TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SUMBANGAN KASIH MADANI SEMPENA DEEPAVALI 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SUMBANGAN KASIH MADANI SEMPENA DEEPAVALI 2025
11 OKTOBER 2025 (SABTU) | 2.50 PETANG
DEWAN SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN
POI LAM, TAMBUN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah S.W.T. dapat bersama-sama kumpulkan anak-anak. Saya ucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa yang ikut serta, meraikan dan sebagai rakyat Malaysia, kali ini kita santuni semua anak-anak Melayu, Cina, India, Orang Asli ada.
Tapi kita juga ambil kesempatan untuk ucapkan Selamat Deepavali. Deepavali nan Valthukal! kepada saudara-saudara yang meraikannya.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;
Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh,
Timbalan Menteri Pendidikan;
Dan rakan-rakan semua yang hadir, Kementerian Pendidikan dan sekolah.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
- Yang dari tingkatan lima (5) ada? Oh ada. Jadi yang tingkatan 5 yang nak ambil SPM, saya doakan kejayaan dalam peperiksaan bulan depan. Kepada semua anak-anak yang ambil SPM saya doakan kelulusan cemerlang, Insya-Allah.
- Dan kepada anak-anak, kita kena ingat mengapa di Malaysia ini satu-satunya negara di dunia. Tak semua negara sambut seperti kita ini, Hari Raya Aidilfitri kita sambut, Tahun Baru Cina. Yang kita ucap Xin Nian Kuai Le, Xin Nian Hao, Xin Nian Meng Hao.
Deepavali kita sebut Deepavali Nal Vaalthukkal.
Kemudian di Sarawak, kita sebut Segulai Sejalai.
- Ini cara kita memuliakan budaya, menghormati masing-masing bahasa dan budaya. Kerana ini cara kita ikat perpaduan di kalangan kita. Malaysia ini negara pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya. Anak-anak tahu ini, pelajar Melayu ada, pelajar Cina ada, pelajar India, pelajar Orang Asli ada tetapi boleh bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia!
- Dan ini tidak sedikit pun mengikis semangat bangsa kita atau agama kita. Cuma dari segi negara, semangat Perpaduan itu penting. Jadi saya sebut juga, dalam kerajaan MADANI ini, kita tekankan bidang pendidikan.
- Tadi, saudara Menteri KPKT, YB Nga Kor Ming, sebut tentang peruntukan yang besar. Banyak negara lain tumpu kepada pertahanan, alat ketenteraan sebagai dasar utama. Kita di Malaysia tumpukan pendidikan sebagai keutamaan dalam belanjawan negara. Belanja paling tinggi ialah di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
- Sebab apa? Sebab masa depan negara ini terletak di kalangan anak-anak. Kalau nak tahu Malaysia bagaimana masa depannya, lihat anak-anak. Kalau dia rajin, dia ada disiplin, akhlaknya baik, budi pekertinya baik, semangat perpaduan ada, kerja dia rajin, budaya yang dihidupkan itu baik Insya-Allah, masa depan kita baik.
- Jadi sebab itu penting jaga hubungan perpaduan. Kita telah umum, kita akan mengadakan Rang Undang-undang Anti-Buli. Ini pun saya bagi saya sangat sedih. Apa sebab saudara masuk sekolah?
- Belajar apa? Bahasa, Matematik, Sejarah dan sebagainya. Baik. Untuk jadi apa? Untuk jadi manusia yang baik. Untuk jaga akhlak? Apa yang diajar dari ibu bapa? Manusia yang baik. Apa yang menyebabkan guru-guru penuh dedikasi? Untuk jayakan anak-anak. Jadi bagaimana boleh kita biarkan, orang dihina, orang dibuli, orang didera. Jadi, saya harap anak-anak di sekolah-sekolah Tambun ini, di Perak Darul Ridzuan, kita bagi contoh yang baik. Hebat kita bukan samseng kita. Hebat kita kerana baik kita dan ilmu kita. Hebat kita kerana kejayaan kita dan budi pekerti kita.
- Jadi saya harap ini mesej yang penting. Bagi pihak kerajaan yang juga saya selaku Ahli Parlimen Tambun, kita akan lakukan apa yang mampu untuk baiki kemudahan, sekolah dan bantuan. Jadi hari ini Malaysia, Malaysia sahaja Hari Raya, kita tolong semua. Kalau ada bonus, sempena Hari Raya, kita bagi semua. Yang puasa, yang tak puasa maknanya, orang Cina, India, sama-sama sambut Hari Raya. Hari itu, masa kita sambut, Gong Xi Fa Cai, kita bagi makan, bagi kemudahan, bagi bantuan kepada semua, Cina, Melayu, India dan lain-lain.
- Hari ini, semangat Deepavali, kita akan bantu, kita bantu semua. Ini yang special di Malaysia. Mana ada negara Deepavali, India dapat okey, ini Melayu pun dapat, Cina pun dapat. Only in Malaysia, kita beri. Why? Mengapa? ‘Weishenme?’ Sebab kita perlu jaga kepentingan semua kaum dalam negara kita.
- Jadi hari ini sekali lagi saya ingin saya ucapkan kepada anak-anak semua salam jari ibu bapa, berkawan dengan semua, baik yang Melayu, Cina, India. Remember, mesti hormat. Dan kali ini kita nak sambut Deepavali dan kita orang Melayu, orang Cina juga sama-sama hormat masyarakat India dengan mengucapkan selamat menyambut Deepavali ataupun ‘Deepavali Nal Vaathukkal.’ Okey. Terima kasih.
- Saya nak akhiri dengan mengharapkan anak-anak jangan lupa jaga ibu bapa, muliakan mereka dengar nasihat mereka dan jaga guru-guru. Guru-guru jasa besar sekali. Hari ini Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri, saya Perdana Menteri. Tetapi kita jadi ini, jadi seperti kita kerana ibu bapa kita, kerana guru-guru kita.
Terima kasih, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
