TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS KHATAM SAMA’ HADIS JAMI’ AT-TIRMIDHI DAN SYAMĀ’IL AL-MUHAMMADIYYAH PERINGKAT ANTARABANGSA 2026

23 November 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA

MAJLIS KHATAM SAMA’ HADIS JAMI’ AT-TIRMIDHI DAN SYAMĀ’IL AL-MUHAMMADIYYAH PERINGKAT ANTARABANGSA 2026

 23 NOVEMBER 2026 | ISNIN | 7.00 MALAM

MASJID PUTRA, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.

Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli wa Nusallim Ala Rasoolihil Kareem.

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Menteri, Dr. Zulkifli Hassan yang saya muliakan;

 

Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari,

Mufti Besar India yang juga pemimpin majlis kita;

 

Al-Allamah Syeikh Dr. Usamah Sayyid Mahmud Muhammad Sa’ad Al-Azhari,

Menteri Wakaf Republik Arab Mesir;

 

Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, Syeikhul Majlis;

 

Tuan Guru Syeikh Dr. Najib Rashid Al-Arabi;

 

Tuan Guru Syeikh Wazir Al-Makki;

 

Tuan-tuan Guru yang hadir;

 

Rakan-rakan dari JAKIM, Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM);

Saudara-saudara dan saudari-saudari yang dihormati sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, suatu pengalaman yang sangat bermakna bagi negara Malaysia, bila kita teruskan acara yang memberikan, menghidupkan tradisi bukan sahaja tradisi akliah kerana mendengar penjelasan, pidato dan kupasan hadis, tapi lebih penting menghidupkan.

 

  1. Pertama, mengimarahkan masjid. Masjid menjadi tonggak dalam kegiatan ilmu kita. Dan keduanya, tentunya dalam jemaah, menghidupkan roh al-Quran. Tidak ada selesai majlis di masjid tanpa pembacaan al-Quran.

 

  1. Dan pada malam ini, kita teruskan satu tradisi, satu-satunya yang juga disebut oleh Menteri Wakaf Syu’un Islamiyah Mesir, satu-satunya negara yang menghidupkan Majlis Khatam Sama’ Hadis kali ini Jami’ Al-Tirmidhi. Sebelum ini, Al-Bukhari. Tahun lalu, Muslim, dan tahun ini, Al-Tirmidhi, dan juga Syama’il Al-Muhammadiyyah.

 

  1. Dari mana idea ini? Bukan dari saya. Beberapa tahun yang lampau, lama sebelum saya jadi Perdana Menteri, saya ziarah apa yang disebut sebagai ‘Knowledge City, Madinah Ilm’ di Kerala. Pertama kali menemui Syeikh Abu Bakar. Beliau banyak membantu, mendoakan, memberikan kekuatan kepada saya sejurus selepas keluar dari bercuti di Sungai Buloh.

 

  1. Dan beliau memberikan peringatan-peringatan dan nasihat berterusan sepanjang beberapa hari saya di sana, supaya istiqamah dalam perjuangan. Dan ingat, selain daripada menerus, mengamalkan bacaan al-Quran, memahaminya, membaca tafsirnya, dan menghidupkan roh pengajian al-Quran.

 

  1. Beliau menyatakan tentang hadis. Dan beliau menyatakan, “Andainya saya dapat bersama menerajui negara ini, jangan lupa hidupkan satu tradisi untuk Malaysia, untuk rantau kepulauan Melayu dan juga untuk antarabangsa, iaitu Sama’ Hadis, mula dengan Al-Bukhari kepada Muslim dan tahun ini At-Tirmidhi.”

 

  1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T, kerana Sheikh Abu Bakar kekal sihat. Sifatnya tegas dan keras. Tidak memungkinkan kita menangguhkan. Bagi dia, mesti selesai sebelum akhir tahun. Sibuk itu urusan saya. Kerja mesti jalankan. Jadi, walaupun saya jawatan ini besar, tinggi, tapi saya terus terpaksa ikut arahan.

 

 

  1. Alhamdulillah, inilah yang saya katakan, hubungan dengan ulama bukan sekadar mengiakan, tapi menggesa, mendesak, menuntut hidupkan majlis ilmu, imarahkan masjid dan terus mendukung usaha-usaha menyebarkan dakwah. Pengaruh itulah kemudian mempengaruhi saya dalam tahun-tahun menghidupkan semula madrasah, maahad tahfiz yang agak mula daif dan ketinggalan. Sejak 3 tahun yang lalu, 4 tahun, kita mula kembalikan sedikit dana, tambah. Terima kasih YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, JAKIM dan YADIM, bantu untuk perbaiki dan tiap tahun menambah peruntukan yang lebih besar.

 

  1. Kerana apa? Kerana ini tradisi umat. Tahun lalu, saya sebut bahawa jangan kita lupa tentang tradisi pondok walaupun bukan pondok, pondok tu pondok, tapi madrasah. Kalau di Indonesia disebut pesantren, iaitu kubu, kubu pertahanan akidah, ilmu dan mental umat.

 

  1. Ingat apa yang pernah saya sebut. Tatkala kita menerima tamparan hebat dari kekuatan penjajah Inggeris di sini, Belanda di Indonesia, Perancis di Utara Afrika, semuanya menyerang dengan kekuatan tentera dan teknologi, tetapi lebih daripada itu, penjajahan bermakna menakluki jiwa umat Islam. Dalam keadaan itu, semuanya tewas. Sistem politik, golongan bangsawan, pentadbir, ilmuwan, sistem pendidikan, semuanya terjajah.
  2. Cromer, Lord Cromer di Mesir, Macaulay di India, dasarnya sama. Stamford Raffles di sini di Malaysia, Snouck Hurgronje di Indonesia. Semuanya berjaya menawan, tewas, kalah satu persatu. Bahasanya, budayanya, sasteranya, apa lagi akidah, akhlak, nilai dan kefahaman umat.

 

  1. Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal adalah madrasah. Maahad tahfiz dan pesantren yang menanam bukan sahaja mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah malah roh perjuangan menentang penjajahan. Setelah merdeka, sistem berubah tapi pemikiran penjajah belum tentu bebas. Dan ini yang kita warisi.

 

  1. Bila berlaku muncul kesedaran baru. Saya katakan penjajahan itu menyebabkan sistem kita berubah dan mengambil masa dan kekuatan untuk merombaknya, supaya negara lebih bersih, supaya kembali menanam bibit-bibit kesedaran Islam, supaya jangan Islam itu menjadi topeng mengesahkan penyelewengan dan rasuah dan penindasan, meminggirkan yang miskin menyebabkan terus pesantren-pesantren dan madrasah-madrasah dan maahad-maahad tahfiz seperti mana di zaman penjajah terbiar, lusuh, roboh atap dan dindingnya. Itulah menyebabkan kita beranikan diri membawa perubahan ini.

 

  1. Pertama, kenang kepada sejarahnya dan kedua, insaf bahawa tanpa kekuatan dalaman tidak mungkin kita bawa apa-apa perubahan. Kerana yakin kita, Wa man ahsanu qawlan mimman da’aa ilallahi wa ‘amila saalihan wa qaala innanii minal muslimiin. Keyakinan ini menuntut kita bawa perubahan dan mudah-mudahan kita diselamatkan, dan saya sangat terkesan dan terharu bukan sahaja malam ini, tapi seperti mana yang sudah disebut oleh syeikh, berhari-hari. Malam ini penamat khatamnya, yang mengkhatamkan itu syeikh-syeikh tadi yang kita hanya meraikan dan mendengar hadis penamatnya.

 

  1. Jadi, jangan kita lupa orang-orang ini memberi cahaya, nur, harapan, memberi kekuatan. Malaysia ini tertegak bukan sahaja kerana Artificial Intelligence dan pelaburan besar, dan data centers. Bukan kerana industri, ya itu semua perlu untuk menjamin pekerjaan, menjamin kehidupan yang lebih lumayan, tetapi percayalah kekuatan kita itu kerana berkat doa, kerana masih ada yang teguh mendirikan, menyelamatkan negara kita, menjadikannya itu sebagai satu negara yang punya kekuatan.

 

  1. Kita bukan negara yang terlalu ramai umat Islamnya, bukan terlalu kaya, terlalu hebat, tetapi saya syukur Alhamdulillah, dan negara ini yakin, kita tegak hanya dengan keperibadian. Sebab itu, dalam pendidikan, malah dalam belanjawan negara baru-baru ini saya umumkan apa? Dasar kita. “Menggapai di langit”, maknanya semua teknologi baharu dan ilmu baharu dan Artificial Intelligence dan digitalization betul, “menggapai di langit.”

 

  1. Apa perbezaan kita dengan negara-negara lain, negara industri, negara kaya, negara barat. Apa bezanya? Kita “mengakar di bumi”, kita insaf bahawa dengan kekuatan akidah dan akhlak dan membina sahsiah Islamiah, baru kita pertahankan jati diri kita, ilmu kita, budaya kita, tradisi kita, kita pertahankannya. Jadi “kita gapai di langit, mengakar di bumi”.

 

  1. Dan oleh itu, saya sekadar mengatakan kesyukuran yang setingginya, dan penghargaan jazakumullah khairan katsiran kerana dukungan, gesaan, dan para ulama dari luar negara, dari negara, dari rantau ini untuk menjayakan majlis ini.

 

  1. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita bersama dan kita doakan mudah-mudahan Khatam Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah ini menjadi satu asakkan supaya kita lebih komited, iltizam untuk menjernihkan keadaan, mengangkat martabat umat dan negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

Share: