TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN LEBUHRAYA LEMBAH KLANG TIMUR (EKVE) SEKSYEN 1 PERSIMPANGAN BERTINGKAT SG. LONG – PERSIMPANGAN BERTINGKAT AMPANG
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN
LEBUHRAYA LEMBAH KLANG TIMUR (EKVE)
SEKSYEN 1: PERSIMPANGAN BERTINGKAT SG. LONG – PERSIMPANGAN BERTINGKAT AMPANG
29 OGOS 2025 (JUMAAT) | 3:00 PETANG
LEBUH RAYA LEMBAH KLANG TIMUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Saudara Dato’ Seri Amirudin bin Shari,
Menteri Besar Selangor;
Saudara saya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi,
Menteri Kerja Raya;
Rakan-rakan;
Para tetamu;
Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;
Saudara Dato’ Sri Wan Zakaria bin Wan Haji Muda dan seluruh keluarga syarikat dan semua yang bertanggungjawab menyelesaikan.
- Ada dua hal mukaddimah saya hendak sentuh. Pertama, dia selesaikan masalah Sungai Long. Jangan orang kata sebab ini projek dekat rumah Perdana Menteri — tidak betul. Projek ini sudah mula, patut siap 2019. Saya pindah ke Sungai Long 2020. Ingatkan siap 2021, rupanya 2025 baru siap, alhamdulillah. Biar lambat, asal selamat.
- Dan yang kedua, oleh kerana kita ini di bulan kemerdekaan, dan seterusnya 16 September Hari Malaysia. Saya yang mungkin sebahagian saudara tidak tahu, Alexandre Nanta Linggi ini sebenarnya dari keluarga yang sebenarnya membantu membentuk Malaysia, kemerdekaan Malaysia, penubuhan Malaysia, kerana dia ini cucu kepada Temenggung Jugah. Jadi saya tanya tadi, ramai yang tidak tahu. Tapi ini orang-orang, tokoh-tokoh besar negara, yang punyai jasa dan wawasan. Dia lihat masa depan Sarawak atau Sabah atau negeri-negeri Semenanjung ialah dengan membina kekuatan. Kekuatan untuk menentukan negara ini aman, bebas.
- Dia sudah fikir, ditubuh, dibentuk Malaysia itu dalam keadaan persaingan hebat antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan Soviet Union, dan kawasan Laut China Selatan, rantau Kepulauan Melayu dan ASEAN ini, kawasan atau rantau di mana kuasa-kuasa bergelut untuk mencari pengaruh. Jadi bapak-bapak kita tentu pada masa itu, Alex ya, nenek dia bukan masuk ke universiti, bukan punyai maknanya PhD dan kepintaran dari segi ilmu yang banyak. Tetapi punyai wawasan.
- Pertama, kecintaan kepada negara, kepada rakyatnya, sama ada Iban atau Dayak dan rakan-rakannya di Sarawak, dan kecintaan kepada negara keseluruhannya. Bina kekuatan. Dan keduanya yang mengagumkan saya sebagai generasi penerus, ialah kehebatan bapak-bapak, ibu-ibu kita dengan wawasan masa depannya, bagaimana jamin keamanan, kebahagiaan anak cucu cicitnya.
- Jadi untuk itu, kita yang diminta apa? Jaga keamanan. Jaga perpaduan. Tadi dalam khutbah-khutbah seluruh Selangor, itu ditekankan perpaduan. Bekerjasama untuk bawa kebaikan, wata’awanu alal birri wattaqwa, Wala Ta Awanu Alal Itsmi Wal Udwan, dan jangan kita membawa kepada kejahatan dan perpecahan. Itu saja yang diminta, bekerja sebagai satu pasukan.
- Daripada awal merdeka, 1957 dan Malaysia, 1963. Semua kita, semua bapak-bapak, ibu-ibu kita tahu, negara ini itu induknya Melayu bumiputera. Tapi beri tempat dan ruang keluarga bersama, Cina, India, dan semua suku-suku kaum lain di Sabah, di Sarawak.
- Jadi jangan pertikai hal itu sekarang. Kita merdeka dengan janji keramat itu, dan kita harus setia untuk laksanakan dengan sebaik mungkin. Itu sahaja yang diminta dari kita.
- Tandanya, kibarkan Jalur Gemilang. Jadi, bagi rakan-rakan, saya harap pejabat kalau tidak ada bendera jaga, itu saja yang diminta, tunjuk bahawa ada signifikan, ada tanda di mana kita semua bersama, dari semua kaum, semua peringkat umur, semua parti, memuliakan Jalur Gemilang.
- Jadi saya harap, syarikat-syarikat swasta walaupun hanya beberapa hari, tapi dia terus sampai Hari Malaysia. Jadi ada masa, dari hari ini sehingga 16 September dan seterusnya untuk Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Jadi saya harap kibarkan di rumah, di pejabat, dan di pusat-pusat perniagaan, dan di pejabat syarikat.
- Oleh itu, saya ambil kesempatan ini juga untuk ucap terima kasih, kerana hari ini kita lihat ada kejayaan, walaupun dia tertangguh, dan kita tengok ada kemajuannya selepas beberapa masalah yang dihadapi. Itu pengajaran juga. Syarikat-syarikat juga ada bertanggungjawab, kerana yang dia marah bukan sahaja syarikat, dia marah itu Kerajaan.
- Masa saya pergi Sungai Long, dia tidak marah saya lagi sebab saya pembangkang. Sebaik sahaja saya jadi Perdana Menteri, jumpa saja, “PM, bila siap ini?” Bukan kerja aku nak siapkan jalan, saya hanya pantau (nada berseloroh). Jadi saya pun tanya Alex, cepat Alex. Alex pun tekan dia kepada Wan Zakaria. Wan Zakaria tekan lagi WZR. Jadi itulah kerja dia. Tapi alhamdulillah, yang penting selesai dan AKZB ini seperti mana saudara tahu, syarikat ini sebenarnya punyai sejarah juga, kerana semasa saya Menteri Kewangan. Sebelumnya disebut tadi oleh Wan Zakaria, Ahmad Zaki Resources Berhad ini. Kita cuba bagi peluang memayungi projek-projek supaya kita angkat beberapa syarikat bumiputera supaya dapat memainkan peranan dalam negara kita.
- Dasar ini kita teruskan, cuma kita harap kita jalankan amanah itu, belajar dari pengalaman-pengalaman dan kelemahan-kelemahan lalu, dan perbaiki.
- Dan dari segi Kerajaan, saya hendak bagi jaminan kepada Menteri Kerja Raya tahu sikap saya dalam hal ini, betul dalam hal-hal lain kita bagi tender, mana-mana syarikat boleh menang. Tapi ada beberapa projek tertentu yang kita mahu syarikat-syarikat bumiputera juga punya peranan. Jadi Ahmad Zaki AZRB ini, punyai peranan dan punyai kepakaran, kemahiran, dan pengalaman yang dibina, latihan anak muda yang lain supaya dapat meneruskan projek-projek ini walaupun dalam projek ini dilaksanakan melalui bersama dengan WZR.
Saudara-saudari,
- Ia melegakan. Projek-projek jalan ditentukan oleh Lembaga Lebuhraya dan juga JKR. Itu menentukan beberapa keutamaan. Kadang-kadang kalau Kuala Lumpur ini dan Bandaraya umumnya, itu terlalu tertekan dengan kesesakan yang luar biasa. Saya tadi di masjid, dari Masjid Kinrara, hendak pergi dari pejabat di Putrajaya selepas mesyuarat Jemaah Menteri, sesak luar biasa. Hendak datang balik, luar biasa.
- Minggu lalu untuk perhimpunan Kementerian Kewangan, saya dengan outrider segala macam itu pun terlambat 10 minit, sebab kesesakan itu saya ingat tidak dapat ditembusi jalan, maknanya projek-projek itu harus disegerakan ikut jadual walaupun dia menelan belanja dan kos yang tinggi.
- Kalau ditanya, perbelanjaan paling tinggi di negara kita selain daripada peruntukan pendidikan, kesihatan, kalau keseluruhannya adalah bidang kerja raya dan pengangkutan. Kita mahu kereta api lebih cekap, lebih laju, dan lebih banyak coaches. Kita mahu pesawat, pesanan baru dari Boeing, dari Airbus, puluhan, kerana Malaysia sudah jadi destinasi pelancongan yang tinggi.
- Maknanya, penduduk, keperluan itu bukan lagi keperluan anak tempatan, tapi keperluan anak tempatan bersama dengan jumlah pelancong yang tinggi yang mencecah lebih dari 130% peningkatannya dari tahun lalu. Dan kesesakan sudah sampai tahap maksima. Semua lapangan terbang harus diperkemas dan diperbesarkan, dari Tawau ke Kota Kinabalu ke Kuching ke Pulau Pinang ke Kota Bharu, semua harus dibesarkan kerana tuntutan itu lebih.
- Jadi, balik kepada soal Kerja Raya ini, saya ucap sekali lagi terima kasih kepada menterinya, KSU, dan semua yang dapat memantau serta memastikan projek-projek berjalan dengan baik, mengikut jadual dan pengawasan supaya mutu projek itu memenuhi matlamat asal kita. Jadi bukan sahaja kita nak cepat, tapi mutu pembangunan itu sangat penting.
- Pagi tadi umpamanya, kita bincang di Jemaah Menteri tentang perumahan, kita mahu cepat, kita mahu buktikan bahawa kecaman-kecaman pembangkang itu tidak masuk akal, tidak munasabah, nak bangunkan tidak boleh. Sebab itu semalam saya persilakan mereka pergi tengok projek-projek perumahan yang sesak, satu bilik, satu keluarga enam anak, malah dua keluarga pun ada. Dibangunkan tahun 60-an atau 70-an memang tidak sampai 70 tahun, oh dia kata patut kekal. Struktur kekal rumah sudah tak sesuai lagi dan kalau kita nak jaga kepentingan rakyat, terutama rakyat bawahan, kita mesti ambil suatu pendirian yang tegas dan berani.
- Mana mungkin 100% boleh setuju? Saya kata semasa saya Menteri Kewangan dulu, tahun 80-an, 90-an, saya ada pengalaman di projek Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Pulau Pinang masa itu sudah mula bergerak maju, projek-projek baru naik, bangunan-bangunan pencakar langit, tapi di tengah-tengah itu, sebelah Tanjung Tokong ada kampung yang sangat daif, berlecak, rumah-rumah yang robek dan daif dan tidak mahu bergerak, dia sudah biasa lama, tidak mahu pindah ke pangsapuri atau flat, dia nak duduk di kawasan itu.
- Saya kena buat pilihan, 10-15 tahun berunding, menteri silih berganti, jadi kita kena buat keputusan, minta UDA bangunkan dan pindahkan mereka dengan percuma, beri rumah percuma, dan pampasan untuk kos perpindahan dalam ramai-ramai 200 lebih, majoriti Melayu, ada sebahagian India, dan sejumlah kecil Cina, hanya 13 keluarga tidak setuju dia nak kekal juga, jadi oleh kerana 13 keluarga ini, projek rumah untuk 200 lebih terpaksa terbengkalai.
- Jadi akhirnya pada masa itu, kita undang-undang tidak banyak sangat, tidak ada peraturan, tidak macam sekarang media sosial pun tiada, saya hantar traktor dan ugut robohkan rumah itu kalau mahu pindah, sekarang tidak boleh dah, jadi berlaku. Mereka pindah mereka gembira.
- Sebab itu, rang undang-undang ini semangat itu, hendak kata semua betul, tidak? Yang betul tak betul, Menteri Besar tahulah. Alex pun tahu, bukan undang-undang kita yang melaksanakan, yang serah jual tanah lebih kurang itu yang bagi kepada syarikat-syarikat tidak tentu arah, bagi mudah-mudah tanah-tanah ini termasuk tanah Sungai Besi itu siapa? Kerajaan bukan undang-undang siapa? penguasa pada masa itu siapa? Menteri pada masa itu?
- Baik, ini yang kita hendak hentikan, ini wajib disekat kesalahan kita rang yang berkuasa membuat keputusan yang tidak fikir kebajikan orang ramai, rakyat dan dasar tegak dia ikut peraturan undang tapi dia khianat amanah daripada rakyat ini yang kita nak betulkan.
- Jadi saya harap rakan-rakan yang di sekitar Kuala Lumpur tahu. Sudah kebanyakan, majoriti di sini ada rumah yang agak selesa lah sikit cuba pergi tengok kawasan-kawasan yang dihuni oleh kebanyakan majoriti Melayu, ada sebahagian Cina, yang besar juga India yang miskin betul, mana mungkin hidup dalam keadaan begitu dia negara dengan lebuh raya baru belanjanya berbilion ringgit, Twin Tower, airport baru ke mana rumah macam tu juga dalam 60 tahu, jadi kita guna prakarsa undang-undang dan dana untuk beri keselesaan.
- Kadang-kadang 80% setuju, 20% tidak setuju. 20% yang tidak setuju itu akan mendapat manfaat yang sama, tapi kita akan paksa mereka pindah. Takkanlah pula kita nak terima 20% dan tolak hak 80% untuk pindah ke satu kediaman yang lebih selesa Ini saya gunakan kesempatan pada petang ini bicara hal ini kerana hal ini masih hangat dibicarakan. Apa yang dibicarakan naratif di luar? Perdana Menteri, Kerajaan tunduk kepada tekanan Cina ambil habis tanah Melayu dan pindahkan orang Melayu, yang pindah tu dulu, kamu yang pindah dulu-dulu Kerajaan kamu, Kerajaan kami tidak akan kianati, baik bumiputera, baik Cina, baik India, hak mereka akan kita pertahankan.
- Sebab itu saya tegas sikit dalam hal-hal ini, mana mungkin saudara-saudara kita biarkan keadaan begitu. Saya sudah pergi tengok, Flat Sri Perlis. Di Ampang ada juga kan, yang dulu di Ampang, Wangsa Maju, Kerinci, itu saya buat semasa saya Menteri Kewangan. Saya nak teruskan tapi kita perlukan prakarsa perundangan baru, bukan untuk perkayakan pemimpin untuk memberi keselesaan kepada rakyat.
- Jadi tak usah main lah ini race card, orang yang kadang cakap race card itu dia juga kutip wang banyak juga daripada tukang-tukang Cina, tapi bila nak cakap dalam kempen, ini soal jaga faedah dan keselamatan Melayu jangan digadai dan khianati amanah Melayu dan rumah Melayu, itu sahaja dia jadikan canang. Ini yang Melayu rempat-rempat ini kamu wakil siapa? Melayu yang kemiskinan tegar apa kamu suarakan? Rumah-rumah yang puluh ribu Melayu yang jadi rumah-rumah lama yang puluh tahun, ada kamu peduli? tidak ada, ada kamu rancang benar semasa kamu berkuasa hampir 3 tahun? tidak ada.
- Jadi nyata ada kecelaruan dari sini dan saya agak kita fikir dengan tenang dengan waras. Negara ini harus aman, negara ini sudah merdeka 68 tahun dan kemudian Malaysia. Negara ini harus pacu pertumbuhan ekonomi, tapi negara ini juga harus jaga supaya kita jamin keselesaan semua rakyat termasuk yang miskin dan yang miskin itu masih majoritinya Melayu bumiputera. Ada kelompok miskin India, ada kelompok miskin Cina. Kita jaga bersama dan angkat.
- Kemudian ada kawasan-kawasan pendalaman, Dato’ Sri Alexander dia wakil dari Kapit, saya pergi Kapit, tentu perlu perasaan yang jauh lebih banyak daripada Selangor kerana dia sudah agak ketinggalan, merdeka kemudian dari kita, kawasannya jauh di pedalaman. Jadi, kita kena lihat mewakili kepentingan negara ini bukan sahaja mesti jaga Pulau Pinang. Kemudian Amirudin dia pergi Selangor je, kalau Selangor maju tidak apa lah, kalau Selangor maju, Kuala Lumpur tidak maju, Perak tidak maju masalah bagi Selangor juga, sebab itu bila pemimpin ini dia mesti lihat dari segi kepentingan semua. Wan Zakaria jangan terkejut, lama dah tak dengar saya ceramah macam ini, dulu dia dengar, dulu dia baca, dulu dengar sahaja lepas itu dia kata dia letih tak nak dengar.
- Baik, jadi untuk ini dah siap dah lah, Alhamdulillah Fasa 2, kena jaga, kalau lambat kamu jaga yang ni dah siap syukur Alhamdulillah. Dan tol, nama tol bayar lah. Tapi tak mahu bayar tol, tak mahu bayar, baik, kalau saya bagi, dia kata, oh, ini sebab Sungai Long.
- Baik, ini semangat Kemerdekaan. Ya. jadi, Lebuhraya Seksyen 1, EKVE dibuka dan bermula pada 30 Ogos 2025 mulai jam 6 pagi, kalau yang tunggu pergi 5.55 tu sampai pukul 6, dari mana-mana Plaza Tol EKVE, tol akan dikecualikan bermula 30 Ogos 2025, 6.00 pagi hingga 11.59 malam dan berterusan untuk 30 hari sehingga 30 September.
- Baik, cukup ada yang minta kalau bagi 1 bulan apa salah bagi 2 bulan, alang-alang tak boleh. Sebab tu saya masih pegang Menteri Kewangan, kalau saya dalam fee sahaja saya lepas lah. Tapi saya Menteri Kewangan, saya tengok juga keupayaan kita, jadi untuk sebulan, mulai 6 pagi esok Alhamdulillah, guna lah banyak pergi, setengah orang macam ultimate dia seronok pergi balik, pergi balik, pergi balik sebab dia kata tol free, dia kira aku dah selamat RM50. Dia pergi 8 kali pergi balik, pergi balik, pergi balik itu terpulang kepada dia sajalah, walauupun saya anggap itu kegiatan sia-sia. Nak bawa keluarga dan sebagainya.
- Jadi, alhamdulillah Wan Zakaria dan team dan semua yang beri kerja sama dan pastikan fasa-fasa berikutnya itu jalan ikut jadual, lebih cepat, lebih baik, akan beri faedah kepada negara dan rakyat.
Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
