TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA KETUA-KETUA AGENSI PENGUATKUASAAN
28 January 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI
BERSAMA KETUA-KETUA AGENSI PENGUATKUASAAN
28 JANUARI 2026 (RABU) | 2.30 PM
DEWAN UTAMA
KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera.
Nahmaduhu wanusalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,
Menteri Dalam Negeri;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar,
Peguam Negara;
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya pertamanya mohon maaf kerana lewat sampai, saya di Parlimen tadi. Malah saya telah beri arahan supaya mulakan acara dahulu, tapi kadang-kadang protokol itu yang mengatur kita. Jadi, lain kali kalau ada acara-acara, saya minta diteruskan, jangan tunggu. Jadi, saya mohon maaf kerana agak lewat daripada jadual kerana saya tadi ada urusan di Parlimen dan ada beberapa tindakan yang saya mohon badan-badan penguatkuasa bertindak segera.
- Jadi saya nak teruskan ke mauduk. Kita catat rekod dari segi kejayaan ekonomi, pengurusannya membanggakan. Kita boleh senaraikan kejayaan yang kita capai. Tetapi kita juga harus insaf bahawa ruang untuk memperbaiki itu masih ada. Sementara kita boleh syukur, Alhamdulillah, tentunya harus bersyukur, tetapi kita juga harus muhasabah melihat kepada kekuatan kita dan kelemahan kita. Melihat kepada ruang yang harus diperbaiki, kelemahan yang harus diperbetulkan, dan inilah yang saya nak sampaikan hari ini.
- Setelah tiga (3) tahun mengemudi Kerajaan dari dalam, saya tentunya lebih arif tentang kekuatan dan kelemahannya. Saya sama rakan-rakan tentunya juga bernasib baik kerana kita ada pasukan, baik penjawat awam, penguatkuasa, pengurusan di semua peringkat yang berikan kerjasama, begitu juga di sektor swasta.
- Tetapi genap tiga (3) tahun saya mengemudi, saya merasakan ada ruang, lompongan yang mesti diperbaiki. Kelemahan tidak boleh dibiarkan. Baik dari segi pencerobohan atau penyeludupan, atau bertolak ansur kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku, dan ada di antaranya dengan ruang dan keizinan badan penguatkuasa.
- Jadi, saya nak berikan anjuran yang agak tegas dan singkat sahaja, pada sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan. Kalau saudara diamanahkan, dan rasanya kurang mampu melaksanakan kerana cabaran terlalu besar dan ujian berat; dan minat atau tarikan, pelawaan terlalu menarik, saya syorkan dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua, atau kepada saya sendiri, atau menteri, ataupun peguam negara atau sesiapa, bagi tahu kita belum bersedia untuk mengambil langkah berani dan oleh itu beri laluan kepada orang lain. Satu (1) minggu.
- Mengapa saya pilih untuk menyatakan ini? Kerana saya sudah sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang yang wajib diperbaiki. Kita hendak selamatkan negara ini, dan negara ini punya potensi yang sangat baik. Rakyat umumnya itu mengharap dan dahaga satu pembaharuan dan pembelaan. Jadi, saya harap dalam tempoh seminggu ini kita renung betul-betul. Saya, peringkat setinggi-tingginya, renung bersama apakah kita sanggup mengambil tindakan.
- Saya akan hormat saudara-saudari kalau memilih untuk menyatakan, ya saya pilih untuk ke jawatan yang lebih rendah atau tanggungjawab yang lebih kurang, tetapi kalau pikul tanggungjawab ini, dalam tempoh seminggu ini, lakukanlah yang sebaik mungkin.
- Bagaimana boleh negara ini izinkan penyeludupan terang-terangan? apa kita ini buta, tak dapat melihat? bolosnya sempadan? Apakah orang kita hilang nilai kebenaran? apa itu hikmah, apa itu ihsan, apa itu adil, tidak mengerti sama sekali? Sehingga kita boleh izinkan keterlanjuran ini berlaku.
- Dan sekiranya kita tidak mahu izinkan, maka kita harus kerja sebagai satu pasukan. Yang datang ini hadir, bukan dari satu, dari semua pasukan. Kerja satu pasukan saudara-saudara, dan cuba selesaikan dengan sebaik mungkin. Yang pegang jawatan, yang bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang, bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama dan oleh pelbagai jabatan. Tetapi bintang-bintang kegemerlapan itu harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak. Jangan kita ambil sikap sambil lewa, mudah memaafkan dan merasakan perkara ini boleh berlaku terus-menerus.
- Jadi saya menyeru rakan-rakan untuk segera bertindak. Mulai detik ini dan ucapan ringkas saya, iaitu untuk masa untuk bertindak. Mengapa saya agak kesal? Kerana saya tahu kalau kita nak senaraikan jumlah yang kebaikan dan hebat, banyak saudara-saudara, dan ramai saudara-saudari yang cukup berjasa dalam khidmatnya. Tidak boleh dimungkiri dan dinafikan, tetapi kenyataan juga memaksa kita merenung, fikir secara serius, apakah kita mahu menjalankan kegiatan seperti biasa, sambil lewa. Penyeludupan, okay. Rasuah, boleh. Kegiatan kongsi gelap, boleh diterima dan pelbagai kegiatan penyeludupan kita tidak boleh lagi, teruskan.
- Jadi, saya bukan datang pagi ini untuk memberikan gambaran yang lunak-lunak. Kalau laporan yang baik-baik itu, kita fail dulu. Laporan yang menarik itu saya ingat kita fail sahaja. Yang sekarang kita harus tanya diri kita, apakah kita bersedia lakukan pembaharuan, islah mastata’tu, bawa perubahan sedaya upaya kita, bawa kebaikan untuk selamatkan bangsa dan negara kita.
- Saya memilih untuk meluahkan ini kerana betapa pun saya rasa tersinggung dan gusar, saya masih menaruh keyakinan, kerana bekerja dan kenal ramai saudara-saudara. Saya tahu, dalam lubuk hati kita kecil itu masih ada keinginan untuk membuat sesuatu yang baik. Ini naluri insan yang Allah jadikan kepada kita. Tidak sempurna, semua kita ada beberapa keterbatasan, kelemahan. Tetapi, di benak hati kita, dhamir dan naluri kita, tentunya sebagai manusia dan insan, menginginkan sesuatu yang lebih baik.
- Saya mendoakan kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, mudah-mudahan kita dapat melakukan sebaik mungkin, mulai detik sekarang, tanpa kecuali, tinggi mana pun jawatan saudara-saudari, bintang gemerlapan, bagaimana tinggi sekalipun, dia tidak mengganggu merungsingkan saya. Yang penting pikullah amanah dengan sebaik mungkin.
- Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi kekuatan kepada kita, menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara kita tercinta.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
