TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN MAJLIS SEJARAWAN NEGARA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN
MAJLIS SEJARAWAN NEGARA
8 SEPTEMBER 2025 (ISNIN) | 9.00 PAGI
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA
(PICC), PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Saudara, Yang Berhormat Datuk Aaron Ago anak Dagang, Menteri Perpaduan Negara;
Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami,
Timbalan Menteri Perpaduan Negara;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian;
Yang Berbahagia Dato’ Jaafar Sidek bin Haji Abdul Rahman,
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia; dan
Rakan-rakan ahli-ahli Majlis Sejarawan Negara yang hadir.
- Saya rasa sangat gembira terutamanya kerana dapat meluncurkan Majlis Sejarawan Negara ini yang memberikan pengertian yang lebih kepada konsep Negara MADANI yang lebih inklusif dan lebih menyeluruh pendekatannya. Kerana negara selalunya bersaing atau bergegas untuk mengangkat martabat ekonomi. Jadi penjurusannya banyak ke arah industri, teknologi baharu dan ekonomi, tetapi untuk melengkapkan maksud, memanai MADANI itu, dia mesti terangkul apa yang maksud jadti diri, soal maruah, soal pemahaman tentang sejarah, tentang meluruskan semula pengertian dan pemahaman sejarah.
- Jadi kehadiran rakan-rakan yang akan dilantik Majlis Sejarawan Negara bersama usaha-usaha yang dahulu oleh Ahli-ahli Sejarawan dan Pesatuan Sejarah Malaysia, saya alu-alukan.
- Tentunya tajuk ini tajuk yang sangat mencabar kerana ia melalui beberapa anjakan dan perubahan. Generasi sebelum merdeka terdedah dengan pemahaman sejarah mengikut kerangka pemikiran penjajah, bahawa negara ini moden hanya dengan pengaruh barat, khususnya Inggeris, dan ini yang diasak kepada kita, bukan sahaja kepada kita, hampir semua negara-negara terjajah. Dari Stamford Raffles, kalau kita baca “, on the establishment of a Malay College”, maksudnya di Singapura masa itu, itu tentunya melahirkan anak-anak yang dididik untuk menghadam ilmu dan memahami sejarah mengikut kerangka pemikiran dan pola pemikiran mereka.
- Ini bukan terasing di Kepulauan Melayu seperti C. Snouck Hurgronje dan lain-lain di Indonesia, Macaulay di India, Cromer di Mesir dan sebagainya. Tetapi soal apa yang disebut post-colonialism, seusai kemedekaan. Itu juga mencabar kerana banyak negara-negara yang medeka sebenarnya masih terpegun dan terpukau dengan pendekatan ilmuwan dan tamaduan barat. Ini teori lama, daripada Ibn Khaldun, kadang-kadang orang yang terjajah itu masih terpukau dengan kerangka pemikiran negara yang lebih hebat, lebih bertamadun, yang menjajah.
- Jadi sebab itu kita ada generasi awal masih ada semangat kebangsaannya, masih mahu negara ini merdeka, tetapi pemikirannya termasuk pemahaman sejarahnya masih lagi kuat pengaruh daripada barat. Dan yang mencabar pengertian itu sebenarnya bukan dari arus perdana, ianya dari kalangan ilmuwan – academicians dan yang selalunya yang agak terpinggir daripada arus perdana. Ini berlaku hampir di semua negara termasuk di Tanah Melayu masa itu dan kemudian Malaysia.
- Tetapi kita harus hargai kerana ada usaha-usaha, saya masih ingat umpamanya karya A. Samad Ahmad, walaupun awal, tetapi dia berikan satu percubaan untuk memahami dari kerangka pemikiran negara dan rakyat sendiri, sejarawan dan persejarahan Melayu. Kemudian karya-karya lain, Yusuf Ibrahim, saya akui sejarawan dan persejarahan Melayu begitu. Tetapi membaca karya Yusuf Ibrahim itu menarik kerana dia cuba menghargai semua usaha-usaha yang terdahulu, walaupun usaha-usaha yang terdahulu itu tidak sejarah seperti mana kita fahami sekarang. Tidak berdasarkan data dan fakta yang cukup ataupun terkadang-kadang terangkul sekali mitos dan legenda. Tetapi tidak boleh nafikan sejak Tun Sri Lanang, Raja Chulan, Abdullah Munshi dan berikutnya.
- Percubaan-percubaan ini harus digali supaya kita faham konteksnya. Saya tahu kawan-kawan saya ahli sejarah ini dia tunggu ini, apa silap saya sebut. Saya bukan ahli sejarah, saya peminat sejarah, saya mengikuti sejarah dan bagi orang Islam ya Quran itu sendiri juga bahan yang minta umat belajar dari penafsiran sejarah itu. Dan dalam Quranic interpretation of history – penafsiran sejarah mengikut acuan Al-Quranul Karim itu agak istimewa pada kita.
- Kerana pertamanya, tentunya berdasarkan keyakinan – devine, tetapi tidak terlalu terikat dengan memperinci data-data, tetapi memberi satu pengajaran ahlak, moral dan etika yang jelas, bahawa sejarah harus mengajar kita, apa dia kebobrokan dalam sistem, apa dia kezaliman, apa dia kerakusan kuasa, apa dia sikap tamak haloba, itu dalam pengertian dan penafsiran sejarah kita. Jadi sejarah itu harus mendidik dari segi akhlak, tapi tidak lari daripada kebenaran dan ketulusan sejarah.
- Peranan kita adalah untuk memberi data lebih empirikal tentang sejarah. Kerana saya lihat kadang-kadang perbincangan dalam negara seperti sekarang dimana kita banyak majlis tentang digital, tentang AI, tentang semikonduktor, teknologi baharu, itu kadang-kadang meremehkan peranan sejarah. Padahal kalau kita belajar AI itu sendiri, ia sudah multidisciplinary, AI akan berjaya kalau kita faham nilai, akhlak dan sejarah kita. AI itu akan jadi penerusan pandangan asing sekiranya kita hanya menciplak tanpa mempertahankan identiti dan kekuatan kita sendiri termasuk sejarah. Kerana apa yang dilontar dan dimuntahkan oleh AI itu berdasarkan apa yang dimuatkan, dimasukkan dalam teknologi tersebut.
- Jadi, kalau kita tanya tentang fahaman dan pendekatan tentang Sejarah Melayu dengan kekuatannya, tentunya apa yang jadi kalau masukkan dalam apps yang berkenaan dan kemudian dimuntah dan dilontarkan oleh ChatGPT dan sebagainya. Sebab itu, kita harus waspada dalam mendukung hasrat tinggi Malaysia untuk membina kekuatan berdasarkan Digital Transformation dan AI, saya selalu tegaskan mesti ada kekuatan dalaman. Anak-anak mesti dilatih di dalam pelbagai disiplin termasuk sejarahnya, budayanya, bahasanya, agamanya dan yang lebih penting nilainya seperti mana yang disebut penafsiran, interpretation Quran dalam sejarah iaitu tentang apa yang mulia, apa yang Makruf, apa yang harus ditolak, kemungkaran dalam sistem dan ini berteraskan nilai dan akhlak.
- Saya masih ingat umpamanya percubaan awal oleh Hussein Al-Attas dalam Sidang Sejarawan Asia sekitar tahun 1960-1961. Minta maaf kalau tak betul, karang you sanggah dalam mesyuarat. Karya dia, ‘The Re-Construction of Malaysian History’. Ini satu isu yang agak fundamental bagi saya, bila kita sebenarnya memahami konsep apa yang dikatakan modernity, kebenaran itu, ataupun kemajuan dan progress. Kalau kita lihat umpamanya pendekatan sejarawan lama, karya-karya pengarang kolonial, itu semua dengan pendedahan kita kepada penjajahan, pengaruh penjajah dan ini disangkal berdasarkan teori Henri Pirenne, agak menarik, seorang Sejarawan dari Belgium, dua karya penting ‘The History of Europe’ dan karya keduanya ‘Mohammed and Charlemagne’.
- Henri Pirenne menjelaskan bahawa konsep modern technology dan pemikiran terbuka dan yang kita rangkul dalam konsep modernity itu hanya setelah ada pertembungan atau pembenturan yang dahsyat di antara Islam dan Eropah dan Kristian pada masa itu, dan dia berikan hujah-hujah yang agak mendalam untuk menunjukkan bahawa modernity itu berteraskan kepada kefahaman tradisi Akliyah kalau mengutip istilah Naqib Al-Attas. Maknanya tradisi akal yang sebenarnya tidak hidup sebelum itu di Eropah.
- Jadi kalau kita mahu melihat sejarah kita, kita harus lihat dari segi ini, dan di sini dia sebut tidak boleh diketepikan semua pengaruh-pengaruh terdahulu apa lagi tentang pengaruh Islam yang berikan, yang kemudian membawa perubahan apa yang dia sebut ‘rupa dan jiwa’ seluruh budaya kita, dari pakaiannya, makanannya, halal, haram, bacaannya, amalannya, cara berfikirnya, yang makruf dan mungkar, yang baik dan yang buruknya.
- Itu terpengaruh dengan asakan Islam walaupun proses itu proses yang berterusan, dia tidak proses yang sempurna daripada awal. Dan teori Henri Pirenne ini kemudian dilontarkan sebagai satu idea, tetapi tidak disambut ketika itu. Saya bukan ahli sejarah, nanti Ridwan dan kawan-kawan lain ada, boleh jawab nanti. Tapi saya tidak lihat umpamanya sambutan daripada 1961 dengan beberapa tahun tentang perdebatan, penghujahan semasa itu. Tentang makna, point of departure from what is deemed as a traditional society to a modern society. That point of departure is due to what? In western historical tradition is due to Gutenberg’s printing press.
- Ini yang dibawa oleh rakan-rakan yang mengangkat Abdullah Munshi sebagai Bapa Sasterawan Melayu Moden. Tidak semestinya dari segi pengolahan idea tetapi dari segi teknologi. Ini memang disangkal dalam reconstruction tetapi cuba diolah dengan lebih mendalam oleh Naquib al-Attas sebahagiannya itu tentang Henri Pirenne sekali lagi dan detik perubahan sama ada ikut kacamata dan pengambatan barat ataupun yang berdasarkan tradisi ilmiah, ilmu ataupun Akliyah.
- Baik, jadi cabaran kepada kita baik dalam sejarah atau historiografi kedua-duanya itu penting dan saya fikir dalam negara kita ini historiografi itu penting kerana disiplin ini akan juga mempertikai ataupun mengkritik sejarawan itu sendiri. Jadi historiografi itu tentang penafsiran, analisa yang lebih mendalam, tentang disiplin sejarah dan pengolahan itu sendiri.
- Jadi, saya rasa sudah sampai ketikanya di mana Malaysia mempunyai kekuatan. Saya tidak fikir ini perkara yang baru, saya tidak mahu ada anggapan bahawa Majlis Sejarawan Negara ini adalah percubaan awal untuk membetulkan, meluruskan sejarah Malaysia, tidak. Terlalu banyak karya-karya awal yang mendukung konsep ini. Tugas kita dalam majlis ialah merangkul semua kekuatan ini, terus berwacana dengan semua pihak dan kemudian memberikan nasihat kepada kerajaan, apa lagi yang harus dilakukan. Memang ada keresahan dan kebimbangan kerana banyak masalah yang dihadapi oleh generasi sekarang termasuk tradisi membaca yang agak kurang, minat terhadap sejarah yang kian ranap, ini bagi saya petanda-petanda yang tidak begitu sihat.
- Ia tidak bermakna kita harus kurangkan tekanan terhadap teknologi baharu dan transformasi digital atau AI, matematik dan kejuruteraan, itu sangat penting. Tetapi kitakan manusia, kita ada budaya dan jati diri sendiri, jadi ini tidak boleh diketepikan tanpa sejarah, sastera dan budaya. Dan sebab itu harus ada perimbangan supaya kita tidak tertinggal landasan dan mengikut arus yang tentunya tidak begitu sihat.
- Saya juga faham bahawa ini satu cabaran yang besar, tidak mudah kita cuba luruskan dalam keadaan seluruh dunia itu menekankan persaingan dalam disiplin-disiplin yang lain, dan juga pengaruh yang luar dari kerajaan ataupun dari arus perdana, pengaruh itu terlalu kuat termasuk media sosial, jadi cabaran kita itu adalah bagaimana kita boleh membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan, kekangan yang ada agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu juga berkembang di kalangan generasi muda dan masyarakat. Dia tidak semestinya semua harus mengambil disiplin atau mata pelajaran sejarah, tapi sistem kita harus memberikan minat, Arkib Negara tentunya, Muzium, tapi penjelasan penerangan itu harus lebih aktif.
- Saya tiap kali bicara dengan rakan-rakan di Arkib dan Muzium, banyak pameran-pameran kita adakan, kadang-kadang kita ada pameran, anak-anak itu dari sekolah dan sebagainya datang melawat, melihat karya-karya menarik, tetapi tidak ada usaha dari pendidik yang membantu menerangkan dengan cara yang menarik supaya minat itu akan bertambah dan menyediakan sedikit bahan-bahan sama ada dalam risalah kecil dengan gambar-gambar yang boleh mereka bawa balik dan cuba faham.
- Dan ini dalam tradisi kerajaan ni memang satu masalah untuk melatih baik penjawat awam ataupun guru dan pendidik kerana usaha yang kita lakukan itu banyak, tetapi tidak ditangkap untuk menyemai semangat kecintaan kepada perkara ini. Dan bidang-bidang seperti sejarah, sastera, budaya ini bukan bidang-bidang yang dianggap penting dalam negara yang bersaing hebat sekarang ini, jadi sebab itu saya harap ada usaha-usaha yang lebih, kerana ini tiang seri tamadun.
- Tamadun tidak tertegak dengan teknologi semata, tamadun itu tegak dengan budaya, dengan sejarah, dengan ketinggian ilmu dan tidak semestinya tamadun kita dirikan itu tamadun New York atau tamadun London, tamadun Malaysia, jadi MADANI ini mesti memastikan jati diri kita dan juga nilai dan perspektif kita itu dihayati.
- Demikianlah kuliah awal saya, dan saya mohon maaf kerana hendak lontarkan idea-idea ini kepada ahli-ahli sejarah yang tentunya lebih layak bicara tentang sejarah, kerana sejarah ini bagi saya bukan semata-mata disiplin ilmu tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban. Apalagi dalam negara yang sedang berkembang, menanam semangat di kalangan generasi muda supaya tidak terlepas, tidak tertinggal landasan sejarah ini.
- Sebab itu dalam pendidikan, saya tekankan konsepnya, ‘kita gapai yang di langit”, kita andaikan ialah AI dan semuanya itu di langit lah, disiplin baharu, meneroka ala pemikiran baharu, tetapi kita mestilah terus menjejak, ‘mengakar ke bumi’. Jadi, peranan sejarah itu ialah untuk kita terus mengakar ke bumi Malaysia.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
