TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN KEBANGSAAN (HPPNK) 2025 “KUDRAT KAMIN MENJAMIN PERTIWI”
TEKS UCAPAN
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN KEBANGSAAN (HPPNK) 2025
TEMA HPPNK 2025: KUDRAT KAMI MENJAMIN PERTIWI
3 OGOS 2025 (AHAD) | 9.00 PAGI
SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC),
KOTA KINABALU, SABAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery G. Kitingan,
Timbalan Ketua Menteri 1, Menteri Pertanian, Perikanan dan
Industri Makanan Negeri Sabah;
Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup,
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
Yang Berhormat Ahli-ahli Jemaah Menteri Persekutuan dan
Negeri Sabah;
Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdullilah kita dapat bersama-sama. Saya ucap tahniah. Kalau saya ingat di Bau 1995, di mana saya hadir di Likas dan lihat perkembangan hari ini, saya ucap tahniah kepada YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang menghidupkan semangat petani, peladang, penternak dan nelayan dengan begitu menyakinan. Keadaan berubah, teknologi berubah dan tentunya kejayaan kita dapat kita saksikan. Memang sepertimana saya rungkai dalam RMK13, tekanan import terlalu tinggi mencecah lebih RM50 bilion ringgit.
- Tetapi sepertimana yang disinggung oleh kedua-dua saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu dan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji sebentar tadi, memang langkah-langkah yang diambil itu sangat berkesan. Kita import cili, bawang dan baru-baru ini disebut avokado. Itu menyebabkan kita menumpukan perhatian menghasilkan dan kita kelihatan berjaya. Saya tidak bayangkan selaku bekas Menteri Pertanian dulu begitu lama dan berhubung kait dengan peladang melalui NAFAS, NIKMAT dan juga pertubuhan-pertubuhan. Saya tidak fikir keupayaan kita menghasilkan bawang begitu tinggi. Tetapi kerana ketekunan dan kesungguhan rakan-rakan di kementerian dan penyelidikan oleh MARDI, tindakan oleh Jabatan Pertanian dan pengedaran oleh FAMA umpamanya bekerja sebagai satu pasukan. Tanah oleh negeri, penyelarasan oleh jabatan-jabatan di negeri. Itu menyebabkan hal-hal yang tidak terjangkau dapat kita hasilkan.
- Siapa yang boleh fikir kemungkinan Malaysia melalui tanah subur Sabah dan kerjasama Kerajaan Negeri menghasilkan avokado. Satu makanan atau buah yang menarik perhatian dan peningkatan permintaan yang tinggi dan sekarang ini hasilnya berkesan. Jadi ini menunjukkan bahawa kalau kita fokus dalam bidang kita, beri tumpuan, Kerajaan Negeri dengan segala kekuatannya, Kerajaan Persekutuan dengan komitmennya, kita mampu. Ini hebatnya Sabah dan Malaysia kita mampu lakukan.
- Sebab itu kita kata dalam dunia politik, pentadbiran dan ekonomi harus fokus. Kita boleh bicara panjang tapi kalau kita tidak fokus tumpu kerja, kita tidak boleh hasilkan. Dan bila kita tunjukkan keupayaan kita, kita boleh buat sesuatu yang tidak terjangkau sebelumnya. Sejak dua (2) tahun, terutama tahun lalu, YAB Ketua Menteri, saudara Datuk Seri Panglima Haji Hajiji berulang kali menyebut kepada saya Ekonomi Biru. Saya tahu Ekonomi Biru tetapi saya lihat Sabah itu begitu komited dan kita menangkap pemikiran ini dan mencari jalan bagaimana boleh dengan kerjasama kesepakatan Persekutuan dan Negeri kita cari jalan kerana ini menghasilkan kekuatan. Pertamanya, nelayan, pertanian, tenaga solar, tenaga hijau dari laut, darat dan udara. Ini kekuatan atas pemikiran dan penekanan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saudara YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji. Jadi saya ucap tahniah. Dan sekarang kita jadikan ini fokus dalam RMK13, Malaysia seluruhnya ambil ini sebagai salah satu pendekatan penting.
- Maknanya, anjakkan ini berlaku kerana tumpuan dan fokus kita. Dan keduanya, kerana kerjasama yang erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Bukan untuk bersaing merebut apa-apa. Pimpinan Kerajaan Persekutuan sekarang itu diletakkan syarat. Tidak boleh ambil kepentingan. Apakah tanah, balak dan saham dari negeri. Kita datang untuk khidmat kepada negeri. Tidak timbul apa-apa perbalahan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dan ini yang kita lakukan saudara-saudara.
- Saya sebut Ekonomi Biru ini kerana walaupun ia disebut sebagai international program dan national program tetapi atas keputusan kepimpinan Sabahlah yang menyebabkan Kerajaan Persekutuan dan keseluruhannya ambil ini sebagai salah satu dari prakasa baru untuk kita beri penekanan. Ini ertinya apa? Ertinya, untuk kelangsungan kita, untuk kebajikan petani, penternak, nelayan dan peladang. Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu harus lebih erat lagi dan ini yang kita hendak pertahankan untuk masa depan.
Saudara-saudari yang dimuliakan,
- Dalam pergelutan mutakhir ini tentu banyak perkara yang dilontarkan kepada rakyat, kerana rakyat dari semasa ke semasa akan membuat pilihan. Tetapi saya ingin menggesa. Kita buat pilihan atas dasar fakta bukan atas rekayasa, bukan atas dasar fitnah dan maki hamun. Kita boleh kumpulkan ribu orang. Siapapun yang ada dana, boleh kumpul ribu orang. Kita boleh kumpul untuk memberi penerangan, angkat martabat mereka, berikan hasil pertemuan supaya mereka dapat tambah usaha membawa perubahan menjamin kelangsungan dan kebajikan hidup keluarga mereka atau kita hanya tingkatkan suhu kepanasan. Orang marah, benci tapi tidak ada apa-apa hasli. Sebab itu saya selalu jadikan ini sebagai suatu tema dalam pemerintahan. Orang yang ada kuasa, baik Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri gunakan kuasa semasa mereka berkuasa untuk beri kebajikan kepada rakyat.
- Jangan umpamanya setelah jatuh, setelah tidak lagi berkuasa, setelah bersara atau setelah kalah, berleter berpanjang-panjang. Marah sana, marah sini, bebal sana bebal sini. Masa kamu kuasa, masa itu harus buat. Jadi orang tanya, “Anwar kamu sekarang diberi amanah untuk memimpin”, Saudara Datuk Seri Panglima Haji Hajiji di Sabah kita harus terangkan apa yang kita lakukan. Jadi orang-orang yang menjerit ini, bidang pertanian, perladangan, apa-apa pun kekurangan di Sabah, kita hendak tanya, pertama, semasa kamu berkuasa apa yang kamu luluskan? apa yang kamu lakukan? Orang yang dengar ini harus berfikir. Tengok orang yang bicara itu, dia bicara dari hati atau kemarahan atau gila kuasa. Kalau dia bicara soal fakta kita dengar dan kita nilai. Baru boleh selamatkan negara ini. Saya beri contoh umpamanya, hal-hal yang penting kita fikir kerana orang yang bicara itu berkuasa.
- Di Persekutuan pada tahun 2021 dan 2022, peruntukan sejak kita pegang kuasa Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor saya nak bersaudara sahaja, tapi saudara panggil saya Datuk Seri Utama saya panggil saudara Hajiji okey (berseloroh). Dari 2021 masa mereka berkuasa, berbanding ketimbang 2025 kita naikkan peruntukan bagi Sabah itu mencecah RM16 bilion ringgit bukan kecil kerana apa orang uji tanya masa kita kuasa apa kita buat? Kita tambah peruntukan untuk Sabah. Pemberian khas pada tahun 2022 semasa mereka berkuasa yang pergi ke Tawau marah-marah ini berapakah mereka beri kepada Sabah? RM125.6 juta. Kita ada kuasa sekarang, berapa kita tambah? RM600 juta ringgit.
- Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B sudah dimuktamadkan tender di bawah Kerajaan MADANI. Jajaran 350 km berapa jumlahnya? Yang ditanggung oleh Kerajaan sebelum ini tertangguh. Maknanya tidak diteruskan dan kita teruskan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, berapa jumlahnya? RM10 bilion ringgit. Katanya belum nampak belum siap ya belum siap. Tapi sekurangnya kita dah luluskan dan pakej telah berjalan.
- Tenaga elektrik dulu sepenuhnya bawah Kerajaan Persekutuan. Bila kita serahkan? bukan masa mereka yang kita serahkan, dalam perundingan kita. Kerajaan Negeri kita serahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah. Termasuk pemberian subsidi berterusan selama 7 tahun. Kita serah ada 7 tahun sampai 2030 dan kita tambah meneruskan subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebanyak RM3.54 bilion ringgit. Itu Kerajaan MADANI sekarang yang ambil keputusan itu.
- Dulu semua projek Kerajaan Persekutuan Kerajaan Persekutuan yang lakukan. Tetapi kerana semangat MA63 kita kata tidak, ada hal-hal yang boleh diuruskan oleh negeri kita serah kepada negeri. Jadi mana-mana projek bawah RM50 juta serah kepada JKR Sabah di bawah kelolaan Kerajaan Negeri. Bekalan air memang tidak selesai sampai sekarang. Tapi apa bezanya? masa kamu perintah dulu hampir tidak ada peruntukan untuk air untuk 2023 sahaja, tanya saudara Ketua Menteri Timbalan Ketua Menteri dan rakan-rakan ada kita tambah RM300 juta ringgit untuk bekalan air.
- Ada katakan ya belum siap itu turut minta percepatkan projek. Tetapi yang penting ini ialah pelaksanaan kata-kata kerana ini melibatkan kehidupan penternak, nelayan. Bila saya sebut ini semua melibatkan kehidupan dan kepentingan mereka. Di Kuala Lumpur ada Pusat Jantung, di Kuching ada. Maka kita telah luluskan supaya pusat jantung itu tidak semestinya di Kuala Lumpur. Kita ada tiga (3) yang utama, baik di Semenanjung, di Sabah dan sekarang ini pusat jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth. Ada yang lain-lain saya tidak boleh baca semua, tapi saya hendak menyebutkan kerana hal ini terus dibangkitkan termasuk pertikaian tentang peruntukan. Jadi saya hendak minta Kementerian Kewangan cerakin sepenuhnya.
- Yang saya nak tekankan di sini supaya saudara-saudara, percayalah Sabah maju itu Malaysia maju. Sarawak sekarang menjadi salah satu energy hub penting di negara kita. Itu sebahagian daripada kita. Di mana-mana saya pergi di dunia saya sebut selain daripada ASEAN energy hub dari Vietnam ke Kelantan turun Gerik sampai ke Singapura. Kita sebut dari Sarawak ke Semenanjung Sarawak ke Sabah ke selatan Filipina, Sarawak ke Indonesia. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor bersama saya dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto dan Jemaah Menteri dia. Saya tanya dulu dalam rundingan-rundingan antarabangsa, apa Perdana Menteri panggil wakil-wakil negeri untuk bincang bersama? Ini kita lakukan dalam Kerajaan MADANI kerana untuk memutuskan sempadan mesti melibatkan Kerajaan-kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Sabah.
- Tapi ini tidak menggantikan soal fitnah, sebab tu saya fikir lebih baik Ketua Menteri dengar sendiri kemukakan pandangan dan apa yang dibicarakan dia sebut Ambalat kita, sebut laut sulawesi. Ada yang buat tohmahan di Parlimen menyatakan “wah sudah selesai”. Ini soal hubungan dua negara, Indonesia itu negara sahabat. Presiden Prabowo Subianto itu sahabat peribadi saya sahabat keluarga. Saya mahu hubungan itu baik. Selesai masalah sempadan dengan Sarawak. Dulu sukar bawa barangan ke pelabuhan sekarang dengan mesyuarat itu selesai.
- Dibicarakan soal laut Sulawesi dan saya beritahu depan saudara Hajiji kita kena bincang parameter ikut undang-undang, ikut UNCLOS 1982, ikut antecedent sejarah dan mesti dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah dan akhirnya Dewan Undangan Negeri. Itu yang kita putuskan di hadapan ini minit mesyuarat rasmi bukan celoteh-celoteh tipu-tipu di bawah ini. Jadi saudara, saya hendak pertahankan prinsip ini. Kerana ini dijadikan bahan dan orang tanya ini Hari Penternak. Saya pilih untuk jawab kerana saya mewakili Kerajaan Persekutuan pertahankan hak negeri Sabah, satu inci pun tidak kita akan korbankan. Ini negara kita. Tahu kita bergelut kita belanja puluhan juta ringgit. Mungkin mencecah RM1 juta, satu dunia pertahankan hak Sabah, tak benarkan satu inci pun laut atau darat dari diceroboh oleh sesiapa atau dituntut oleh sesiapa.
- Di mahkamah Sepanyol, mahkamah Spain kita lawan maksima untuk pertahankan hak Sabah kerana hubungan kita Persekutuan dengan Sabah ini Sabah sebahagian dari Malaysia. Dan mengapa kita lakukan ini? Kerana ini negara kita. Begitu juga keluar sempadan dengan Indonesia. Tapi saya pilih kita berunding dengan sahabat. Bukannya kita menyerah tetapi kita berunding cara baik. Kemudiaan ada suara-suara oh Anwar setuju pada dasarnya tentang kemungkinan Petronas dan Pertamina mengadakan projek bersama ke dasar laut. Itu dengar bagi habis kalau minyak itu di bawah sebahagian sempadan Malaysia, sebahagian sempadan di bawah milik Indonesia itu harus diambil dengan kerjasama kedua-dua negara.
- Walaupun katalah minyak kita korek dari tanah Sabah. Minyak di bawah itu menjalar ke tanah Indonesia. Sebab itu kerjasama itu harus ada. Itu pun diserang, bukan kita serah apa – apa. Tahu tak minyak atas itu paip dari negeri Sabah minyak di bawah dasar lautan itu dia telaga termasuk negeri yang lain, kita kerjasama bidang itu. Itu pun tertakluk kepada perundingan seterusnya. Ini yang kita lakukan dengan Joint Development Authority dengan Vietnam, dengan Thailand. Jadi saya nak jelaskan di sini ramai anak-anak rakan-rakan dari Sabah supaya jangan tertipu dalam keadaan pergelutan yang tidak akan menguntungkan sesiapa. Tetapi soalan saya yang penting masa kamu kuasa, masa kamu ada kuasa, mengapa kamu tidak ambil langkah tambahan membantu penternak, peladang, nelayan di negeri Sabah dan sekarang kamu janji akan lakukan? itu soalan saya yang penting. Ni masa kuasa, kalau datang mungkin minta tolong, minta tanah, minta saham. Tetapi bila hilang kuasa, kamu menyerang cara yang tidak adil.
- Bukan saya nak ambil kesempatan hanya nak pertahankan Datuk Seri Hajiji dan untuk pasukan. Kalau yang kata ada salah, kita salah biar SPRM siasat. Dakwa, dakwa, oh tak boleh sebab saya nak orang ini dakwa, bukan kerja saya. Ada bukti, ambil tindakan. Ada satu kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan diserang. Apa nak jadi negara kita ini? Oh! anak orang itu ada, anak orang itu. Saudara-saudari, kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati itu tanggungjawab kita bersama untuk cari. Bukan tuduh sesiapa. Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid, Menteri Dalam Negeri, saya kata “buat siasatan segera mungkin, cari segala fakta.” Dan mereka selesaikan. Dia kata sudah 60 orang telah diambil keterangan. Dan ini kita kena harus ingat, negara ini negara hukum bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa Tan Sri, Datuk Seri, Menteri kalau terlibat dalam jenayah pembunuhan ataupun sokong tidak akan diberi perlindungan. Tetapi jangan fitnah, anak Menteri, saudara Timbalan Perdana Menteri ataupun saudara Timbalan Ketua Menteri, ini apa dah jadi?
- Jadi saya nak jelaskan ini dan saya mohon maaf kalau saya gunakan majlis ini sebab kita nak tumpu sekarang dalam hal-hal yang beri manfaat. Sekarang Polis telah serah laporan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara. Semalam setelah Majlis Musabaqah Al-Quran, saya panggil Peguam Negara tanya, dia kata, “ya, hari Isnin kita dapat”, tapi saya tidak campur. Saya tanya supaya kerana rakyat mahu tahu.
- Saudara, sekali lagi saya nak tekankan, nasib petani, nelayan diberi perhatian dan dalam ucapan tadi ditekankan tambahan peruntukan Pengukuhan Keterjaminan Makanan RM32.2 juta pelaksanaan di bawah program pengukuhan keterjaminan makanan di negeri Sabah. Dan Rancangan Malaysia Kedua Belas sahaja setengah bilion yang telah diluluskan dan kita tengok hasil keberkesanan pelaksanaannya. 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menaungi 842 unit peladang, 64,108 ahli peladang. Jumlahnya bukan kecil, sebab itu dia harus diberikan beberapa ruang melalui kegiatan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
- Saya nak sebut di sini, seluruh jentera kita tumpu tanah subur dan kita sebut sekarang Ekonomi Biru Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) ambil kira dan tekan. Saya nak minta saudara-saudara, ya pilihan raya akan diadakan tahun ini. Itu soal pilihan raya. Tetapi bagi kita rakyat, tumpu kita angkat nama Malaysia ini harum sekarang, alhamdulillah. Orang kata sebab PM Anwar, tidak. Sebab negara kita, sebab jentera kita.
- Jadi bila ada umpamanya peperangan, hampir ada peperangan di sempadan Cambodia dan Thailand baru-baru ini. Berbagai usaha, saya menelefon cari jalan, Presiden Trump, Presiden Xi Jinping, China. Nampak masih buntu. Akhirnya saya minta runding, dia kata okey. Perdana Menteri kedua-duanya setuju datang ke Kuala Lumpur. Bayangkan, dia bagi kepercayaan kepada kita. Bukan sebab satu dua orang, sebab seluruh jentera. Dia yakin politiknya stabil, ekonominya meningkat dan sikap kita berbaik dengan semua, baik dengan Amerika kerana pelaburan dari Amerika masih terlalu tinggi. Eksport kita ke Amerika, E&E, semikonduktor, satu tahun RM200 bilion ringgit itu eksport hanya semikonduktor ke Amerika Syarikat. Jadi kita berbaik dengan mereka. Negara China kita baik. Jadi Cambodia dengan Thailand dia ada keyakinan dia datang. Dan alhamdulillah, walaupun kita bekerja sebelum itu berbelas kali telefon, pergi balik, pergi balik Menteri Luar dengan Menteri Luar, saya dengan Perdana Menteri dan mereka setuju. Bayangkan. Dia setuju di Kuala Lumpur, pertama kali kita dapat damaikan peperangan dua negara di Kuala Lumpur. Alhamdulillah.
- Esok, Jeneral-Jeneral Menteri Pertahanan akan datang berunding daripada 4 sehingga 7 Ogos. Supaya teliti, cerakin, apa bidang yang harus disepakati. Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat telefon saya pagi Isnin 6.50 pagi. Pertama kali dia sebut, “Prime Minister Anwar, fantastic job! Thank you for helping to resolve this conflict.” Siapa Presiden Amerika Syarikat? Siapa Malaysia? Dulu tak masuk perkiraan mereka. Jadi Jerman, Presiden Jerman, Presiden Perancis, seluruh negara-negara ASEAN, Bapak Prabowo sebut depan saudara Ketua Menteri Hajiji, dia kata, “Thank you. We are proud. Kita bangga sebagai negara sahabat, kejayaan Malaysia menyelesaikan peperangan di antara dua Negara ASEAN.”
- Alhamdulillah saudara-saudara, sebab apa? Sebab politik kita stabil. Ekonomi kita membangun. Dalam rundingan kita soal tarif dengan Amerika Syarikat yang melibatkan juga soal pertanian. Kita hendak pertahankan kepentingan kita. Ya kita setuju dalam banyak hal termasuk beli pesawat. Orang serang kita beli pesawat, kita kena beli dari mana? Nak beli di mana? Dia sama ada Boeing Amerika atau Airbus Perancis atau yang kecil-kecil lain. Jadi kita itu dua pilihan, Malaysia Airlines (MAS) Malaysia Aviation Group (MAG) sejak dua tahun lalu berunding, MAS sekarang sudah diurus dengan lebih baik. Pertama kali tahun lalu, catat untung. Sebab kita tak sakau, kita tegaskan urusan mesti baik. Jadi MAS putuskan nak beli 30 Boeing dari Amerika dan beberapa lain Airbus untuk yang besar dari Perancis. Signed dah empat lima bulan yang lalu. Tapi kita meterai bila Trump Tanya, kita kata yalah kita akan beli Boeing dari Amerika Syarikat.
- Jadi kurangkan. Yang lain lagi kita tak bagi, Dasar Ekonomi Bumiputera kita tak tukar. Sijil halal satu dua kalau syarikat kalau Badan Halal di Amerika itu seperti mana yang pernah tatkala saya mengajar di Washington DC, saya tinggal di Virginia Reston. Imam Masjid yang mengetuai di situ dalam Jawatankuasa Halal, dia seorang Profesor Muslim asal Mesir. Dia Professor Public Health, Harvard University. Pakar rujuknya Chef Taha Jabir al-Alwani, ustaz usul fiqh yang tersohor. Jadi kalau dia begitu, tak payah lah kita hantar team pergi check. Itu pun kita tengok kita serah kepada mereka. Kita bukan serah Presiden Trump, yang halal kita serah kepada ustaz usul fiqh terkemuka dunia pada masa itu dan Profesor Harvard Public Health. Itu pun tak reti ke? Dia nak pakai serang saja. Tapi yang lain mesti ikut sijil halal JAKIM. Jadi walaupun kita tak bagi kelonggaran seperti mana yang diberi oleh banyak negara-negara sahabat kita, alhamdulillah, dari 25% tarif diturunkan ke 19% kejayaan Malaysia sekali lagi.
- Jadi saudara-saudari yang dihormati sekalian. Saya memilih ruang ini untuk memberi penjelasan kerana ini ada kaitan dengan kehidupan kita. Kalau tarif yang tinggi ingat, eksport kita 60% daripada seluruh E&E, semikonduktor Malaysia yang dieksport ke Amerika Syarikat. Kalau naik tarifnya jejas pekerjaan puluh ribu orang. Jadi semikonduktor dikecualikan zero tariff. Jadi eksport tanpa apa-apa tekanan. Tapi sikap kita tegas, sikap kita, kita kata, saya beritahu kepada Presiden Trump, “ President we are a trading nation, we believe in free trade.” Saya bukan seperti sesetengah orang, “dear Mr President, I’m sorry.” takda takda. I represent Malaysia. Rakyat Malaysia ini bangga, merdeka dan berdaulat dan tidak tunduk kepada sesiapa. Ini semangat yang ada di Sabah dan di negara kita.
- Sebab itu dalam soal Gaza, saya tahu ada beberapa kelompok di Sabah yang timbulkan kekeliruan. Kita soal hak asasi, pembunuhan mana saja kita tidak setuju. Anak sekolah mati pun kita siasat sepenuhnya. Apa lagi puluhan ribu orang mati kebuluran, kita nak diam? Agama apa yang kita pegang dan anuti? Pendirian apa kita? Anak itu, anak India di estet, anak itu kita jaga seperti anak kita. Anak Kadazan yang kena naik pokok, pasal connectivity, itu kita anggap sebagai masalah kita. Kita cuba selesaikan, connectivity. Beritahu Fahmi, beritahu MCMC, bagi connectivity kepada semua universiti.
- Saudara percayalah, untuk jayakan negara kita, “Let’s work together”. Kalau nak angkat martabat, demi Sabah dan negeri Malaysia seluruhnya. Mari kita kerjasama kukuh, beri laluan dan angkat bersama kepentingan negara kita. Ini sahaja rayuan saya. Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan hari ini, peladang, penternak dan nelayan core majority rakyat kita. Mereka memerlukan negara yang aman, mereka perlukan Kerajaan yang stabil, mereka memerlukan kerjasama yang utuh di antara Persekutuan dan Negeri. Kerana negeri tidak boleh bekerja berasingan. Persekutuan tidak boleh berasingan. Lebih baik kerjasama kita, lebih baik untuk rakyat. Mudah-mudahan Allah perkenan usaha kita semua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
