TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: HIMPUNAN SOLIDARITI BERSAMA GAZA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HIMPUNAN SOLIDARITI BERSAMA GAZA
8 OKTOBER 2025 (RABU) | 9.00 MALAM
AXIATA ARENA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,salam sejahtera, salam Malaysia MADANI .
Alhamdu lillahil-ladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaaba,
Wa lam yaj’al lahu ‘iwaja,
Wa usolli wa nussalli ‘ala rasulillah al-karim,
Wa ‘ala alihi waasahbihi ajma’in.
Rakan-rakan menteri;
Sahibus Samahah Mufti;
Saudara YBhg. Dato’ (Dr.) Ahmad Sani bin Dato’ Abdul Alim Araby;
Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri bin Kamaruzaman; dan
Pejuang-pejuang wira wirawati yang saya muliakan serta rakan-rakan.
- Alhamdulillah, ada tekad, ada semangat, ada tindakan. Saya beritahu rakan-rakan jangan pedulikan satu dua suara-suara. Apa suara-suara ini kecil, yang kita lawan itu gergasi, Israel, tetapi sedikit pun tidak rasa takut dan cemas.
- Sembilan (9) masih di tahanan Isreal. Sahabat saya, Presiden Recep Tayyip Erdoğan, baru bagi mesej melalui Menteri Luarnya sampai kepada YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, insya-Allah, Turkiye akan terus bantu yang sembilan (9) itu. Ini baru lagi. Sani, berita terakhir.
- Kita dengar kisah tadi. Dan, tentunya, sebagai manusia, kita terkesan. Ini kisah derita abad ini. Bukan tahun ini. Bukan dua (2) tahun yang lalu. Abad ini belum pernah menyaksikan penderitaan rakyat dihina, diabdikan seperti mana yang dialami oleh masyarakat, rakan-rakan kita, Gaza dan Palestin. Lakukanlah sedaya upaya kita. Ya, betul ada pengorbanan. Saya terharu kerana betul mereka menceritakan pengalaman, tapi tidak pernah seorang pun yang bicara yang meninggalkan sebenarnya mereka ini sekadar membawa suatu suara. Suara memperjuangkan nasib rakyat Gaza dan Palestin.
- Yang kita berhimpun malam ini betul kita raikan mereka kerana mereka itu jadi wakil kita memperjuangkan kebebasan, kemerdekaan dan maruah orang Palestin.
- Hari ini di Sharm el-Sheikh, Mesir ada rundingan. Ditekan oleh Amerika Syarikat, Mesir, Qatar. Disertai oleh Hamas dan juga Israel. Ada permulaan perbincangan, liku-likunya masih panjang. Kita mendoakan, mudah-mudahan ada hasil yang lebih positif. Mengapa kerajaan Malaysia mengambil tindakan, keputusan mendukung semangat persefahaman awal ini? Apakah kita puas hati sepenuhnya? Tidak. Apakah kita percaya ini akan berlaku seperti mana dirangka? Tidak.
- Tetapi, kita bersama dengan rakan-rakan dunia Arab, dunia Islam dan dengan negara yang lebih progresif, mahu penindasan ini, kezaliman ini, penjajahan ini, pembunuhan ini dihentikan oleh Zionis Israel. Kita mahu Gaza bebas dan kita mahu segera bantuan kemanusiaan sampai. Tapi ini tidak boleh menghentikan ia jadi polemik politik seolah-olah kita jual maruah, kita tunduk kepada Presiden Trump.
Saudara-saudara,
- Bila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hendak merdeka, dia bawa rombongan pergi ke London, jumpa siapa? Itu penjajah Inggeris. Itu orang yang menjajah negara kita. Yang kejam terhadap rakyat kita, yang mengaut kekayaan negara kita, yang mengusir raja-raja kita, merendahkan martabat Islam di negara kita. Tetapi rundingan diplomatik itu penting kerana matlamatnya kemerdekaan.
- Vietnam, mangsa di tangan Amerika, sebelumnya Perancis itu jutaan orang terkorban. Kemudian ada langkah damai, Amerika dan Vietnam berunding di Paris.
- Saudara, harus ada kebijaksanaan. Yang saya mahu dan rakan-rakan saya mahu itu damai. Jangan dibunuh lagi anak-anak kita di Gaza. Jangan diapa-apakan wanita kita. Merdekakan mereka. Beri hak kepada mereka. Kalau ini bermakna kita, atas nama ASEAN mengundang Donald Trump, apa salahnya runding? Saya bukan menyerah, saya nak runding.
- Baru-baru ini selesai masalah yang rakan-rakan kita, 23 orang. Diorang nak kena belanja lah saya sikit sebab diorang punya pasal saya tak berapa tidur (nada seloroh). Tetapi, ini bukan kerja saya seorang. Betul! Emir Qatar, Perdana Menteri Qatar. Kemudian Presiden Tayyip Erdogan. Penasihat Keselamatan. Kita bincang. Tetapi ramai. YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan hubungi Secretary Rubio, Amerika Syarikat. Oh, tanya, oh apa guna? Amerika itu sokong Israel. Tapi kita hendak cari penyelesaian. Penyelesaian itu ada kebijaksanaan. Memerlukan kebijaksanaan. Bukan kita menyerah. Kita mencari helah kebijaksanaan yang disebut diplomasi.
- Kemudian, ada seorang lagi yang berpengaruh. Menurut Emir Qatar, menurut Perdana Menteri Muhammad bin Salman Arab Saudi, menurut Presiden Recep Tayyip Erdoğan, dia kata “Anwar cuba hubungi Witkoff, Steve Witkoff yang mengepalai rundingan di antara Hamas dan Israel” Saya kata, baik, terus tugaskan Saifuddin Nasution cari Witkoff. Bagitahu anak-anak kita ditahan di penjara Israel. Kita minta kerjasama dibebaskan.
- Jadi, Amerika Syarikat, Jordan. Apa kita setuju semua dengan Jordan? Tidak. Kita setuju dengan Qatar semuanya? Tidak. Saya harap rakan-rakan faham. Kita jangan ikut sentimen kita, angkuh kita, seolah-olah kita tahu semua. Hina saya sebab atas nama ASEAN jemput Donald Trump. Perdana Menteri yang paling tak guna, itu bukan isunya. Bukan soal dagang sahaja, tapi soal kebijaksanaan, politik harus ada, kematangan harus ada. Baca sejarah pejuang-pejuang Islam. Rasulullah SAW dengan beberapa perjanjian orang yang menghina, yang tak sanggup terima Nabi Muhammad itu Rasulullah, itu pun berunding. Apa kita lebih daripada itu?
- Mengapa kita izinkan begini? Ini anak kita berkorban “Free, Free Palestine!” Semangat sikit! Ini 23 orang. Saya salute sebab… “ish aku kalau nak pergi pun tak mudah juga, dia pergi. Oh, niat dia mungkin tak baik, dia nak popular, dia nak famous kan pondok dia lah.” Ini manusia jenis apa ini? Kamu tak berani pergi, orang pergi, kamu doakan. Ini tak, kamu hamun dia. Kemudian habis itu, “Allahu Akhbar!”
- Saudara, bangkit dan selamatkan negara kita. Orang yang sanggup berjuang, kita salute, doakan. Itu yang serendah-rendah yang mampu kita lakukan. Saya anak Malaysia, dengan Palestin ini sudah lama. Tahun 1973, saya ketuai demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dalam perang atas dunia Arab masa itu, ‘1973 War’ disebut ‘Ramadan War’.
- Tahun 1973 saudara belum ada, tahun 1983 saya hadir di Algiers, mesyuarat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diketuai oleh Yasser Arafat. Yasser Arafat angkat saya sebagai anaknya. Tapi saya tahu betapa sukarnya. Jadi soal komitmen, kita harus ada. Jadi bila anak-anak ini sampai ke situ, sanggup keluar dalam lautan, tinggal keluarga-keluarga, runsing anak-anak, tak tahu nasibnya. Ini bukan melawat Paris. Ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai oleh Israel.
- Sebab itu, mula diberitahu pada saya, saya kata, “Allah, anak-anak ni…hai” Saya sebagai bapak tentunya runsing, kerana saya tahu ini mereka ini cari susah. Susah dia, susah aku sekali. Tetapi saya hormat mereka. Ini kita bangga! mereka mencipta sejarah anak-anak yang sanggup berjuang!. Dia tak sama dengan orang bicara.
- Di depan dunia Arab, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan ada. Bila saya, saya sorang-sorangnya dalam ucapan di depan semua pemimpin dunia Arab dan dunia Islam, saya kata, “Ini, perisytiharan apa lagi nak buat? Memorandum apa lagi nak buat? Orang dibunuh lagi setiap hari!”
- Jadi sekarang anak-anak kita mahu belayar termasuk Sumud Nusantara, dalam Global Flotilla. Saya minta mereka sokong dan jamin mereka selamat bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Saya sebagai anak Malaysia bicara, bangga dengan pengorbanan dan perjuangan mereka dan rakan-rakan seluruh dunia.
- Ini beza, dulu saya ingat lagi dalam perhimpunan lalu, Sani, saya sebut walladzîna jâhadû fînâ lanahdiyannahum subulanâ, wa innallâha lama‘al-muḫsinîn, beza orang bicara dengan orang yang melangkah dalam jihad ini. Kalau niat mereka, iktikad mereka betul, kita doa agar direstui.
- Jadi saya harap anak-anak ini jangan sedih. Saya tak fikir mereka terguris. Ini pejuang-pejuang handalan. Tetapi ingat, mereka ini memberi pencerahan.
- Berapa banyak pemimpin-pemimpin United Nations General Assembly bicara berdentum-dentam, buat rumusan, buat resolusi, ratusan mesyuarat dan sidang, tetapi, pelayaran ini daripada sesiapa. Ustaz besar, ustaz kecil, tetapi menggemparkan dunia.
Satu dunia bicara tentang mereka. - Alhamdulillah, kerana Malaysia diwakili dan sekarang pula diminta, menyelaraskan, salute kepada Sani, Nadir dan kawan-kawan. And we will support you in this exercise.
- Baik, saya ingat jemput saya datang untuk dengar-dengar, cukup berucap, rupanya ada nawaitu yang lain. Betul, saya fikir strategi penting, kebijaksanaan kita. Kita dah cuba melalui lawatan, dan sekarang ada rundingan. Dan minggu depan ini, hari Jumaat, Belanjawan. Belum selesai lagi. Jumaat, Belanjawan. Nak minta apa, minta sekarang (nada berseloroh).
- Tapi yang saya nak jamin, sokong Palestin, itu tetap. Baik, ada cadangan yang saya rasa wajar diberi pertimbangan. Saya, rakan-rakan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan semua yang ada di sini, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, YB Puan Fadhlina binti Sidek, ramai lagi. Siapa lagi ada? YB Tuan Nga Kor Ming pun ada, YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara. Mana? Saudara bayangkan, negara mana di dunia, bila kita bicara tentang Flotila dan Palestin, Kabinet dan seluruh pegawai-pegawai kanan kerajaan di sini. Peguam Negara, Ketua Polis semua ada.
- Alhamdulillah, kita ada nikmat di negara Malaysia tercinta ini. Jadi, minggu depan selesai Belanjawan. Isnin, Selasa saya akan panggil dengan kawan-kawan bincang, dengan Sani, Nadir dan kawan-kawan wakil, macam mana strategi nak sampai ke Mesir. Pecah tembok Rafah!
Takbir! Allahu Akbar!
Takbir! Allahu Akbar!
- Dan kalau boleh minggu depan, setelah berunding dengan mereka, saya akan hubungi Presiden Abdul Fattah Al-Sisi, Presiden Mesir.
Takbir! Allahu Akbar!
- Mudah-mudahan laluan itu lebih mudah. Yang penting untuk apa? Untuk bagi mesej bahawa kita menyokong perjuangan rakyat Gaza dan Palestin.
- Mesej apa lagi? Dunia tidak boleh membisu. Dunia bukan dalam zaman barbaric. Ini zaman tamadun. Mesti bebas. Mesti beri mereka makan, minum, perubatan, sekolah, masjid seperti mana yang sewajarnya bagi mana-mana rakyat di dunia ini.
- Kalau ada rakyat Malaysia memang ada, beberapa orang yang bertanya, “Bila saya luluskan RM100 juta, dia kata ada orang miskin di sini, mengapa heboh sangat nak bantu orang lain?” Saya nak beritahu, kamu belajar baca balik perisytiharan kemerdekaan negara Malaysia ini. Malaysia ini merdeka sebagai negara bebas dan berdaulat. Bebas maknanya bebas menyuarakan. Mengapa kita merdeka? Kerana kita tolak penjajah Inggeris. Mengapa kita biarkan Gaza dijajah oleh Israel?
- Jadi mudah-mudahan saudara-saudara yang belum tamat pengajian dia, kita beri dakwah dengan baik, ‘bil hikmah wal mau‘izah al hasanah’. Insya-Allah ada kebaikannya.
- Tapi saudara-saudari yang ada, memang dilantik sebagai wakil-wakil pejuang Gaza di Malaysia. Lakukanlah sebaik mungkin. Belum selesai. Belajar dari pengalaman mereka. Ikat perpaduan kita, rabitah taha. Perpaduan kita biar mantap dan kuat. Beri pencerahan, biar tingkat ilmu dan amal kita. Jangan singgung. Bila orang berbuat baik, jangan su’uzan. Biar ada baik sangka. Kamu tak sanggup, jangan hina orang yang sanggup. Dan saya percaya, insya-Allah, Malaysia ke depan dan akan lebih baik.
- Alhamdulillah, dengan rakan-rakan kita, dengan Sumud Nusantara, nama Malaysia akan harum. Malaysia sekarang bertapak sebagai satu negara, bukan sahaja pendiriannya, tapi prinsipnya. Ini negara bebas dan merdeka, sanggup berkawan dengan semua, negara China atau Amerika, dengan siapa sahaja tetapi tetap tegak prinsip kebebasan dan keadilan, tanpa takut kepada sesiapa pun!
Takbir! Allahu Akbar!
Free Palestine! Free Palestine!
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
