TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026
13 June 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026
13 JUN 2026 (SABTU) │2.30 PETANG
PERKARANGAN KOMPLEKS SUKAN LIKAS
KOTA KINABALU, SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Datuk Aaron Ago anak Dagang,
Menteri Perpaduan Negara;
Ahli-ahli Jemaah Menteri;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Timbalan Menteri; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Sekali lagi kita dapat bersama menyambut Minggu Perpaduan Negara, dan kini diselenggara dengan kerjasama penuh Kerajaan Negeri Sabah. Saya ucapkan terima kasih khusus kepada Datuk Seri Panglima Haji Hajiji, kerana menjayakan acara pada hari ini.
- Kita dengar dan saksikan malah dalam menyaksikan penyertaan yang begini ramai dengan semangat dan semarak dengan pelbagai acara suku kaum, budaya. Ini gambaran yang sangat membanggakan kita.
- Sebenarnya majoriti rakyat negara ini faham erti perpaduan. Majoriti rakyat ini inginkan negara ini aman kerana mereka tahu harga, nikmat, faedah dari perpaduan itu yang beri kepada kestabilan dan yang boleh menjadikan rekayasa permulaan bagi pemacuan pertumbuhan ekonomi.
- Tetapi seringkali juga, kita yang biasa dengan keadaan yang aman dan perpaduan ini bersatu, kita lupa bahawa ada kalanya kita terjebak dengan pengaruh yang mengikis semangat ini dan memupuk perasaan yang bertentangan dengan semangat perpaduan.
- Sebab itu, kita adakan kementerian dan saya ucap tahniah kepada Kementerian Perpaduan, yang dalam beberapa tahun ini melakukan sebaik mungkin untuk menyemarakkan semangat ini.
- Jangan leka dan membuat andaian bahawa perpaduan itu suatu yang kemestian berlaku di semua keadaan tanpa memupuk semangat dan menghalang ikhtiar yang lain yang memecah belahkan.
- Bayangkan dengan negara yang sifatnya sedikit sebanyak seperti kita. Pelbagai kaum, pelbagai suku, pelbagai agama, pelbagai wilayah, tak semuanya dapat mempertahankan kesatuan. Kerana seperti yang saya sebut berulang kali, untuk membangun negara itu ia memerlukan kebijaksanaan, kesabaran, pimpinan seperti mana kita saksikan sebelum ini, tokoh-tokoh besar seperti Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Hajj, kemudian tokoh-tokoh besar yang menyambut Malaysia ini dari Sabah dan Sarawak.
- Mereka punya wawasan. Mereka tahu rumit kerana suku kaum berbeda, agama berbeda, wilayah berbeda, pengalaman berbeda dan tahap pembangunan yang berbeda. Tetapi kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Hajj membawa mutu perpaduan, bersekutu, bertambah mutu, menarik tokoh-tokoh seperti Tun Temenggung Jugah, Tun Mustafa, Tuan Fuad Stephens umpamanya.
- Mereka ini bukan dikira terlalu canggih dan terlalu pandai, terdedah dengan pengalaman dan kerumitan geopolitik dunia. Tapi mereka ini di kalangan yang punyai jiwa murni untuk menjayakan negara mereka. Mereka juga mewakili sosok-sosok tersentuh. Melayunya, Ibannya, Kadazannya, dan lain-lain suku kaum. Tapi, cuba kita renung sebentar. Apa hujah, kesedaran, yang boleh memaut mereka bersatu dalam semangat baru? Mendirikan negara bangsa menjadi yang tema.
- Negara bangsa ini kalau ikut teori, pembinaan negara dan masyarakat dan sains politik, dia kata bukan wujud dengan sendiri. Ia bukan satu yang peta-petaan ditentukan dalam sejarah, tidak semestinya. Sebab itu disebut imagine communities. Negara yang berkecamuk pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai agama, tetapi dia dapat bayangkan dengan wawasan bahawa dia jadi satu kesatuan.
- Ini luar biasa. Bapa-bapa kita pendiri negara ini, punyai wawasan negara bangsa walaupun tidak diungkapkan dengan bahasa yang canggih ataupun dengan teori yang agak sophisticated. Tidak. Sebab itu saya yakin, melihat dari latar belakang mereka, mereka ini antara kelompok atau kalangan, bukan pun sarjana, bukan intelektual dalam erti kata sekarang. Tetapi tokoh-tokoh yang punyai kecintaan kepada negara bangsa. Mewakili kelompok suku kaum kecil, tetapi punyai wawasan besar.
- Bagaimana pertahankan semangat esprit de corps – kekitaan? dan bagaimana boleh melihat jauh daripada satu sudut dari Kapit atau Keningau ataupun Cherok Tok Kun atau Manek Urai?
- Cuba bayangkan. Orang yang bukan semestinya terdedah dengan pengalaman dan fahaman teori politik yang matang, tetapi ternyata punyai jiwa murni, melihat ke depan. Mereka, masa depan anak cucu mereka, dan negara mereka yang mereka cintai.
- Alex ada, tanya dia? Dari puluhan tahun dulu di Kapit, siapa yang tahu Malaysia? Kuala Lumpur pun dia tak pernah jengok. Ataupun anak kampung dari Manek Urai atau Lahar Yooi. Tetapi, cuba bayangkan bagaimana mereka boleh melihat, bukan satu tapak, 10, 100 tapak ke depan. Apa mereka boleh lakarkan dalam bahasa yang indah bagaimana negara bangsa diwujudkan? Tidak mungkin. Saya tidak fikir mereka mampu melakukan begitu.
- Jadi, apa yang menyebabkan mereka melihat jauh ke depan? Pijak di bumi nyata, kecintaan kepada suku kaum mereka, dan negeri mereka, dan negara bangsa. Kita yang mewarisi kehebatan pemuka dan pemimpin besar ini hanya diminta untuk memaknai kemerdekaan ini dan menjadikannya sama ada dari suku kaum Cina, India, Melayu dan suku Bumiputera lainnya. Itu bagaimana boleh kita pertahankan?
- Bolehkah kita pertahankan dengan hasutan, kepentingan daerah dan wilayah dan suku kaum dan kaum? Apakah salah kita bangkitkan permasalahan suku kaum? Tidak salah, tetapi untuk menanam bibit kebencian, tidak menghormati, ini yang menjadi puncanya.
- Sebab itu kalau pengalaman saya singkat sebagai seorang muslim, saya tahu bahawa dan diperingatkan bahawa yang menjadikan kita kaum atau kabilah atau dari budaya berasingan itu, Allah takdirkan. Dijadikan kita daripada pelbagai kaum, pelbagai suku kaum, dengan kemampuan dan peguasaan pelbagai bahasa, tetapi Allah tetapkan dalam al-Quran. Untuk apa? Untuk ‘li ta’arafu’. Untuk kenal bukan kenal. Kenal is knowing one another. Li ta’arafu itu dia perkataannya arif.
- Maksudnya bukan dia nak kenal tapi arif. Bagaimana nak arif? Tahu dia, hormat bahasa dia, tahu budaya dia, tahu kaumnya berbeda, tahu warna kulit yang berbeda, tahu kepercayaan yang berbeda, tapi dia arif. Dia tidak akan arif kalau dia tidak hormat. Dia tidak akan arif kalau dia tidak tahu sama sekali dan tunjuk appreciation tentang difference Ini baru boleh kita pupuk negara bangsa.
- Teori-teori sekarang, soal saya katakan tadi imagine community’s, esprit de corps, itu teori-teori sekarang. Tetapi asas dalam kepercayaan kita adalah untuk mendirikan.
- Sekali lagi saya tekankan, mudah untuk merungkai, melebur dan memusnahkan. Lihat saja beberapa negara. Seorang tokoh yang saya kenal baik, Vaklav Havel yang pernah menjadi Presiden Yugoslavia, bukan maaf, Czechoslovakia. Seorang pemikir, seorang sasterawan Vaklav Havel. Dia mempunyai impian besar bagi kesatuan negara, tapi kata dia, tarikan dari suku kaum dan wilayah terlalu kuat akhirnya terpecah jadi Czech dan Slovak menghancurkan hati nurani dia kerana tidak mampu sebahagian daripada kita melihat jauh mengatasi kepentingan suku kaum atau wilayah.
- Sebab itu cabaran kita, negeri-negeri di semenanjung, Sabah dan Sarawak, suku kaum yang berbeza, warna kulit yang berbeza, kita perlukan kematangan, kewarasan, kebijaksanaan dalam politik, dalam mempertahankan dan memperkukuh semangat negara bangsa ini.
- Bagi saudara-saudara yang mengikuti karya-karya agung sastera termasuk Amerika Latin, saya masih ingat karya tentang seorang Jeneral Simon Bolivar. Simon Bolivar itu seorang pejuang kemerdekaan menentang penjajah di Amerika Latin. Pengarangnya Garcia Marquez, dia cerita tentang Simon Bolivar dan Bolivia nama Simon Bolivar itu memang gergasi pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah Sepanyol yang memerdekakan beberapa negara di Latin America. Dia tulis novel ‘The General and Its Labyrinth’. Jeneral ini di akhir kehidupan dia setelah dia merdeka, dia serah kepada generasi baru. Dia berjuang untuk memerdekakan negara, merdeka menyatukan dan memupuk semangat jati diri menentang penjajah dan membangunkan negara, satu negara baru. Tetapi di saat akhir, kisah yang sangat menyayat hati, dia berkuda naik di kawasan tinggi di bukit dan melihat negaranya di bawah dengan penuh rasa sedih kerana bibit-bibit kehancuran, perpecahan kerana kaum, kerana agama perpecahan, kerana tarikan sentimen-sentimen daerah yang menyebabkan negara itu hancur.
- Mudah-mudahan ia jadi satu pengajaran kepada kita. Kita syukur alhamdulillah, politiknya stabil, negara ini masih bersatu. Aaron buat acara dan tengok semua suku kaum sambut, tetapi jangan kita alpa dan sentiasa kita peringatkan semua jentera dalam kegiatan kita, erti yang menjadi salah satu perkasa memupuk perpaduan: ada komuniti MADANI dan lain-lain seperti itu, itu menjadikan satu ruang untuk kita memupuk kerjasama antara kaum.
- Dan jangan kita biarkan orang-orang yang bangkitkan semangatnya memecah-belahkan kita. Kalau saya kan anak Melayu. Kalau pergi kadang-kadang dengar-dengar itu bagaimana nak ketuanan Melayu dan semangat Melayu dan masa depan Melayu, kehebatan Melayu, saya juga asyik. Tapi saya lupa, sementara Melayu itu majoriti yang punyai peranan, saya lupa bahawa perasaan anak-anak Iban, atau Kadazan, atau Dusun, atau Burut, atau Cina, atau India yang sebenarnya anak-anak kita. Dan bila saya sebut itu semua anak-anak kita, di kalangan yang pelampau Melayu ini mengatakan, “hah, Anwar tengok dia bukan lagi Melayu tulen, kerana dia anggap anak Iban itu anak dia, ataupun anak India itu anak dia”. Tarikan itu begitu rupa, begitu juga di kalangan suku-suku kaum lain.
- Sebab itu, semangat ini saudara Aaron dan rakan-rakan dalam Kementerian Perpaduan mesti celah gigi. Ada bila saya bentuk dan wujudkan Kementerian Perpaduan, ada yang mengatakan ini tak perlu. Kita sudah bersatu padu, tidak perlu. Tetapi setelah tiga tahun, saya ucap tahniah kepada Kementerian Perpaduan banyak acara yang menghidupkan ini semua.
- Jadi kita, dah ada minta dana pula dah. Tidak bolehkah saya pergi ke suatu tempat, kemudian dia terima kasih Anwar datang, tidak payah minta-minta apa-apa, aman saya. Macam saya pagi tadi di Sipitang, Dato’ Seri Hajiji, saya pergi tadi Sipitang langsung tidak minta apa-apa. Saya betul-betul terkejut, dia silap dia tertinggal teks ke apa ke, tapi saya bagi untuk sekolah. Sekolah Menengah Kebangsaan Sipitang.
- Jadi, geran aktiviti untuk Sekretariat Rukun Negara 189. Iyakah, Aaron? Saya dengar 100, macam mana 189? 189 Sekretariat Rukun Negara di Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara, kita sediakan RM10,000 kepada 189 sekretariat ini.
- Baik, kemudian geran RM5,000 kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah. Maknanya untuk universiti, untuk sekolah. Kita kena ingat ya, kerana universiti sekarang, dia kalau satu kuliah atau satu jabatan, itu tidak ada langsung hubungan dan interaksi di antara satu sama lain. Jadi, ini kita anggap Duta Kecil Rukun Negara dan ini integrasi murid untuk perpaduan bersama Kementerian Perpaduan dan Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi.
- Untuk Belanjawan 2027, saya telah juga menambah mengikut keperluan Kementerian ini, iaitu menanam semangat patriotism dan perpaduan rakyat yang dikelola oleh Arkib Negara Malaysia.
- Ketua Pengarah Arkib ada? Oh ya, okey. Jadi kita akan menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta ringgit bagi menghidupkan 10 memorial negarawan. Jadi kita ada umpamanya di Kuala Lumpur, sepertimana Tengku Abdul Rahman, Tengku Abdul Razak, saya cadangkan hari itu juga Tun Dr. Ismail. Bagi Sabah dan Sarawak dalam hal yang sama, supaya kita dapat menghidupkan juga sepertimana pembangunan memorial negarawan Sabah, bagi menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh yang telah membentuk sejarah negeri dan negara.
- Berikutnya ialah Strategi Pembudayaan Integriti Nasional, National Integrity and Culturation Strategy, NIES. Ini idea bijak Tan Sri KSN. Ini hebatnya KSN dan KSU ini, kalau KSU bila menteri berucap, dia boleh selit satu idea dalam tu. Jadi kita baca. Hari ini KSN selitkan untuk PM bacakan, tapi kebetulan cadangan ini baik kerana soal integriti ini penting. Dalam Negara MADANI ini, ‘hormat’, ‘ihsan’ ini termasuk dalam integriti ini, dia tidak ada, tidak mungkin hidupkan semangat perpaduan ini tanpa personal and national integrity.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih, kerana sambutan begitu baik, hujan pun penuh juga, luar biasa. Maknanya Kementerian Perpaduan dan Kerajaan Negeri Sabah terima kasih banyak, dan rakyat Sabah yang beri sambutan begitu baik. Terima kasih.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
