TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : PROGRAM SANTAI PERANTAU SEMPENA 70 TAHUN FELDA
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM SANTAI PERANTAU SEMPENA
70 TAHUN FELDA
TEMA:
“Dari Felda Kita Datang, Kepada Felda Kita Berbakti”
25 JULAI 2026 | SABTU | 8.00 MALAM
PERKARANGAN DEWAN PERDANA FELDA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdu lillahirabbil-‘alamin, nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara (KSN);
Yang Berbahagia Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah,
Timbalan Menteri Ekonomi;
Semua tetamu-tetamu kita;
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Ahamd Badri bin Mohd Zahir,
Pengerusi FELDA;
Saya kata jaga ini, kena betul, silap, mengamuk peneroka. Itu yang dia jaga-jaga sikit tu.
Rakan-rakan yang saya muliakan;
Pengurus Besar dan seluruh team.
- Malam ini, malam santai sahaja, saya baru sampai dari Pulau Pinang. Malam ini ada Citrawarna anjuran Kementerian Pelancongan, tapi saya rasa elok saya hadir sama meraikan rakan-rakan FELDA ini dan saya tugas pertama kepada Tan Sri Ahmad Badri dan saya juga peringatkan kepada Pengurus Besar, apa yang kita umumkan pada Hari Peneroka itu saya nak laksanakan segera. Ini soal yang tertangguh lama.
- Saya pergi mana-mana, yang mengeluh besarnya, Rumah Generasi Kedua. Saya dah 2 minggu yang lalu, selesai di Jengka beri arahan, TNB sebaik sahaja dapat surat, sementara pun tak apa daripada kerajaan negeri akan memasang elektrik segera. Maknanya, soal api (elektrik) beres. Dan saya kata dekat TNB, jangan tanya saya, saya tak nak dengar masalah…. jalan.
- Masalah air, itu masalah dengan kerajaan-kerajaan negeri. Saya ada minta Pengerusi tulis dulu kepada Menteri Besar, dan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, Premier dan Perdana Menteri, mungkin dalam tempoh sebulan saya akan buat kertas supaya ini menjadi keputusan dasar, semua kawasan perumahan FELDA diizinkan mengadakan rumah kedua segera.
- Saya nak beritahu, keputusan dah kita buat, cuma pelaksanaannya itu, TNB selesai. Air dengan itu masalah airnya dengan kerajaan negeri, sebahagian kerajaan negeri telah pun memulakan, dan kalau ada masalah, saya akan hubungi, memandang kerajaan negeri dan kalau ada satu dua kerajaan negeri yang ada masalah kewangan umpamanya, itu saya akan pertimbangkan untuk Kementerian Kewangan kaji di mana yang boleh kita bantu sebahagian atau separuh hal ini.
- Yang lain, kita umumkan tujuh (7) perkara itu, saya dah beritahu Pengusus Besar, saya nak ada laporan kemajuannya tiap bulan supaya tidak tertangguh. Kadang-kadang, saya tak salahkan rakyat, ya kita umum, pelaksanaan itu orang bosan tunggu. Jadi sebab itu, saudara sudah tunggu lama soal rumah kedua ini, sekurang-kurangnya ada sebahagiannya kita selesaikan.
- Soal Akta FELDA, memang dia ambil masa sikit, saya dah tunggu deraf dia, kata Pengurus Besar, deraf awal ada, akan dibentang ke Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengarah sebaik diluluskan, saya akan segerakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan akan dibentangkan di Parlimen. Dan saya bagi arahan supaya dapat dibentangkan sebelum akhir tahun ini.
- Tetapi soal akta itu bukan masalah, kerana kalau FELDA dan Kerajaan Persekutuan dan pengurusan FELDA setuju, dan tidak dibantah oleh kerajaan negeri, beberapa program itu boleh dijalankan dulu, walaupun akta itu tak pinda. Betul Shahar, dia lama dia lebih arif bab ini. Jadi kita, saya ingat saya tak mahu ada masalah dari sudut kelewatan, jadi kita boleh jalankan, tapi sebaiknya akta itu diluluskan kerana dia dapat bereskan masalah-masalah tertangguh. Daripada isi perundangan tak berbangkit lagi, manalah tahu esok ubah Perdana Menteri, banyak orang cadang nak ubah. Jadi lebih baik sementara saya ada ni saya selesaikan dulu. Kemudian “fatawakkal ‘alallah” Itu yang tujuh (7) perkara ini.
- Tapi selainnya, saya nak mintalah kerjasama rakan-rakan di FELDA. Dulu di Jengka, saya sebut, dia mula dengan begitu membanggakan baik. Malah, kalau saudara tahu, di dunia, kalau tengok dalam peta bank dunia, FELDA itu di peringkat teratas, kerana dari segi plantations atau ladang terbesar dunia diurus satu syarikat. Tapi tahulah ya, selesai banyak orang tak suka kalau saya bangkitkan isu-isu lama, tapi isu lama itu satu pengajaran. Sesetengah orang tak mahu dengar, tapi kita kena belajar. Belajar dari kekuatan, belajar dari pengalaman. Apa pengalaman kita dari kelemahan ini? Kerana kita amanahkan orang yang salah, dia tidak menggunakan kuasa dengan bijak, dan menghampakan.
- Saudara bayangkan, katalah tak ada masalah yang kita hadapi beberapa tahun yang lalu itu, RM980 juta setahun itu, kita boleh balik kepada FELDA. Bayangkan, maknanya satu bilion setahun berapa banyak faedah kepada peneroka? Tapi kita ini kadang-kadang, cakap soal dakwah, soal Islam, soal Melayu, tapi bila cakap soal pengurusan itu, ke mana? Hancur. Tidak ada pertahankan prinsip dan kaedah. Sebab itu walaupun saya tahu kadang-kadang orang tak senang, saya tak mahu tolak ansur soal peraturan dan kaedah.
- Baiklah, ya. Jadi, oleh kerana malam ini ada lepas azan ini ada dengar lagu, saya ada lagu, lagu saya satu je, “Senyap dan sunyi”. Jadi, saya akan senyap dan sunyi dan dengar orang lain lagi. Saya dengar KSN tak sabar nak dengar lagu, nak nyanyi, biar dia nyanyi. Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
