TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN KILANG KENDERAAN PERISAI MILDEF INTERNATIONAL TECHNOLOGIES SDN BHD
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KILANG KENDERAAN PERISAI
MILDEF INTERNATIONAL TECHNOLOGIES SDN BHD
23 OGOS 2025 (SABTU) | 2.00 PETANG
SENDAYAN TECHVALLEY, NEGERI SEMBILAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi waasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin,
Menteri Pertahanan;
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Haji Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Nizam bin Kasa,
Pengarah Urusan MILDEF International Technologies Sdn. Bhd dan seluruh keluarga MILDEF yang ada;
Speaker dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan rakan-rakan saya muliakan;
Panglima Angkatan Tentera, Timbalan Ketua Polis Negara dan semua yang hadir; dan
Panglima-Panglima yang ramai ini.
- Hari ini kita syukur ke hadrat Allah Taala dan tentunya rasa bangga kerana kita dapat bersama menyertai satu ikhtiar dari industri tempatan. Dan untuk itu, saya ucap tahniah kepada Menteri dan Kementerian Pertahanan kerana meneruskan agenda seperti mana dilakarkan dalam Kertas Putih Dasar Pertahanan.
- Iaitu sementara kita perlu berbelanja besar dalam bidang perolehan supaya tahap kesiap siagaan pertahanan kita itu lebih mantap lebih kukuh, tapi kita tidak hanya harus bergantung kepada perolehan dari luar negara. Mesti ada usaha yang lebih untuk membina kekuatan dalaman melalui penyelidikan, pengeluaran oleh sektor swasta dengan dukungan penuh oleh Kementerian Pertahanan dan semua kementerian dari segi penyelidikan di universiti, supaya kita bina kekuatan industri pertahanan tempatan.
- Tentunya tidak boleh menjangkau satu bidang yang terlalu luas, tetapi ada beberapa bidang khusus yang boleh kita bina, kemahiran dan keterampilan kita. Kita ada umpamanya MILDEF, dari segi kereta perisai, dan tentunya boleh juga kita atur dalam menyelaraskan beberapa keperluan untuk syarikat-syarikat tempatan, khususnya bumiputera, dalam soal kereta perisai, supaya tidak ada pertindihan, dan masing-masing boleh excel dalam bidang tertentu.
- Untuk ini mesti ada ketelusan. Kita tidak ada satu sejarah yang sangat membanggakan dari segi teori perolehan, bukan hanya bidang tentera, tetapi juga bidang-bidang lain. Perolehan kadang-kadang menjadi satu ruang dan kesempatan untuk ejen-ejen, syarikat-syarikat mengambil dan mengaut keuntungan berlebihan, dan menjadi pusat ataupun ruang untuk orang memunggah kekayaan melalui rasuah atau komisen yang harus kita hentikan.
- Sebab itu saya beritahu kepada Dato’ Sri Nizam, kalau mahu berjaya bukan sahaja pengeluaran itu harus baik, tetapi ketelusan dan bantu dari segi tatakelola juga harus baik. Ini bukan sesuatu yang aneh, Dato’ Seri Khalid tahu umpamanya dalam soal tentera laut, kita ada LIMA di Langkawi. Bila saya terima tabik hormat dari semua negara-negara dan pasukan Tentera Laut dunia yang menyertai di Langkawi, tahun yang pertama tahun 2023 saya rasa cukup tersinggung. Kerana sebagai negara yang mencatat pembangunan dan pertumbuhan yang membanggakan, perolehan kita sangat lemah walaupun belanja tinggi. Tetapi seperti mana yang kita tahu, baik LCS dan lain-lain, kapal tak sampai, jadi bahan lucuan bertahun-tahun.
- Jadi saya nak bagi peringatan, dan saya ucap terima kasih kerana Dato’ Seri Khalid dalam Mesyuarat Jemaah Menteri menegaskan hal yang sama, iaitu mesti ada sistem perolehan yang telus dan mesti ada kerjasama sepenuhnya daripada Panglima-Panglima kita dan technical expertise, untuk meninggalkan kaedah dan cara bobrok yang lama.
- Yang sebenarnya menjadi satu aneh ya, khianat. Kita ada pasukan tentera, tugas dia pertahankan negara. Kita ada lubuk-lubuk di situ yang sebenarnya hancurkan kekuatan kita, kerana mengaut keuntungan dari usaha perolehan. Paling akhir kita dengar tentang Badan Risikan. Walaupun masih terkawal dan Menteri dan Panglima bagi jaminan. Saya terima baik, tetapi negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan Badan Risikan Tentera terlibat dalam usaha penyeludupan dan pengkhianatan. Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih bekerja dengan penuh semangat, kegigihan dan pengorbanan pertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini.
- Bukan bermakna orang lain boleh, tetapi sepatutnya badan pertahanan kita itu patut ke depan, menjadi contoh yang baik, yang boleh dibanggakan. Ini hal-hal yang kita harus hentikan.
- Berbalik kepada Langkawi, saya katakan ya, saya lihat dari India, Indonesia, Brunei, Singapura, satu-satu negara datang ke Malaysia kerana ketiadaan kapal yang baru dan canggih, maka kita terpaksa atur kapal, ada yang satu, yang hebat sikit-sikit, saya ingat dari Yarrow Shipbuilders yard (UK) yang juga menjadi satu skandal besar, saya ingat sangat-sangat, masa itu saya Menteri Kewangan, berperang dengan beberapa kelompok di Kementerian Pertahanan masa itu. Tetapi oleh kerana tidak ada kapal yang boleh dipamerkan, terpaksa dimasukkan kapal tahun 1976.
- Kecil sekali, boleh bergerak dengan perlahan dan saya salute umpamanya kepada anak-anak kapal dengan semangat, dia tahu duduk kapal tapi dengan semangat pengorbanannya, dengan disiplinnya itu saya bangga. Tapi tengok kapal tahun 76, saya 1976 tu saya masih istirehat di Kemunting. Jadi ya, saya harap maafkan saya kalau saya sentuh singgung perkara ini, kerana saya cakap dengan Buat apa nak cakap datang sini bagi pujian-pujian dan nak tutup kerenah ini.
- Saya terima baik ya saya sebut tadi Menteri YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Panglima Angkatan Tentera, kenyataan-kenyataan mereka dan saya percaya mereka berusaha sedaya upaya. Yang saya cakap ini kita warisi hal yang sedemikian. Sebab itu kalau ada orang yang masih belum belajar, hal kecurangan yang berlaku yang sebelum ini dan terus dengan amalan ini, maka seluruh jentera kita, siasatan daripada polis, daripada SPRM, malah dari tentera sendiri harus jangan mudah ambil ringan, sambil lewa dan anggap perkara ini perkara yang boleh dipadamkan dengan mudah. Mesti ada siasatan untuk menjadi pengajaran yang baik kepada anak bangsa masa depan.
- Baik, jadi walaupun itu yang kita lontarkan sebagai pandangan, ini tidak menolak kenyataan bahawa kita ada keupayaan. Mildef sebab saya setuju hadir kerana saya ambil tahu dan bila ada kapal perisai – tank yang diperolehi oleh pasukan kita untuk ke Lebanon. Dan bila saya bincang dengan Pak Prabowo, Presiden Indonesia, dia agak senang supaya ada satu Kerjasama, supaya Indonesia boleh memanfaatkan daripada pengeluaran Mildef, di samping itu, kita juga kaji apa-apa yang boleh kita manfaatkan daripada pengeluaran Indonesia.
- Jadi kita saudara-saudara, satu tahap di mana pengeluaran kita boleh di luar negara, tapi mesti terus dengan penyelidikan, mesti terus dengan tatakelola dan ketelusan yang baik, mesti hentikan amalan-amalan penyimpangan dan mesti beri mesej-mesej jelas di Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, di Kementerian Kewangan dan seluruh negara, bahawa fokus kita ialah untuk melahirkan, mengeluarkan kereta perisai yang terbaik, dengan kos yang terkawal.
- Kita nak keluarkan dari tempatan, tapi kos sampingan dan komisen tu terlalu banyak mengganggu yang menyebabkan kos meningkat. Kita tidak boleh izinkan hal ini berlaku. Saya bercakap kerana saya, tugas saya juga memantau. Sebab itu saya minta supaya perkara ini diambil perhatian sebaik mungkin. Kita akan beri sokongan. Datuk Seri Mohd Nizam Kasa jangan bimbang, kerja kerajaan ini mesti perbaiki kelemahan lalu, di antaranya ialah pengeluaran industri pertahanan tempatan yang lemah. Saya ingat saya beritahu ini kepada Kabinet dan YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin ada umpamanya bila ada earthquakes, gempa di Turkiye, jadi kita segera bergegas ke sana. Jadi jumpa Presiden Erdogan, sahabat saya, dan kita bincang juga masa itu. Tentera laut beritahu saya, tak ada kapal yang mampu jaga negara kita ini kerana maritim, dengan pelantar minyak dan sebagainya.
- Jadi saya terus bagi tahu kepada Recep Tayyip Erdoğan ada tak kapal yang siap, jadi supaya kita rundingan itu Kerajaan dengan Kerajaan. Bila rundingan Perdana Menteri dengan Presiden, Menteri Pertahanan dan Menteri Pertahanan, dia kos itu “rururumm…” dia turun. Bila runding itu dengan ejen, terlalu banyak kos itu “zoomm…” meningkat. Itu sebagai contoh, walaupun pada masa itu dia tak boleh sediakan kapal yang segera, Tapi saya ucap terima kasih kepada YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin sampai sana runding dan tahun ini mula terima kapal-kapal itu tahun ini dan tahun depan. Ini satu-satu yang membanggakan kita.
- Sudah berapa Menteri Pertahanan nak tukar-tukar. Nasib baiklah ada Menteri Pertahanan ini dia boleh bawa kapal balik pun tidak kita kena tukar lagi tahun depan, tapi nasib baik, sampai (PM berseloroh). Baik, ini saya nak tegaskan yang juga diulang oleh menteri dan Kementerian Pertahanan. Sedapat boleh runding di antara, kalau nak beli dari luar, runding Kerajaan dengan Kerajaan direct, dia boleh turunkan kos dan kita boleh letakkan syarat. Mengapa lambat? Berapa orang nak dilantik? Boleh tak masuk dalam bidang penyelidikkan? Bolehlah teknologi transfer itu boleh dibuat Ini yang saya katakan tumpuan kita. Perubahan dasar yang kita harus tekankan sekarang.
- Baik, soal yang akhir saya tekankan ialah perbelanjaan. Sejak kita ambil alih sejak tahun 2023 itu, peningkatan perbelanjaan untuk pertahanan itu ditingkatkan. Memang betul yang pertama peningkatan perbelanjaan untuk kesihatan, untuk pendidikan. Hari Isnin saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk Dewan Negara, saya akan umumkan.
- Dalam sejarah mutakhir ini, pembinaan sekolah paling banyak semasa Kerajaan MADANI. Pembinaan sekolah baru paling banyak tahun 2023-2024. Kemudian kesihatan, perbelanjaan paling tinggi untuk Kementerian Kesihatan kerana ibu bapa kita, anak-anak kita, kita sakit di klinik, di hospital penuh sesak, sekolah daif, hospital pun kadang-kadang tak setimpal, tak cukup. Jadi kita terpaksa belanja yang begitu tinggi.
- Dan berikutnya adalah Kementerian Pertahanan, betul negara kita aman. Bukan sekadar negara kita aman, kita boleh tolong damaikan Kemboja dengan Thailand itu kerana apa? kerana PAT, kerana YB Menteri Pertahanan, kerana YB Menteri Luar Negeri dan kerana imej negara kita. Orang percaya, hormat, ada masalah telefon terus. Jadi jaga imej itu baik, sebab itu bagi kita sebagai negara Maritim dengan kedudukan Malaysia di Asia Tenggara, laut Asia Tenggara ini disebut South China Sea, Selat Melaka itu harus dikawal rapi.
- Maknanya, pertahanan kita baik, udara baik, darat, apa lagi laut itu harus ditingkatkan. Maka perbelanjaan itu meningkat, meningkat tinggi. Saya akan baca jumlahnya penambahannya untuk tahun 2023, 2024 dan 2025. Saya tidak kata ini membazir, ini keperluan. Pelantar PETRONAS yang disiapkan dari pelabuhan ke Kasawari, itu pelantar terbesar di rantau ini. Kawalannya dari kapal yang terkecil, berdamping dengan kapal China yang terbesar. Bayangkan saya lihat fotonya. Panglima Tentera Laut dan juga PAT tunjuk pada saya. Saya kata “eh, macam satu kapal satu tinggi ini, satu tinggi ini”. Saya tidak kata kita mampu bersaing, dia ada kapal sebesar itu, tapi maknanya kita kena sedia beli kapal-kapal baru ataupun gunakan pelabuhan dalam hubungan kapal untuk menyediakan kapal-kapal baru. Ini mesejnya.
- Sebab itu belanja harus lebih tinggi. Apakah mencukupi daripada permintaan Kementerian Pertahanan? Tidak cukup, tetapi sekurang-kurangnya peningkatan itu tinggi kerana kepercayaan kita, keyakinan kita dan penghormatan kita kepada kementerian dan pasukan pertahanan kita untuk menjaga keselamatan kita.
- Di mana-mana pun saya sebut. Bila kita bercakap soal pelaburan yang tinggi, pertumbuhan negara yang baik, negeri aman, kita tidak boleh lupa. Ini bagi kadang-kadang anak-anak muda, dia ingat biasa tapi tidak kerana pasukan keselamatan, kerana tenteranya, kerana polisnya, kerana agensi dan badan-badan penguatkuasaannya. Ini semua berperanan. Jadi kita aman. Kadang-kadang kita aman, kita buat andaian sahaja. Ajak orang bergaduh, ajak nak bergaduh. Soal bendera bergaduh, soal semua hendak gaduh. Dan ada yang menghangatkan suhu perpecahan antara kaum.
- Jangan salah faham. Saya tidak katakan untuk bendera itu tidak penting. Bendera itu tanda, lambang kebanggaan negara, jadi kena jaga. Kalau dulu silap-silap boleh kita maafkan. Tetapi sekarang, kalau ada lagi yang dapat lihat macam itu, sama ada Jabatan Kerajaan atau swasta harus ada tindakan. Tetapi yang saya hendak sebutkan, jangan kita buat ini andaian seolah-olah semuanya baik, tidak betul.
- Negara ini aman kerana persiapan, perkhidmatan, sumbangan, pengorbanan pasukan pertahanan kita selama ini. Tetapi dia tidak akan kekal lama. Siapa jangka adakah peperangan Thailand – Kemboja? Siapa jangka pergaduhan di Myanmar berlarutan? Bila ada pergaduhan itu dia melibatkan juga, melimpah sampai ke Thailand ke Bangladesh dan ke Malaysia. Sebab itu kita harus sentiasa bersiap siaga dan bersedia. Tapi jangan guna alasan ini untuk mengaut kekayaan secara haram. Kerana kita ada tugas dan tanggungjawab menjaga, sebagai amanah, pertahanan maruah negara kita yang bebas dan merdeka.
- Bulan ini bulan merdeka, jadi kita mudah-mudahan ambil kesempatan untuk naikkan semangat kita. Muliakan lambang bendera kita Jalur Gemilang dan pupuk semangat perpaduan yang boleh jaga keamanan dan tumpu ke arah mengangkat martabat negara kita.
- Dalam tonggak Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kita kata kalau Malaysia ini hendak aman maju, maka harus ditingkatkan bumbungnya. Maknanya mesti negara harus lebih kaya, pelaburan lebih banyak, kilang-kilang lebih besar,termasuk industri pertahanan seperti MILDEF ini, supaya tenaga kerja lebih terlatih jadi ekonomi negara lebih baik. Tetapi kalau ekonomi lebih baik nasib rakyat kekal di tapak yang lama, tidak boleh.
- Jadi kita akan sebut, naikkan lantai. Gaji penjawat awam naik, gaji minimum naik RM1700, gaji syarikat-syarikat kerajaan minimum RM3000, RM3100. Gaji industri seperti di MILDEF ini bila ada projek mesti jaga supaya faedah dan peluang kepada pekerja-pekerja itu ditingkatkan selari dengan projek. Supaya kalau ini umpamanya kita elak segala penyelewengan di atas, maka keuntungan itu sebahagian boleh pulang balik kepada rakyat. Ini yang katakan naik lantai. Naik bumbung, naik lantai tetapi ini hanya boleh berlaku kalau ada ketelusan tatakelola yang baik, tolak rasuah dan penyelewengan. Ini tonggak kepada Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK13).
- Jadi, sekali lagi, terima kasih Datuk Seri Mohd Nizam. Terima kasih kerana tolong dengar kuliah Zohor saya. Tapi peringatan ini bagi saya penting kerana saya, YB Menteri Pertahanan tahu memang tidak terlatih dalam bidang ketenteraan tapi sangat komited. Sangat percaya bahawa Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Dalam Negeri ini, dua (2) kementeian yang sangat penting dari segi negara kita, kesiap siagaannya, prestijnya, dignity dan disiplinnya. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
