TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN INTERNATIONAL CONFERENCE ON SOCIAL SCIENCES AND HUMANITIES 2025
10 September 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
INTERNATIONAL CONFERENCE ON SOCIAL SCIENCES AND HUMANITIES 2025
10 SEPTEMBER 2025 (RABU) | 4:30 PETANG
THE EVERLY HOTEL, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillāhi rabbil-‘ālamīn. Naḥmaduhu wa nuṣallī ‘alā rasūlihil-karīm,
Wa ‘alā ālihī wa ṣaḥbihī ajma‘īn.
Saudara Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zamri Abdul Kadir;
Pengerusi dan Lembaga Dr. Sufian Yusof dan keluarga UKM dan rakan-rakan termasuk anak-anak ini saya kasih sekalian.
- Saya ucapkan pertama tentunya melafazkan syukur kepada Allah SWT kerana dapat bersama-sama dan tahniah kepada Saudara Saadah dan Jawatankuasa dapat menyelenggarakan Sidang Sains Sosial yang terkait juga dengan perkembangan Artificial Intelligence.
- Pertama soal AI dari segi negara seperti saudara sedia maklum kita beri penekanan transformasi digital itu sebagai sesuatu keutamaan dan ini dilengkapi dengan National Semiconductor Strategy iaitu mencerakin beberapa ciri yang harus dihadam kalau kita merangka satu strategi semikonduktor.
- Ada beberapa kejayaan awal termasuk kenyataan bahawa di antara keupayaan kita dari segi pelaburan adalah E&E dan semikonduktor yang mencecah ke Amerika Syarikat sahaja pun mencecah RM200 bilion. Tetapi kita juga akui beberapa kekangan dari segi latihan talent yang baru yang punya keupayaan menguasai ilmu di peringkat front end.
- Infineon umpamanya tatkala melabur secara besar di antara pelaburan tertinggi luar dari Jerman di Kulim Hi-tech dan di Melaka itu memerlukan tenaga muda terlatih tentunya dalam bidang kejuruteraan dan AI di peringkat yang tinggi kerana ini merupakan satu peralihan dari back-end yang lazim dikendali oleh beberapa syarikat semikonduktor sebelum ini kepada front-end dan ia memaksa antara itu Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi dan kementerian yang terkait untuk menekankan keperluan melahirkan anak-anak yang cukup terlatih dengan satu peningkatan dan keterampilan yang berupaya memenuhi keperluan masyarakat utama ini dan sinerginya harus tidak hanya bidang akademik yang terikat ke universiti tetapi sinergi yang bersama dengan syarikat-syarikat yang di lapangan dan ini saya ucap terima kasih kepada UKM dan universiti lain, USM, UTM nampak sedia menerima dan melakukan perubahan dengan lebih pantas.
- Kerana kita juga tahu kita ini terikat juga dengan beberapa kaedah birokratik yang lama, umpamanya bila saya masih ingat satu cabaran kepada Saudara Zamri, tatkala saya usulkan lebih dua tahun yang lalu supaya fakulti AI itu segera diasaskan dengan memenuhi keperluan-keperluan terbaru dan terkini dan lazimnya universiti ini juga terikat dari mesyuarat Dekan, kertas dari jabatan, bawa ke Dekan, Dekan bawa ke Board of Study, Senat, Senat bawa ke KPT, KPT tunggu 6 bulan, tanya Kementerian Kewangan, mesti ada peruntukan, kemudian setahun setengah kemudian barulah diluluskan.
- Itu kaedah lama tapi saya ucap taniah kerana universiti dan kementerian telah memecahkan tembok ini dan dapat meluluskan dalam kerangka masa yang sangat cepat dan ini membanggakan syukur terima kasih termasuk di UKM.
- Sebab itu saya tambah peruntukan dari tidak peruntukan yang sedia ada tapi menambah untuk memenuhi keperluan dan kerana ini merupakan di antara keutamaan kita tentunya dalam belanjawan negara ini yang kali ini bulan depan Insya-Allah, kita terpaksa melihat semula tentang pencapaian setakat ini dan apa yang diperlukan untuk memberikan dukungan agar dipercepatkan dengan kadar lebih pantas lagi program, latihan dan kecanggihan yang diperlukan untuk mengangkat martabat dan keupayaan anak-anak kita.
- Jadi dalam kerangka ini saya rasa jelas kerana perubahan itu terlalu pantas. Bulan lalu, dalam pertemuan dengan rakan-rakan penjabat awam di Jabatan Pendana Menteri saya bicara juga satu aspek AI dan digital yang harus juga diambil kira iaitu apa yang disebut productivity paradox (GenAI) productivity paradox. Semua orang bergegas mencari hala tuju baru memberikan latihan sediakan kemudahan teknologi dan sebagainya untuk agar kita ini dapat bersaing dan punyai kemahiran dan kepakaran yang diperlukan. Tetapi bila diukur dari sudut produktiviti tidak semestinya begitu.
- Ini saya kebetulan hari minggu sebelum itu, saya membaca laporan pendek dari United Nations University Tokyo kemudian kajian oleh McKinsey. Tidak sepenuhnya, saya tidak mahu saudara anggap saya ada masa untuk baca yang 400 halaman tapi saya baca rumusan yang 36 halaman dan saya agak kalau Indonesia bilang itu kaget sedikit ya, terkejut kerana saya kata waduh dia pertikai perubahan teknologi yang mendadak ini yang diperlukan itu, apakah memberikan hasil yang setimpal? Necessarily commensurate with the amount of sources disburse for that purpose. Dan jawapannya tidak dan saya justeru itu terkenangkan pengalaman 90-an tatkala kita bergegas untuk menyediakan komputer di semua jabatan kerajaan dan moto yang pertama paperless, kemudian kita tengok tidak praktik maka dijadikan paperless.
- Kemudian dalam kajian di beberapa jabatan rupa-rupanya yang berlaku adalah papermore. Jadi ini yang dikatakan teknologi baru tetapi tidak menghasilkan produktiviti yang setimpal. Ada tentunya produktiviti kerana belanjanya ratusan juta malah bilion ringgit untuk semua prasarna ini. Perbelanjaan untuk transformasi digital dan AI itu mencecah bilion ringgit untuk negara tapi itu juga satu cabaran. Cabaran yang berikutnya ialah soal digital divide. Kita bergegas meletakkan prasarana yang cukup dan menyediakan kemudahan, kemudian hasilnya itu, kesenjangan yang kian melebar dan membengkak di antara golongan atasan (elite) – sama ada di bandar dan kawasan miskin bandar, desa dan perdalaman. Jadi apa yang kita bicarakan tentang keadilan sosial itu tidak tercapai kerana program digital itu tidak menjamin keadilan sosial, itu yang kedua. Dan ini beberapa cabaran yang harus kita tangani.
- Yang ketiga, yang sangat juga kritikal adalah dalam tiap pertemuan saya dengan Chief Operating Officer Infineon, dengan Jensen Huang Nvidia, Microsoft, Google dan sebagainya, ini advantage kerana saya Perdana Menteri lah, jadi jumpa semua ni. Jadi kalau jumpa saya tanya, di antara soalan yang selalu saya tanya tentang kekuatannya dan kelemahannya terutama dilihat dari kepentingan negara dan kemanusiaan. Ini yang disebut nilai manusiawi ni.
- Ini releven dengan sains sosial dan kemanusiaan. Kerana jawapan mereka, “ya, itu bukan urusan kami. Urusan kami itu menyediakan prasarana dan menyiapkan.” Tetapi saudara tahu apa yang dimasukkan itu ke sistem, kalau saya tanya ChatGPT, yang dia muntahkan keluar itu apa yang dimasukkan. Tentunya dengan segala kepintaran dan kecanggihan untuk merumuskan, tetapi tidak terkeluar daripada apa yang dimuatkan. Jadi yang dimuntahkan itu adalah kerangka pemikiran atau pola pemikiran nilai budaya mereka sendiri. Ini cabaran kita ketiga.
- Jadi jawapan, saya tertarik kerana hampir semua menjawab, terserah kepada saudara, latih anak-anak, letakkan isu etika atau akhlak yang kita sebut, nilai dan budaya dan sejarah, keyakinan agama, apa yang hak dan batil yang mesti dimuatkan supaya dimuntahkan oleh apa yang disebut teknologi baru, machine ini adalah untuk memenuhi hasrat, nilai dan budaya kita.
- Ini sebab itu dalam keriuhan dan keghairahan kita untuk menggapai di langit, selalu saya katakan jadikan moto untuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi. Artificial Intelligence (AI) ini apa? Sebenarnya menggapai di langit. Teknologi baru, meneroka alam pemikiran baru dan teknologi baru. AI ini ada segala kecanggihan yang menggemparkan dan mencabar tetapi harus mengakar ke bumi. Dan kekuatan sains sosial itu ialah untuk menjamin supaya kita kekal mengakar ke bumi – tentang nilai, tentang budaya, tentang akhlak, tentang agama, tentang keyakinan kita, tentang sejarah kita. Ini cabaran besar dan saya rasa kekuatan seminar ini. Saya tidak dijemput sebagai peserta, saya hadir juga.
- Untuk maksud kawan-kawan yang dari luar negara, izinkan saya bicara rumusannya dalam bahasa inggeris sedikit. I think what is pertinent in this discourse is our concern about humanity. Whilst we are aspiring to propel the economy through new challenges, new technology, which includes therefore the issues of digital transformation and artificial intelligence. But we have to be equally concerned about issues affecting our people at large – human concerns, human aspirations. The issues of, first the challenge whether the amount of disburse, huge amount of disburse for this purpose to commensurate when you compared to the effectiveness and productivity.
- Secondly is the issue of digital divide with this new technology, do you actually promote social inequity, enrich the elites and impoverish the majority? Because there’s no excess, sometimes even no connectivity I remember when I was a young student, just the last few years, listening to Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid when he was talking about a village and experience farming village or fishing village near Mersing, that people were craving for new technology so they were introduced by some business peddlers to the (peti ais) refrigerator just testing my Minister nasib baik lulus (nada berseloroh).
- So what happened was these villagers, after getting enough money because there were suddenly soaring prices of rubber, they started buying refrigerator, but there was no electricity. So in the final, they put on clothes there so my concern probably is not the same, but that experience must teach us something we have found schools in the last 10-20 years, buying computers through companies and you know, getting contracts done but there was no connectivity and it remains to be a challenge.
- Therefore, the issue of productivity, the issue of inequity or digital divide must be our concern and finally the issue humanities. We have to face this challenge. Yes, new technology, yes, AI but for what? Not to dehumanize men or women, but to enhance their quality, their values, their aspirations because otherwise there’s no guarantee that the sophistication, knowledge and technology would guarantee that you have some concern for humanity.
- What’s just and this therefore requires the role or the participation, effective participation of those in the social sciences to effectively participate in this process and such a discourse as you find in the deliberations today, inshAllah will help enhance our understanding and our commitment.
- Dalam negara dunia dalam pembicaraan soal-soal semasa dengan segala kecanggihan yang menakjubkan nilai kemanusiaan dan keadilan kadang-kadang terpinggir atau tersisih sama sekali, lihat perbicaraan soal Gaza mana mungkin dengan segala kecanggihan, kemanusiaan yang ada dan ilmu, teknologi yang begitu menakjubkan masih melahirkan manusia yang hampir tidak ada rasa ihsan, kemanusiaan, belas kasihan dan menghormati nilai-nilai keadilan, anak-anak kecil, bayi menggunakan teknologi dan AI dan media sosial yang canggih yang boleh menerobos dan meneropong terus ke rumah-rumah yang dihancurkan, tapi tidak memberikan kesan kepada manusia, sebab itu saya selalu sebut, mana hilangnya kemanusiaan.
- Ini harapan besar, bukan, saya ini hanya pelajar kecil dalam bidang sains sosial tetapi bagi saya, sementara kita tekankan soal STEM, soal kejuruteraan, soal AI, kita tidak mahu dipinggirkan soal sejarah dan budaya dan sains sosial sebab itu semalam saya luncurkan Majlis Sejarawan Negara dalam keadaan orang merasakan semua mengejar AI, AI digital transformation dan semi-conductor strategy saya check sikit iaitu jangan tinggalkan sejarah, budaya, sastera dan yang terangkum dalam sains sosial.
- Demikian kuliah petang saya, entah apa dia orang prepare saya tak baca pun (nada berseloroh). Baik, terima kasih saya senang diantaranya kerja yang saya paling senang ialah sebagai guru tapi dah pilih jadi Perdana Menteri hendak buat macam mana. Jadi bila ada peluang saya terus manfaatkan waktu dengan memberikan kuliah tanpa elaun, jadi saya ucap terima kasih kepada Naib Canselor dan Profesor kerana menyelenggarakan majlis ini dan percayalah ini bukan suatu usaha yang kecil kerana dalam saya tegaskan semula keadaan kita mengejar perubahan mengejar teknologi baru, menggapai di langit meneroka bukan sahaja alam pemikiran tapi teknologi baru kita mesti ingatkan nilai kemanusiaan, akidah, akhlak dan sahsiah iaitu mengakar ke bumi kerana manusia itu tidak mungkin dikenali hanya dengan teknologi tanpa ciri insaniah atau manusiawi sepertimana ditekan dengan Al-Quran kita ini diangkat martabat ini kerana Wa laqad karramnā banī Ādam.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
