TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: HIMPUNAN PENDEKAR MADANI

16 September 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

HIMPUNAN PENDEKAR MADANI

 

 

16 SEPTEMBER 2025 (SELASA) | 3:00 PETANG

POLITEKNIK SEBERANG PERAI, PULAU PINANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillahi rabbil-Alamin nahmahduhu wa nusalli ala rasūlihil-Karīm, wa ʿalā ālihi wa ṣaḥbihi ajmaʿīn.

 

Yang Mulia Ayahanda Dato’ Dr. Raja Abdul Majid bin Raja Mat Isa,

Pendita Utama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia;

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdullah Ghani bin Haji Kassim, Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia;

 

Yang Mulia Kolonel Kehormat (PA) Dr. Hj. Md Radzi bin Haji Hanafi,

Presiden Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia;

 

Yang Berusaha Tuan Sazali bin Salleh @ Dato’ Meor Abdul Rahman,

Pewaris Amanah, Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (SENDO);

Yang Mulia Paduka Ayahanda Hj Abd Rani bin Hj Zainol, Pewaris ke-3, Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia;

 

Yang Berusaha Tok Guru Kasturi bin Dato’ Dr. Raja Abdul Majid,

Presiden Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia;

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz,

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;

 

Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan;


Dan anak-anak Pendekar MADANI yang saya kasihi sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, semarak semangat memartabatkan budaya mengangkat semangat warga yang bangga dengan warisan budaya dan seni pertahanan diri Melayu yang agung. Jadi, saya ucap tahniah kepada anak-anak Pendekar MADANI yang hadir pada hari ini. Tentunya saya di antara yang bertuah kerana mengikuti sejarah kebangkitan kebangsaan Melayu, gerakan Islam awal, dan yang bersama dengan kebangkitan kemaraan seni pertahanan diri.

 

  1. Pelbagai pertubuhan silat termasuk yang ada dari zaman Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim kepada Ustaz Hanafi dan lebih-lebih lagi Pak Andak Majid. Itu di antara tiga tokoh yang saya kenal, yang sedikit sebanyak saya belajar silat dari mereka. Anak-anak yang dikasihi, apa istimewanya majlis hari ini? Majlis ini menghimpunkan kekuatan anak-anak bangsa. Kalau mahu maju bangsa ini, dia maju dengan semangat, dia maju dengan disiplin, dia maju dengan ketahanan diri, dia maju kerana bangga dengan budaya Melayu yang agung itu. Dan kebanggaan ini, kebanggaan di negara kita, Malaysia, dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Pencak Silat yang dikenali dari Laksamana Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekiu dan Lekir. Dikenali sebagai orang yang amanah, orang yang kental semangatnya, orang yang disiplin, orang yang berakhlak mulia, yang benci dengan kezaliman, benci dengan penindasan, benci dengan buli di kalangan kita.

 

  1. Kehebatan pertahanan diri ini bukan untuk kita bersikap angkuh. Saya kenal Ustaz Hanafi, Cekak yang lama dengan saya di Kampung Baru, Yayasan Anda Akademik dan mula mengasaskan ABIM. Puluh tahun dengan Pak Andak Majid. Orang-orang ini, tokoh-tokoh yang kita raikan hari ini, dia tidak baik dengan saya atau memuliakan kerana saya Perdana Menteri, tetapi mereka baik dengan saya kerana semangat dan perjuangan memartabatkan orang Melayu di negara kita. Apa hebatnya? Hebatnya kerana Melayu yang semangat dan disiplin itu tahu adab, tahu akhlak, tahu hormat sama-sama Melayu, tahu hormat kepada bukan Melayu, tahu menjaga negara ini dengan aman, adil dan bahagia bagi semua. Dia bukan menanam semangat untuk benci kepada orang, untuk menghina kepada orang, tetapi angkat martabat, kehebatan dan akhlak orang Melayu itu sendiri.

 

  1. Saya faham daripada Pak Andak Majid, saya faham daripada Ustaz Hanafi, Datuk Meor Abdul Rahman, dan sebelumnya Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang mendukung ini semua. Mereka mahu orang Melayu itu punyai disiplin, punyai akhlak, supaya dapat memimpin negara ini bukan untuk benci kepada orang lain, bukan untuk hina kaum lain tetapi untuk tunjukkan bahawa Melayu itu adalah bangsa yang hebat, berdaulat, rajin dan berdisiplin. Ini yang saya kenal dan saya percaya. Lebih-lebih lagi dengan rakan saya yang memimpin Persatuan Lima Generasi, seorang tokoh muda yang hebat mengangkat kawan-kawan.

 

  1. Hari ini himpun semua dan saya percaya kalau inilah semangat pemimpin-pemimpin badan silat dalam negara kita, supaya ada semangat muafakat di kalangan kita. Badan-badan boleh bergerak sendirian, melatih secara masing-masing, tetapi kita terikat dengan semangat dan kita mulakan pada hari ini, hidupkan semangat Pendekar MADANI di negara kita. Dan saya akan mulakan, insya-Allah, untuk tahun ini gerak segera.

 

  1. Dan saya sebut tadi, untuk menggerakkan kegiatan mulai tahun ini juga, supaya Pendekar MADANI ini tidak hanya bergerak pada hari ini tetapi dengan penyelarasan oleh Presiden Pertubuhan Lima Generasi, membantu Pejabat Perdana Menteri menyelaraskan kegiatan semua pertubuhan-pertubuhan pesilat ini. Maka saya tugaskan Dato’ Haji Abdullah Ghani untuk membantu menyelaraskan dan ayahan ini untuk Pendekar MADANI saya mulakan dengan peruntukan dari Kerajaan MADANI RM2 juta.

 

  1. Tugas kita, sekali lagi saya sebut, bangsa Melayu tidak akan gagal. Bangsa Melayu akan merempat, bangsa Melayu akan terus dihina, akan kecil kalau tidak ada semangat bersatu, kalau tidak ada disiplin, kalau tidak ada kekuatan menguasai ilmu dan ada kebanggaan jati diri dan memuliakan budaya mereka sendiri.

 

  1. Saya tegaskan semula sejarah kita, sejarah gemilang. Bila kita sebut Kesultanan Melayu Melaka, itu apa? Kuasa? Ya. Tapi kuasa kerana ilmu, kuasa kerana kepintaran, kuasa kerana teknologi, kuasa kerana semangat dan akhlak, dan disiplin yang kuat, dan itu yang harus kita tanam sekarang. Inilah falsafah MADANI bila kita sebut Negara MADANI, dan kini Pendekar MADANI kita menghidupkan semangat yang sedemikian.

 

  1. Saya percaya Menteri Pendidikan ada, akan gerakkan kegiatan ini – Pendekar MADANI masing-masing persatuan, tak ada masalah bagi saya, tetapi ada satu saluran utama. Kita adalah satu bangsa, satu budaya, dan seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong, tapi untuk melatih anak-anak bangsa kita. Dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat Pendekar MADANI ini, dan seterusnya di politeknik, di Institut Pendidikan Guru, pendidikan tinggi kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat mengangkat martabat, harkat dan darjat bangsa ini. Boleh? Baik.

 

  1. Jadi yang hadir ini pegang satu amanah besar. Orang-orang ini mesti pintar, kental semangat mereka, kuat disiplin mereka, patuh kepada guru-guru mereka, cinta kepada ibu bapa mereka, dan kasih kepada negara Malaysia yang tercinta ini. Apatah lagi hari ini adalah Hari Malaysia, 16 September.

 

  1. Pagi tadi, jam 9, saya sampai dari Doha, negara Qatar, sampai ke Pulau Pinang. Perjalanan hampir 8 jam dari Doha. Saya ke Doha tak sampai satu hari. Untuk apa? Sidang tergempar ketua-ketua negara Islam dan negara Arab, membincangkan keganasan, kezaliman, kebiadaban Zionis Israel yang terus membunuh, memperkosa, memusnahkan nyawa, harta benda dan tanah air Gaza dan Palestin. Mutakhir, sanggup serang negara jiran, Qatar.

 

  1. Saya mewakili Malaysia, tapi saya beri pandangan yang tegas. Saya mewakili semangat Pendekar Silat MADANI, mewakili semua guru-guru silat yang ada, dan menyatakan dunia Islam mesti kuat. Kuat dari rumah tangga kita, kuat dari negara kita, kuat ekonomi, kuat semangat, kuat roh Islam, kuat akhlak, dan kuat pertahanan negara masing-masing, baru boleh kita membina kekuatan. Dan dalam ucapan, depan raja-raja dan ketua-ketua negara Islam satu dunia, saya katakan jangan kita akui, jangan kita ada hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali, dan jangan berdagang, jangan berkawan dengan negara zalim yang menindas rakyat.

 

  1. Dan anak-anak tahu kenapa saya berani bicara begitu? Kerana saya mewakili rakyat Malaysia, dan kerana saya juga di antara yang dilatih oleh guru-guru besar ini. Apa erti silat dan semangat roh perjuangan Islam dan Melayu iyang mesti kita bawa.

 

  1. Anak-anak dikasihi sekalian, seperti mana kata guru-guru silat kita, disiplin untuk jadi gagah. Gagah bukan hanya di gelanggang, gagah dalam kehidupan. Gagah itu kerana jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia. Jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia tidak mengizinkan sikap menghina atau bongkak dan takabbur. Ada anak-anak kita yang terlatih setelah pintar dalam sepak terajang, silat ini ada unsur-unsur keangkuhan, kesombongan. Ini mesti dilenyapkan. Ini sahaja boleh menjamin kejayaan rakan-rakan.

 

  1. Sekali lagi saya tegaskan, badan-badan silat boleh teruskan dengan warisan pengasas dan guru-guru besar mereka dulu. Tetapi kita selaraskan dari semasa ke semasa. Dengan dana awal ini untuk menghimpunkan. Dan dalam pusingan kedua sama ada akhir tahun ini, kalau ataupun awal tahun depan, kita akan adakan majlis besar-besaran sama ada di Kuala Lumpur atau di Putrajaya. Anak-anak setuju hadir? Setuju? Ya kan? Kita pastikan yang hadir ini semuanya diundang sama ada di Putrajaya atau di Kuala Lumpur, insya-Allah.

 

  1. Hari ini juga Dato’ Dr. Raja Pak Andak Abdul Majid bin Raja Mat Isa yang sudah pun berusia dan agak uzur sedikit tetapi kita hormat kerana sanggup bersama kita semua dan anak-anak semua. Beberapa bulan lalu, bila menemui beliau di Kedah, saya kenangkan pengorbanan, jasa dan khidmat beliau. Saya katakan tadi, nasib saya begitu baik. Orang boleh cerita pengalaman-pengalaman pahit hidup saya, tetapi ada keistimewaannya. Seperti mana saya sebutkan tadi, bertahun-tahun dengan Ustaz Hanafi di Yayasan Anda Akademik, di ABIM dan di rumah beliau. Kemudian puluh-puluh tahun oleh Cikgu Majid, acara di rumah saya di Segambut, acara di Gurun dan beliau di antara tokoh yang tidak langsung mempedulikan sama ada saya terlempar di luar atau di dalam. Ini sahabat setia yang sanggup bersama suka duka.

 

  1. Sebab itulah pada hari ini kepada Cikgu Majid, di antara sebab saya cadangkan supaya ada perhimpunan besar di antara yang paling besar mutakhir ini, perhimpunan silat semua pertubuhan yang kita raikan, di antara yang besar kerana ramai tokoh-tokoh besar kita sudah pun meninggalkan kita. Jadi yang ada, walaupun uzur, kita jadikan majlis ini meraikan Tokoh Silat Negara, Dato’ Dr. Raja Pak Andak Abdul Majid bin Raja Mat Isa.

 

  1. Bagi kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, akan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada beliau, selari dengan pengorbanan beliau selama sekian lama dalam dunia silat yang bererti juga latihan kepada anak-anak bangsa selama puluhan tahun.

 

  1. Jadi anak-anak dikasihi sekalian, ini satu permulaan besar anak-anak hadir pada hari ini membawa dan mencetuskan sejarah baru negara Malaysia, sejarah Pendekar MADANI!

 

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: