TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: SIDANG MEDIA BERKENAAN KRISIS BEKALAN GLOBAL

5 May 2026

 

 

TEKS VERBATIM

 

SIDANG MEDIA

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

KRISIS BEKALAN GLOBAL

 

 

 

5 MEI 2026 (SELASA) | 2.30 PETANG

PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Kita sering bicara soal tekanan kos sara hidup akibat dari krisis bekalan global yang kian meruncing. Maknanya, bekalan yang kita terima itu menyebabkan kos meningkat dan ini kemudian menekan rakyat terutama, peniaga dan penjaja.

 

Minggu lalu sebelum solat Jumaat saya ke gerai, warung makan di Rawang. Dan kakak itu, walaupun cara baik dan sopan, saya terasa keluhannya kerana terpaksa berdepan dengan kos barangan yang meningkat, walaupun kata beliau sedikit. Tapi sedikit tiap minggu, jadi kalau dah empat minggu berterusan tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau.

 

Saya bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersama isu-isu lain yang berbangkit. Walaupun kita akui ia tidak mudah, pertama seperti kita lihat RON95, walaupun kita beri bantuan dan bantuan diesel, ia telah menyebabkan Kerajaan menangggung RM5 bilion ringgit tambahan setiap bulan.

 

Kendatipun begitu, kita terpaksa berdepan dengan masalah dan cuba sedaya upaya meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat dan keluarga mereka, terutama golongan yang relatif lebih kecil, miskin dan rentan.

Kita sedar di utara Kedah terutamanya menghadapi musim kemarau yang agak lebih panjang daripada biasa. Itu menyebabkan kesukaran peladang dan juga pesawah. Kita telah mengarakahkan pembenihan awan ditingkatkan oleh TUDM dan saya juga minta BOMBA yang punyai keupayaan yang relatif lebih kecil, tetapi meneruskan kegiatan dalam beberapa hari ini.

 

Tapi di kalangan pesawah padi, keluhan itu didengar, kita telah tambah umpamanya, Bantuan Khas Insentif Pembajakan pada 14 April lalu ini yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saudara Muhammad Sabu dan ditingkatkan dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran dari kenaikan harga diesel komersial.

 

Mesyuarat tadi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara Malaysia, bersetuju untuk membayar wang pendahuluan, iaitu Kadar Khas Insentif Pembajakan kerana mereka terpaksa sewa mesin bajak. Jadi program pembajakan itu mesti diteruskan juga, tetapi mereka perlukan modal. Jadi oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi. Dia ada implikasi kewangan RM48 juta yang kita luluskan minggu ini, dan akan memberi manfaat kepada 240 ribu orang pesawah berdaftar.

Perkara kedua, terkait dengan keluhan kakak yang di Rawang itu, saya berikhtiar mencari kaedah untuk mengurangkan beban mereka mengikut keupayaan kita. Saya fikir langkah pertama yang harus kita lakukan ialah mengurangkan kadar sewa. Kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA, bulan ini juga mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka, dan mereka akan umumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat.

 

Dan meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, saya ingin menyeru semua pihak berkuasa tempatan negeri-negeri untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini.

 

Dan saya ingin ucap terima kasih kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menyambut secara positif dan mengumumkan dalam masa yang terdekat, menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama perniagaan kecil, penjaja dan kedai-kedai makanan.

 

Tentunya ini bidang kuasa PBT dan Kerajaan Negeri yang lain, dan saya ingin mengesa mereka menurunkan dengan kadar segera dan berkuatkuasa bulan ini juga, untuk mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini.

 

Yang berikutnya ialah kaedah mengurangkan kos ialah melalui peningkatan program Jualan Rahmah MADANI, kerana Jualan Rahmah MADANI setakat ini dikendalikan oleh Kementerian Pengguna (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) itu telah berhasil mengurangkan harga sehingga ada yang 30% lebih murah ketimbang harga pasaran. Ada 5, 10, 15 ada yang sampai 30% daripada harga pasaran.

 

Tahun lalu kerajaan telah melaksanakan lebih 25,000 program Jualan Rahmah melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri di negara kita. Jadi saya ingin untuk dimulakan segera sekarang, dan untuk tahun 2026 ini kita telah mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah.

 

Maknanya ditingkatkan. Satu, semua kawasan DUN dan kedua, mesti dilakukan sekali pada setiap minggu. Dengan cara ini, pembeli dapat kepastian barangan di mana boleh dibeli dan pada hari dan jadual yang tetap. Dan kita juga tumpukan supaya program Jualan Rahmah ini diadakan bukan sahaja di pinggir bandar, tetapi juga di beberapa kawasan desa dan kampung yang terpilih.

 

Dan dalam menjayakan program ini dan memberi manfaat kepada golongan peniaga kecil, kita nak pastikan supaya, peniaga kecil juga terlibat. Kita tidak mahu ini jadikan satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar, tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah MADANI ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah.

 

Tentunya ikhtiar ini tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi saya percaya ia dapat meringankan sedikit tekanan sekarang ini, dan insya-Allah dalam acara mingguan kita, dan mesyuarat Jemaah Menteri esoknya, setiap hari Rabu, kita akan terus meneliti dan mencari beberapa ikhtiar baru untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: