tapi membangun rumah dengan nilai yang kita pertahankan, Ini kita bercakap soal konsep MADANI di sini lebih kepada rumah, kita pakai rumah pangsa biasa tak kena itu percubaan kita.
- Baik, keduanya, soal yang dibangkitkan tentang SST. Saya lihat ada beberapa mahasiswa dia mengeluh, katanya kadar elektrik naik. Saya tak faham, saya tidak tahu dia ini mewakili siapa?. Saya sebagai pejuang mahasiswa dulu, kita ini conscience of the majority, mewakili hasrat perjuangan hati nurani rakyat terbanyak. Tapi, kadar elektrik tak naik. Melainkan bagi yang 10-15% teratas. Apakah benda dia terkesan, umpamanya universiti mengenakan kadar elektrik bagi mahasiswa? Kalau benar itu kita harus betulkan. Yang saya tahu universiti awam dikecualikan. Jadi hal-hal ini dia jadi sebar kerana kebebasan itu jadi ruang fitnah, ruang maki hamun.
- Jadi saya harap saudara- saudari, adik-adik kita atau anak-anak kita tolong berikan fakta. Saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik. Kalau boleh jangan ada cukai sama sekali, lebih baik. Bayangkan satu negara yang tidak ada cukai sama sekali. Tak adalah sekolah. Tak adalah nak naik gaji penjawat awam. Cukai tidak ada. Jadi, cukai bagi kita kalau boleh janganlah bebankan rakyat terbanyak.
- Sebab itu kadar elektrik yang diputuskan oleh rakan-rakan Menteri, oleh Jemaah Menteri itu elak daripada membebankan. Tapi andai kata ada 1-2 yang terkena, wallahualam, boleh kita baiki tapi untuk menyatakan kami menentang kenaikan letrik ini, cukai-cukai bertambah, saya rasa tidak betul. Begitu jugak macam SST. Bila kita kenakan kepada buah-buahan import, saya fikir sudah sampai masa, tanah subur boleh tanam apa pun belakang rumah. Maka kita mula dengan kadar dan ambil keputusan yang ketat iaitu, kenakan sedikit tarif ataupun cukai bagi buah-buahan import. Datuk Seri Zahid dan rakan-rakan ada mengatakan Epal, limau, kurma. Haa, itu tiga yang Datuk Seri Zahid makan (nada seloroh). Jadi dia kata jangan kenakan itu.
- Jadi saya pergi check balik dengan Kementerian Kewangan. Ada munasabahnya kerana limau yang agak murah. Jadi kita boleh kecualikan, boleh. Walaupun umumnya saya katakan jarang berlaku di mana Kementerian Kewangan bila buat keputusan dia nak ubahsuai dalam masa yang singkat, tapi kita boleh dengar. Macam kurma, tahun depan bulan Ramadan, jadi kita rasa ramai yang gunakan, jadi boleh kita ubah suai, tetapi untuk mengatakan bahawa yang membebankan rakyat, itu kita harus teliti.
- Dan begitu juga dengan syarikat-syarikat SME ini, terutamanya peringkat kecil, dia minta threshold itu 500,000 terlalu rendah, dia kata naikkan lagi, dia minta 11/2 juta kita naikkan menjadi satu juta, itu dah diumumkan. Jadi saya minta boleh tegur tapi biarlah tengok faktanya dan keperluan kita dalam negara ini.
- Yang akhir ialah tentang penjawat awam atau Hakim, mana-mana pegawai yang tempoh persaraan dia. Ada prosedur tempoh persaraan, dia tidak automatik. Bila kita bersara, tidak automatik sambung. Dalam keadaan ini saya ditegur. Maknanya ada satu kempen, mesti sambung orang ini, jangan sambung orang ini. Ini maknanya jadi institusi yang patut ada integriti dan bebas itu sudah dipolitikkan. Bila jadi wacana umum politik, maknanya kalau tidak sambung kumpulan ini setuju, sambung kumpulan ini. Setuju. Jadi, tidak wajar lagi. Apa yang berlaku ialah prosesnya. Ada yang mengatakan ini kuasa Perdana Menteri mutlak. Tidak. Kalau saudara faham perlembagaan, saudara tahu prosesnya, ada Suruhanjayanya, ada Perdana Menterinya, ada Yang di-Pertuan Agongnya. Begitu juga perlantikan, perlantikan baru Yang di-Pertuan Agong kemudian di bentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja, jadi semua hal itu harus di ikuti. Jadi bila satu kes, umpamanya disambung, khianat, satu kes tidak sambung, khianat.
- Jadi, kalau saudara dalam kedudukan dalam menteri terima sajalah ya, sabar. Tapi saya nak sebut di sini, itu keadaan dia. Saya rasa bila institusi begini dipolitikkan, jadi pada umum, dengan keputusan ini, makna ada pengkhianatan berlaku. Jadi kalau saya besok umpamanya, katalah penjawat awam, KSN maknanya 6 bulan sebelum dia habis dia kempen habis-habisan, kalau tidak sambung, khianat. Dan kumpulan yang setuju pula dengan dia, atau yang tidak setuju dengan dia kata kalau sambung khianat. Tak boleh, tapi tak pernah berlaku begitu dan tidak harus berlaku begitu, bahawa dalam institusi apa lagi badan kehakiman kerana badan kehakiman itu bebas.
- Dia cerita lobi dan sebagainya tidak. Sebab tu saya elak daripada menemui mana-mana Hakim Kanan melainkan Ketua Hakim Negara untuk bincang, meluluskan Dan saya ucap terima kasih kerana selama ini hubungan secara peribadi dan perbincangan itu baik, tafsiran di luar itu soal lain. Bagi saya hubungan, isu-isu yang dibangkitkan saya dengar dan dalam semua perjumpaan itu saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman. Apa yang dia nak putus itu keputusan mereka. Saya tidak pernah campur, tetapi itu pun dipolitikkan.
- Kalau Datuk Seri Najib, minta maaf saya sebut, bila dia dapat DNAA, itu PM campur tangan dan khianat. Salah kerana bagi DAA. Kemudian, itu satu pihak. Kemudian saudara Syed Saddiq baru-baru ini dapat DNAA pun dari satu pihak salah juga. Kalau tak dapat DNAA pun salah juga. Saya kata bukan urusan saya. Soal saya setuju atau tidak pendapat peribadi saya itu bukan isu. Kita kena hormat keputusan yang dibuat. Kerana dalam 2 kes ini saya tengok umpamanya pandangan berbeza. Ada orang sokong DNAA di sini, tidak sokong DNAA di sini. Ada sokong di sini tak sokong di sini. Saya rasa ini aneh, kita kena faham. Harus ada kewarasan dan pertimbangan. Kita ada badan kehakiman yang bebas. Dia bagi DNAA.
- Setengah orang dia tidak tahu pun kes apa, tak tahu, tapi tak boleh kerana orang itu sepatutnya dipenjara, tak boleh DNAA. Kes? Tak perlu kes, dia tak boleh, kena hukum. Kalau begitu tak payahlah. Macam dululah. Saya tahulah saya pernah kena. Putus sahaja, belum caj pun, belum ada laporan polis pun, kalau saudara-saudara ikuti kes saya itu, tidak ada laporan polis pun boleh tangkap dulu. Bangunan pun tak ada. Kalau saudara ikutilah. Caj itu di satu bangunan, bangunan pun tidak ada, tapi kena juga. Kita tak boleh ulang begitu. Jadi harus ingat kita kena pertahankan tetapi bukan ikut selera politik, bukan ikut selera kelompok, bukan ikut selera lobi. Dalam satu-satu kes umpamanya ada kelompok elit, peguam yang setuju. Ada jemaah yang ramai, badan-badan Islam yang menentang. Saya tidak terpengaruh dengan begitu. Yang kita baca ini ialah golongan elit yang boleh melakar dengan begitu baik menggunakan media. Tetapi badan-badan Islam yang ramai pertikai itu banyak, dua-dua saya baca tapi tidak harus mempengaruhi kita. Kita baca, faham tapi hormat proses dan apa-apa kes penyambungan itu terpaksa Perdana Menteri rujuk perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan dan pelantikan baharu untuk perkenan dan di bawa ke Majlis Raja-Raja Melayu.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
