TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS ILMU MADANI BERSAMA SYEIKH MUHAMMAD HYDARA AL-JILANI
4 June 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS ILMU MADANI BERSAMA SYEIKH MUHAMMAD HYDARA AL-JILANI
4 JUN 2065 (KHAMIS) | 7.30 MALAM
MASJID AL- SULTAN ABDULLAH
MENARA MERDEKA 118, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahil-ladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba wa lam yaj’al lahu ‘iwaja
Wa usolli wa usallimu ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berbahagia Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia;
- Kita teruskan dengan acara Majlis Ilmu MADANI. Selama ini kita adakan di Kompleks Seri Perdana, tetapi pihak PNB kata, gedung ini dan menara ini jauh lebih tinggi dari Kompleks Seri Perdana. Sebab itulah kita ucap terima kasih kepada pihak PNB yang bantu menguruskan dan menjayakan majlis pada malam ini, satu-satu ulung yang diadakan di luar dari Kompleks Seri Perdana.
- Malam ini kita diraikan oleh beberapa ulama masyhur dari seluruh dunia, dan kita manfaatkan waktu untuk mendengar mereka, dan bukan mendengar celoteh saya. Sebelah kiri saya ini Shaykh Muhammad Hydara al-Jilani, ulama masyhur, seorang yang terkenal dengan pengikut-pengikutnya dari seluruh dunia. Dia ini dari Tarekat Qadariyya yang berasal dari Gambia dan bergerak dari pelosok dunia. Saya memanfaatkan dari ilmu beliau dan doa beliau selama puluhan tahun.
- Dan tentunya yang akan menjadi mutarjim yang luar biasa, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid; dari Yayasan Ar-Riʿayah yang kita kenal bersama-sama. Kemudian, Shaykh Mohammed Amin Kholwadia, Presiden Darul Qasim College dan Al-Amin Ethics Institute, Jadi, Chicago ini bukan semua gangster, ada juga orang alim yang boleh menyampaikan ilmu. I’m just saying that Chicago does not only produce the mafia that we watch in movies (joking).
- Kemudian kita ada Shaykh Dr. Walead Mohammed Mosaad, Shaykh and Scholar-in-Residence, Sabeel Community, dia dilatih di Al-Azhar, tapi juga dari Universiti Exeter, UK dan telah punyai pengalaman, mendapat bimbingan ilmu daripada Syekh Ali Jum’ah, saudara tahu daripada mantan mufti Mesir dan juga Shaykh Muhammad Hydara al-Jilani.
- Kemudian, Shaykh ʿAbd Allāh Muḥammad Bilāl, President Arabic Manuscript Institute Mauritania. Dia ini masyhur di Mauritania dan di Afrika, 300,000 muridnya dan seorang alim yang banyak memberikan bimbingan, bukan sahaja dalam bahasa Arab, tetapi juga dalam kesedaran Islam. Dan dia mendapat beberapa hadiah utama termasuk King Muhammad VI Prize for African Manuscripts. Saya tadi diberikan manuskrip Quran yang berusia lebih dari 300 tahun dan juga sejadah yang dibuat begitu lama. Dan sepertimana saudara tahu sebagai Perdana Menteri, hadiah-hadiah itu saya terima, tapi saya daftarkan sebagai milik Kerajaan, jangan bimbang, jadi ini untuk awam, saya pegang sebagai amanah sementara, kemudian saya akan pulangkan untuk menjadi tatapan umum.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
- Apa maksud kita mengadakan majlis ilmu ini? Ini dari awal kita katakan kerana pertama, prinsip kita ini harus sentiasa menimba ilmu dan menyampaikan dengan baik. Wa man ahsanu qawlam mimman da‘a ilallah wa ‘amila salihan wa qala innani minal-muslimin (Surah Fussilat:33). Itu keyakinan kita. Apa pun tugas, apa pun kerja, dan saya lihat ramai anak-anak mahasiswa dan pelajar di sini, kita jangan lupa itu prinsip asas dia.
- Kemudian, saya dapati dalam pengalaman sedikit, dalam kerja-kerja masyarakat dan politik ini, bahawa apa pun kita kerjakan, mesti berdamping dengan orang ulama dan menimba ilmu daripada mereka, dan memperoleh keberkatan daripada mereka. Kalau tidak, jeritan-jeritan itu menjadi jeritan-jeritan kosong, yang hanya menimbulkan syak wasangka permusuhan, tapi tidak terikat, yang pada dhamir adalah kekuatan hati nurani kita.
- Jadi cabaran bagi semua negara Islam, semua umat, apalagi Malaysia, dengan kedudukan kita pelbagai kaum, pelbagai agama, cabaran utama umat Islam ialah menimba ilmu dan tentunya mengamalkan, Istajibû lillâhi wa lir-rasûli idzâ da‘âkum limâ yuḫyîkum (Surah Al-Anfal: 24). Tidak boleh lari daripada itu, bukan hanya menyampaikan. Kadang-kadang orang banyak pandai menyampaikan, nak bersihkan, betulkan sana sini, tapi jahanam habis yang dalam kelolaan mereka.
- Jadi sebab itu, kita harus ingat bahawa tanggungjawab kita menimba ilmu dengan memperkuatkan akidah. Apa hubungannya dengan negara MADANI? Semua negara di dunia sekarang ini mengejar kemajuan, pembangunan dan banyak negara-negara sudah mempunyai kecondongan untuk menguasai Artificial Intelligence – AI, dan juga tadi saya hadir taklimat tentang Quantum Computing, bunyi pun tidak berapa nak faham. Tapi ini semua teknologi baharu, ilmu baharu, tapi bukan itu sahaja. Bila disebut negara MADANI ini, terasnya mesti nilai, mesti akhlak. Menguasai ilmu itu tak lari daripada hakikat keperluan mengukuhkan iman dan menambah ilmu, dan memperbaiki akhlak. Apa ertinya kita sebagai Muslim yang katakan Muslimun hakikiyun tetapi menimba ilmu seperti yang lain. Tidak ada asas akidah, tidak ada asas akhlak. Sebab itu bagi kita, cabaran kita, bukan sahaja cuba mempamerkan kehebatan ilmu, tapi mengamalkan dengan kekuatan dan asas akhlak yang kukuh.
- Ini yang saya fikir, yang bezakan kita menguasai ilmu, menguasai teknologi. Kita bincang pagi tadi, persidangan besar dunia mengenai energy transition – transisi tenaga beralih daripada fossil fuel, minyak biasa kepada EV dan sebagainya, hidrogen. Tetapi itu perlu maknanya kalau tak kuasai, kita ketinggalan. Kita jadi mundur, kita ketinggalan, kita dihina, kerana kita mewakili bukan tamadun. Tapi Islam tanpa tamadun, Islam itu berdiri dengan ilmu, dengan tamadun, dengan keyakinan, menguasai ilmu, menguasai, mempengaruhi rantau dan dunia, kerana asas ilmu. Tapi ilmu yang ada kaitannya dengan asas, dengan akidah dan penguasaan akhlak yang baik.
- Sekian, mukadimah tazkirah pada malam ini. Saya mulakan dengan saudara Shaykh yang sangat saya muliakan, yang banyak saya timba, ya banyak tidak ada maknanya dampingan beliau dan cuba menghadam pesanan-pesanan beliau. Shaykh Muhammad Hydara al-Jilani ulama bukan sahaja di Afrika, tapi banyak kegiatannya di Eropah, di dunia Arab dan kita syukur, Alhamdulillah, kerana dapat bersama.
Tafaddhal ya Shaykh.
