TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JULAI 2025

21 July 2025

 

 

TEKS UCAPAN

 

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JULAI TAHUN 2025

 

21 JULAI 2025 (ISNIN) | 8.00 PAGI

DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rasulahu bil huda wadinil haqq,

Liyudzhirahu ’aladdini kullihi, wakafa billahi syahiidaa.

Wa usolli ala rasulillah Karim,

Wa ala ahlihi wasahbidi ajmain.

 

Rakan-rakan saya yang Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Zahid dan Dato’ Sri Fadillah;

 

Menteri-menteri, Tan Sri KSN, KPPA; dan

Rakan-rakan saya muliakan.

 

  1. Hari ini keadaan lebih tenang kerana semua diberikan kerusi. Ini cadangan KSN. Dia kata kadang-kadang ucapan PM pendek, kadang-kadang panjang sikit. Jadi, dia kata dia tidak mahu anak buah dia lenguh, susah nak duduk kerja sekejap lagi.

 

  1. Saudara-saudara ada beberapa yang saya hendak rumuskan dengan perkembangan sejak minggu lalu. Pertama, saya ucap tahniah kepada Menteri, KP dan seluruh keluarga JAKIM dan Yayasan Dakwah Islamiah kerana menyelenggarakan satu pertemuan yang penting di kalangan ummat, iaitu mendekatkan ulama dan umarak, ulama dan pimpinan negara. Mendengar pandangan dari segi pimpinan tentang dasar-dasar hala tuju Negara MADANI, di samping itu mendapat teguran usul daripada ulama bagaimana meningkatkan kefahaman, kesedaran dan juga kegiatan Islam di negara dan memenuhi kehendak Islam.

 

  1. Dan majlis diadakan dan selari dengan ikhtiar oleh Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor tentang Turath Islamik. Apa dia Turath? Turath ini legasi, saya pernah simpulkan dulu bahawa kita dalam keadaan negara yang rancak membangun, harus sedar ada kelompongan, iaitu penjawat awam, pimpinan politik, sarjana. Sementara ada juga minat terhadap Islam, ada yang kelompok-kelompok pertama yang terpisah sama sekali, berakad daripada bumi, tradisi dan budaya termasuk kefahaman Islam. Jadi, dia menolak. Kerana ini juga memenuhi acuan penjajahan Inggeris, Belanda, Itali, Perancis dalam program penjajahan yang dia kata mengasingkan. Itu yang disebut oleh Sheikh Mohamad Al-Ghazali, isti’mar ruhi wa fikri. Kejayaan menjajah bukan sahaja dari segi fizik, fizikal tetapi dari segi ruh, pemikiran dan jiwa.

 

  1. Dan ini dikupas mutakhir oleh seorang sarjana Algeria yang pernah saya ungkapkan dulu, Malek Bennabi sebagai “Colonisabilité”, maknanya keadaan di mana masyarakat itu terima penjajahan sebagai satu peraturan, mengalah dengan budaya dan tamadun yang pada hemat mereka lebih agung. Ini sama juga dengan Ibn Khaldun tapi tak apalah, itu kuliah akademik sangat. Tapi saya nak terangkan itu satu kelompok.

 

  1. Yang keduanya, kelompok yang minat tentang Islam tapi tidak berakar kepada ilmu dan pencerahan. Ini disebut tentang apa yang pernah diungkapkan beberapa ulama seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sebagai ghuluw kadang-kadang dia ekstrem. Kadang-kadang qurur, dia ada obsession, dia sudah mempunyai semua ilmu dan menghukum tanpa dasar dan pegangan yang kukuh. Ada beza antara ghuluw – ekstrem, pelampau dan gurur dia ananiah – dia egoistik dan yakin dengan pendirian dia walaupun ilmu yang tidak ke mana.

 

  1. Jadi, ini cabaran-cabaran yang kita hadapi dalam dinamisme konflik dalaman Islam itu yang dikupaskan oleh banyak sarjana, ya. Jadi, sebab itu di Selangor dihidupkan dengan Turath. Turath ini maknanya bagaimana kita anggap orang itu seorang cerdik pandai, itu sarjana, itu alim? Dia faham tentang Islam tapi dia faham legasinya, Turath, kupasan sejarah Islam itu sendiri.

 

  1. Kerana kita ini terpisah. Maknanya 1000 tahun menggali khazanah ilmu dalam pelbagai bidang – Tasawwuf, Fiqah, Hadis, Al-Quran, tafsiran – semua daripada karya-karya sama ada Hujjatul Islam Al-Ghazali ataupun pemikir-pemikir semasa seperti Muhammad Iqbal. Jadi, terpisah sama sekali.

 

  1. Jadi oleh itu, perlu digali bagaimana kita panggil seorang itu sarjana di Barat. Kalau di Barat itu seorang sarjana – kalau ikut Mortimer Adler, itu yang edit encyclopedia, dia kata tidak boleh kita anggap seseorang itu sarjana atau pemikir, atau intelektual di Barat kalau dia tidak ada, dia terpisah daripada tradisi dan budaya dan khazanah ilmunya, Turath ini khazanah ilmu.

 

  1. Dalam Islam pun begitu juga. Bagaimana orang kita terfikir, dia menghadam Islam itu tapi tidak ada langsung, makanya 1000 tahun terpisah, dia kata betul dia faham Al-Quran, hadis di mana 1000 tahun terpisah, 1000 lebih. Sekarang baru dia dapat beberapa perkara yang baru dan dia anggap dia sudah jadi mahir dan pakar. Itu yang disebut menggali semula khazanah ilmu dalam Turath atau Islamic legacy, itu yang dicuba, di sini juga yang kita lakukan ialah mengumpulkan pemikir Islam dan ulama-ulama. Dan kita ulama ini banyak juga itu berakar di pondok-pondok di Indonesia disebut pesantren.

 

  1. Dan tatkala dalam menyampaikan ucapan di masjid bersama dengan para ulama atas anjuran JAKIM dan Yayasan Dakwah, saya sebut sebenarnya kupasan Mohammad Natsir, seorang pemimpin, pejuang Islam di Indonesia yang pernah diangkat sebagai Perdana Menteri Negara Kesatuan semasa Sukarno jadi presiden. Kemudian dipenjarakan dan dibebaskan setelah Suharto ambil alih kuasa. Mohammad Natsir menyatakan bahawa dikala penjajah Inggeris di Malaya pada ketika Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia menjajah negara, maknanya sistem politiknya, sistem ekonominya, pendidikannya, sosialnya, semuanya dia telah dikawal. Dan selalunya sarjana, orang yang berpendidikan di Barat ataupun sistem Barat itu semua mengalah, terima sistem pendidikan Inggeris sebagai terbaik, sistem politiknya terbaik, sistem ekonominya terbaik – dalam keadaan semua kita mengalah, yang satu-satunya benteng pertahanan kekal adalah pondok dan pesantren, yang pertahankan akidah kita dan ilmu Islam yang menyebabkan Islam itu semarak. Jadi, saya hargai itu.

 

  1. Tapi saya juga menekan kepada tuan-tuan guru, mahsyur dari Kelantan, Kedah dan beberapa negeri, Johor juga ada. Saya katakan, sementara itu kita akui, kita harus juga terima bahawa keadaan dan cabarannya berubah. Dulu penjajahan terang, sekarang kalau kita tidak waspada penjajahannya melalui digital melalui Ai. Kerana sementara kita kuasai teknologi baru yang saya sebut menggapai di langit, kita tidak berakar ke bumi. Sudah menggapai di langit, dapat semua teknologi-teknologi baru tetapi tidak berakar kepada akidah, akhlak, budaya dan agama kita.

 

  1. Ai pun begitu, ada pertemuan kita dengan Microsoft, Invidia dengan Infineon, saya selalu saya tanya satu soalan tentang kemasukkannya. Kerana apa yang dimuntahkan dari Ai itu, ChatGPT apa juga, itu adalah apa yang ini masukkan, dirumuskan. Jadi, tanggungjawab kita ialah memasukkan apa yang kita yakini sebagai perlu dalam kehidupan kita; soal agama kita, nilai kita, budaya kita. Jadi, saya sebut di majlis itu, pondok-pondok dalam memberikan asuhan awal, juga harus memahami keperluan anak-anak ini, juga memahami dan mempunyai kemahiran dan kepakaran lain.

 

  1. Sebab itu inisiatif Dato’ Seri Zahid, beberapa huffaz yang sudah pun hafal Al-Quran di pondok-pondok, ataupun maahad tahfiz itu dibawa, diterapkan dengan ilmu dalam TVET, jadi mereka sementara menjadi seorang dengan asas yang kukuh, dia juga punyai kemahiran dan kepakaran. Ini saya ingat, sudah puluh ribu yang telah diterapkan masuk. Bagi saya, satu inisiatif yang sangat baik dan murni dari banyak segi. Maknanya mana orang yang terpisah daripada arus teknologi perdana tapi dimasukkan dengan asas ilmu ini yang dilakukan.

 

  1. Jadi, saya seru kepada Tok-tok Guru, kita harus juga mendedahkan kepada anak-anak di pondok-pondok ini juga dengan apa dia komputer, apa dia teknologi maklumat, apa dia digitalization, apa dia AI? Dan saya sangat terharu kerana mereka sangat terbuka, dia asalkan jangan kita ubah kurikulum Islamnya dan turathnya, kita masukkan itu, dia ambil sikap yang sangat terbuka. Salah seorang yang kemudian, kan majlis selalu saya di atas pentas dengan Sheikh Tariq Jamil, seorang ulama besar Pakistan. Selepas itu Tok-tok Guru itu di bawah. Jadi, saya fikir bawalah mereka ke atas. Dan setelah selesai ucapan saya, saya fikir ada satu Tok Guru itu bagilah seorang berucap sikit, seorang baca doa, memuliakan dan mengiktiraf martabat mereka. Di antaranya ialah Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Maki, seorang ulama tersohor di Kelantan dan juga terkenal. Jadi, dia berucap, dia ceritakan bahawa dia kenal saya sejak saya di ABIM. Masa itu, bila dalam mesyuarat di Riyadh, saya mewakili Harakatul Syabab, pergerakan badan belia Islam sedunia yang berpengkalan di Riyadh pada masa itu dan saya mewakili Asia Pasifik. Tapi semua mesyuarat di Riyadh, dua kali setahun, tiga kali setahun itu mesti melalui Pakistan – PIA dia bermalam di Pakistan. Jadi, setiap kali malam saya menulis kepada mereka supaya mereka ada majlis bersama dengan anak-anak Melayu Asia Tenggara dari selatan Filipina, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Pattani.

 

  1. Sheikh pada ketika itu di antara penuntut di situ, jadi sejak itu kenal, dan saya bawa kepada Riyadh, kata ini anak-anak yang sangat miskin. Jadi, setiap tahun, atau dua tahun sekali, saya diberikan USD5,000. Pada masa itu, banyak jugalah dan berikan kepada persatuan mereka untuk mereka agih-agihkan. Jadi, dia ingat, dia sebut hal itu. Kemudian, bila ada majlis begitu, dia cuba juga didedahkan dengan MADANI dan apa yang kita cuba lakukan. Jadi, dalam ucapan dia, dia kata, “bagilah kerjasama dan sokongan kepada kerajaan sekarang ini, MADANI ini di bawah pimpinan Anwar.” Cuma sekarang timbul kontroversi daripada beberapa kalangan, terutama di Kelantan. Tapi saya nak sebut begini lah, tidak ada niat apa pun, kita hanya santuni mereka, dan saya fikir asalkan dapat diubahsuai beberapa kurikulum yang memenuhi keperluan kita.

 

  1. Saya telah memaklumkan kepada Perbendaharaan, untuk mencari jalan untuk meningkatkan semula keupayaan pondok-pondok ini supaya mereka dapat kemudahan yang lebih baik dan kurikulum yang selari dengan tuntutan semasa. Kalau itu dipenuhi, maknanya kita tak ganggu langsung sukatan dia, termasuk Turath itu nak baca Munyatul Musolli, Syeikh Daud Abdullah Fathani, itu silakan. Tetapi, masukkan juga beberapa elemen baharu, termasuk teknologi baru, TVET di mana perlu, dan juga AI.

 

  1. Dan dalam ucapan dia, walaupun menyantuni itu, nampak sekarang sudah dipolitikkan oleh beberapa kalangan. Saya tidak bermaksud sekali lagi, dan saya insya-Allah akan hubungi Tuan Guru Sheikh Wazir, akan memenuhi undangan beliau untuk ziarah pondoknya dan akan terus tanpa melibatkan pakatan politik kepartian. Itu yang pertama.

 

  1. Semua ini jadikan riuh masalah politik. Jadi, macam mana kita nak tolong pondok pun tak boleh. Kita nak baik tok guru pun tak boleh. Ini pun kerana disitulah fikiran yang terlalu taksub dan terlalu terikat dengan pandangan politik sehingga tidak boleh melihat kepentingan umum. Saudara saya Dato’ Seri Zahid, Dato’ Seri Fadillah, tentu bincang tentang ini. Kita tak boleh ketepikan sistem tradisional pondok itu terlalu banyak, maahad tahfiz, terlalu banyak. Nak ubah, tak mungkin. Masalahnya bukanlah sistem itu. Masalahnya itu ialah kemasukan dan juga melengkapi sistem itu dengan tuntutan semasa, asalkan dipersetujui. Begitu kita akan bantu. Dan itu sudah dimulakan dengan, saya ingat, sudah berapa puluh ribu maahad yahfiz, yang masuk TVET? 12,500 anak-anak huffaz yang sudah bersama maahad tahfiz dan TVET, kan satu kejayaan besar, 12,000 saudara bayangkan, bukan kecil dan kalau kita terapkan begini maknanya anak-anak kita dapat pendedahan lebih baik, itu yang pertama.

 

  1. Keduanya, tentang Pemukiman Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan Madani di Port Dickson semalam. Yang saya nak tekankan ialah bahawa pemukiman itu tentang menjelaskan dasar-dasar Kerajaan, tetapi di samping itu juga mendengar pandangan dan keluhan masyarakat yang kemudian menuntut saya untuk memikirkan apa perubahan-perubahan dan pengumuman-yang perlu untuk meredakan tuntutan. Kita bila kita rancang kita fikir kita sudah lakukan sebaik mungkin, tetapi kadang-kadang pandangan di akar umbi itu, keluhan mereka itu agak berbeza sedikit, ada seolah-olah macam disconnect. Sebahagiannya kerana dipolitikkan, sebahagiannya kerana penipuan dan sebahagiannya kerana memang dirasakan sesungguhnya. Jadi oleh itu, mereka melalui Ahli Parlimen menyampaikan dan kita akan mantapkan, dan saya katakan dalam satu dua hari ini saya terpaksa umumkanlah apa-apa kalau mereka nak bagi cadangan kalau apa yang perlu lagi, kerana ada sedikit masa lagi.

 

  1. Yang berikutnya ialah kontroversi minggu lalu tentang Badan Kehakiman. Sebahagiannya telah saya jelaskan. Saudara tengok, seminggu negara diriuhkan dengan perarakan, dengan kecaman, dengan bahawa sistem itu telah dirosakkan, orang-orang tertentu mahu dinaikkan, dipolitikkan, seminggu. Mereka kata sebab apa Perdana Menteri tidak jawab? Mana mungkin saya jawab. Sebab isu itu sementara melalui Suruhanjaya Pelantikan Perkhidmatan Kehakiman (SPSPK), ataupun GAC, dia juga memerlukan untuk cadangan Perdana Menteri, 122(1)(B) dalam Perlembagaan dirujuk terlebih dahulu kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan, dan kemudian dirunding dengan Majlis Raja-Raja. Saya tidak boleh mendahului. Jadi dia kecamlah bagaimanapun saya terpaksa kata, “kita ikut proses”, lagi dia marah kerana dia kata kenapa tak jawab? bagi jaminan, orang ni tak boleh lantik, orang ini boleh dilantik. Jadi saya diam, sehingga diperkenan, memang diperkenan awal lagi, sebelum riuh ini, Tuanku Agong sudah perkenan, tetapi tunggu Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja itu ada schedule meeting, 15 -16 Julai. Tidak boleh didahului.

 

  1. Kalau pun seperti Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan, yang kita lantik 8 Hakim Mahkamah Rayuan, 14 Hakim Mahkamah Tinggi, itu lantik dua bulan yang lalu, ada yang dua bulan setengah yang lalu, tetapi kita kena tunggu, kerana setelah Agong perkenan, kena sah setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. And that’s the system. Saya tidak fikir orang yang terdidik dengan fahaman tentang Perlembagaan tidak tahu, tapi riuh. Ada pegawai-pegawai pun dia rungsing, “macam mana Kerajaan kita sekarang ini?” Okey. Tapi kalau yang dia tanya, dia sabar tidak mengapa, dia tanya dia hukum terus sudah, “ini khianat, Anwar ini sebab dia ada masalah kes sivil.” Kes sivil, bukan kes jenayah. Kemudian, “patut dia tak boleh campur,” macam-macam.

 

  1. Jadi akhirnya, setelah satu minggu kita dihentam begitu rupa, dan bila dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja, Majlis Raja-Raja ini ada siri-siri juga mesyuarat dia, ada Raja-Raja, pre-council nya Raja-Raja sahaja yang dipanggil Perdana Menteri untuk mendapat beberapa penjelasan atau beri nasihat dan pandangan. Kemudian baru diformalkan dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan kemudian dengan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Jadi dalam mesyuarat itu dibincang dan dipersetujui nama yang kita kemukakan dari awal. Tidak ada tukar. Sekarang ini bila sudah berlaku begini, ada yang beritahu sebenarnya Anwar tukar last minute. Tidak betul. Boleh check, nama itulah yang dikemukakan dan nama itu akhirnya diperkenan. Jadi tidak ada tukar. Tapi dia kata dak, dia nak masuk orang ini, Datuk ini, tapi Tan Sri ini, tapi dia sudah dengar sahaja dia tukar nama ini.

 

  1. Ini keadaan yang mana saya tidak fikir Badan Kehakiman harus dipolitikkan. Itu tonggak dalam sistem keadilan negara. Dan mungkin juga ada elemen dalam Badan Kehakiman yang kemudian bocorkan dan sebarkan berita-berita begini. Itu soal mereka. Alhamdulillah, perkara ini beres dan selesai. Sekarang ini reda, sudah tidak riuh dah, selesai begitu sahaja. Yang kamu maki aku berbakul -bakul minggu lalu macam mana? Dah selesai? Ha, inilah keadaannya, tapi tidak mengapa, yang penting selesai. Baik, itu keadaan dari sudut Badan Kehakiman. Saya harap perlu saya sampaikan, ini saya bincang dengan KSN, kerana penjawat awam harus tahu isu-isu yang harus kita fahami kerana melibatkan negara dan sistem negara ini.

 

  1. Tapi cuma nak bagi satu contoh bagaimana ya, riuh satu negara bahawa Kerajaan terpukul, tercabar kerana telah mengkhianati dan melanggar prinsip Perlembagaan dan Perdana Menteri telah menyalahgunakan kuasa. Itu serang terus. Tidak apalah ya, sekarang kita sudah bagi penjelasan. Itu satu pengajarannya apa? Jangan gopoh, ada masalah boleh suarakan, tapi jangan hukum dulu, ini sama macam seorang kiai atau ustaz yang hukum dahulu, samalah. Dia hukum dulu, kemudian tanya, oh…dak, dak, dak. Mana boleh. Nak hukum itu sebab itu dikata, “Dua Laa Huda”, kita ini menyampaikan, bukan hakim dan hakim itu ada kaedahnya, ada prosedur dia, mana boleh dengar satu pihak terus hukum. Dia kena semak, betul ke dia kata, dia kata dalam keadaan apa?

 

  1. Berikutnya ialah ada yang mengatakan apa yang telah kita lakukan? Saya minta rakan-rakan penjawat awam memahami juga tentang apa yang dilakukan, sebab ditanya, Baik, kita sudah dua tahun setengah. Selain boleh berjalan ke sana sini, makan angin di Brazil dan semuanya, apa yang dilakukan? Itu riuh di bawah. Sebenarnya kalau saya tengok jadual, sampai di Itali satu malam. Sampai di Perancis semalam, satu hari di Perancis, 14 jam ke Brazil. Dua malam di Brazil, sampai tengah malam pukul 12 – 1 pagi sampai di hotel, 9 pagi makna kita bertolak dari hotel 8.30 untuk acara pertama. Tak apalah, saya bukan nak mengeluh kerana dia kata, “kamu sendiri nak jadi Perdana Menteri buatlah kerja”, betullah. Tapi janganlah berkata aku pergi cuti. Adalah masa dalam lapan hari pergi balik itu, adalah masa dalam sekitar 40 minit saya berlari di pantai, itu pun waktu malam, sebab kalau siang ramai yang mandi. Itu dia kata, tengok Anwar sahaja lari-lari, cuma nampak…ehmm. Kalau Azizah suruh lari, dia kata jangan pakai cermin mata (nada seloroh).
  2. Baik, kita catat pelaburan yang diluluskan dari 2022 hingga 2025 — 3,400. Tapi yang telah beroperasi, kena ingat ya, daripada 3,000 projek itu, kadar pelaksanaan itu 86.4% sudah beroperasi. Orang kata pelaburan bilion-bilion ini mana dia? tak ada apa pun? sudah operasi, 86%. Umpamanya tahun 2023, 90.6% yang dilaksana. 2024, 79.2%. Suku pertama 2025, 40.98 projek baru pelaksanaan yang sedang berjalan. Saya dah maklum kepada Menteri Tengku Zafrul untuk terus memaparkan ini kenyataan. Kilang di mana – Kulim Hi-Tech ataupun Johor, ataupun Sarawak atau Sabah, atau di Lembah Klang, atau di Kuala Lumpur. Ini kebanyakannya ialah di sektor pembuatan, manufacturing sector dan dia memberikan peluang pekerjaan, tentunya.

 

  1. Dan peningkatan yang ketara adalah bidang digital dan hijau. GIS dalam suku pertama yang telah diluluskan dan projek yang dijalankan 1,492 projek dengan 9,200 peluang pekerjaan dan kita sudah tubuh umpamanya di Johor, Invest Malaysia Facilitation Centre, di MITI dan juga di Johor. Berapa permohonan sejak ditubuhkan? Permohonan 28,166. Kadar penyelesaian 99.9%. Ini makna jenteranya, bukan saya umum sahaja tetapi jenteranya, jentera penjawat awam. Jadi bila ada peranan penjawat awam melaksanakan dengan jauh lebih cepat dan berkesan, kita iktiraflah. Kalau ada 1-2 complain, tak apalah, tapi jangan tak buat kerja apa pun, tak ada langsung catatan pelaburan. Ini kadang-kadang yang bersyarah itu tidak apalah sebab dia pernah jadi Perdana Menteri, terlalu lama, jadi dia lupa. Dan setengah itu dengan berjubah dan berserban, tapi umpamanya negara ini zalim, menindas orang miskin, dan cukai hanya dibayar oleh orang miskin orang kaya tidak bayar cukai. Ini ustaz belajar Azhar. Jadi saya sebut perkara ini kerana boleh kempen tidak mengapa, tapi jangan begini sudah jadi penipuan dan kalau tak jaga ini sudah jadi fitnah. Dan bila saya sebut 99.9% yang telah diluluskan itu, permit, kuota pekerja asing, utiliti, percukaian — itu kerja siapa? Bukan kerja menteri, menteri bagi arahan, ini penjawat awam. Dia duduk situ dari pagi sampai petang, kadang-kadang weekend pergi buat kerja, janganlah nafikan semua peranan mereka ini.

 

  1. Beberapa pekerjaan baru? Suku I 2025, yang telah diwujudkan di sektor pembuatan – 50,000 pekerja baru. Gaji median naik 5.4%, maknanya minimum gaji median bagi pekerja yang baru di sektor pembuatan — RM2,745. Ini termasuk juga keputusan kita naikkan kadar gaji, kalau dulu RM1,500 sekarang RM1,700. Cukup? Belum cukup, tetapi sekarang kita dah naik, walaupun ada tekanan menentang daripada Syarikat-syarikat besar.

 

  1. Nilai tambah sektor pembuatan meningkat. Ini sekarang saya nak jelaskan bahawa berbeda daripada pelaburan berbilion, tidak ada apa, sama ada mata kamu rabun atau tidak nampak, ataupun tanya. Dan ini penjelasan saya berikan, dan saya sudah minta Tengku Zafrul untuk menyenaraikan di mana? di Kulim Hi-Tech, di Pulau Pinang, di Perak, jelaskan di mana, supaya mereka boleh pergi melawat. Sebahagiannya ahli Parlimen, sebahagiannya yang ustaz-ustaz, tidak mengapa kritik, mungkin kalau dia kata 99% pelaksana tak cukup, patutnya 99.9% — okey lah. 50,000 peluang pekerjaan, patutnya sudah sampai 60,000 — okey lah kalau begitu, tapi jangan nafi bahawa 50,000. Ini rekod dalam sejarah kita.

 

  1. Sebab itu peringkat antarabangsa dia bagi pengiktirafan, pelaburan saya kata diluluskan sehingga akhir 2024 itu tertinggi dalam sejarah negara kita, RM378 bilion termasuk syarikat E&E, termasuk Amazon Web Services dan bilion dollars dan walaupun kita hadapi sekarang dalam rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai tarif usul Presiden Trump itu perkara yang kita beri penekanan beberapa kali Jemaah Menteri selain daripada MITI, runding dengan saya juga dalam Jemaah Menteri. Tetapi kita ada pendirian, kita ada red line. Risiko kita sedang hadapi. Apa red line dia? Jangan ganggu soal dasar negara. Dia kata kalau dasar bumiputera itu diskriminasi, No. Kita kata, No. Malaysia ini tegak dengan beberapa dasar yang telah kita terima pakai, kalau mereka tak setuju, nak buat bagaimana? kita harap dia setuju. Tapi ini red line Sistem perolehan, kita ada juga keperluan untuk kita beri peluang kepada syarikat tempatan itu red line kita dalam rundingan. Sebab itu rundingan kita itu lebih teliti dan lebih tegas dan kerana kita harus terus berdagang dan baik dengan semua negara. Amerika Syarikat itu penting sebab seperti saya sebut, pelaburan Amerika Syarikat itu tertinggi — pelaburan dan perdagangan. Tetapi tidak ada negara yang boleh letakkan syarat dan menekan kita sebab itu kita terus dengan negara China, dan dengan negara-negara ASEAN dan negara Asia.

 

  1. Apa faedah kita ke Brazil? Saudara, kita di Brazil kerana persahabatan saya dengan Presiden Lula, 2 tahun lalu dia telefon. Dia kata ‘Anwar, I want to encourage you. Please get Petronas to come here’. Dia ada 2 – 8 minyak yang paling baik dia kata, “saya reserve satu untuk Petronas.” Dan sekarang Petronas sudah mula operasi. Di mana? Di Brazil. Cari gali dan minyak itu hasil kepada kita. Ada syarikat Yinson, syarikat swasta, itu membina kapal di antara kapal oil and gas terbesar untuk Peru dan Brazil. Jadi hubungan syarikat-syarikat Malaysia itu mudah kerana persahabatan kita. Selain daripada peningkatan perdagangan dengan negara-negara BRICS, kita buka jaringan baru untuk survival kita sebagai satu negara, tidak boleh bergantung kepada satu dua negara.

 

  1. Di Mesir, bila kita minta kerjasama, Presiden Abdel Fattah El-Sisi yang kemudian dia bagi laluan kepada Proton untuk jadikan itu sebagai markas bagi negara-negara Afrika utara. Itu peningkatan dagang dengan Mesir itu 34% dalam satu tahun. Dan sudah ada pengeluaran awal Proton. Apakah ini tidak diketahui? Kadang-kadang ialah masyarakat awam, terutama di kampung, dia tak sampai ke situ. Tapi orang-orang politik ini kerana hasad dengki mereka, mereka padamkan ini semua. Dia kata kita hanya berjalan. Betul, saya di antara Perdana Menteri paling banyak ke luar negara, kebetulan kerana saya Pengerusi ASEAN tahun ini. Lepas ini rupanya Cyril Ramaphosa daripada Afrika, dia kata ‘G20, as Chairman of ASEAN please Anwar, you have to attend’.

 

  1. Dan ASEAN Oktober ini, yang nak datang Itali, EU, Kanada. Rubio kata Donald Trump nak datang. Saya jumpa Presiden Lula, dia umum depan 2000 orang. ‘Yes I’m going to Malaysia to enhance bilateral relations and support the initiative Anwar and ASEAN’. Mana? Brazil. Cyril Ramaphosa, Presiden Afrika Selatan akan datang. Jadi saudara, namanya ASEAN, 10 termasuk Timor Leste tahun ini jadi 11. Tetapi yang datang tu Asia, Eropah, Kanada, Amerika, Afrika dan Latin Amerika. Dia jadi satu huge international conference. Tapi kalau tengok prestasi penjawat awam, polis, imigresen dan airport dalam Sidang ASEAN-GCC-China baru-baru ini, saya insya-Allah yakin dengan keupayaan kita memberikan yang terbaik bagi negara kita.

 

  1. Jadi, semua penilaian antarabangsa itu baik. World Competitiveness Ranking (IMD), kita sudah naik daripada tahun 2024 tangga 34, tahun 2025 tangga 23, di antara negara yang naik mendadak paling baik. Ini sebut ‘oh sebab PM Anwar’, tak. Sebab team, sebab penjawat awam, sebab sektor swasta yang menyebabkan boleh naik.

 

  1. IMF dalam misi Article IV bagi tahun 2025, memuji komitmen kita melaksanakan reformasi fiskal termasuk Akta Kewangan Awam Dan Tanggungjawab Fiskal (Financial Responsibility Act). Apa maksudnya? Maksudnya Menteri Kewangan menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Parlimen untuk menilai sekiranya tidak memenuhi target. Kita buat dan lakukan begitu. Jadi defisit fiskal itu tinggi. Kita ambil alih 2022, defisit fiskal itu 5.5%, maknanya belanja lebih daripada pendapatan negara. Jadi kita deficit, maknanya berhutang. Defisit pada tahun itu 5.5%. Tahun 2023, 5.0%. 2024, turun 4.1% dan sasaran bagi tahun ini 3.8%. Ada orang kata jangan mendadak sangat kerana akan menjejaskan dari segi pembangunan. Jadi kita lakukan secara gradual. Kalau tidak, tak ada confidence Kita urus ekonomi ini macam belanja rumah. Ini kalau Adam Smith dia kata, urus ekonomi macam urus ekonomi rumah tangga, pendapatan 5000 belanja tiap bulan 7000. Jadi sekarang ini begitu jadi kita turun. Setiap bulan jadi 6500, 6000, 5500 kadang kalau mendadak terus pula tak boleh bergerak.

 

  1. Jadi isu pula, walaupun Anwar kata hutang kurang tapi hutang tambah. Hutang-hutang yang tambah itu hutang bunga. Hutang Negara – hutang baru yang Kerajaan buat itu berapa? Tahun 2022 hutang tahunan kerajaan tambahan RM99 bilion. Tahun 2023 turun jadi RM93 bilion dan 2024 hutang kita RM77 bilion. Kuranglah itu. Oh, dia kata tapi jumlah keseluruhannya lebih. Yalah dia termasuk dengan hutang lama dan bunga kita kena bayar lah. Tapi saya kata hutang baru ini bawah Kerajaan, kita dah janji kurang, kita tunaikan. Tapi yang disebar di sana, kita tambah jadi kita seolah-olah menipu rakyat. Jadi kalau saya tengok angka ini, tengok siapa yang menipu, kita minta disebarkan dan saya minta pegawai-pegawai, penjawat awam ini hafal. Lama dah tak hafal, sekolah dulu je. Tahun 2022 RM99 bilion hutang baru, 2023 RM93 bilion, itu turunlah tu. Saya ingat setengah-setengah orang politik ini dia tak boleh, dia tengok dia tak boleh, figures dia tak boleh. ‘No, no, no turunlah tu’, ‘dak dak naik’… Naik bunga. Bunga itu hutang lama lah cik oi. Tahun 2024 RM77 bilion, baik.

 

  1. “Ringgit merudum, ringgit jatuh.” Ni hang cakap ringgit mana ni? Ringgit kita … saudara ingat pernah mencecah dengan RM4.70 ketimbang dolar Amerika. Angka terakhir ada sampai RM4.15, sekarang… hari ini saya tak… tapi semalam RM4.25. Turunlah tu perkuat. Itu di antara 5 mata wang terbaik di Asia.

 

  1. Jadi, pertumbuhan KDNK, pertumbuhan sektor pembinaan, saya sebut. Kadar pengangguran terendah. Inflasi itu angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya tak campur. Jemaah Menteri hanya dapat laporan daripada Jabatan Statistik, jadi DOSM beri, dalam suku pertama tahun 2025 1.5% inflasi, bulan Mei 1.2%, iaitu terendah dalam masa 4 tahun. Tapi kita pun tidak menafikan. Pertama, inflasi turun, tetapi kadang-kadang kalau pergi pasar, ada barang-barang yang agak naik. Jadi sebab itu saya kata kita harus teliti barang mana dan ini yang kita harus tangani. Ini yang disebut negara MADANI ini kena menyantuni, tapi tak boleh kita nafikan. Inflasi di Malaysia, kita tengok negara jiran, itu tumpah. Saya tahu, saya ikuti Indonesia, Thailand terutamanya kerana mereka itu jiran. Thailand sistem politiknya – tiga Perdana Menteri satu minggu. Di Indonesia jauh lebih stabil tapi masih bergelut dengan soal Rupiah dan pasaran saham. Jadi kita lebih kukuh.

 

  1. Sebab itu ada orang nak dengki, dia kata nak kena timbulkan ketegangan sikit supaya jangan nampak kita hebat sangat. Ada. Ada yang kata ‘oh kena Anwar turun’ dan saya dengar suara di mana. Nak ada perhimpunan, polis bagi laporan saya kata jalan, tidak maksud halang. Tetapi bila dia sebut kata umpamanya ‘kita akan paksa Kerajaan bertukar’, ini aneh bunyinya. ‘Kita tak mahu tunggu pilihan raya’, jadi saya kata tak apalah. Saya bagi tahu Speaker kalau ada usul hari ini, hari ini hari pertama Parlimen, saya tunggu usul undi tak percaya. Kalau ada majoriti, silakan. Jemaah menteri berundur, itu sistem kita. Dia guna, hari ni mula Parlimen. Tunggu kalau ada usul undi tidak percaya kerana kena ada jumlah yang cukup, tapi dia tahu tidak boleh. Insya-Allah kita dapat bertahan dengan kuat dua pertiga majoriti dan kita tunggu pilihan raya. Tapi tak, ‘kita nak diturun sekarang’. Ini sudah melanggar prinsip Perlembagaan dan undang-undang.
  2. Saya nak ingatkan sementara kita akan tolak ansur, kita akan bertegas sekiranya dicabar prinsip Perlembagaan kita. Tapi saya harap keadaan kita aman. Nak dengki sebab apa? Apa yang jadi? ‘Orang sekarang huru-hara, kucar-kacir dan tak selamat lagi dah, dan hidup tak boleh lagi dah’. Itu yang diberikan mantera masuk di Stadium Kedah baru-baru ini. Kritik saya tak ada masalah bahawa ‘Perdana Menteri ini tak pandai urus negara dan patut diperbaiki’… saya tak ada masalah. ‘Kita harus rancang supaya ada orang lain lebih baik ganti’… saya tak ada masalah. Tapi kalau timbulkan ini, umpamanya mesti mencetuskan huru-hara, tidak ada negara yang akan selamat. Dan semua rekod kita yang baik ini dengan terpadam kalau tak jamin kestabilan negara dan kestabilan politik.

 

  1. Soal akhirnya, soal SST ini. Saya bagi contoh yang paling ketara elektrik, tarif asas. Ini Dato’ Sri Fadillah lebih arif bab ini. Apa yang disampaikan oleh mereka? ‘Tarif naik. Cukai naik’. Sebab tu saya tanya, kamu ini wakil rakyat bawahan atau rakyat wakil tauke-tauke? Ada tauke mengeluh kerana naik bagi mereka. Tapi apa effectively dalam pelaksanaan dicadangkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), TNB, melalui Dato’ Sri Fadillah, 85% rakyat itu dikecualikan. Semua langkah kenaikan ini hanya untuk industri yang catat untung yang lebih besar. Kemudian dia bagi pula umpamanya kalau gunanya masa waktu puncak itu boleh dikurangkan. Tapi yang penting apa dia? Secara keseluruhan bila dilaksanakan, ini fakta dia, bukan naik. Effectively kos elektrik dengan tarif asas ini walaupun ada bunyian naik tapi kos elektrik secara keseluruhan menurun. Secara keseluruhan, kos elektrik menurun sebanyak 19% daripada 55.95 sen RP3 kepada 45.40 sen RP4. Maknanya kalau tengok bil berbanding dengan bil bulan lalu, dia lebih rendah. Dato’ Sri Fadillah katalah. Tapi ini terbukti. Tapi sebulan dah riuh dah naik, kita terbeban, kos elektrik tinggi… ini penipu. Sebenarnya kalau tengok bil, kalau kita guna yang sama, bulan lalu dengan bulan ini bil akan turun kerana saya katakan tadi, kos elektrik secara menyeluruh telah menurun.

 

  1. Tapi ini kita kena hadapi. Sebab itu, satu strategi communications dan penerangan. Dan kita tak boleh serah pada Jabatan Penerangan sahaja. Saya minta supaya penjawat awam juga, kerana ini yang merancang itu kementerian masing-masing, yang melibatkan penjawat awam dan tentunya TNB syarikat milik Kerajaan. Jadi kita sama-sama pertahankan kalau keputusan atau kebijakan baru itu dilakukan untuk membantu rakyat.

 

  1. Jadi saya harap contoh-contoh ini akan membantu, ini sebagai mukadimahnya sebelum saya umumkan beberapa pendekatan baru, sebaiknya esok, kalau tak sempat esok, hari Rabu. Kita pun dari Isnin, Selasa, itu Rabu. Tapi untuk hari ini sekurangnya ini kita bagi pandangan ekonomi makro, keadaan sebenarnya bagaimana kita hadapi dengan kenyataan yang real dengan penipuan di luar. Sampai Tok Guru pun dipolitikkan dan Majlis Turath dipertikai. Kemudian beberapa langkah fiskal kita cuba dinafikan. Jadi saya harap mudah-mudahan Allah SWT memberkati usaha kita. Terima kasih.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: