TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : SESI PERTEMUAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DI KEMENTERIAN DALAM NEGERI

19 February 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

 

SEMPENA 

 

 

SESI PERTEMUAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DI KEMENTERIAN DALAM NEGERI

 

 

19 FEBRUARI 2026 (KHAMIS) | 8.30 PAGI

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

PUTRAJAYA

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

 

Alhamdu lillāhil qā’il,

Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān,

hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,

Wasallallah hu ala saidina Muhammad,

wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.

 

Saudara Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri;

 

Saudara Yang Berbahagia Shamsul Azri Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Ketua-Ketua Setiausaha;

 

Ketua Polis Negara dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Jazakumullahu khairan katsiran, terima kasih khususnya kepada Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan menyampaikan tazkirah yang sangat bernas pada pagi ini, dan saya percaya kita dapat menelaah dengan baik, hadam mesejnya, kerana kita mula dalam Madrasah Ramadan ini dengan perasaan sangat tawaduk dan rendah diri, ini bulan dimana kita hanya kembali ke sekolah Ramadaan. Mufti mungkin, atau menteri, tapi semuanya balik ke sekolah.

 

  1. Jadi elok bagi kita bukan sahaja KDN dalam Kerajaan, dan bagi rakyat, mahasabah dan ambil kesempatan ini untuk perbaiki diri kita masing-masing. Masanya bukan hanya sekadar mengajar orang kuliah untuk orang baiki, tapi masa kesempatan kita menoleh ke dalam mahasabah, perbaiki kelemahan kita, tingkatkan upaya kita dalam pelbagai bidang dan dimensi. Sebab itu, bulan Ramadan ini, semua kita tahu tentang kewajipannya. Yaa ayyuhal lazeena aamanoo kutiba ‘alaikumus Siyaamu kamaa kutiba ‘alal lazeena min qablikum la’allakum tattaqoon (Surah Al-Baqarah, ayat: 183-185).

 

  1. Semua kita tahu tuntutan Ramadan, dan amalan yang pernah dilakukan oleh umat sebelumnya. Bukan sebab itu tradisi, puasa itu sendiri tradisi yang menjadi sunnah alam kemanusiaan sebelumnya, sepertimana dalam Al-quran. Bezanya ialah bagi kita la’allakum tattaqoon ujian keikhlasan, ujian disiplin, ujian diri. Sebab itu ulama sepertimana dikupas tadi dikaitkan Ramadan itu sebagai Tarbiyatul Ruhiyah, itu Madrasah Ruhiyah, lebih dirumuskan kepada kekuatan diri dan disiplin diri walaupun ada kaitan dengan masyarakat. Lebih prihatin, lebih membantu rakyat, lebih sedar dan insaf tentang derita dan kemiskinan, tetapi yang utama ialah untuk cari kesempatan pada bulan ini untuk meningkatkan upaya kita dalam pelbagai bidang.

 

  1. Sebab itu ulama memesan, kebetulan Sheikh Ahmad Fauwaz tadi menyebut Sheikh Dr. Taha Jabir Al-Alwani, guru kami juga yang menyebut selalu dalam Madrasah atau Tarbiyah Ruhiyah, tarbiyah Ramadan ini sebagai kesempatan untuk meningkatkan. Katanya mesti ada peningkatan dan bagaimana kita tahu ada peningkatan? Kita tahu syawal nanti. Apakah bulan Ramadan ini prestasi kita, iman kita, akhlak kita, sahsiah kita, kerja kita, komitmen kita, kebersihan diri dan jiwa kita itu lebih baik daripada bulan sebelumnya. Jadi dia kata, mesti diukur dan yang boleh ukur, kita sendiri. Apakah pada hari ini kita mulakan satu tekad perbaiki dalam semua bidang.

 

  1. Kaitan kita dengan Al-Quran, kaitan kita dengan ibadah, solat, kefahaman kita tentang pengajaran Al-Quran, kesediaan kita untuk mendekati diri dengan kekuatan kerohanian, kemudian disiplin lebih baik, kerja lebih rajin, semua itu, ukuran itu, kata Sheikh Taha boleh tak kita buat perkiraan, ukur, bila sampai akhir bulan, apakah ada peningkatan atau tidak. Kerana kalau tidak ada peningkatan katanya, anak kita yang ambil ujian di sekolah rendah, menengah, universiti itu, kita menganggap ujian itu untuk menilai, dan anak kita juga kalau terpaksa ulangkaji atau ulang ujian, ambil SPM kali kedua, selalu kita minta prestasinya lebih baik daripada tahun sebelumnya.

 

  1. Kita telah ambil ujian ramadan ini ada yang sudah 20 tahun berturut-turut, ada 30, ada 40, ada 60, kemudian ada juga selang-seli dengan umrah, tetapi beberapa kebejatan dan kelemahan masih lagi kita ulang. Ini peringatan kepada kita, kepada saya, dan kepada semua iaitu mengamalkan Ramadan, kemudian ditambah pula dengan yang lain-lainnya, ke masjid dan sedekah, amal jariah, umrah, tapi dari segi prestasi kerjanya, dari segi kebocoran, ketirisan, dan rasuahnya itu, lebih kurang saja.

 

 

  1. Jadi Sheikh Taha mengingatkan saya, bahawa untuk diri kita, kita nilai sendiri, apakah sudah baik dalam semua bidang. Dan mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita, dan pesanan tadi itu sekadar saya minta Sahibus Samahah sampaikan supaya ini acara bulanan saya, tidak termasuk Sahibus Samahah Mufti, tapi saya fikir elok kita jadikan imarah Ramadan ini sebagai peringatan, Wanafsin wama sawwaha Fa alhamaha fujuraha wat taqwaha. Kerana apa pun kaitan dengan kegiatan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan seluruhnya, dia masih berpunca daripada dari hati, dari nilai, dari syahwat, dari akhlak.

 

  1. Sebab itu dalam negara MADANI ini, kita tekankan sangat soal nilai. Dalam pembangunan manusia, sama ada yang disebut tadi Muhammad Iqbal ataupun karya-karya besar Barat umumnya, yang ditekankan ialah kemajuan, kebendaan. Striving for excellence itu semuanya dalam konteks negara, masyarakat, teknologi, tetapi kurang ditekankan soal nilai, yang kita kaitkan juga soal moral, soal akhlak. Saya tidak katakan bahawa di Barat tidak ada berbicara soal nilai, banyak karya-karya, Moral Kompas yang membicarakan soal nilai, ada filasuf menerangkan, tetapi ini bukan jadi satu budaya dan kefahaman meluas. Kita jangan pilih kaedah yang diamalkan di Barat, kerana kita di Malaysia ini sama ada muslim atau yang bukan Islam, yang lainnya harus letakkan paksi negara ini kepada soal kemanusiaan dan nilai. Itu yang membezakan kita dengan haiwan, dengan ketelanjuran yang berlaku, sama ada cara yang kita lihat, termasuk dalam negara itu sendiri.

 

  1. Jadi saya ambil kesempatan di sini, selalunya kita bagi notis panjang untuk acara bulanan ini. Tapi kita beri paling singkat, saya ingat 24 jam sahaja notis ke Kementerian Dalam Negeri ini. Kerana saya tahu tentang kepantasannya, kecekapannya. Dan tak ada yang merungut, dari Menterinya kepada KSU-nya. Kita beritahu sahaja, tak ada yang kata, oh notis singkatnya. Tak ada. Alhamdulillah. Dan dia mudah sebab tak ada makan minum. Jadi saya ucap terima kasih.

 

  1. Saya pilih Kementerian Dalam Negeri ini, walaupun sudah ke beberapa Kementerian lain, kerana saya fikir wajar diberikan kenyataan, penghargaan, sebab manusia ini termasuk dalam tinjauan masyarakat umumnya dan juga media sosial. Itu banyak disergah, dikecam itu beberapa ciri kelemahan. Kita tidak nafikan, dan insya-Allah kita cuba baiki. Tetapi seperti yang disinggung tadi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, agensi-agensi lain yang terlibat, itu soal keselamatan negara, keyakinan orang boleh berjalan tengah malam, berniaga dengan aman, itu umumnya kerana tugas dan agensi penguatkuasaan PDRM dan seluruh keluarga Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain. Jadi elok kita manfaatkan waktu juga menyatakan penghargaan. Jangan kita gunakan kesempatan perleteran tentang berapa kelemahan. Kita boleh baiki dan insya-Allah sebagai manusia, dan kita tahu juga dalam hidup kita ini, apalagi dalam M

 

  1. Madrasah Ramadan, bulan Ramadan ini, kita akui, kita insya-Allah akan bekerja lebih kuat, akan perbaiki kelemahan-kelemahan.Tetapi terimalah kenyataan bahawa Malaysia itu di antara negara yang aman, di antara negara paling aman di dunia. Percayalah ada beberapa kelemahan yang kita nyatakan, badan penguatkuasaan kita itu umumnya punya prestasi yang baik, dan saya mahu rakyat terima itu dahulu, kemudian kita cari penyelesaian bagi beberapa kelemahan.

 

  1. Soal pembanterasan rasuah, yang termasuk juga dalam keluarga PDRM, itu sudah berapa tahun yang lalu, itu kita bersungguh-sungguh. Dan selain daripada Saifuddin, saya sendiri berulang kali panggil, minta supaya tindakan diambil. Tapi dia tidak semudah yang dibicarakan. Mengambil waktu, mengambil kebijaksanaan, mengambil ketangkasan, disiplin. Tetapi sebaik sahaja ada kejayaannya, seperti mana yang saya umumkan di Parlimen, elak ketirisan baik di sempadan atau di lapangan terbang atau di pelabuhan. Kalau kita dah kumpul keseluruhannya, untuk dua tahun, RM15.5 bilion ringgit. Itu tentulah saya sebagai seorang manusia, anggota keluarga, harus tabik juga kepada rakan-rakan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan-badan penguatkuasaan. Jangan kita nafikan itu dan menyatakan ini sahaja masalah-masalah masih ada.

 

  1. Ada masalahnya. Tapi bayangkan puluhan tahun ketirisan itu, kalau kumpul 10 bilion dalam dua tahun, maknanya dah ratusan bilion. Tetapi di bawah jentera yang ada sekarang, saudara-saudara, ini bukan sahaja PDRM ini, Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), itu semua lah, tak sebut sensitif pulak. Dan termasuk yang di luar juga, Kastam dan sebagainya. Jadi kita harus terima kenyataan, perubahan itu ada. Tapi masalahnya orang-orang setengah itu, dia pilih untuk hanya menimbulkan kenyataan seolah-olah semua orang tidur dan semua di sini semuanya korup. Ini yang saya fikir kurang wajar.

 

  1. Jadi kita guna kesempatan Ramadan ini, akui. Ya, ada kelemahan. Tetapi iktiraflah sumbangan dan pengorbanan. Dan insaflah bagi yang masih cuai. Kerana ada tidak ketirisan? ada. Tapi ketimbang dua tahun yang lalu, ketimbang empat tahun yang lalu, itu kedudukannya parah dan tindakan itu adalah tapi kecil sekali. Jadi sekarang bila tindakan yang diambil oleh, saudara tahu yang baru-baru termasuk AKPS, APMM selain daripada Polis dan Imigresen, itu bila tindakan yang diambil, kita hargai dan beri kerjasama dan lihat di mana ketirisannya, di mana skandal yang dikatakan rosak walaupun kadang-kadang tak rosak. Kita cari dan fokus pada masalah dan cuba selesaikan. Itu kalau ikut pendekatan saya. Tegur dan rakan-rakan tahu, saya di antara kadang-kadang dalam mesyuarat-mesyuarat tak macam inilah ya. Bila panggil mesyuarat, saya agak keras. Tetapi sebaik ada kemajuan, ada yang lakukan yang positif, kita hargai.

 

  1. Ini bagi masyarakat harus ada juga. Kerana apa? Saudara ingat saya ini sudah terbaik dan sempurna? Astaghfirullahalazim. Saya tahu kelemahan saya. Begitu juga nak nilai orang. Kita kadang nilai orang ini standard A+. Lupa bahawa kita ini D-. Nilai orang harus A+. Diri sendiri, D-. Ini masalah kemanusiaan yang ada sekarang. Bulan Ramadan ini, kesempatan untuk semua menilai diri kita sendiri. Supaya dari D- itu naik. Jangan terus merosot.

 

  1. Jadi dalam konteks ini, saya tahu tentu si Saifuddin dia minta saya sebut tentang nilai rampasan 7 bilion dan e-Waste. Itulah saya tak lupa, ada. Dia pastikan hantar teks, jangan sebut ini. Dia sayang sangat kepada jentera dia, jangan lupa bagi penghargaan, arah Perdana Menteri, dia suruh sebut (nada berseloroh). Kemudian dia takut saya tak terbaca teks, telefon lagi. Ini saya dah hantar teks. Saya kata ya, saya dah baca, dah. Ini sebut ini e-Waste sekian-sekian. Mujurlah tak ramai ramai Menteri macam itu, kalau tidak teruk saya (nada berseloroh).

 

  1. Jadi saudara-saudara, yang saya tekankan lah, ringkas begitu sahaja. Negara ini aman. Prestasi ekonomi itu jauh lebih baik daripada yang kita unjurkan. Bayangkan, selalunya unjuran kita itu hampir sampai ataupun sedikit kurang. Kali ini unjuran pertumbuhan kita itu lebih baik daripada yang kita jangka pada peringkat awalnya. Pelaburannya, pengangguran, jumlah pengangguran, inflasi. Tapi apakah tidak ada masalah? Ada. Begitu juga tentang usaha-usaha pembanterasan rasuah. Ada. Tetapi bila ditegur, seolah-olah ya, hampas. Semuanya seolah-olah tidak ada harga sama sekali, padahal masing-masing keadaan dalam perbicaraan dia lupa. Kelemahan-kelemahan ini harus diperbaiki semuanya. Saya tidak datang ke sini untuk pertahankan apa-apa kelemahan. Tidak. Saudara-saudara sedia maklum, terutama yang atas-atas yang sering juga dengan saya ataupun saudara Saifuddin yang dalam Jemaah Menteri. Kita ada masa kita keras dan tegas, termasuk pada rakan-rakan di Jemaah Menteri. Tapi bila ada sumbangan, pengorbanan, kita terima dengan baik, kerana tidak bagi gambaran seolah-olah teruk benarlah. Ini yang saya nak betulkan dan penyelesaiannya itu juga harus berhemah.

 

  1. Orang yang berkorban puluhan tahun dalam semua agensi. Kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya, ataupun kesalahannya besar, itu ikut proses undang-undang. Dan kalau ada aduan-aduan yang berat, bawa kepada prosesnya. Sama sepertimana yang dibicarakan sekarang dalam kes SPRM. Tapi bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara akan bekerja kalau seorang Perdana Menteri itu terus hukum. Belum siasat mesti hukum dulu. Saya tidak pilih jalur itu, siasat kalau perlu tindakan kita ambil tindakan, kalau perlu hukuman, kita ikut hukuman, tapi jangan kita gopoh kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita, ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita.

 

  1. Kita harus beringat begitu, apalagi bulan Ramadan ini. Jadi ini yang nak sampaikan. Harus teliti, penguatkuasaan harus jelas. Dan kita banyak masalah dalam 2-3 minggu ini dari SPRM-nya, dari kuil-nya, dari orang nak dakwah pun ada, dari semua bangkit sekarang, kita harus tangani dengan baik. Tetapi kadang-kadang jawapan itu jauh lari. Saudara, apa pun kena ikut peraturan. Kita negara ini negara hukum, mesti ikut undang-undang. Saya terlibat juga dengan kegiatan-kegiatan dakwah dulu, tapi kalau orang umpamanya nak buat dakwah yang mengganggu lalu lintas, dia ikut peraturanlah. Buatlah dakwah, tak ada sekatan sama sekali, tapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta. Macam sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyanglah sebanyak mana dia nak pun, buatlah kuih mana pun, tapi ikut peraturanlah. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana tempat saja, tak boleh. Sepertimana peraturan. Ada yang jawab dia kata, oh! surau di mana-mana, boleh buat tak ikut peraturan, tak betul. Saya tahu dalam sejarah surau kita, saudara Shamsul Anuar Nasarah tahu, surau di Perak pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan.
  2. Jadi saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik. Kalau kita terus begini, negara pertama takkan aman, tak boleh tumpu dalam soal membangun negara. Yang disebut tadi soal nilai, soal pendidikan, soal AI, soal program-program perubahan reform Anak-anak kita semua ni. Saya cucu, tapi anak-anak saudara-saudara. Tukar daripada 6 tahun, 5 tahun prasekolah. 7 tahun, 6 tahun sekolah. Ini semua perubahan-perubahan yang agak pantas dan drastik. Tapi kita tidak ada pilihan. Nak tunggu boleh. Tapi kita ketinggalan ketimbang 100 negara yang lain, dan ini memerlukan dana tambahan RM1 bilion ringgit tambahan tahun ini. Latihan guru , semua. Saya fikir yang perlu bagi negara kita yang guna n ini masa kita kemaskan diri kita, perbaiki prestasi kita. Betulkan apa-apa kekurangan, kelemahan di kalangan kita, kemudian usahakan supaya negara ini lebih teratur.

 

  1. Tanggungjawab membangun negara ini bukan tanggungjawab satu pihak, sepertimana tanggungjawab keamanan. Kata ini tanggungjawab polis sahaja, tak betul. Itu tanggungjawab semua, harus membangunkan. Potensi sangat baik saudara bayangkan. Saya teliti, esok Perdana Menteri Singapura akan datang, private visit, dia nak join saya berbuka puasa. Saya kata syaratnya, masa dia turun airport, dia tak boleh makan, sampailah buka puasa. Ini kerana tahap persahabatan dua negara dan mungkin dalam tempoh selepas itu Presiden Indonesia. Kemudian saudara-saudara tahu kita juga akan ke negeri-negeri, kita iftar bersama rakyat. Tapi yang penting saya nak tekankan prestasi negara kita itu baik. Saya bimbang kalau-kalau ada usaha melemah dan mengkhianati ini. Banyak yang cemburu saudara-saudara, dalam dan luar negara. Tak boleh terima kenyataan kita sedang meningkat baik.

 

  1. Sebab itu tanggungjawab kita apalagi di KDN ini nak pastikan keamanan, prestasi yang baik, di semua, kerana KDN ini menjadi tumpuan sebab dia jaga semua:, dari pesisir laut ke pelabuhan, kesempadan dan keselamatan semuanya tak terlepas. Naik kereta, jalan raya jaga, pergi airport Tak boleh lepas. Kerja saudara, saudara dah terperangkap. Jadi, jalankan kerja dengan sebaiknya. Saya yakin kerana kalau dilihat prestasi yang saya teliti umpamanya dalam 3 tahun ini, saya alhamdulillah bangga dengan prestasi saudara-saudara di sini.

 

 

  1. Saya sebut ini ikhlas amanillah ta’ala kerana saya perhati, tiga tahun hampir saban hari atau saban minggu meneliti dan saya tahu kerjanya, kesediaannya, pengorbanannya lakukan, tapi sebagaimana yang diungkapkan tadi kita ini adalah masyarakat islah mastata’tu sentiasa ada drive untuk perbaiki prestasi kita, untuk bawa reform dan perubahan. Jadi terimalah kenyataan bahawa reform dan perubahan dan islah itu satu kewajipan yang kita harus kerjakan. Tetapi ini tidak sama sekali menolak kenyataan bahawa saya seperti yang diamanahkan bekerja dan melihat sendiri prestasi, bukan sahaja dari segi dari menterinya, tapi melihat sendiri ini semua dan saya akui.

 

  1. Alhamdulillah saya syukur dan sangat bangga dengan prestasi KDN keseluruhannya. Saya doakan mudah-mudahan dengan semangat Ramadan ini, Madrasah Ruhiyah bulan Ramadan Mubarak, Ramadan Kareem. Kullu ‘āmin wa antum bi khair, kita dapat tingkatkan usaha kita.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: