TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERASMIAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERASMIAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2025
14 JUN 2025 (SABTU) | 8.00 MALAM
DATARAN MERDEKA,
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah rabbil alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem
Wala alihi wasahbihi ajmain.
Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan,
Menteri Belia dan Sukan;
Dan seluruh keluarga termasuk Majlis Belia Malaysia, wakil-wakil Belia dan anak muda yang dikasihi sekalian.
Terima kasih atas sambutan hebat malam ini.
Yang Berhormat Tan Sri Johari Dato’ Dr. Johari bin Abdul,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat;
Tan Sri KSN;
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan rakan-rakan yang saya muliakan di kalangan penjawat awam dan pemimpin belia. Dan yang penting sekali anak muda yang begitu ramai berhimpun malam ini dengan semangat yakin.
- Malam ini kita teruskan dengan acara apa yang disebut sambutan Hari belia. Bila di mulakan, kebetulan masa itu saya dalam Majlis Belia Malaysia. Kita gesa. Pada ketika itu Perdana Menteri almarhum Tun Abdul Razak untuk menyokong gagasan Hari Belia. Supaya beri ruang kepada anak muda melontarkan idea mereka dan memberikan pandangan, teguran dan juga tuntutan.
- Berakhir zaman di mana kalangan orang-orang lama hanya beri pandangan dan leteran. Sampai masa di mana kita juga menyantuni anak muda kerana masalah negara bukan sahaja kerana kealpaan dan kelemahan penguasa. Kalau terlanjur tindakan mereka, harta dan dana rakyat dipunggah untuk kekayaan diri dan peribadi ini akan memberi kesan negatif kepada anak muda.
- Dasar pendidikan kita, dasar TVET kita akan menentukan peluang masa depan dasar pelaburan kita. Dasar transisi tenaga dan juga transformasi digital, apakah Malaysia mampu mengangkat martabat negara sebagai negara yang berjaya dan hebat? Ini ditentukan oleh Penguasa dengan dasar dan menentukan nasib dan masa depan anak muda. Sebab itu anak muda kesempatan Hari Belia kesempatan kita berfikir merenung yakin boleh sebab apa? yakin kerana iman kita, keyakinan kita, yakin kerana ilmu kita, yakin kerana pencerahan kita, tidak diperalatkan, tidak mudah merendah, menghina orang lain sama-sama kaum asal kaum yang lain, yakin dengan kesatuan. Kita yakin dengan keupayaan negara ini diangkat sebagai di antara negara hebat di rantau ini. Yakin!
- Ini sebabnya saya mengatakan dan menekankan perlunya sambutan begini untuk memberi kesempatan kita. Ya, tentunya anak muda dengan riadah mereka dengan merekat mereka, tarian jangankan nak ikut, saya lihat tadi pun saya pun turut letih kerana gegak gempita langkah-langkah mereka. Tapi itu budaya sekarang, asalkan tidak melanggar tata susila dan tidak terlanjur dari segi batas etika dan akhlak, itu dibolehkan.
- Ada kemudahan futsal. Ada tumpuan pada Bola sepak, dengan Harimau Malaya dan kita bangga kerana kejayaan Bola sepak menundukkan pasukan Vietnam baru-baru ini. Tapi saya ucap tahniah! Kerana Hannah Yeoh tak semena-mena menekan saya supaya menyokong pasukan-pasukan dan Akademi Sepak Takraw. Saya setuju dengan saranan itu dan kita akan jadikan Akademi Sepak Takraw satu realiti di Malaysia ini. Mantap.
- Baik, kerana saya rasa pada malam ini, kita tentunya bola sepak menjadi salah satu tarikan yang kuat di kalangan anak muda. Tetapi sepak takraw telah mencatat prestasi yang membanggakan di peringkat region, rantau dan juga dunia, dan menarik semua, di bandar dan di desa – hampir setiap kampung dan desa ada pasukan dan permainan sepak takraw. Kita hidupkan kena ada kaitan dengan seni budaya kita, dan oleh itu saya setuju untuk menyegerakan kelulusan penubuhan Akademi Sepak Takraw. YB Hannah Yeoh minta RM6 juta tetapi saya hendak runding tengok kalau boleh potong sikit. Tetapi boleh diluluskan segera supaya boleh siap sebelum akhir tahun ini kalau cepat. Ini Kerajaan MADANI, Kerajaan bekerja.
- Saya tidak bermaksud untuk mengulangi pengumuman-pengumuman yang banyak. Sebahagiannya saudara Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah umumkan. Dia umumkan begitu banyak rancangan dan peruntukan Kerajaan kalau ikut kajian dan telitian Kementerian Kewangan, inilah peruntukan kepada Kementerian, kepada belia, paling tinggi dalam sejarah. Maknanya kita ini bukan sekadar ngomong- ngomong tidak, tetapi mengambil tindakan.
- Semalam atau dua hari yang lalu, kita ada sambutan TVET. Itu anak muda. Dulu, sukar diberi tarikan untuk anak-anak ke TVET, tetapi TVET sekarang menjadi perhatian. Semua pelaburan baharu dalam digital, dalam energy dalam Artificial intelligence (AI), data center memerlukan anak lulusan kejuruteraan dan juga TVET. Sekarang, jumlah pelajar-pelajar yang masuk aliran TVET sudah cecah hamper setengah juta, dan tahun ini permohonan untuk ke TVET sudah cecah 140,000 orang.
- Apa maknanya? Maknanya untuk perhatian pemimpin-pemimpin, baik pusat persekutuan dan juga negeri, penjawat awam, sektor swasta – kalau kita adakan dasar, perkenalkan dasar, ambil tindakan, beri ruang dan peluang, bukanlah masalah. Sambutan dari anak-anak muda begitu positif sekali. Saya bangga kerana sambutan anak-anak muda sangat positif di negara ini.
- Saya tanya syarikat-syarikat besar, paling akhir AMD. Sebelum itu Google, Microsoft, NVIDIA, Infineon – apabila masuk ke Malaysia tentunya katanya politiknya stabil, dasar-dasar dan ekonomi menarik. Tetapi yang diberi penekanan tanpa kecuali – mengapa pilih Malaysia dan tidak negara-negara lain? Jawapan mereka adalah kerana disiplin dan semangat pekerja-pekerja, terutama anak-anak muda pekerja di syarikat-syarikat tersebut. Jadi, peringatan kepada semua, merancang harus ingat faktor ini.
- Sebab itu, saudara-saudara tahu, tahun ini kita mulakan pelaksanaan Skim Perkhidmatan Penjawat Awam, menaikkan gaji. Kemudian semua syarikat-syarikat Kerajaan, GLICs, menaikkan gaji minima supaya sesuai dengan tuntutan sekarang. Ada syarikat-syarikat besar, untung ribuan juta ringgit tetapi gaji tetap rendah. Sebab itu kita bagi signal yang jelas – untung tinggi mesti diterjemahkan dengan kadar upah yang lebih baik kepada pekerja, terutama anak-anak muda.
- Ini hanya berlaku di bawah Kerajaan MADANI. Jadi sebab itu saya tekankan apa yang saya ungkapkan peringkat awal, apa maknanya yakin boleh? Yakin kerana keimanan kita, tekad kita, kekuatan semangat dan jati diri kita. Pancaran dari hati nurani kita. Yakin kerana pencerahan dan ilmu kita, tiada ada peralatan, tidak jadi alat sepak terajang oleh orang politik yang desperado. Tidak adu domba di antara kita.
- Tengok ini, anak Cina, anak Melayu, anak India, Iban, Kadazan, boleh bersama. Apa bapak-bapak, ibu-ibu, pemimpin politik tak dapat lihat ke? Apa mata kamu rabun ke? Saya lihat ini. Bila saya bersalam melihat mereka, dia tidak kata, “ohh salam kami, salam saya dulu, saya Melayu, Cina nanti dulu, India kejap lagi, belakang lagi? Tidak ada. Ini yang ditunjukkan oleh anak muda.
- Ada ketikanya di mana, orang-orang yang sudah lapuk politik, mereka yang bicara soal kaum, kaum, kaum. Tapi bila dia ada kuasa, tidak ada pula projek orang Melayu khas. Habis tanah-tanah naik tergadai. Tanah rizab Melayu pun tergadai bila berkuasa. Bila tidak ada kuasa, panggil anak muda hidupkan semangat Melayu dan ketuanan Melayu. Hah, jangan tertipu lagi. Negara ini mahu kita selamatkan. Negara ini Malaysia adalah negara hebat dan menentukan sama ada kita hebat masa depan atau tidak — anak muda.
- Jadi saya hanya datang. Izzat minta tambahan wang. Apa lah, bagi banyak, hendak bagi ke? (nada berseloroh). Eh, Kementerian Belia dan Sukan sudah bagi RM3 juta kepada belia anak desa yang lain, RM30 juta yang projek lain. Saya sudah baca, ada banyak. Tapi okeylah, kerana nampak semangat saudara-saudara, dari RM3 juta, kita naik jadi RM4 juta.
- Hari ini umpamanya pagi tadi, sambutan di bawah KESUMA, Kementerian Sumber Manusia, bawah Menteri Steven Sim Chee Keong. Anak muda juga. Untuk peluang pekerjaan. Petang — Hari Wartawan, HAWANA. Wartawan Malaysia semua, majlis saya pergi. Dua hari sudah, Hari TVET. Semua panggil saya dan minta peruntukan tambahan. Hari ini, Belia. Hannah dia simpati kepada saya, dia minta tidak banyak dalam ucapan, tapi bisik saya, dia minta RM6 juta untuk Akademi Sepak Takraw.
- Tapi kita boleh senang bagi, sebab apa? Sebab kita cermat. Tatakelola jaga. Jangan izinkan pemimpin sakau duit rakyat. Ini ambil bilion-bilion ringgit. Bila kita ambil tindakan, marah kita pula. Saya tanya anak-anak muda, apakah kita harus izin pemimpin rasuah? Apakah wajar kita ambil tindakan kepada perasuah dan ambil wang mereka untuk dicurahkan kepada rakyat? Haa, ini saya tahu jawapannya. Kerana anak muda ini punyai pencerahan, semangat dan yakin, dan ada ilmu dan gaya juang yang tinggi. Yakin!
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
