TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PECAH TANAH PROJEK SARAWAK – SABAH LINK ROAD FASA 2 (SSLR2)

11 September 2025

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

  

SEMPENA

 

 

MAJLIS PECAH TANAH

PROJEK SARAWAK — SABAH LINK ROAD FASA 2

(SSLR2)

 

 

 

11 SEPTEMBER 2025 (KHAMIS) | 1:00 PETANG

NANGA MEDAMIT, LIMBANG, SARAWAK

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Premier Sarawak;

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri Malaysia;

 

Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Anak Embas,

Timbalan Premier Sarawak, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak;

 

Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan,

Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak;

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi,

Menteri Kerja Raya Malaysia;

 

Menteri-menteri Persekutuan dan Negeri; Dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Terima kasih, sambutan Limbang ini luar biasa hebatnya dan bersemangat, terima kasih. Saya nak mulakan dengan Hari Malaysia, kerana dalam beberapa hari lagi, lima (5) hari lagi, kita sambut. Dulu, Sambutan Kemerdekaan di Kuala Lumpur, Hari Malaysia bergilir di antara Kuching dan Kota Kinabalu. Tetapi kita fikir tidak wajar lagi, sebab Hari Malaysia itu harus disambut oleh seluruh negeri-negeri di tanah air. Maka pada 16 September ini, sambutannya di Pulau Pinang.

 

  1. Apa maksud kita sambut hari-hari kebesaran ini? Iaitu mengimbau sejarah, memahami semangat pejuang-pejuang kemerdekaan dan kebebasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Belajar dari pengalaman mereka, menhirup nafas semangat perjuangan mereka, dan hidupkan cita-cita murni mereka. Dan Sarawak melahirkan banyak tokoh-tokoh yang menyebabkan kita menikmati Sarawak, Sabah, Semenanjung di Malaysia.

 

  1. Baru-baru ini di Kuala Lumpur, saya di depan saudara YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, saya bicara tentang peranan Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Anak Barieng. Jadi, kita bermanfaat kerana pada hari ini juga kita bersama dengan Premier Sarawak dan kenang jasa Tun Datuk Abang Haji Openg.

 

  1. Jadi pada hari ini kita dan anak-anak yang hadir, ingat bahawa ada pemuka, pejuang yang punyai wawasan dan di antaranya Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Anak Barieng dan Tun Datuk Abang Haji Openg dan lain-lain yang berfikir bagaimana hendak selamatkan Sarawak, Sabah, dan negeri-negeri Semenanjung. Kerana keadaan pada masa itu bukan seperti sekarang.

 

  1. Dunia bertempur di antara dua kuasa besar. Dan kalau kita tidak kuat dan berwaspada, kita akan jadi senasib dengan apa berlaku di Laos, Cambodia dan Vietnam. Dan pada masa itu juga, tidak seperti sekarang. Indonesia menjadi sahabat baik. Pada masa itu, Sukarno mengesyaki negeri-negeri Sabah, Sarawak, Brunei dan Semenanjung ini punyai agenda lain. Jadi dilancarkan “Ganyang Malaysia”.

 

  1. Soal keselamatan kita tergugat, Sarawak juga hadapi gerombolan-gerombolan komunis seperti mana yang dihadapi juga di Semenanjung dari Parti Komunis Malaya. Bapak-bapak kita ini, tidak ada pendidikan yang sangat tinggi. Bukan doktor-doktor, bukan ada ijazah-ijazah panjang lebar, tetapi punyai pertama, tekad dan kecintaan kepada negeri dan rakyatnya. Dan kedua, punyai wawasan, berfikir jauh, bagaimana dapat kita tangani masalah dan hadapi masa depan yang begitu kencang dan pertarungan yang hebat.

 

  1. Maka, mereka bersama dengan tokoh-tokoh lain, Tun Donald Stephens, Tun Datu Mustapha, dan di Semenanjung pada masa itu Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan lain-lain, mengatakan ‘mari kita berpakat, selamatkan rakyat kita, selamatkan negeri kita, selamatkan negara yang berbagai kaum, agama dan budaya ini dalam satu negara – Semenanjung, Sabah dan Sarawak.’ Maka jadilah Malaysia seperti mana kita kenal.

 

  1. Jadi yang pertama yang harus kita ingat: kenang jasa mereka, memaknai semangat perjuangan mereka, dan kagum. Kerana tanpa tokoh-tokoh ini kita tidak tahu apa nasib negara dan rakyat.

 

  1. Alhamdulillah kita sudah bertapak. Dan tentunya kerana Tanah Melayu Merdeka lebih awal dan tanahnya tidak sebesar Sarawak. Saya bisik tadi dengan Premier Abang Jo dan dengan Dato’ Sri Haji Fadillah, ‘tengok peta sahaja Sarawak ini kalau hendak buat jalan, lebuh raya, kalau di Semenanjung RM2 bilion, kalau di Sarawak RM6 bilion RM8 bilion. Kerana panjangnya, bukit-bukaunya dan cabarannya. Tetapi keputusan bapak-bapak dan ibu-ibu kita keputusan yang bijak.

 

  1. Tanggungjawab kita bagaimana mengekalkan muafakat itu, baiki melalui rundingan, kerana pada masa itu juga tidak mudah, pelbagai pandangan ada termasuk soal agama, soal kaum, soal suku kaum, soal daerah, dan masih panas suhu politiknya. Tetapi kewarasan kerana kebijaksanaan pimpinan kita yang cinta kepada rakyat dan negeri.

 

  1. Sebab itu, saya terima kasih kepada rakan-rakan kerana kerjasama ini diteruskan. Dan tentunya rakan-rakan kita macam Premier Abang Jo, sahabat lama saya, 40-50 tahun. Dia tahu bahawa apa pun masalah dalam kalangan kita, jalurnya mestilah dengan kasih sayang, dengan semangat persahabatan, dengan semangat cintai negeri kita, negara kita dan rakyat kita.

 

  1. Dan itulah sebabnya pengalaman saya hampir tiga tahun ini, saya hendak ucap terima kasih kepada Premier Abang Jo dan seluruh pasukannya di Sarawak kerana kita mendapat kerjasama dan sokongan yang diberikan, dan hasilnya apa? hasilnya faedah kepada rakyat. Persahabatan kita tidak pernah digunakan untuk mencari saham atau projek untuk Premier, tidak pernah disebut. Dia pun tahu, saya datang berulang kali, jumpa di sini, di Kuala Lumpur. Tidak pernah saya minta kemudahan tambahan, mungkin saya minta ikan atau udang kadang-kadang.

 

  1. Jadi persahabatan dan saling percaya mempercayai, built on trust and affection itu kerana kita punya tanggungjawab yang mesti kita sempurnakan. Tidak mudah, kerana masing-masing harus dengar masalah-masalah dan kadang-kadang masalah juga melarut berpuluhan tahun, kita hendak selesaikan dalam masa singkat memang tidak mudah. Tapi caranya dan jalannya ialah perundingan dan mencari yang baik.

 

  1. Dan saya juga menyeru rakan-rakan rakyat Sarawak, jaga negeri ini. Kerana adanya semangat lihat negara-negara jiran kita, bakar, rusuhan, pecah belah habis negeri, negara sudah miskin, orang pilih.

 

  1. Pagi tadi saya kesalkan, satu masalah projek perumahan luar Kuala Lumpur. Ketua polis daerah OCPD di baling batu pecah dan luka kepala. Ini bukan budaya kita, boleh bantah, boleh tidak setuju, tapi selagi kita pertahankan cara bermaruah dan aman, kita akan izinkan.

 

  1. Dan bagi saya, selagi ada mandat, ada saja unsur-unsur yang bawa perpecahan, keganasan, seperti yang kita lihat pagi tadi, kita akan bertindak keras dan tegas untuk menghentikan jenayah seperti ini. Negara ini lebih penting daripada sikap satu dua orang. Kerana ada orang kadang-kadang dia begitu semangat, tapi apa faedahnya? Bagaimana boleh dibandingkan dengan yang lain?

 

  1. Kita, ada sahaja dialog bukan saja di Persekutuan, negeri. Tanggungjawab mengenai rakyat memang dibawah Persekutuan, tetapi negeri memikirkan kerana kita pun ada batasan untuk untuk projek ini tujuh bilion, projek tiga bilion. Jadi kita pun terbeban ya, fikir sebagai satu pasukan. Maka ada yang jadi tanggungjawab kita, negeri kata tidak apa kami laksanakan kerana semangat muafakat sebagai satu negara.

 

  1. Ini cara kita, jangan kita maknanya apa sahaja lebihan dana Sarawak dipulangkan kepada rakyat. Datuk Seri Fadilah tahu dalam kabinet, Alex ada saja ruang bantu, STR, semua sini dapat. Berapa jumlah satu tahun? RM15 bilion. Maknanya wang kerajaan itu dipulang kepada rakyat, setiap orang, setiap bulan masuk akaun.

 

  1. Saya hendak tanya, berapa negara buat ini? SARA baru ini RM100 tambahan daripada STR dan i-SARA. Makna saya hendak tunjuk sebab ada saja tambahan RM2 bilion ke RM3 bilion pulang balik kepada rakyat dan ini dasar kita.

 

  1. Di Persekutuan, ada negara-negara mengatakan menteri-menterinya gondol kekayaan. Tetapi dalam kerajaan MADANI menteri-menteri sampai sekarang potong 20% gaji. Tetapi penjawat awam naik gaji, berapa jumlah gaji naik tahun ini? Tambahan daripada dulu, RM10 bilion. Berapa jumlah? tambahan untuk tahun depan 2026. RM18 bilion. Untuk semua, polis, tentera, pegawai awam.

 

  1. Mereka ini kerja, macam pekerja KKR, itu kerja susah, jalan, pantau, penat, lelah, terpaksa tinggal keluarga. Jadi kita harus prihatin bantu apa yang mampu dan itu tidak boleh selesaikan semua masalah bagaimana mungkin hendak bandingkan dengan orang-orang lain. Ada yang baru-baru ini di Nepal, bakar rumah mati mantan isteri Perdana Menteri.

 

  1. Dan tentunya melihat keadaan, masing-masing negara itu pilihan mereka. Tetapi Malaysia ini mesti pilih jalan aman. Perubahan yang baik, Malaysia ini sekarang salah satu negara yang dianggap aman, dapat tarikan pelaburan yang besar, dan rencana-rencana baru.

 

  1. Ini pertama kali saya pergi bicara Panjang di Limbang, terima kasih. Umpamanya Premier, kita fikir bagaimana hendak majukan Sarawak, universiti ada, kilang dan teknologi ada, kita kena fikir ke depan. Sarawak sekarang bukan Sarawak 50 tahun dulu.

 

  1. Sarawak sekarang bukan Sarawak 50 tahun dahulu. Sarawak sekarang, saya pergi ke mana di Geneva, di Paris, di Jepun, orang bicara Sarawak ini sebagai gergasi dari segi kekuatan tenaga baharu di rantau ini. Maknanya bila Sarawak maju, kita senang semua. Bukan saja orang Sarawak, Sabah, Semenanjung semua rasa dan saya malah panggil, jemput Premier Abang Jo. Saya kata ada mesyuarat dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri seluruh Malaysia, mesyuarat yang saya pengerusikan. Saya kata “Abang Jo, datang, you bagi sikit taklimat bagaimana fikir ke depan,” kalau tidak asyik-asyik minta saja. Tapi ideanya tidak ada. Kerja kurang, dia fikir-fikir pandangan lama tapi saya lihat ada rencana-rencana baru. Esok saya akan bersama-sama rasmi di Kuching teknologi baru.

 

  1. Siapa boleh fikir? Jangan kata 50 tahun lalu, 20 tahun lalu Sarawak hendak ke depan dari segi teknologi baru. Esok Insya-Allah kita lihat bagaimana Sarawak bersama-sama ke depan dalam bidang itu. Jadi kalau semua ini kita lakukan, maknanya jaga keamanan negara kita. Mudah? Tidak. Pakaian pun berbeda, warna pun berbeda, agama berbeda, bahasa berbeda, rupa pun berbeda. Apa? Kita hendak hasut supaya cerita pasal perbedaan itu atau kita tingkatkan tentang nilai kemanusiaan.

 

  1. Dalam negara MADANI ini kita tingkatkan nilai manusia. Kita ini manusia, saya bukan pilih jadi Melayu atau Alex, Iban. Memang nampak dia Iban, tingginya pun tinggi Iban tapi bukan dipilih tetapi apakah kita hendak tunjuk perbedaannya? Tidak. Saya tunjuk kekuatan kita. Dia lahir dari satu keluarga yang hebat berjasa pada negara. Dia bicara pantas dalam bahasa. Dia kasih kepada budaya dia dan rakyatnya dan budaya Iban. Tetapi sesuatu kekuatan, berapa negara yang boleh bangga dengan petunjukan-pertunjukan pelbagai? Ibu bapa saudara-saudari mungkin tidak ikuti. Saya hampir tiap bulan ada tetamu-tetamu luar negara.

 

  1. Bulan depan Presiden Donald Trump hendak datang, Perdana Menteri Li Qiang datang, Presiden Putin mungkin datang. Tapi dalam semua majlis itu, bila ada saja pertunjukkan kalau di Seri Perdana atau yang dianjurkan kerajaan tidak pernah tertinggal. Budaya Melayu, budaya Cina, Tamil, Iban, Kadazan, kadang Surut, Murut, benda itu kita hamparkan dan bila mereka lihat ini Malaysia? Iya, orang bangga kerana kesatuan dan kepelbagaian berbagai budaya itu tetapi semangat satu Malaysia yang hebat dan cemerlang.

 

  1. Jadi, ini yang saya hendak pesan, soal jalan sudah diterangkan cukup. Cuma Datuk Hasbi ini sibuk hendak cakap rupanya yang hendak minta klinik. Saya tentu sebelum berkata ya, saya tanya Premier Abang Jo, saya tanya Fadillah. Saya tanya Premier, Premier kata tanah okey. Tanya Fadillah, jalan masuk semua okey, kos lebih kurang RM10 juta – 11 juta. Jadi, Alex kita luluskan sekarang dan kita cuba jalankan mulai tahun ini.

 

 

  1. Pandai orang Limbang ini, dia sambut dengan senyum saya pun lembut hati saya ini. Bayangkan saya hendak kata tidak boleh, tidak terkeluar istilah. Wang saya tidak tahu. Kena carilah. Tetapi Insya-Allah kita hendak tunjuk dalam Kerajaan MADANI ini, kita umum sekarang saya tidak mahu mula tahun depan atau 3 tahun lagi. Tidak. Mulai sekarang, bagi 2 minggu mungkin harus buat persiapan-persiapan awal dan mudah-mudahan siap dalam masa yang secepat mungkin.

 

  1. Saya tadi turun di padang sekolah menengah, anak-anak bagi sambutan hangat. Jadi, untuk klinik sekitar RM10 juta – 11 juta kita akan buat perkiraan, kita luluskan untuk mulai tahun ini peringkat awalnya. Kerja-kerja awalan boleh mula kalau lambat salah Datuk Hasbi.

 

  1. Kemudian tentang sekolah, untuk guru-guru dan pelajar-pelajar dan kemudahan mereka mungkin sedikit makan minum, saya lulus RM100 ribu ringgit untuk mereka.

 

  1. Jadi sekali lagi nak cakap terima kasih dan kejayaan Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 ini yang sebenarnya memberi keselesaan. Naik helikopter dari Miri ke Limbang lalu Brunei, saya faham betapa sukarnya kawasan bukit-bukau, rendah, tinggi dan sebab itu kos itu lebih tinggi dan memerlukan dana yang besar dan usaha yang lebih panjang. Tahniah sekali lagi kepada Kementerian Kerja Raya, KSU dan seluruh pasukan Pengarah dan lain-lain atas kejayaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Premier dan seluruh pasukan negeri Sarawak.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: