TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2025 “MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI”

27 July 2025

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN BULAN KEBANGSAAN DAN

KIBAR JALUR GEMILANG 2025

“Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”

 

 

 

27 JULAI 2025 (AHAD) 10.00 PAGI

DATARAN TANJUNG EMAS, MUAR, JOHOR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillahi llazee anzala ala abdihil kitaba walam yaj’hal lahu iwaja,

Wasolli wa sallim ‘ala rasulihil karim

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Saudara saya, Menteri Besar Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi;

 

dan seluruh Pimpinan Negeri Johor;

 

Saudara Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025;

 

dan seluruh Jawatankuasa;

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan;

 

Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar;

 

dan semua rakan-rakan yang hadir, Penduduk Muar dan negeri Johor khususnya.

 

  1. Terima kasih atas sambutan hangat pada pagi ini menzahirkan semangat kita untuk menghayati semangat kemerdekaan yang ternyata bila kita singkap sejarahnya banyak berpangkalan di negeri Johor Darul Takzim. Jadi saya hormat semangat yang terus membara.

 

  1. Tadi Saudara Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz, menyingkap lembaran sejarah sedikit, dan ini Bulan Kebangsaan, bulan Merdeka. Kita luncurkan semula semangat mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi anak-anak bangsa jangan lupa, dia ada permulaannya. Merdeka tidak spontan. Merdeka itu dengan kekuatan semangat dan daya juang, dengan wawasan, pimpinan, keberanian mereka, pengorbanan mereka menggembleng tenaga dan semangat.

 

  1. Dan luar biasa di Johor kerana di antara pemuka pejuang kebangsaan yang tersohor, yang meletakkan agenda perjuangan orang-orang Melayu, adalah Almarhum Dato’ Onn Jaafar, mantan Menteri Besar dan Presiden yang menubuhkan UMNO ketika itu di Istana Johor Darul Takzim.

 

  1. Apa pesanan Dato’ Onn? Pesanan dia, kalau tidak ada semangat, pertama, bersatu. kedua, menolak penjajahan; membangkitkan kekuatan dalaman, negara tidak akan merdeka. Meniupkan erti kemerdekaan dan memaknai kemerdekaan itu penting.

 

  1. Negara merdeka, apakah merdeka itu ertinya pimpinan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan ganti Inggeris? Tidak cukup. Sekadar ganti, tapi ganti sistemnya, ganti kerosakan dan kebobrokannya, ganti sikap pemimpin yang punggah kekayaan, bawa balik ke United Kingdom, membangunkan negara mereka. Ganti sikap pemimpin-pemimpin dengan segala kemewahan diri dan keluarga, dan membiarkan rakyat tertekan di bawah. Itu sistem penjajahan. Tawan negeri, tawan sistem politik, tawan ekonomi, tawan pendidikan, lunturkan semangat agama dan tawan minda kita.

 

  1. Salah seorang ulama tersohor, Sheikh Muhammad al-Ghazali, menyebut ini penjajahan, isti’mar ruhi wa fikri, jiwa tertawan, pemikiran tertawan, negara tertawan, itu erti penjajahan.

 

  1. Jadi bila kita merdeka, kita harus bebaskan diri daripada sikap begitu. Pecah belah masyarakat, lemahkan kekuatan kita, jadikan alat kepada orang. Tidak faham erti kemerdekaan dan perjuangan menjadi pak turut. Negara merdeka, rakyat terperangkap dan tidak mampu berfikir, jadi alat ikut-ikutan.

 

  1. Sebab itulah tanggungjawab dalam negara MADANI ini meneruskan semangat yang lalu memerdekakan kita. Kalau mahu jadi pemimpin, mesti terima syarat, jangan sakau duit rakyat dan duit negeri. Kalau menjadi pemimpin, baik peringkat Persekutuan atau Negeri atau Daerah, mesti ingat kamu pegang amanah, bertanggungjawab kepada Allah SWT, kullukum ra‘in wa kullukum mas’ulun ‘an ra‘iyyatihi dalam hadis Rasulullah SAW. Sebab itu umpamanya kita cuba dari Perlis sampai Sabah kita nak bangun, majukan Kedah dan Kelantan dan Johor dan Selangor. Cuba tangani masalah-masalah.

 

  1. Saya tidak nafikan jasa orang-orang terdahulu, tetapi generasi itu berubah, harus berubah. Jadi saya dengan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri dan pimpinan cuba betulkan, apa kelemahannya? Sikap pimpinan guna kuasa untuk manfaat dan faedah diri dan keluarga. Bila giliran anak-anak besok yang ambil alih, kita mahu lebih baik dari itu.

 

  1. Negara Malaysia terkenal sebagai Negara yang berdaulat, Merdeka. Ekonominya mantap, mantap ekonomi ini bermakna bagi peluang semua golongan. Jangan negara membangun, industri berkembang, economic zone maju, makmur tapi rakyat terpinggir.

 

  1. Jadi, ini yang disebut oleh seorang sarjana, ulamak, pemimpin Islam Indonesia, Mohammad Nasir. Katanya, “jangan, jangan membangun, sambil membangun kita robohkan”. Kita bangun gedung, kita bangun industri, kita bangun teknologi, kita bangun economic zone, tetapi rakyat tertekan. Penindasan berlaku tidak dipedulikan.

 

  1. Tetapi harus ingat, kalau tidak membangun, tidak ada economic zone, tidak ada industri baru, tidak ada pelaburan. Rakyat tidak terjamin dari segi pekerjaannya, pendapatannya. Jadi, hak bagaimana kita nak adakan perimbangan ini.

 

  1. Allah SWT dalam al-Quran menyebut tentang keseimbangan atau perimbangan ini. Ungkapannya ummatan wasata, wakazalika wajaalna kum ummatan wasata litakunu syuhada a’alan-nas wa yakuna rasulu alaikum shahida. Allah janjikan bahawa umat ini, umat yang istimewa kerana ummatan wasata. A balance community that attains equilibrium. Masyarakat yang ada perimbangan iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi — dia ada perimbangan dia.

 

  1. Kalau ini dicapai, negara merdeka, roh perjuangannya ada, bebas pemikirannya, ma’ruf ke arah ma’ruf, bawa perubahan ke arah kebaikan, benci dengan kezaliman dan rasuah dan penyelewengan dan bibit-bibit perpecahan dan amalan untuk memperbodohkan rakyat bangkit sebagai satu kekuatan.

 

  1. Kalau ini berlaku — perimbangan ini — Allah janjikan, litakulu syuhada a’-lan-nas. Kamu, termasuk umat Islam Malaysia, akan jadi contoh kepada manusia. Ini janji al-Quran.

 

  1. Contoh bagaimana? Kalau negaranya lembap, rasuahnya meluas, dadahnya banyak, perpecahan banyak, ada dakwah ceramah Islam maki hamun, ada bicara, ada kuasa, merompak kekayaan — itu tidak akan jadi contoh. Syuhada ala an-nas ini contoh kalau kita teguhkan keimanan, teguhkan peribadi, akhlak dan sahsiah, dan bangunkan negeri dan negara dan ummah. Ini disebut syuhada a’ alan nas.

 

  1. Baik, kalau benar kita capai ini semangat kemerdekaan, apa salahnya kalau kemerdekaan tahun ini kita sambut, khabarkan Jalur Gemilang. Tapi ingat, syuhada a’alan nas — kami mahu jadi contoh umat terbaik, umat seimbang seperti yang dijanjikan dalam al-Quran oleh Allah SWT, ummatan wasata.

 

  1. Pasti jadi contoh bukan sahaja kepada Malaysia, kepada dunia, syuhada a’alan-nas, contoh bagi manusia seluruhnya. Wa yakulu rasulu alaikum shahida, dan kalau begitulah, Rasulullah SAW akan jadi saksi di akhirat kelak.

 

  1. Jadi, saudara-saudari, sebab itu kita cuba. Ini bukan soal Anwar. Hari ini Anwar turun. Turun ke Muar, dua hari yang lalu saya turunkan Kedah. Baik, tapi yang penting itu kita lakukan sebaiknya.

 

  1. Saudara, tidak mudah, kita warisi. Sepertimana kita sebut, Johor — kita mahu Johor berkembang maju. Apa lagi, Tuanku Sultan Johor sekarang Yang di-Pertuan Agong. Dia mahu melihat juga kemajuan negeri. Dan kita mahu semua negeri berjaya.

 

  1. Kemudian ada idea — bagaimana boleh manfaatkan kedudukan kita, sinergi kita, Johor dan Singapura. Selain dari Forest City, kita ada Johor-Singapore Special Economic Zone. Cari jalan dan saya ucap terima kasih kerana Menteri Besar yang muda, gigih ini beri kerjasama yang padu dan dapat bangkitkan semangat Johor.

 

  1. Kadang-kadang ada sesetengah negeri ini Menteri Besar banyak cakap. Cakap maki hamun orang sahaja. Ini saya dengar ucapan Menteri Besar dia tak kira maki, dia kira bagaimana nak bantu nak tambah nak bangunkan negeri Johor dan selamatkan negeri Johor.

 

  1. Sebab itu saya kerap ke Johor. Senang, lega pergi tak kusut tapi seperti biasalah Menteri Besar, dia jumpa Perdana Menteri mesti minta lagilah (nada seloroh). Baik saya akan sampai ke situ.

 

  1. Jadi maknanya siapa sangka? 5 tahun lalu siapa sangka Johor boleh meningkat seperti ini? Kita push, tanyalah Menteri Besar Johor-Singapore Special Economic Zone itu saya Masa itu telefon, runding dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kemudian sekarang dengan Perdana Menteri Lawrence Wong. Kemudian bincang dalam Jemaah Menteri. Tak cukup, turun ke Johor. Mana pernah dulu Perdana Menteri bawa setengah Kabinet turun ke Johor. Ini Kerajaan MADANI lakukan. Tak cukup begitu, Menteri Besar dan EXCO dibawa ke Putrajaya, bincang lagi, percepatkan proses itu. Ini cara kita kerja. Janganlah maki sahaja. Ada masalah? Memang ada masalah. Apa kita senang menerima semua masalah? Tidak, kita cuba selesaikan.

 

  1. Mana ada negara di dunia yang pilih mudah turun minyak. Saudara ingat senang? Tak, sebab hutang kita masih banyak. “Oh, dia kata Anwar asyik cakap hutang, hutang,” memang betul. Hutang. Kalau tak bayar macam mana? Siapa nak labur? Ini negara katanya hutang tak mahu bayar. Siapa nak datang melabur? Nasib baik saya jadi PM saya bercakap berlapik, kalau tidak saya lajak je (nada seloroh). “Oh, dia kata asyik hutang”, hutang kamu, hutang kami kena bayar. Mana mungkin kita ketepikan dan hutangnya bukan kecil. “Oh, dia kata hutang akan bertambah”. Ini tak faham ekonomi.

 

  1. Saudara, hutang kita ini tahun 2022 kita pinjam baru. Hutang kena bayar, hutang meningkat begini kerana faedahnya. Tapi pinjam baru berapa tahun 2022? RM100 bilion. Tahun 2023 turun RM90 bilion, turun lagi RM80 bilion. Perlahan-perlahan mereka turun. Jadi yang kita buat dalam Kerajaan MADANI ini turun, jangan ada tambahan hutang baru.

 

  1. Sebab yang nak bayar esok anak-anak kita. Saya boleh hutang, popular Anwar belanja, nah bagi nak berapa? Bagi RM5 bilion. Tapi wang hutang siapa bayar? Anak-anak kita. Ini bertanggungjawab ke cara urus ekonomi begini? Ya, kalau dulu pun ada hutang, masa Almarhum Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dia hutang. Tapi hutang dari Bank Dunia untuk apa? Buka FELDA. Hutang untuk bangunkan projek-projek luar bandar. Dia kalau hutang-hutang begitu kita terima, saya tak rasa susah. Tak apa kerana saya tahu bapa-bapa kita dulu hutang untuk bangunkan rakyat. Tapi kalau hutang untuk sakau, ha, ini yang kita lawan sekarang. Seorang pemimpin anaknya RM1.2 bilion, seorang lagi keluarganya RM4 bilion. Haa tahu pun. Tapi bila kita ambil tindakan, “Anwar ini dendam”, “Anwar ini tak ambil peduli pasal orang tua”. Saya bukan peduli orang, saya nak wang itu yang ambil daripada rakyat bagi baliklah.

 

  1. Cakap “hidup Melayu, kita berjuang untuk Melayu” apa semua. Betul? Ya. Saya nak berjuang untuk Melayu? Ya. Berapa kamu ada sekarang? RM2 bilion. Okay, bagi satu RM1.5 bilion balik kepada Kerajaan dan bagi balik kepada orang Melayu. Barulah betul. Ini, “Anwar turun”. Turun? Wang itu bagi balik lah. Saya bukan nak dendam apa. Bilion-bilion ya.

 

  1. Ini erti merdeka. Merdeka ini kita boleh berfikir. Ada semalam orang bicara “oh minyak naik”. Dia tak tahu kita dah turun minyak. Dia tak mahu, tak puas hati dengan harga minyak di Malaysia. Okay, pergi beli di Singapura. Harga minyak tinggi di Malaysia, pergi beli di Thailand. Pergi beli di Indonesia, semuanya tinggi jauh melambung daripada kita. “Oh, turun 6 sen sahaja”. Saudara, bukan 6 sen. Harga pasaran tanpa catat keuntungan, ini bila kita kenakan esok untuk rakyat Malaysia semuanya RM1.99. Untuk warga asing, orang Singapura membeli minyak di Malaysia, orang asing kerja di Malaysia, dia bayar harga pasaran, RM2.60. Haa baru tahu. Haa 6 sen saja, 60 sen tahu tak satu liter?

 

  1. Baik, itu ada pula seorang pemimpin pembangkang dari Johor pula tu. Aduh dia kata apa? “Macam mana ni PMX ni tak berhati perut, dia nak minta orang asing bayar lebih. Orang asing pun bagi sumbangan juga”. Jadi saya tak faham. Orang asing tu tak bayar cukai. Mana di dunia ini orang asing diberi hak yang sama dengan warganegara? Tak ada. Tanggungjawab saya yang pertama jaga rakyat Malaysia, itu tanggungjawab saya.

 

  1. Saudara nak pilih pemimpin pembangkang yang nak jaga rakyat Bangla, pilih dia. “Saya mewakili rakyat Bangla dan India,’’ adoi poorah (nada berseloroh). Jadi, minta maaf ya. Ini sebab saya bicara soal merdeka. Sebab tu pemikiran saya merdeka. Kita bayar RM1.99 alhamdulillah lah — la’in syakartum la’azi dannakum wa la’in kafartum inna ‘azabi la syadid.

 

  1. Kalau dah boleh turun, turun la. Baik, yang lain bayar RM2.60. Itu pun kita tidak naik, masih rendah daripada negara-negara jiran. Jadi kalau orang Bangla, dia beli sini RM2.60, di Bangladesh lagi tinggi. Kena faham, ini kerana sentimen politik begitu rupa.

 

  1. “Oh, kadar elektrik naik”. Tarif elektrik naik, kadar turun 14%. Saya nak tengok orang Muar, tengok bil bulan ini, ia lebih rendah daripada bulan sebelum ini, kerana turun sekitar 14%, turun ya. Yang naik itu untuk industri. Jadi yang dia orang marah-marah ini, ini marah pasal apa elektrik naik, ini untuk orang kaya naiklah sikit. Ini sekolah kamu nak baiki, ini Menteri Besar Johor minta wang lagi, dari mana? Dari cukai. Nak cukai orang miskin, tidak boleh, cukai orang kaya lah! Ini nak kutip cukai pada orang kaya tidak boleh, Untung berapa?

 

  1. Kita katakan naik gaji minimum. Syarikat-syarikat kerajaan, Petronas, TNB, Maybank semua ni kita mesti RM3,000 ke bawah tetapi kita start dulu RM1,200, naik RM1,500, sekarang RM1,700. Cukup? Tidak cukup. Tinggi? Tidak, rendah lagi. Tetapi kita buat secara berperingkat dan kita paksa syarikat-syarikat kaya. Untung RM1 bilion, gaji pekerja RM1,500? Mana boleh. Sebab itu saya kata, merdeka ini maknanya jaga kebebasan dan manfaat rakyat. Jangan, tadi saya sebut jangan apa? Jangan, jangan membangun, sambil membangun kita robohkan. Syarikat satu dua kaya ratus-ratus juta, RM1 bilion ringgit, gaji pekerja RM1,500. Ini yang kita perjuangkan.

 

  1. Sebab itu setengah-setengah orang yang kaya, yang ditangkap dan didakwa rasuah ini, dia bersekongkol. Bayangkan, sepatutnya orang sokong, bersihkan negara ini. Jangan bagi pemimpin curi, ini sekarang tidak. Pemimpin yang curi tu dia dewakan. Dunia sudah terbalik. Ini bukannya yang Dato’ Onn Jaafar perjuangkan. Ini Onn lain, Onn besar satu lagi.

 

  1. Ini bukan yang beliau perjuangkan. Beliau perjuangkan kemerdekaan dan Merdeka ini bukan sahaja nyah Inggeris. Merdeka ini merdeka jiwa, merdeka rakyat. Merdeka kerana kefahaman. Ya, sukar. Memang sukar tetapi mudah-mudahan semangat bulan kebangsaan ini, kita nak sebarkan dan minta tolong orang-orang Muar dan orang Johor. Ini kerana bangsa Johor ini memang istimewa sikit Darul Takzim. Bangsa Johor ini, dia semangat lain macam.

 

  1. Saya tahu. Jadi saya nak, sebab itu kita pilih Muar dan Johor untuk kita gilap semula semangat kemerdekaan dan angkat martabat bangsa dan negara.

 

  1. Jadi sekali lagi, terima kasih. Ada permintaan sikit, tidak apa saya tumpu ke Muar. Jadi untuk Muar nanti, Pegawai Daerah mana, Pegawai Daerah? Okay, untuk Muar, Muar sahaja. Tidak apalah, kita tengok apa projek kecil-kecil ini. Selain daripada ini Johor dah banyak, janganlah (nada berseloroh). Tebatan banjir, Hospital Sultanah Aminah 2, lebuh raya itu perlu puluhan billion Onn Hafiz, kesian lah dekat PMX sama.

 

  1. Tetapi untuk Muar kerana saya datang Muar dan saya tengok semangat orang Muar terutamanya saya gembira sikit. Jadi Pegawai Daerah nanti saya minta ICU selaraskan kita tambah apa-apa keperluan yang kecil-kecil ni. Terutama yang rakyat-rakyat yang susah-susah ini ya yang B40, rakyat yang susah-susah. District officer (DO) tidak payah lah, tetapi yang rakyat yang susah. Itu rakyat saya tambah segera dalam seminggu dua ini — RM10 juta untuk rakyat di bawah, kerana menggilapkan semula semangat perjuangan kemerdekaan negara dan kerana mengibarkan Jalur Gemilang kebanggaan negara.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: