TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM: KENDURI RAKYAT BERSAMA WARGA SEKOLAH PONDOK NEGERI PERAK
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KENDURI RAKYAT BERSAMA WARGA SEKOLAH
PONDOK NEGERI PERAK
11 OKTOBER 2025 (SABTU) | 4.45 PETANG
SEKOLAH MENENGAH TAHFIZ DARUL RIDZUAN,
IPOH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
salam sejahtera, salam Malaysia MADANI .
Alhamdu lillahil-ladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaaba,
Wa lam yaj’al lahu ‘iwaja,
Wa usolli wa nussalli ‘ala rasulillah al-karim,
Wa ‘ala alihi waasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad;
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;
Yang Berbahagia Datuk Seri Sollehuddin Alyubi bin Zakaria,
Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan,
Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak;
Yang Berusaha Al-Fadhil Ustaz Ahmad Zaki bin Mohamed Yusof,
Pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan;
Guru-Guru serta Pengasas Pondok yang kita undang khas pada petang ini.
- Kita ucapkan jazakumullahu khairan kathiran atas persiapan walaupun diberi notis yang singkat, sekadar menemui atas khidmat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memantau kedudukan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan pondok sekitar negeri Perak. Seperti yang kita tahu dan diumumkan dalam Belanjawan semalam, ada pendekatan baru selain daripada peruntukan tambahan yang besar kepada kegiatan Islam melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga jabatan di bawah Perdana Menteri untuk meningkatkan pendidikan, termasuk tahfiz dan kedudukan sekolah-sekolah agama, pendidikan Islam dan mengimarahkan program-program di masjid dan juga program agama keseluruhannya.
- Jadi, cecah sehingga lebih daripada RM2.5 bilion ringgit. Daripada dulu, ini peruntukan terbesar yang pernah diluluskan oleh kerajaan bagi kegiatan Islam di negara kita. Selain daripada itu, seperti yang saudara sudah tahu, kita telah pulihkan semula peruntukan sekolah agama rakyat yang dibatalkan sejak 2003. Maka sejak 2022, bila saya ambil alih, dengan kerjasama kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan MADANI ini, saya sudah kembalikan balik peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat.
- Sejak tahun lalu, telah berkunjung ke beberapa sekolah-sekolah pondok. Kita lihat keadaan itu sangat daif. Jadi kita mohon umpamanya dari Pegawai Kemajuan Negeri dan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Yang Berbahagia Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria ada, kita minta dipantau ke mana kedudukannya. Dan memang banyak yang betul-betul daif. Jadi kita senaraikan dan kita ikut urutan keutamaannya. Kalau keadaan sekolah itu sangat daif, harus diperbaiki. Bumbungnya, sekolahnya, kelasnya, tandasnya dan kita ikut urutan. Kemudian barulah kita kembangkan kepada yang lain.
- Tadi pengetua ada sebut tentang perkara ini. Pondok di Malaysia, pesantren di Indonesia, atau sekolah-sekolah agama bentuk sama ada zawiyah, atau ma‘had di mana-mana negara. Itu punyai sejarah tersendiri dan telah memainkan peranan besar. Anak-anak muda sekarang harus juga diberi maklumat sama ada daripada didikan Islam atau yang sebaliknya. Malah untuk bukan Islam sendiri pun bahawa semangat kemerdekaan, semangat anti-penjajah, semangat pertahankan maruah dan jati diri, akidah, umat itu benteng pertahanannya itu adalah di pondok dan pesantren.
- Muhammad Natsir, salah seorang pemimpin Islam Indonesia yang pernah mengetuai Masyumi dan pernah menjadi Perdana Menteri Negara Kesatuan yang pertama di bawah Presiden Soekarno, menyebut bahawa di kala seluruh jentera kerajaan yang mula tewas itu adalah elit politiknya. Walaupun kedudukan mereka kekal, tetapi penjajahan itu bermakna penawanan bukan sahaja negara dari segi politiknya, tapi bagi kita sebagai mangsa, sistem ekonominya, sistem pemikirannya, sistem budayanya, sistem pendidikannya, semuanya itu terpaksa mengalah.
- Makna, elit politik, ekonomi, sosial mengalah dengan tentangan yang begitu kuat dan kekuatan daripada penjajahan. Kalau kita baca umpamanya di India, rencana Lord Macaulay, mengatakan tidak mungkin dirobah warna kulitnya hitam, tetapi dia mahu jiwanya itu orang Inggeris. Pemikirannya, budayanya, kagumnya dengan bahasa Inggeris, sistem pendidikan Inggeris, sistem ekonomi Inggeris itu mesti dipertahankan dan diasak.
- Di Mesir, yang dulunya menjadi benteng tamadun Islam juga, mundur, parah kerana rencana dan muslihat penjajahan. Pada masa itu, Lord Cromer yang memerintah Egypt mengatakan cara tawan orang Arab ini ialah menawan jiwa mereka. Politik mengalah, sistem ekonomi dia rasa kagum. Tidak ada ekonomi lain melainkan ekonomi Barat, tidak ada sistem pendidikan lain melainkan pendidikan Barat, tidak ada bahasa lain melainkan bahasa Barat, sama ada Inggeris atau Jerman atau Perancis, atau Itali.
- Di kala itu, Indonesia tentunya ada termasuk Snouck Hurgronje yang jauh lebih pintar dari Cromer di Mesir, Macaulay di India, Stamford Raffles di Malaya pada masa itu, termasuk Singapura. Dia pernah menulis, sebelum saya pergi ke Indonesia, Snouck Hurgronje itu Pakar Pengajian Islam di Universiti Leiden. Diangkat oleh Queen Wilhelmina menjadi penasihat kerana kepintarannya dia faham.
- Dia menggunakan nama Abdul Ghaffar. Nama dia Snouck Hurgronje. Guna nama Abdul Ghaffar, pergi ke Mekah, Makkatul Mukarramah. Dan di situ, sebagai seorang kononnya Muslim, berkahwin dengan seorang wanita Jawa. Dia menulis dua buku yang penting. Dia mengkaji. Maknanya, seperti mana orang pergi haji. Orang pergi haji ni kadang-kadang banyak, ya ziarah betul, tapi dia jadi macam kadang-kadang tourist Tapi orang ni dia kaji semua jenis ibadah orang Islam.
- Siapa yang mengajar di kawasan Kepulauan Melayu ni, terutama orang Indonesia, Jawa dan Sumatera, dan Melayu lah. Nama gurunya itu Syed Ahmad Khatib, dia tulis. Apa yang dia ajar, dia tulis. Dan apa jadi? Orang yang pergi ke Mekah atau menunaikan fardhu haji pada masa itu, pulang membawa roh perjuangan Islam. Menentang penjajahan. Dan mula mengasaskan pesantren-pesantren sebagai benteng pertahanan umat. Benteng akidah, benteng ilmu, benteng akhlak, dan menanam roh perjuangan, roh jihad.
- Itu dikaji dalam dua buku. Satu mengenai dua jilid mengenai orang Aceh, dia tulis dalam bahasa Belanda, De Atjehers. Dia tulis dalam bahasa Inggeris – The Acehnese. Dia kaji seluruh pemikiran, sikap, orang Aceh dia baca buku mana, dia belajar daripada guru mana, dan semangat dia bagaimana.
- Kemudian dia tulis satu lagi buku, Mekka in the Latter Part of the 19th Century — Mekah di Akhir Abad ke-19. Itulah yang menyebabkan Queen Wilhelmina, Belanda mengasaskan, meluncurkan dasar baru. Bagi yang tahu sejarah Indonesia, tahu apa yang berkaitan, The Ethical Policy. Cikgu Saarani bin Mohamad dia ingatlah, dia mengajar dulu. Ethical dan dasar etika. Apa dia dasar etika? Ni penjajah ni. Dasar etika ni bagi dia pendidikan, bagi dia pengiktirafan, bagi dia jadi kerani, bagi dia seronok. Tapi bagi dia menghirup budaya Barat. Bagi dia rasa kagum dengan Barat. Bagi dia rasa yang lain itu rendah budaya Islamnya, agamanya itu tidak relevan dalam pembangunan Indonesia.
- Kalau saudara lihat umpamanya novel-novel yang terkenal, kalau tengok ‘Siti Nurbaya’, ataupun yang Marah Roesli satu lagi, ada beberapa novel yang menunjukkan bagaimana manusia Indonesia yang asalnya ada di kampung, belajar sedikit agama tapi terus berubah, kagum dengan Barat. Dan inilah jadi kemudian pertembungan di antara pemikiran yang sepenuhnya taasub dengan Barat.
- Inilah yang disebut oleh Bapak Muhammad Natsir – “Dikala seluruh kekuatan elit politik mengalah, sistem ekonomi runtuh, sistem pendidikan itu terus menerima yang sistem Barat, dikala itu satu-satunya benteng pertahanan umat yang ada adalah pondok dan pesantren.”
- Alhamdulillah, dengan segala kekurangan, dia meniupkan semangat kebangsaan, kemerdekaan, menentang penjajahan, menanam bibit keyakinan kepada Islam sebagai benteng aqidah, akhlak, sahsiah dan roh. Ruhul jihad – perjuangan.
- Tetapi mana mungkin kita padamkan sejarah dan perjuangan. Sebab itu bila kerajaan MADANI mengambil alih, kita merasakan sesuatu harus diluruskan semula dalam sejarah. Benar, peranan pondok harus juga berubah ikut masa.
- Sebab itu bila saya pergi umpamanya pondok di Kelantan, yang Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah terkenal termasyhur itu, ya, kita boleh baiki, kita bantu. Tapi kita juga beritahu, kita tak mahu merubah sistem. Belajarlah kitab-kitab lama. Kitab kuning dia pilih, tak apa, kita tak mahu ganggu. Tetapi kita minta dia faham keadaan semasa. Penguasaan bahasa harus baik. Mungkin ada bahasa kedua yang harus baik. Sejarah harus diketahui. Suasana, waqiah, kenyataan hidup di Malaysia harus dia tahu. Kerana dia tidak boleh lihat dan berjuang dalam lingkungan pondok yang tertutup lagi. Dia kena berdepan dengan kenyataan di luar. Dulu, dia tidak boleh keluar di zaman penjajah. Pondok itu duduk di Pondok, dia keluar, ditangkap oleh penjajah. Sekarang, kita mahu pondok bukan menjadi sekadar benteng, tetapi dapat memberikan sumbangan kepada pemikiran.
- Untuk itu, beberapa penyesuaian harus dibuat. Bagi pihak kerajaan, saya dah ambil keputusan dan saya umumkan semalam, kita tambah peruntukan untuk baiki pondok-pondok, kemudahan dia, perpustakaan dia. Kalau perlu makmal sains, makmal sainsnya. Tetapi bagi pihak pondok dan pesantren, juga harus terima kenyataan beberapa perubahan harus dilakukan.
- Pengajian tradisional tidak mahu ganggu. Saya tak mahu pula ganggu nanti, Tok-tok Guru ni kata “Kamu tahu apa nak campur?” Saya tak mahu campur. Tapi saya nak cadangkan supaya ditambah. Kalau pondok tidak menguasai digital, teknologi, AI, orang yang menguasai AI itu akan tenggelamkan pondok sebagai penjajahan baru. Kerana Artificial Intelligence itu, AI sudah menjadi satu kenyataan di dunia.
- Kalau kita biar orang luar menguasai, dia tidak jajah seperti dulu tapi dia jajah pemikiran dan teknologi kita. Bermakna, kita harus kuasai teknologi ini, kita harus masukkan apa yang perlu. Qur’annya, hadithnya, akhlaknya, buku sejarahnya, tamadun Islamnya, Kalau tiada jawapannya, tentu jawapan yang ditetapkan oleh orang asing. Ini beberapa perubahan.
- Alhamdulillah, setakat ini banyak yang pondok-pondok dan maahad tahfiz yang buat beberapa penyesuaian. Sama ada sebahagiannya ambil SPM, sebahagiannya dalam TVET sebagai permulaan dan seperti mana saya sebut, memang dari segi Kerajaan MADANI dan saya Alhamdulillah syukur, walaupun apa pun orang bicara di luar, tegur sana kritik sini kita tiap-tiap buat tapi lihat kenyataannya, baru dilakukan pemulihan sekolah pondok dan agama oleh Kerajaan Persekutuan itu baru dimulakan sejak 2022-2023. Tidak sebelumnya.
- Sebagai dasar walaupun Kerajaan Perpaduan ini ada wakil daripada parti-parti lain, ada Cina dan ada Kadazan dalam Kabinet tetapi saya nak umumkan bila saya putuskan, dipersetujui semua dan dalam Belanjawan saya umum, secara terbuka supaya rakyat tahu ini dasar Kerajaan MADANI yang ada sekarang.
- Jadi yang kadang-kadang yang saudara dengar dari ceramah-ceramah itu lain. Dengar ceramah itu lain, tiada Islam, hapuskan Islam ni. Kamu dulu masa perintah, duit sekolah agama pun kamu batalkan. Sekarang kita nak pulih balik, tidak cukup sekali itu, kita kena tambah kena yang belajar tu anak-anak kita, bukan 10,000 atau 20,000, ratusan ribu orang.
- Ya, tentunya tidak boleh dan kita tinggal dia puluh tahun, nak suruh dalam dua tahun pulihkan semua, tidak mungkin. Kalau nak buat begitu, saya kena naik cukai. Naik cukai, orang mengamuk. Dia minta peruntukan macam pengetua. Dia minta peruntukan tambah, cuba cadangkan dia, boleh naik cukai? Hah, mampuih dia hempuk aku.
- Jadi, kita nak elak daripada bebankan rakyat tapi kita nak buat mengikut urutan keutamaan. Dia disebut Fiqh Awlawiyyat, itu dia. Ya, maknanya ikut keutamaan keadaan kemampuan kita.
- Jadi, insyaAllah, kita akan perhatikan perkara ini dan ikut keutamaan dia, termasuk di Tambun, di Perak dengan kerjasama Menteri Besar dan saya ucap terima kasih Menteri Besar kerana Sekolah Maahad Tahfiz sebegini, peringkat menengah ini suatu yang indah dan membanggakan kita, Alhamdulillah. Dan bila kita senaraikan umpamanya sekat peruntukan setakat ini dan harus tambah. Kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang ini, 137 pondok termasuk 8 pondok di negeri Perak. Ini yang kena bagi keutamaan dulu bukanlah katanya sekolah menengah tidak penting, nanti sekejap. Orang Kelantan kata, ok sebentar.
- Baik, tapi keseluruhannya, untuk segera, saya dah peruntukkan RM34.81 juta hanya untuk baiki dulu tandas, bumbung, dinding, ini dulu ya, supaya sekolah itu boleh berjalan dalam keadaan selamat. Kemudian, saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai kepada sekolah.
- Sekarang ini umpamanya kita ada seribu sekolah angkat semua syarikat-syarikat kerajaan Petronas, Maybank, Khazanah, syarikat-syarikat swasta, saya arahkan supaya mereka ambil sekolah-sekolah angkat. Setakat ini belum masuk lagi sekolah-sekolah menengah agama, sekolah-sekolah Maahad Tahfiz bagi peringkat kedua, kita minta.
- Jadi kerajaan akan memperuntukkan, sekarang ini yang kita luluskan adalah RM34.81 juta, termasuk untuk 8 pondok di Perak kemudian saya akan teliti bersama Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Ekonomi untuk bagaimana supaya kita tingkatkan menjadi ini satu program supaya jelas nampak perubahan komitmen kita dalam Kerajaan MADANI ini.
- Saya mohon Tuan-Tuan Guru yang ada dan rakan-rakan beri kerjasama untuk bangunkan ini. Kalau kita setakat simpang siur, maki hamun politik ni takkan habis. Kerja tidak jalan. Jadi boleh tegur, boleh kritik, boleh cadangkan apa-apa yang boleh kita lakukan tapi terima kenyataannya. Apa dia kenyataannya? Tahun 2003 dibatalkan bantuan sekolah agama rakyat, tahun 2022 saya pulihkan balik dan kembalikan, itu pertama. Kedua belum ada melainkan program-program kadang-kadang dekat pilihan raya, pergi sekolah pondok bagi duit sikit-sikit, itu ada. Dulu dekat pilihan raya, minta okey bagi sikit. Tapi ini tidak, ini adalah dasar kerajaan. Mesti pulih kedudukan sekolah agama, sekolah pondok, maahad tahfiz itu dasar negara sekarang ini. Memulakannya itu dengan RM 34.81 juta, memulakan.
- Dan kita kerana belum lagi dapat maklumat, kerana setengah sekolah pondok dia tidak mahu kerjasama sama sekali, tidak apalah, koho-koholah orang kata. Kui-kui, orang Kedah kata. Perlahan-perlahan tapi yang kita ambil yang sedia kerjasama, sudah kita tidak campur. Bukan kerja campur, bukan tak ada syarat apa. Syaratnya, urus dengan baik, bagi kemudahan yang baik kemudian kalau nak masuk TVET, masuk TVET. Kalau nak masuk ada makmal sains, buat makmal sains. Kalau tak mahu, buat apa yang sanggup, itu sahaja. Dan ini melalui rundingan kerana banyak sekolah pondok ini diurus oleh lembaga mereka sendiri, kita hormat dan kita akan bincang cara teliti.
- Tentang khusus pengetua, janganlah oleh kerana saya tak umum apa-apa tak bagi makan pulak dah (nada berseloroh), tapi nanti saya bincang dengan Kerajaan Negeri, Menteri Besar dan lihat bagaimana kerana seperti yang saya sebut, keutamannya itu penting. Kita mesti pastikan sekolah yang betul-betul daif dan memerlukan pertolongan itu dibantu segera. Itu dulu.
- Kadang-kadang saya tengok, saya lihat di Kelantan, sekolah bumbung pun bocor, tandas rosak untuk… ada tempat itu 280 pelajar, satu tandas. Ini semua hal-hal yang kita harus bantu segera. Segera ni maknanya segera, bulan ini, bukan tunggu tahun depan dan belanja untuk itu dulu.
- Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberikan kekuatan.
Wabillah taufiq ilu halidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
